Kuala Selingsing merupakan satu lubuk yang menjadi kegilaan bagi pemancing-pemancing tempatan. Macam-macam teknik boleh digunakan dilubuk ini. Lain padang lain belalang… lain lubuk lain tekniknya. Bagi Kuala Selinsing, teknik yang saya selalu guna adalah casting menggunakan umpan udang hidup. Balingan dibuat ke atas reba dan tarik atau karau perlahan tanpa henjut.
Bagi Spesis MJ atau siakap merah, ia adalah spesies yang suka membawa dan melilitkan tali pancing kita pada kayu-kayu dan ranting-ranting yang berada disekitarnya setelah ia menyambar umpan kita. Ia juga pemangsa yang ganas dan rakus, mempunyai gigi yang tajam adalah kelebihan spesis ini untuk memotong tali pancing (leader) kita.
Oleh itu kita haruslah tarik secepat yang mungkin bagi mengelakkan ianya kembali ke dalam reba dan memotong tali pancing. Siakap putih (barramundi) pula sikapnya yang selalu terbang di permukaan air untuk menanggalkan mata pancing anda. Ia tidak punya gigi tetapi spesies ini mempunyai permukaan bibir yang kasar. Lambat tarik pun boleh putus jua.
Ads
Bagi siakap putih ini, jangan sesekali anda angkat hujung rod ke atas kerana ianya akan memberi peluang untuk ikan naik dan terbang di permukaan air. Semasa karauan dibuat, tali pancing anda haruslah sentiasa tegang dan selam hujung rod anda ke dalam air bagi mengelakkan ianya naik di permukaan air.
Ads
Oleh itu, saya sarankan kepada caster-caster yang ingin memujuk spesies ini gunalah peralatan pancing yang sesuai sebelum anda berputih mata. Para caster juga perlu memilih tarikh air yang sesuai untuk memburu pemangsa-pemangsa di lubuk sungai air masin ini.
Tekong dilubuk ini juga banyak memberi peranan dengan meronda mencari lubuk berpenghuni dan sentiasa memberi tunjuk ajar. Beberapa kali saya turun memburu di lubuk ini ia tidak pernah menghampakan saya. Dari dulu sampai sekarang saya masih menggunakan teknik yang sama.
Antara spesies yang ada di lubuk ini kerapu, siakap putih dan siakap merah. Mana-mana caster yang ingin memburu di lubuk ini bolehlah berhubung dengan tekong-tekong handalan Kuala Selinsing di FB seperti Amir Hamzah, Herry Ramly, atau Azeem Asyraf.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kisah tular seorang individu yang telah jatuh sakit akibat terkena sengatan ulat bulu laut di Port Dickson, Negeri Sembilan tahun lalu yang dianggap palsu oleh Jabatan Perikanan,
nampaknya kembali tular apabila seorang individu di Tumpat, Kelantan mendakwa penyakit yang dideritainya itu berpunca daripada sengatan ulat bulu laut.
Berikut merupakan petikan berita yang disiarkan di portal Sinar Harian, kelmarin:
Penyakit yang dihidapi tukang rumah ini didakwa terkena sengatan ulat bulu laut menyebabkan isi daging di kakinya luruh dan bernanah.
Sejak itu, Hamizi Hamzah, 39, di kampung Telaga Lanas di sini terpaksa menahan sakit kanan yang berdenyut, membengkak serta Nampak tulang.
Hamizi berkata, tiada pilihan lain dan doctor sarankan agar kakinya dipotong.
“Ini dugaan saya, saya mohon orang yang tahu rawatan terbaik penyakit ini boleh membantu saya, saya terkena ulat bulu laut ketika mencari tiram dua bulan lalu.
“Saya tiada penyakit kencing manis,” katanya ketika diziarahi Adun Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.
Menceritakan kejadian itu. Hamizi turun ke lagun di Kampung Jubakar Pantai mencari tiram untuk makan malam keluarganya.
Dia yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, ketika di dalam air separas dada, dia merasakan seperti ada anak ikan bermain-main di kakinya.
“Tiga jam saya berada dalam air lagun itu mencari tiram, banyak kali jugalah saya rasa seperti akan ikan merayap di kaki tetapi saya tak syak apa-apa, lagi pun saya pakai stoking,” katanya.
Menurutnya, selepas naik ke darat, tiada apa-apa yang pelik di kakinya namun keesokan harinya ada keluar bisa di parut lama di jari kaki.
“Kaki saya tiba-tiba menjadi lebam keniruan, semakin membengkak dan terus dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)’” katanya.
“Saya terpaksa membonceng motosikal dengan kaki Nampak isi daging untuk ke hospital.”
Menurutnya, dia hilang punca pendapatan sedangkan perlu menanggung tiga agak yang masih bersekolah dan sewa rumah RM120 sebulan serta ansuran motosikal.
Katanya, makan minum keluarganya kini hanya mengharapkan sedekah orang ramai yang dating menziarahinya kerana isteri tidak bekerja.
Jika benar penyakit ini berpunca daripada ulat bulu laut, maka pemancing harus berhati-hati setiap kali memancing di pesisir pantai.
Kesempatan berhari raya di rumah kakak yang paling sulung atau kak long yang menetap di Kampung Banting, Sabak Bernam saya manfaat sepenuhnya bagi mengisi salah satu hobi yang agak sekian lama terpaksa saya pendamkan berikutan kekangan masa. Saya sememangnya gemar memancing namun jarang berpeluang untuk melaksanakannya. Justeru, apabila beraya di rumah kakak pada hari raya ketiga, saya berpakat dengan kakak nombor dua atau kak ngah dan suaminya untuk beraya di tepi muara yang tidak jauh dari rumah kak long.
Perjalanan ke lokasi atau spot memancing haruslah meredah sedikit lorong jalan tanah merah yang berbatu dan sedikit sempit yang ditumbuhi pokok renek meliar yang mampu mencalar-balarkan kenderaan. Sampai sahaja di lokasi memancing, tanpa berlengah saya persiapkan kelengkapan memancing dan segera melontar umpan udang segar ke tali arus muara. Ketika itu arus sedang bergerak surut dengan agak laju juga. Tidak sampai lima minit menunggu, seekor ikan gelama bersaiz kecil berjaya saya naikkan. Tidak lama kemudian seekor ikan belukang dengan saiz yang kecil turut sama berjaya dinaikkan. Kira-kira lima belas minit kemudian, secara tiba-tiba joran direntap kasar. Adrenalina dan keghairahan saya meluap-luap kerana sudah sekian merindui permainan sorong tarik dengan ikan ini. Hasilnya saya muncul sebagai pemenang dan berjaya mendaratkan seekor belukang yang agak kasar dalam anggaran berat satu kilogram.
Melihat pada arus yang semakin surut dan para air yang semakin cetek menjauhi tebing, saya berasa kesal pula tidak datang lebih awal. Sementara hasil pancingan pula terus didominasi ikan-ikan yang bersaiz kecil. Hampir satu jam selepas mendaratkan belukang kasar itu, sekali lagi umpan udang segar yang digunakan direntap ganas. Daya tarikan atau daya juang mangsa yang terperangkap pada mata kail juga lebih padu. Namun saya berjaya mengawal joran dan mengatasi kuasa mangsa dan akhirnya seekor lagi belukang yang lebih besar saiznya berjaya saya tundukkan.
Walaupun hajat sebenar saya ialah untuk memancing ikan sembilang atau gemang tidak kesampaian, namun ia sedikit pun tidak mengecewakan saya. Setelah hampir dua jam kami memancing setidak-tidaknya berjaya juga kami daratkan dua ekor ikan belukang bersaiz kasar, sepuluh ekor belukang saiz kecil, empat ekor ikan duri, tiga ekor ikan gerut-gerut dan lima ekor ikan gelama yang juga bersaiz kecil.
Setelah pulang, semua hasil tangkapan walaupun bukan ikan gred tinggi dijadikan lauk-pauk. Ikan-ikan yang kecil digoreng rangup. Ikan belukang bersaiz kasar dimasak asam pedas dan kari. Rasanya sangat fresh dan langsung tidak hanyir. Dan bonusnya kami dapat menikmati telur ikan belukang yang amat lazat rasanya.
Dah hampir setahun kat sekolah baru. Suasana baru, rakan-rakan baru. Perlu masa untuk biasakan diri dengan persekitaran yang baru. Tahun lepas, asalnya sekadar berbahasa basi dengan kawan-kawan baru kat sini tentang hobi memancing. Tak sangka dorang memang pun ada plan yang sama. Terus tetapkan trip dan tarikh untuk ke rumah rakit.
Kami 10 orang nekad untuk jayakan trip rumah rakit ni. Akhirnya 9 orang sahaja yang berjaya teruskan. Sorang tarik diri kerana sebab yang tak boleh dielak dah.
Rumah Rakit To’ Wan ni ada 4 buah kalau tak silap la. Yang kami sewa ni tak tahu pulak apa namanya. Kalau tak silap, dorang sebut rakit 4 je. Macamana nak ke sini? Berapa harga? Jauh tak naik bot? Apa yang nak di bawa? Ok2… Aku ceritakan kat sini serba sedikit la.
Memang orang kata, tak berbaloi bayar mahal-mahal (sorang bayar RM100), tapi dapat ikan kecik-kecik je, baik pergi pasar. Dengan jumlah tu dah dapat ikan besar-besar dan bagus-bagus. Hahaaaa…. betul. Aku setuju dengan pendapat camtu. Sememangnya kalau betul nak makan ikan dan cari lauk, trip macam ni tak berbaloi. Pergi pasar lagi bagus.
Baik… dengan bayaran RM100, apa yang aku dapat? Aku dapat naik bot. Dapat makan kambing bakar… isi masa dengan kawan-kawan. Ada jugak yang bukan kaki pancing pun join sama semata-maga nak isi masa lepak-lepak.
Kadang nilai RM100 tu tak dapat dibeli dengan pengalaman-pengalaman baru. Bermalam di tengah-tengah sungai. Hayati perubahan air pasang surut, derasnya arus dan ada masanya arus tenang. Dapat nikmati perubahan angin, alunan air. Deruan bot. Masing-masing ada cara menikmati hobinya. Yang penting, wife bagi lesen la.
Kalau nak tempah, boleh cari je kat Facebook Rakit To’ Wan. Nombor phone ada sekali kat sana. Rumah rakit yang kami sewa ni harga rm500 untuk 12 jam. Maksudnya kami boleh masuk start jam 4 petang dan keluar jam 10.30 pagi esoknya.
Persiapan rapi dah dibuat awal-awal lagi. Arang, kambing perap, ayam perap, segala peralatan BBQ, air mineral. Kat sana memang dah sediakan dapur gas dan pinggan mangkuk. Bekalan air bersih pun ada tapi kena la berjimat.
Beli umpan umpun-umpun (umpan ni je paling laku malam tu), udang hidup (tak disentuh langsung dari malam sampai esoknya), sotong pasar dan udang pasar (udang kopek boleh jugak la slow-slow). Umpun-umpun ni ada jual kat kedai area jeti.
Oleh sebab aku sekolah sesi petang, terpaksa la aku bertolak malam lepas solat maghrib. Nasib la ada sorang lagi yang follow aku gerak malam. Tak la aku sorang-sorang terkebil-kebil cari jalan ke Klang. Yang lain dah bertolak petang tadi. Waze tuju ke Jeti Nelayan Teluk Nipah Klang dalam 50km lebih dari rumah aku Puchong Utama.
Sampai kat jeti, tambah beli umpan umpun-umpun RM50. Kemudian, kena cari Pak Abu. Pak Abu ni boatman yang bawak kami ke rumah rakit. Call tak masuk. Ahhhh sudah… tanya-tanya orang kat situ. Katanya mungkin Pak Abu hantar orang kot, kena tunggu. Ishhh tak jadi ni, lama tunggu, rugi masa.
Tangan dah gigil nak baling umpan. Aku try ke hujung jeti, dalam gelap-gelap malam macam tu, nampak bot-bot terikat di jeti. Ada orang dalam bot leka membersihkan botnya.
“Cari siapa?” terkejut aku dengar sapaan dari bot. Nasib baik awal2 tadi aku dah perasaan ada orang kat bot.
“Pak Abu ade?”
“Yeee… sy Pak Abu..” Alhamdulillah ade jugak Pak Abu. Mantap Pak Abu. Dah lama aku tak naik bot.
Naik bot tengah malam dalam jam 9.30…. syahdu wehhhhh! Tak jauh pun rumah rakit ni. naik bot pun tak sampai 5 minit. Bot kayu, besar jugak. Tak puas naik bot. Sampai kat rumah rakit, dorang tengah melayan gelama… laaaa gelama je dari tadi. Tapi takpe la dari takde ikan langsung. Kambing pun siap bakar. Join dorang ni, seolah dah lama kenal. Yang belum kenal, time ni la nak kenal-kenal. Bagus team ni.
Malam tu, kami hanya melayan gelama, tak la besar sangat. Selain tu, ade ikan duri. Tetanda ade seekor je yang naik. Buntal pun ade sekali. Rupanya buntal ni ade gunanya. Petua orang lama, tanam buntal ni kat area sarang anai-anai, Insyaallah hilang la anai-anak. Gitu rupanya. Tapi bukan la bermaksud aku gigih untuk pancing buntal.
Malam tu aku tak tidur pun. Kami bertiga je yang gigih mancing tak tidur. Yang lain dah tewas bila ikan dah slow jamah umpan. Ade jugak kes lucu sebelum masuk waktu subuh. Sangkanya dapat ikan besar, rupanya setelah puas melawan, yang naiknya baldi dan sekor anak gelama.
Matahari mula terbit. Cantiknya suasana macam ni. Takkan dapat suasana macam ni kat pasar. Indah sungguh alam ni. Sarapan la apa yang ada. Mancing mesti diteruskan. Baru nampak macam mana keadaan sekitar. Rumah rakit ni tak jauh pun dari tebing. Banyak rumah rakit kat sini.
Cuma rezeki untuk dapat ikan-ikan besar tu belum ada. Mungkin lain kali boleh datang lagi. Ada yang datang dengan anak kecil ke rumah-rumah rakit kat sini. Mungkin itu cara mereka isi masa dengan family. Family day mereka buat kat sini, aktiviti santai. Pupuk hobi anak-anak memancing. Tak la mereka asyik mengadap gajet tiap waktu. Insyaallah nanti bawak family pulak ke sini.
Jam 10.30 lebih jugak baru kelibat Pak Abu datang ambil kami. Maka tamat la sesi trip rumah rakit kali ni. Ura-ura nak ke Pulau Pangkor pulak lepas ni hahaaa…. Harap-harap jadi la trip team ni bawak family masing-masing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...