Korang pernah memancing ikan ketam? Bagi yang tidak pernah mencuba pasti menganggapnya sesuatu yang kelakar. Malah ramai yang tidak mengetahui bahawa ketam sudah boleh dipancing dengan menggunakan joran dan kekili.
Hasrat untuk mencuba dan merasai sendiri keunikan pancingan ketam yang kian popular ini sebenarnya sudah lama terpendam. Jaring-jaring ketam pemberian seorang rakan pengusaha jaring ketam juga sudah berbulan-bulan tersimpan dalam bekas peralatan memancing. Justeru, apabila peluang itu menjelma, kami bertiga segera bertolak dari Shah Alam ke Teluk Gong, Melaka.
Dalam perjalanan ke Teluk Gong itu masing-masing dah pasang macam-macam angan-angan. Paling tak sabar nak rasa kemanisan ketam BBQ.
Setibanya di Teluk Gong, hari sudah lewat senja. Berikutan kesuntukan masa untuk mencari spot berpotensi mendorong kami untuk memilih spot yang boleh diakses dengan kenderaan paling hampir dengan pantai.
Ia bagi memudahkan urusan logistik kerana kami mendirikan khemah, barbeku dan memancing ketam hingga ke pagi. Lagi pun kalau kenderaan jauh dari tapak perkhemahan nanti jiwa macam tak tenteram pulak sepanjang tempoh memancing.
Hampir jam 8.30 malam kami mula melontar jaring ketam dengan berumpankan ikan selayang sejauh yang mampu ke laut. Kira-kira 15 minit kemudian mula mengarau pancing walaupun tiada sebarang petanda pada hujung joran. Tiada sebarang ketam yang tersangkut pada jaring.
Ads
ketam ragi yang susah untuk dikeluarkan dari jaring
Tidak lama kemudian kami tarik pula pancing kedua. Kali ini dapat dirasakan jaring sedikit berat dan ternyata beberapa ekor ketam tersangkut pada jaring. Namun kesemuanya bukan ketam sasaran, sebaliknya ketam kuning atau ketam ragi.
Setelah beberapa kali sekadar mendaratkan ketam ragi dan menghadapi kesulitan untuk meleraikannya daripada jaring serta merasai sendiri kepaduan kuasa sepitnya, hampir saja membuatkan kami hilang rasa teruja. Namun kami segera belajar. Kami beranjak tempat dan melontar umpan lebih jauh.
Ads
Umpan tambahan untuk memikat ketam
Tidak lama kemudian barulah dapat melihat getaran pada hujung joran dan apabila ditarik, dua ekor ketam bunga betina tersangkut kemas pada jaring. Seronok melihat ketam bunga melekat pada jaring memang sukar untuk digambarkan. Seolah-olah misi dah tercapai sepenuhnya.
Baru beberapa ekor ketam bunga didaratkan, air laut pula surut sepenuhnya. Memburukkan lagi keadaan, spot pilihan kami rupanya kawasan berbeting. Hendak berpindah spot terasa malas pula untuk berkemas segala peralatan pancing dan perkhemahan.
Akhirnya!
Ads
Sementara menanti air kembali pasang, kami teruskan juga memancing sambil tidur-tidur ayam. Sekitar jam tiga pagi barulah ketam bunga muncul kembali apabila kawasan berbeting dipenuhi air pasang.
Biarpun hasil memancing ketam dalam percubaan pertama kami ini tidaklah seberapa namun banyak perkara yang dapat kami pelajari.
Selain dari harus lakukan tinjauan spot ketika air laut surut, peralatan yang lebih sesuai untuk memancing ketam, kami juga baru tahu ketam kuning atau ketam ragi yang anggap sebagai pengacau, walaupun tidak banyak isinya tapi rasanya agak manis.
Agak banyak juga dapat dan kesemuanya dicampak kembali ke laut kecuali seekor sahaja yang kami ambil dan dibakar begitu sahaja. Saat itu barulah rasa menyesal pulak buang ketam-ketam ragi itu tadi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.
Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.
Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.
TEROKAI PERJALANAN JERAM
Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.
Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.
Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.
Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.
Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.
Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.
CELIK MATA PANDANG LUBUK
Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.
Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.
Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.
Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.
Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.
POTONG TRIP
Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.
Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.
Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.
Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.
Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.
APA LAGI
Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.
Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.
Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.
Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.
Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.
Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.
Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.
Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.
Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.
Bagi kaki pancing yang masih tercari-cari lokasi port sambil menyelam, minum air… yakni meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan dalam masa yang sama bersama set pancing kesayangan, apa kata berkunjung ke Empangan Sungai Air Kuning yang terletak di Taman Botani Negara, Seksyen 8, Shah Alam.
Taman Botani Negara, Shah Alam atau dulu dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah terletak di Seksyen 8, Shah Alam mula dibangunkan sekitar tahun 1986.
Di dalam Taman Botani Negara ini jugalah terdapatnya Empangan Air Kuning (EAK) bagi kaki pancing menikmati hobi nombor satu mereka. Empangan yang asalnya binaan British seawal tahun 30-an untuk bekalan air sekitar Shah Alam ini mula beroperasi sebagai lokasi pancingan sejak April 2008.
KONSEP SANTAI
Apa yang menarik di sini ialah, wujudnya nilai estetika persekitaran yang tenang seakan jauh dari rimas dan lemas pembangunan. Bagi pemancing rekreasi yang mahu menikmati nilai keseronokan memancing, penulis yakin lokasi ini tidak menghampakan.
Empangan ini juga menjadi lokasi tumpuan bagi pemancing layang atau fly fishing. Malah Nik Rahimi atau lebih mesra dengan panggilan Abe Nik pun bukan calang-calang orangnya.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun bergelumang dengan fly fishing dan antara perintis teknik ini di Malaysia ditambah pula berkelayakan mengajar teknik pancingan fly fishing, sudah cukup untuk dikira ‘otai flyfishing’. Begitu pun, sifat rendah diri dan tidak lokek ilmu begitu terkesan bagi penulis.
Konsep pancingan santai di sini bermaksud anda memancing untuk belajar dan merasai keseronokan memancing.
Bukan sekadar untuk mendaratkan ikan semata-mata, juga bukan tentang saiz atau berat ikan menjadi keutamaan, tetapi di sinilah anda boleh mengasah dan meningkatkan teknik pancingan serta menghayati keseronokan memancing bertemankan keluarga dan rakan-rakan dengan persekitaran seolah-olah jauh daripada kesesakan bingit bandaraya.
STOK IKAN DAN TEKNIK PANCING
Dalam perbualan antara penulis dan Abe Nik, penulis sempat bertanyakan tentan stok dan spesies ikan di empangan ini. Terdapat lebih 15 spesies ikan yang terdapat di sini termasuk toman (Channa micropeltes), pacu (Colossoma), peacock bass, jelawat (Leptobarbus hoevenii), rohu (Labeo rohita), bulan, sebarau (Hampala barb), patin (Pangasius spp.), tilapia dan bermacam lagi.
Ikan-ikan yang terdapat di dalam empangan yang berkedalaman mencecah 20 kaki ini kebanyakannya ikan asal, begitu pun Abe Nik mengambil inisiatif lain dengan menambahkan stok ikan yang diambil dari tasik-tasik utama di Malaysia.
Selain itu, amalan tangkap dan lepas yang disyaratkan kepada pemancing di sini juga dilihat antara faktor penting dalam memelihara stok ikan di empangan ini.
Empangan Sg. Air Kuning ini menerima pelbagai mazhab atau teknik pancing tidak kiralah anda mazhab casting, aliran bottom mahupun perguruan fly fishing. Secara mudah, semua boleh asalkan kaki pancing.
Malah bagi kaki casting dan fly fishing, lokasi ini lebih dikenali sebagai Fly fishing and Lure Casting Centre sesuai dengan niat asal Abe Nik yang mahu menjadikan tempat ini sebagai pusat lokasi kaki pancing meluangkan masa memancing, berkumpul dan bertukar pendapat di samping belajar mengasah, memperbaiki dan meningkatkan lagi teknik sedia ada.
Penulis bersama rakan-rakan sempat meluangkan masa sehari suntuk di sini baru-baru ini. Ada yang mem’bottom’, ada yang casting dan ada yang kaki flyfishing.
Walaupun kepelbagaian teknik pancing ketika itu, semuanya boleh memancing dengan gembira malah jika difikirkan, begitu banyak ilmu boleh dikongsi pada satu-satu masa.
Umpan
Spesies pacu banyak di sini dan berjaga-jaga kerana rod anda mungkin terbang jika diletakkan sambil lewa. Hanya umpan hidup sahaja dibenarkan bagi kaki bottom.
Umpan seperti cacing, cengkerik atau anak ikan amat berkesan di sini. Di kaunter juga ada menjual umpan hidup. Untuk casting, gunakan gewang-gewang mikro.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Tapi tuah Md Rizal Ismail, datang bergolek tepat jam 9.05 pagi, Isnin lalu apabila joran 5 kaki miliknya berjaya menjerat sembilang 0.730 kilogram sekali gus muncul juara Pancing Santai Pantai Kelanang.
Tempat kedua disandang Simah, dari perkampungan Orang Asli Tongkah, yang menjinakkan gelama papan 0.500 kg, manakala Shariff Wahi berpuas hati di tempat ketiga dengan ikan sembilang 0.500 kg.
Kemenangan Simah dan Shariff ditentukan oleh masa tangkapan apabila kedua-duanya menaikkan ikan yang sama berat, namun Simah berjaya menaikkan tangkapannya lebih awal iaitu pada jam 8.10 pagi manakala Shariff pada jam 8.25 pagi.
Dengan kemenangan itu, Md Rizal membawa pulang RM7,000.00, Simah menerima RM3,000.00 manakala Shariff berpuas hati dengan RM1,000.00 serta hamper.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Dalam ucapan mereka, Hasnul dan Abdullah Sani membayangkan pertandingan memancing Pantai Kelanang akan menjadi acara tahunan, sambil membayangkan acara sama turut akan diadakan di Pantai Morib.
Ini berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk Kuala Langat, khususnya dari kawasan DUN Morib. Namun, menurut mereka yuran yang perlu dibayar bagi menyertai pertandingan memancing itu nanti dijamin tidak akan membebankan peserta.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...