Sekitar jam 5.00 petang grup KD Negri seramai 4 orang dari Negeri Sembilan dan grup admin seramai 5 orang dari Kuala Lumpur bertemu di pekan Pasir Panjang, Port Dickson. Tidak menunggu lama kami terus ke jeti nelayan Kampung Teluk yang tidak jauh dari Pekan Pasir Panjang.

 

Secara peribadi, sudah agak lama juga admin tidak menjejakkan kaki ke kelong. Kelong PNKT masih berstatus bau kedai lagi. Didirikan tidak jauh dari daratan dan boleh dengar dengan jelas penduduk setempat berkaraoke pada waktu malam.

 

Ia tidaklah terlalu besar tapi untuk kami seramai 9 orang masih boleh selesa untuk memancing. Cuma kalau untuk tidur serentak mungkin terpaksa berhimpit.

 

 

Di sudut kanan berhadapan kelong terpampang dengan jelas Bukit Tanjung Tuan. Admin sering menaiki bot di Jeti Teluk Kemang berdekatan Tanjung Tuan namun tidak pernah pula nampak kelibat kelong ini.

 

IKLAN

Sementara kejernihan air di kelong ini juga jauh berbeza di pantai Teluk Kemang. Airnya agak keruh tak ubah situasi di kuala sungai. Admin diberitakan air keruh disebabkan hujan beberapa sebelum kedatangan kami.

 

Tanpa umpan udang hidup dan kegagalan mencari umpan ikan hidup hasil apollo, kami memulakan pancingan dengan menggunakan umpun-umpun dan udang pasar. Hasil pancingan nyata amat perlahan.

 

 

Tidak sebagaimana biasa menurut KD Negri yang sudah beberapa kali berkunjung. Setelah lebih satu jam memancing barulah spesies ikan duri dinaikkan. Agak besar juga seludu atau duri malim yang dinaikkan. Kemudian menyusul pula gelama papan. Pun besar-besar juga saiznya.

IKLAN

 

Setelah lebih tiga jam menggunakan umpan udang pasar dengan hajat memikat pari, ketuka atau tetanda tanpa sebarang hasil, akhirnya admin terpaksa menukar umpan umpun-umpun.

 

Tak tahan juga melihat rakan-rakan lain menaikkan gelama papan, duri malim dan sembilang hanya menggunakan umpun-umpun. Namun apa yang admin perolehi hanyalah anak-anak ikan duri dan gelama biasa saja.

 

 

IKLAN

Lewat malam apabila hasil pancingan mereda, kami bergotong-royong mengerjakan kupang yang banyak diternak di kelong ini (nasihat admin, kalau korang nak ambil kupang di sini pastikan dapat kebenaran dari tuan kelong dahulu. Kami ambil pun dengan izin dan sekadar untuk makan saja). Memadai rebus dengan air laut, kupang-kupang bersaiz besar itu memang berbaloi untuk dinikmati.

 

Hujan sekitar jam 2.00 pagi yang semakin lama semakin lebat memaksa sesi memancing yang kian sepi terus menyepi. Jemu menanti hujan yang seperti tidak mahu reda, akhirnya kesemua kami terpaksa berhimpit untuk tidur.

 

Awal pagi kami kembali memancing dengan cuaca yang mendung. Semangat admin kembali meningkat apabila berjaya mencari umpan hidup. Tamban hidup segera menjadi taruhan. Namun faktor cuaca dan masa tidak menyebelahi kami. Sekitar jam 10.00 pagi tuan kelong datang untuk membawa kami kembali ke darat.

 

 

Disebaliknya cuaca kurang bagus dan hasil yang tidak seberapa, Kelong PNKT amat berpotensi menjadi padang pancing pilihan ramai. Mungkin untuk faktor keselesaan, dapur, air bersih dan tandas perlu disediakan. Tanda sebenarnya amat penting kerana agak seksa juga melepaskan hajat dengan selamat dan selesa.