Trip trekking meranduk sungai pegunungan kali ini terjadi gara-gara tak mendapat maklumat lengkap. Tambah pula ia adalah trip menyelit jemputan kawan ke atas kawan. `Hutan Jengka. Trek hardcore. Mancing kawasan campsite.’ Itulah maklumat awal yang penulis dapat sehari sebelum menyertai trip tersebut.

 

Destinasi dan maklumat sebenar hanya diketahui ketika semua ahli trip berkumpul sebelum konvoi 9 buah pacuan empat roda ke Lepar Utara, iaitu Sanka 4. Trek hardcore. Lubuk mancing kira-kira 4-5 jam meranduk sungai pegunungan dari campsite.

 

Tiada apa lagi yang boleh dilakukan apabila mendapat tahu status sebenar trip tersebut. Nak tarik diri pun dah tak boleh. Nak tak nak, hadap je la. Sanka merujuk kepada sungai. Sanka 4 membawa makna spot yang menjadi destinasi setelah merentas 4 buah sungai.

 

 

Sekitar jam 7 pagi, konvoi sudah pun berada di kemuncak tertinggi di hutan simpan Hulu Lepar. Namun ia baru separuh perjalanan jalan balak sejauh 60 km. Cuaca yang amat baik melancarkan perjalanan konvoi. Trek hardcore hanya akan ditempuh apabila memasuki simpang ke Sanka 4 atau hulu Sungai Tekai.

 

Namun, perancangan memasuki hutan seawal jam 4 pagi yang disangka satu langkah bijak ternyata ke belakang juga. Kesan-kesan tayar yang masih baru di persimpangan ke Sanka 4 menunjukkan ada grup lain yang masuk lebih awal dari kami.

 

Umpama casting dengan menggunakan bot, apabila satu suak atau lubuk itu telah ada bot lain maka wajiblah beredar mencari suak lain pula. Begitulah juga hukumnya apabila Sanka 4 sudah dimasuki oleh grup lain maka tidaklah boleh kami redah juga.

IKLAN

 

 

Biarpun secara rohaninya trip ini berakhir, tapi alang-alang sudah jauh ke tengah hutan belantara, kami meneruskan perjalanan ke Sanka 3. Trek ke Sanka 3 merupakan jalan balak yang masih aktif. Meskipun kongsi balak di pinggir sungai utama iaitu Sungai Tekai sudah ditinggalkan namun kerja-kerja mengeluarkan kayu balak masih dilangsungkan.

 

Namun ketua konvoi memutuskan tidak mendirikan campsite di situ sebaliknya meneruskan lagi perjalanan sehinggalah menemui anak Sungai Tekai dan di anak sungai dengan paras air setakat tulang kering itulah campsite didirikan!

 

Setelah mendirikan khemah dan mengalas perut, kurang satu perempat dari ahli trip yang merupakan ‘pemancing’ terpaksa kembali ke Sungai Tekai untuk ekspedisi memancing. Hazani, anak jati Lepar Utara yang merupakan guide kami meranduk ke hulu sungai manakala kami berlima meranduk mengikut arus sungai paling dalam separas paha ke hilir.

 

IKLAN

 

Hampir setengah hari mudik dan kemudian meranduk arus kembali tempat asal tanpa tidur pada malam sebelumnya maka dapatlah seekor kelah kurang dari setengah kg, kejor dan tengas sebesar empat jari dan beberapa ekor sikang dan sebarau dilepas dan terlepas kembali ke habitat asalnya.

 

Namun Hazani yang meranduk ke hulu seorang diri hampir 5 kilometer memperoleh hasil yang baik juga selamat dijadikan juadah kami pada senja tersebut. Hasil yang diperolehi oleh Hazani itu membuatkan kami sepakat untuk mendesak ketua konvoi bertukar campsite ke Sungai Tekai.

 

 

Namun apabila kami tiba di campsite, hasrat itu berkubur begitu saja apabila ditayangkan hasil menjala berdekatan campsite di anak sungai Tekai. Macam tak percaya juga ada kelah merah yang agak kasar juga di anak sungai tersebut. Mahu tak mahu, sungai separas tulang kering itu akan diranduk hingga ke hulunya pada keesokan harinya.

IKLAN

 

Walaupun ada ahli trip yang sudah putus harap namun ada pula ahli baru menyertai ekspedisi meranduk ke hulu anak Sungai Tekai. Bergerak secara berkelompok dan berperingkat, saya bersama seorang rakan bergerak dalam kelompok kedua terakhir.

 

 

Meranduk melawan arus sememangnya memenatkan apatah lagi jika hanya memakai sandal. Namun lebih memenatkan setelah setengah meranduk, tiada satu spot pun yang berpotensi untuk melontar gewang.

 

Sungainya terlalu mendatar tanpa lubuk dalam. Akhirnya setelah satu jam meranduk sungai dan menyusur tebing, saya mula hilang harapan untuk bertemu lubuk dan memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan.

 

 

Ternyata keputusan yang diambil adalah tepat berikutan laporan memberangsangkan selain kekecewaan yang dibawa pulang oleh kelompok pertama yang meranduk sehingga ke punca air anak sungai tersebut. Hampir 10 kilometer mereka redah namun tidak ketemu lubuk yang diimpi-impikan selain terkapar kepenatan.