Setelah membuat persiapan selama dua bulan termasuk menempah kapal, Kelab Memancing Simanggang Anglers kali ini beralih ke pancingan laut dalam dengan menjadikan perairan laut Mukah sebagai lokasinya.
Ia diketuai oleh Forest Galang. Ahli rombongan seramai 8 orang terdiri dari Beritin Empawi, Stevenson, Willie Paul, Spencer Kubing, Maxwell Fisher, Bernard Barrouw dan saya sendiri.
Perjalanan dimulai dengan bergerak dari kediaman masing-masing seawal jam 4 pagi dan tiba di destinasi iaitu bandar Mukah pukul 8 pagi. Kemudian para pemancing pun mencari umpan segar yang dijual di pasar Mukah. Antara umpan yang dicari sotong, ikan tongkol, jamah (selar), kembung dan alu-alu.
Selepas bersarapan dan membeli alatan memancing yang diperlukan di Kedai Pancing Mukah, rombongan menuju pula ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Mukah (LKIM). Kapten kapal yang akan menjadi jurumudi iaitu Tekong Ah Sui, yang mempunyai banyak pengalaman telah pun sedia menunggu di jeti.
Ads
Ia jelas menunjukkan komitmen tekong dalam perkhidmatannya. Kami mula berangkat ke lokasi memancing pukul 10 pagi dan perjalanan yang mengambil masa 4 jam untuk tiba di destinasi memancing iaitu perairan Oya, Mukah.
Tanpa membuang masa, para pemancing terus menurunkan umpan yang telah dilekatkan pada mata kail. Umpan sotong dan tongkol yang telah siap dipotong kecil menjadi taruhan. Tidak menunggu lama, sambaran demi sambaran dapat dilihat kerana hampir semua joran melentur dek asakan daripada penghuni dasar terutamanya ikan kerapu dan merah.
Ads
Hari Kedua
Pada hari kedua, cuaca agak kurang mesra terhadap kami. Kami dilanda ombak tinggi dan ini memaksa untuk berhenti memancing dari pukul 6 pagi hingga 11 pagi. Walau bagaimana pun badai itu tidak melunturkan semangat kami sebagai pemancing. Kami terima dugaan itu dengan berlapang dada dan bersyukur.
Ads
Setelah ombak besar kembali reda, tekong telah memberi isyarat untuk memulakan semula pancingan. Kali ini kami menduga perairan Igan, Mukah.
Selain teknik pancingan dasar atau bottom, para pemancing juga menggunakan teknik jigging pada sebelah malamnya untuk menjerat ikan pelagik seperti cupak. Untuk trip kali ini, rombongan kami telah berjaya mendaratkan hasil pelbagai spesies mencecah hampir penuh tong ikan 400 liter.
Pada trip ini juga, ikan terbesar seberat 7 kg iaitu ikan merah berjaya dinaikkan oleh Stevenson. Manakala ikan termahal iaitu kerapu bara seberat 3.5kg pula berjaya dinaikkan oleh Beritin Empawi. Trip bottom dan jigging kali ini amat berjaya dan nantikan aksi Simanggang Anglers lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Berikutan dangau lama sudah usang dan menunggu masa untuk rebah ke bumi. Ia tidak boleh dijadikan tempat berteduh lagi, maka dangau terapung milik penduduk setempat yang kami panggil Abang Atan menjadi kediaman kami dalam trip percutian sambil memancing selama tiga hari dua malam kali ini.
Dangau Abang Atan sebenarnya adalah pondok kecil di sangkar ikan atau lebih tepat lagi rumah rakit yang baru dibina oleh Abang Atan. Kunjungan saya dahulu dangau itu masih lagi dalam proses pembinaan. Sementera pulau (tanah tinggi yang tidak ditenggelami air tasik) yang dihubungkan ke dangau dengan batang balak merupakan kebun getah dan buah-buahan yang diusahakan oleh Abang Atan sendiri.
Oleh kerana kami sampai ke dangau itu sudah lewat petang, maka kami keluar mengilat di kawasan tasik empangan terbuka berdekatan dengan dangau. Keesokan hari barulah kami akan masuk ke suak simpanan yang sudah setahun lebih tidak diusik. Mengilat toman di kawasan tasik empangan terbuka itu sahaja sudah menyeronokkan.
Kehadiran ikan seluang yang agak banyak memudahkan kami untuk mengesan toman. Hanya kehadiran ikan loma yang timbul bermain air sedikit sebanyak mengganggu tumpuan untuk mengesan toman timbul meneguk udara.
Keesokan petang harinya barulah kami memasuki suak yang sekian lama tidak terusik itu. Kami masuk dengan menggunakan dua buah sampan sahaja. Enjin-enjin sampan disimpan di dangau usang di muka pintu suak yang sudah hampir roboh sepenuhnya.
Sementara keadaan di dalam suak semakin berselirat dengan pokok-pokok tumbang menyulitkan sampan untuk bergerak walaupun tanpa menggunakan enjin. Sementara aktiviti yang diperlihatkan oleh penghuni-penghuni suak ternyata meningkatkan adrenalin kami. Tanpa perlu berdayung lebih jauh ke dalam suak, sekadar membaling gewang ke reba-reba berdekatan sudah pun menerima sambaran dari toman.
Sama ada gewang permukaan, katak tiruan, atau umpan tiruan plastik, semuanya menerima sambaran dari pemangsa yang majoriti adalah toman. Disebabkan banyak pokok tumbang di dalam air, maka banyak jugalah toman bujang menyambar gewang berjaya meloloskan diri dan meninggalkan gewang kami melekat pada reba di dalam air. Boleh dikatakan sesiapa yang saja masuk dan memancing di dalam suak itu walaupun pertama kali belajar mengilat akan memperoleh banyak strike.
Sepetang di suak itu sahaja kami memperoleh sekurang-kurangnya 50 strike namun hanya beberapa belas ekor toman bujang sahaja yang berjaya didaratkan dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Keesokan paginya sebelum bergerak keluar dari tasik empangan itu kami kembali lagi ke suak tersebut. Biarpun keputusan pagi itu tidak serancak hari sebelumnya, namun kami berjaya juga mendaratkan mama toman yang agak culas untuk membaham gewang.
Malah kami turut berjaya memujuk beberapa ekor sebarau remaja. Yang pasti suak persendirian itu masih lagi dihuni oleh banyak pemangsa dan sedang membesar dengan semulajadi. Dan pasti juga kami akan kembali lagi ke suak ini untuk berpesta dengan toman-toman yang setahun dari sekarang akan bertambah saiznya dan lebih ganas menyerang gewang-gewang yang kami gunakan.
Kali ini saya ke perairan Pulau Jarak lagi. Untuk sekian kalinya saya mengandaikan trip memancing ke Pulau Jarak akan terbantut lagi. Apatah lagi ketika memandu secara solo ke Lumut, cuaca agak kurang memberangsangkan.
Hampir seluruh negeri hujan turun termasuklah negeri Perak yang menyambut kedatangan saya dengan hujan juga.
Tapi mujurlah… (lega yang amat) trip hari pertama ini cuaca merestui kami. Tiada hujan yang turun dan angin yang menjadi penentu sesuatu trip memancing ke perairan jarak juga agak ramah.
Walau bagaimana pun berikutan cuaca yang tidak menentu itu, tekong bot Baby Tuna mengambil keputusan menguji kawasan berdekatan terlebih dahulu sebelum ke perairan Pulau Jarak.
Mungkin disebabkan faktor cuaca yang agak muram dan arus turut sama lemah-gemalai, ia sangat mempengaruhi hasil pancingan kami hari itu.
Seolah-olah ikan mengambil kesempatan di sebalik cuaca yang murung dengan berkurung di dalam sarang masing-masing.
Membawa ke petang apa yang kami peroleh adalah ikan-ikan kecil yang menjadi diet pemakanan kepada ikan-ikan pemangsa monster.
Terutamanya spesies conor dan pelbagai spesies kerapu berstatus juvenil. Tatkala waktu memancing berbaki kurang dua jam, barulah suasana kembali meriah di atas Baby Tuna.
Ia bermula dengan jig yang saya gunakan disambar sesuatu sehingga menyebabkan perambut putus ketika dalam proses jig tenggelam ke dasar.
Hampir serentak pada waktu seorang lagi pemancing di bahagian hadapan bot mengalami situasi yang sama.
Namun nasib berbeza dialami oleh dua orang pemancing yang berada di bahagian tengah bot. Melihat pada kesan gigitan pada tali perambut yang agak tidak kemas, saya jangkakan ia adalah perbuatan alu-alu.
Namun spesies yang berjaya dinaikkan oleh dua pemancing di bahagian tengah bot rupanya adalah spesies Spanish mackarel atau pun tenggiri.
Menyedari kehadiran spesies bergigi tajam itu hampir kesemua pemancing beralih arah daripada memburu boron kepada spesies tenggiri.
Hasilnya, beberapa ekor lagi tenggiri berjaya didaratkan. Sementara beberapa orang pemancing lain kehilangan jig termasuklah saya sendiri.
Setelah kawanan tenggiri yang muncul dan menghilang secara tiba-tiba, kami meneruskan sesi memburu boron sehingga tamat tempoh memancing dan bertekad untuk memburunya lagi pada keesokan hari.
Kami tiba di lubuk pertama pada waktu senja. Lubuk pertama merupakan sebuah unjam yang banyak terdapat di timur Pulau Similan.
Menurut tekong, Pulau Similan yang terletak di Laut Andaman mempunyai struktur laut yang unik. Di sebelah timur pulau, lautnya amat cetek dengan kedalaman hanya 50–80 meter sahaja.
Di kawasan ini banyak terdapat unjam dan tukun tiruan yang dibina oleh nelayan tempatan. Kawasan ini kaya dengan lambakan sotong dan ikan-ikan karang. Kelihatan berpuluh-puluh bot pukat dan sotong sedang beroperasi di kawasan tersebut.
Pada sebelah barat Pulau Similan pula, keadaan lautnya amat berbeza. Hanya kurang satu batu nautika dari pulau tersebut, kedalamannya mencecah drop off sehingga 300 meter.
Di kawasan inilah terdapatnya kerapu hitam yang kami sasarkan. Ruby snapper, tuna dan banyak lagi spesies ikan laut dalam juga boleh dipancing di kawasan ini.
Selepas singgah di lubuk pertama di sebuah unjam. Tekong Sai Yan berhubung dengan bot nelayan berhampiran untuk membeli umpan segar.
Ikan tongkol dan sotong segar dibeli dengan kuantiti yang banyak sebagai bekalan umpan kami.
Di unjam, kumpulan kami mengamalkan pancingan dasar di hadapan bot dan jigging di belakang bot. Tanpa menunggu lama, pelbagai ikan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan.
Ikan ebek kelihatan banyak terdapat di kawasan unjam ini selain ikan merah dan kerapu. Selepas semalaman memancing di unjam, pelbagai jenis ikan yang berjaya dinaikan oleh kumpulan kami.
Antara ikan-ikan tersebut ialah kerapu (Malabar grouper, Epinephelus malabaricus), ebek (Diamond trevally, Alectis indica), merah (Lutjanus erythropterus), kakap merah (Mangrove jack, Lutjanus argentimaculatus) dan banyak lagi spesies ikan lain.
IKAN SASARAN, KERAPU HITAM!
Awal-awal pagi lagi tekong mula bertolak ke kawasan drop off di sebelah barat Pulau Similan untuk memancing ikan kerapu hitam. Kami segera membuat persediaan untuk memancing sepanjang perjalanan ke sana.
Perambut appollo berkekuatan 100-120lb diikat bersama mata kail 4X circle hook bersaiz 7/0. Penggunaan ‘bangla’ atau kekili elektrik amat digalakkan kerana mampu menyimpan tali utama lebih 500 meter.
Batu ladung yang akan digunakan untuk memancing di kawasan sedalam ini seberat 2kg. Pasti pemancing akan keletihan jika menggunakan kekili manual apabila berhadapan situasi seperti begini.
Semasa memancing ikan kerapu hitam, hanya sebelah kanan bot sahaja dibenarkan untuk memancing. Ini kerana kami akan memancing secara berhanyut kerana bot tidak mampu melepaskan sauh di tempat yang begitu dalam.
Apabila tekong memberi isyarat, kami segera menurunkan umpan. Umpan tongkol yang dibeli oleh nelayan semalam terus disambar ikan dengan rakusnya.
Bangla kepunyaan kami terpaksa berhempas pulas melawan asakan ikan kerapu supaya tidak lari ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyiannya.
Selepas beberapa ekor ikan kerapu berjaya ditawan, tekong akan berubah tempat ke lubuk yang lain.
Bot hanya berhenti seketika sahaja di setiap lubuk. Aktiviti sedemikian kami lalui sehingga petang.
Masa seakan-akan berlalu dengan pantas kerana kami sentiasa sibuk memancing ikan kerapu ini dan hasilnya berbelas-belas ekor ikan kerapu hitam yang berjaya kami perolehi.
UNJAM DI HARI KEDUA
Selepas seharian memancing ikan kerapu, tekong bergerak menuju ke kawasan unjam sebelum hari menjadi gelap. Selepas selesai menikmati makan malam.
Kami menyambung semula aktiviti memancing. Kami amat bertuah pada malam kedua di unjam. Lambakan sotong jarum banyak terdapat di sini. Kami berpesta mencandat sotong di sini.
Kehadiran sotong-sotong yang banyak ini juga menarik pelbagai ikan pemangsa di kawasan unjam. Selain mencandat, kami juga berpesta dengan acara jigging.
Ikan alu-alu, ikan cupak, skipjack tuna dan amberjack banyak dinaikkan melalui teknik jigging. Bagi yang suka memancing dasar, banyak ikan karang yang berjaya diperoleh.
Sotong yang di candat oleh kumpulan kami serta merta dijadikan umpan hidup untuk pancingan dasar.
Banyak ikan kerapu karang/boron yang bersaiz lebih 7kg berjaya kami perolehi. Tekong Sai Yan juga tidak melepaskan peluang turut serta jigging bersama-sama kami ketika kumpulan kami sedang berpesta ikan.
Walaupun kami dalam keletihan dan tidak cukup tidur, semuanya hilang akibat seronok berpesta dengan ikan-ikan yang tidak henti-henti memakan umpan hingga ke subuh.
KENA BULI
Waktu pagi seterusnya, tekong bergerak semula ke lubuk ikan kerapu hitam. Kali ini tekong Sai Yan akan membawa ke lubuk yang didiami ikan kerapu yang lebih besar berbanding semalam.
Berbekalkan pengalaman semalam, kumpulan kami tampak lebih bersedia. Umpan diturunkan selepas tekong memberi isyarat.
Seperti semalam, umpan tongkol terus disambar oleh ikan. Tetapi kali ini tekanan yang kami hadapi lebih hebat. Mesin bangla kami tidak mampu membuat karauan.
Sekali sekala kami terpaksa mengarau secara manual. Mulanya kami ingatkan umpan kami telah sangkut di struktur berbatu di dasar laut, tetapi disangkal oleh tekong Sai Yan. Beliau mengatakan tekanan yang hebat berpunca daripada kerapu hitam yang besar.
Keadaan ini sering berlaku apabila umpan dimakan oleh kerapu bersaiz besar dan sentiasa disangka seperti tersangkut oleh pemancing.
Kali ini tekong Sai Yan dan awak-awak beliau terpaksa turun padang membantu kami menewaskan kerapu ini.
Tali utama ditarik menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Tempoh beberapa minit diambil untuk memujuk kerapu yang memakan umpan keluar dari lubang yang menjadi tempat perlindungannya.
Selepas terasa ikan telah keluar dari kawasan lubang, kami segera membuat karauan dengan pantas supaya ikan tersebut tidak berpatah balik masuk semula ke dalam lubang.
Memang benar tekaan kami, ikan kerapu hitam yang bersaiz gergasi kelihatan di permukaan air. Saiz ikan yang lebih besar daripada semalam amat mengujakan kami.
Kemudian beberapa ekor lagi kerapu gergasi berjaya kami tawan di lubuk-lubuk berhampiran menggunakan teknik yang sama. Kami dibuli teruk pada kali ini.
Beberapa orang ahli kumpulan kami terpaksa berhenti memancing akibat tali utama putus sepanjang 200 meter.
Walaupun kami menggunakan bangla atau kekili elektrik yang mengarau secara automatik, kami bagaikan kehabisan tenaga akibat menarik tali utama secara manual untuk memujuk ikan keluar dari lubang sebelum membuat karauan menggunakan bangla kami.
Puluhan lubuk yang kami terokai bersama tekong Sai Yan tidak mengecewakan. Puluhan kilo kerapu hitam berjaya kami sumbat di dalam tong ikan.
PUAS HATI
Selepas 3 hari 2 malam kami melakukan aktiviti yang sama, kami bersiap sedia untuk pulang ke jeti. Keletihan amat terasa sekali. Tong ikan yang dibawa oleh kami semuanya telah penuh diisi dengan ikan bersaiz kasar.
Selepas mengemas segala peralatan yang kami bawa. Kami melelapkan mata akibat keletihan sepanjang aktiviti memancing.
Perjalanan pulang ke jeti akan mengambil masa 6 jam lagi. Selepas itu perjalanan mengharungi 1200km untuk pulang ke rumah akan kami tempuhi sekali lagi.
Walaupun keletihan, kelihatan semua ahli sangat berpuas hati dengan trip ini. Kesimpulannya, trip ekplorasi pertama kali di perairan Laut Andaman di Pulau Similan boleh dikategorikan sebagai trip first class dan berjaya dengan jayanya.
Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami telah lalui bersama tekong Sai Yan. Apa yang pasti, sayalah orang yang paling gembira atas kejayaan trip ini kerana impian untuk memancing di Laut Andaman telah pun dipenuhi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...