Sebaik saya mendapat khabar daripada rakan mengenai toman frenzy di daerah Pilahdifornia (Kuala Pilah) saya bersama geng komplot terus mengatur trip boating di Empangan Kuala Pilah.
Boleh dikatakan empangan di sini memang terkenal dengan lubuk toman dan seawal pagi lagi kami sudah bersiap sedia untuk merasai karen spesies snakehead di sini.
Untuk trip kali ini, sebanyak 3 buah bot fiber disediakan untuk 9 orang yang menyertai komplot kali ini.
Setelah semua peralatan dimasukkan ke dalam bot, kami meneruskan perjalanan ke lubuk yang mempunyai banyak boiling.
Untuk sesi awal pagi ini, rata-rata kami menggunakan gewang top water dan ternyata ia memang benar-benar menjadi.
Ads
Hanya 3 kali lontaran sahaja, Buzzbait Eupro VMC saya telah berjaya memujuk “sang negro” keluar dari sarang. Letupan ketika ia menyambar gewang sememangnya paling didambakan.
Larian yang bertenaga memang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Ketika matahari terpacak di kepala, kami mengambil keputusan untuk berehat seketika di pondok sekitar empangan tersebut memandangkan toman tidak aktif ketika ini.
Hasil separuh masa pertama ini boleh dikatakan agak mengecewakan kerana hanya seekor mama dan seekor toman rempit tewas di tangan kami.
Ads
Setelah tenaga diperolehi, kami meneruskan sesi second half kami.
Kali ini, saya lagi menjadi pemecah suasana apabila gewang Buzzbait saya sekali lagi berjaya menawan seekor negro bersaiz kurang 4kg.
Tak lama lepas tu, giliran Mohd Hazwan pula berjaya memujuk seekor lagi mama toman. Gewang jenis Risto Rap pula yang disambar sang mama, sekali gus memperbaharui lesen beliau.
Setelah sambaran berkurangan di lubuk tadi kami mengambil keputusan untuk berpindah lubuk.
Ads
Suak demi suak kami redah, akhirnya kami berjaya menemui satu lubuk yang sangat frenzy.
Di sini saja tidak menang tangan kami melayan toman bujang. Ada masanya sampai mendapat double strike!
Melayan si bujang di sini membuatkan kami tidak sedar hari sudah lewat petang. Sebelum gelap, kami mengambil keputusan untuk bergerak pulang. Walaupun hanya trip singkat, tapi banyak suka duka kami di sini.
InsyaAllah bila tiba masanya kami akan kembali lagi dan bermalam di sini untuk memperbaharui rekod dan merasai pengalaman yang lebih ekstrem memujuk sang toman pada malam hari.
(Oleh Zai Max)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Apabila istilah ini mula popular, timbul pula satu situasi di mana gelaran sifu ini umpama satu darjah kebesaran yang ingin dimiliki oleh semua pemancing. Dalam situasi lain pula, gelaran sifu tidak lagi merujuk kepada sifu yang sebenarnya. Sebaliknya lebih kepada panggilan atau gelaran kosong semata-mata.
Tambah bercelaru ia turut digunakan sebagai satu bentuk sindiran khususnya kepada seseorang yang bersifat berlagak pandai. Dari sudut sembang bersama pengikut fanpage Majalah Umpan, kami kumpul dan petik pendapat mereka tentang pengertian SIFU.
NAZ DAMAIDSFT
“Pendapat saya… terus dipanggil sifu itu adalah hak rakan-rakan kita dan kita tidak ada hak untuk melarang atau menyuruh. Merasa diri macam sifu pun adalah hak masing-masing. Tapi bagi saya tak semua pemancing yang akan merasa bangga/ego dan takbur dengan gelaran tu. Malah kadang-kadang rasa rimas tapi akur demi menghormati sesama rakan pemancing.”
MOHD SUFIAN AHMAD
“Sifu ini lebih sesuai digunakan untuk senior dalam arena pancing yang memiliki pengalaman luas, tak kisah kemahiran tersebut dari segi perambut, ikat mata kail atau memancing ikan itu sendiri. Sifu @master ini biasanya tidak lokek berkongsi ilmu atau pengalaman memancing.”
MOHD AFIZ MUSTAPA
“Sifu lebih pada hormat untuk yang rakan FB baru, rakan yang tak rapat. Kalau rapat tu panggil sifu @ master tu nganjing je… kekeke. Tapi yang betul-betul sifu bagi saya adalah semua rakan sehobi saya.”
WAK MERAN
“Yang layak bergelar sifu ialah mereka yang kenal semua jenis ikan, tahu guna semua jenis pancing, tahu semua cara memancing spesis ikan, tahu sekilas ikan di air tahu jantan betinanya. Tengok je mata kail atau batu ladung dah tahu saiznya. Ni baru mancing dapat sekor ikan besar dah berlagak. Tapi bila ditanya ikan gapi tu ikan apa dah garu kepala.”
WAN NASIR BALUNG
“Sipo, masta, tok batin dalam apa bidang apa sekali pun bukan dianggap pangkat. Ianya adalah lebih kepada gelaran semata. Pemancing gemar berseloroh. Pemancing akan tau siapa gelaran ini akan diberi kepada siapa dalam kelompok tertentu mereka.”
MADI MAJID
“Sipoo… kenapa la keluar topik ni. Biasa la tu, kita nak hormat kawan-kawan je. Nak sebut aku/ko time baru-baru kenal tu macam kasar pulak… sebab tu ler panggil sipoo/masta je.
Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) merupakan pertandingan memancing ikan berparuh (billfish) berstatus antarabangsa dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui agensinya Kementerian Pelancongan Malaysia (Motac) Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), dengan sokongan penuh Tourism Pahang Malaysia dan Pejabat Parlimen Rompin. Acara yang di kolaborasi oleh Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) serta dibantu oleh Persatuan Memancing Rompin selama tiga hari bermula dari 15 hingga 17 September bertempat di Lanjut Golden Beach & Golf Resort.
Menurut anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin, pertandingan ini yang merupakan acara tahunan sejak 2004, berjaya meletakkan Rompin sebagai antara destinasi pelancongan khususnya untuk kaki pancing.
“Edisi kali ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM44,000 dan melibatkan 13 buah negara termasuklah Malaysia sebagai tuan rumah. Sementara penyertaan kali sedikit merosot apabila 14 pasukan daripada Indonesia dan Filipina menarik diri pada saat-saat akhir. Hanya 78 orang peserta dan 26 buah bot memancing terlibat dalam acara ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran RPBIC 2017, Sabtu lalu.
Turut hadir dalam acara perasmian dan pelancaran peserta RPBIC 2017 ialah Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya, anggota Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan dan Pegawai Daerah Rompin Datuk Mohd Zulkifli Hashim
Menurut Edros Yahya, acara yang dianjurkan bagi mempromosikan Rompin sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti memancing spesies berparuh kepada pemancing tempatan, serantau dan antarabangsa.
“Penyertaan bagi acara RPBIC tahun tampak sedikit suram berikutan 14 pasukan menarik diri pada saat akhir. Sekiranya kejadian itu tidak berlaku, ia sebenarnya satu pencapaian memberangsangkan sebagaimana acara pada tahun lalu yang berjaya mengumpul 40 pasukan terdiri daripada 120 orang peserta.
“Biarpun kami hanya mampu mengumpulkan 78 orang pemancing dari 13 buah negara namun 40 orang peserta sekali menjadi peserta paling ramai yang menyertai acara ini adalah peserta dari luar negara berbanding hanya 38 orang sahaja peserta tempatan.
“Selain Malaysia, negara lain yang menyertai acara ini terdiri daripada negara Austria, Singapura, Thailand, Taiwan, China, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei, Filipina, Afrika Selatan, India dan Norway.”
Memandangkan aktiviti memancing spesies berparuh ini mampu menjana pertumbuhan yang baik, beliau amat berharap konsep ‘tangkap dan lepas’ perlu diterapkan bukan sahaja oleh peserta RPBIC malah kepada semua pemancing dan bukan hanya di Rompin sahaja malah di mana jua spesies layaran ini dipancing. Dan Edros Yahya turut mengumumkan di media sosial Isnin lalu tarikh 14-16 September 2018 telah dipilih bagi melangsungkan RPBIC kali ke-15.
Dalam tempoh kurang sebulan, tiket kapal terbang terus ditempah sebaik sahaja Hairie menerima informasi berkenaan lokasi memancing di Kepulauan Borneo, rentetan daripada cerita-cerita hangat berkenaan ikan sungai pergunungan bersaiz mega yang terdapat di Kalimantan, Indonesia terutamanya dari Berau.
Nama daerah Long Bawan terus bermain di fikiran kerana ia akan menjadi lokasi utama tujuan kami. Kami bertiga dari ‘Streik Fishing Adventure’ termasuk saya (Ursin) dan Papa Gmie dengan kerjasama pengeluar gewang jenama Rasengan terus membuat perancangan sebaik mungkin berdasarkan maklumat yang sangat terhad.
Seminggu sebelum bertolak, kami telah mula sibuk memastikan segala keperluan tersedia terutama sekali peralatan memancing yang sebahagian besar ditaja oleh pihak Rasengan yang terletak di Seksyen 27, Shah Alam.
Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan
Pada tarikh dan waktu yang telah ditetapkan, kami berangkat dari KLIA2 menuju ke Kota Kinabalu, Sabah. Kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai sepenuhnya untuk meredah laluan ‘Off Road’ menyambut kedatangan kami.
Rakan kami, Ah Fui yang berasal dari Sabah sememangnya menjadi orang harapan untuk kami sampai ke Long Bawan terus sahaja memandu kereta menuju ke Lawas, Sarawak sejauh 200km. Lawas merupakan bandar terakhir sebelum kami meneruskan perjalanan sepenuhnya melalui jalan balak menuju ke Ba’kelalan sejauh 140km.
Kami tiba di Ba’kelalan pada lewat malam dan terpaksa tidur di tepi jalan memandangkan pintu sempadan ke Indonesia telah ditutup seawal jam 6 petang. Pengalaman tidur di kawasan terbuka dan tinggi tidak dapat dilupakan terutama suhu sejuk hingga menusuk ke tulang.
Hari ke-2, seawal jam 7 pagi kami bersiap meneruskan perjalanan menuju ke Long Bawan. Setelah di periksa oleh pihak tentera kedua-dua negara ketika di pintu sempadan, pemandangan dan perubahan budaya sepanjang perjalanan ke Long Bawan menjadi topik utama perbualan kami.
Kami disambut oleh Philipus setibanya di Long Bawan setelah menempuh perjalanan ‘off road’ untuk lebih kurang 2 jam dari pintu sempadan. Philipus merupakan warga tempatan yang ditugaskan menemani serta menguruskan keperluan kami sepanjang ekspedisi kami di Long Bawan.
Dengan menjadikan pelian sebagai ikan sasaran utama, kami bertolak ke sebuah kampung bernama Long Umung, lebih kurang 15km dari pekan Long Bawan. Long Umung adalah kampung terakhir yang boleh dilalui dengan pacuan empat roda. Kami menginap di rumah Kepala Desa pada malam harinya kerana tiada tempat penginapan lain.
Kami meneruskan perjalanan dengan hanya berjalan kaki menyusur denai pada hari ke-3 bermula dari Long Umung ke kampung Wa’yagung. Khidmat ‘malim gunung’ seramai 4 orang dari suku kaum Dayak untuk membawa segala barangan sangat berbaloi bagi kami untuk perjalanan sejauh 25km merentas kawasan pergunungan.
Kami tiba di tapak perkhemahan di tepi sungai lewat senja. Sangkaan saya sungai tersebut merupakan lokasi pancingan meleset sama sekali, keesokan harinya seawal pagi, kami berpecah kepada 2 kumpulan.
Kumpulan pertama kekal memancing dan menginap disitu manakala saya dan Hairie bersama 3 juru pandu meredah hutan tebal mendaki gunung hingga mencecah 1400 meter dari aras laut menuju ke sebuah kampung yang telah ditinggalkan lebih 80 tahun.
Jarak 15km cukup meletihkan kerana laluan denai tersebut seakan hilang dari pandangan. Hanya bergantung sepenuhnya pada jurupandu yang sesekali mencantas anak pokok membuka jalan.
Long Dango
Kami tiba di kampung tinggal yang dikenali sebagai Long Dango pada jam 3 petang. Keletihan sepanjang perjalanan tersebut hilang sebaik sahaja keindahan sungai yang dipenuhi lubuk berpotensi terhidang di depan mata.
Tambahan pula, kami tiba di lokasi sebenar untuk memancing hanya pada hari ke-4 sedangkan kami hanya merancang 7 hari untuk keseluruhan ekspedisi, bermakna kami hanya ada masa lebih kurang 3 jam utk memancing kerana pukul 6 petang waktu tempatan, hari akan gelap.
Set pancing segera disiapkan dan kami terus mengilat di lubuk berhampiran tapak khemah. Balingan pertama saya terus disambar penghuni lubuk, namun sayangnya gagal didaratkan. Sambaran kedua membuatkan saya lebih berhati-hati.
Sesudu yang dibaling kali ini disambar sang pelian (kelah) yang memberikan tentangan hebat. Lariannya yang kuat serta melawan arus memberikan kepuasan tersendiri berbeza dengan tentangan dari ikan bersisik yang lainnya di sungai-sungai pergunungan.
Pancingan 3 Jam yang berbaloi
Memancing di sini sangat mengujakan apabila hampir setiap balingan dibuat akan disambut penghuni sungai tersebut yang semestinya ikan pelian berskala 2-4 kg seekor, sesekali disulam oleh ikan barong (sebarau). Walau hanya 3 jam, kami berjaya mendaratkan berpuluh-puluh ekor pelian yang sebahagian besarnya dilepaskan semula.
Penggunaan sesudu berjaya memikat ikan pelian dengan lebih mudah berbanding penggunaan gewang. Ternyata sesudu dari Rasengan yang dibekalkan (saiz 7, 10 dan 14 gram) tidak mengecewakan kami.
Saya yang turut dibekalkan Joran Abu Garcia Hornet Stinger Baretta 10-20lbs MH6’6” untuk diuji juga dapat mendaratkan mangsa dengan mudah. senang cerita lontarkan sahaja sesudu dan karau secara bersahaja je sudah cukup untuk sang pelian menyambar rakus.
Berbaki 3 hari, bermakna kami harus mengejar waktu atau terlepas tiket pulang yang ditempah awal. Kami terpaksa keluar dari lubuk pelian pada hari ke-5 seawal pagi yang mungkin menuju ke kampung Wa’yagung sebelum meneruskan perjalanan ke Long Umung keesokan harinya dengan menyewa motosikal meredah denai.
Hari yang sama juga kereta dipandu tanpa henti dan tiba di Lawas untuk bermalam. Kami akhirnya sempat pulang seperti dijadualkan. Perjalanan 7 hari pergi dan balik hanya sempat memancing selama tiga jam di lokasi mencatatkan seribu satu kenangan suka dan duka buat kami bertiga sepanjang ekspedisi ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...