Tasik Kenyir, sememangnya lokasi pancingan unggul untuk mereka yang cintakan pancingan air tawar. Saya juga tidak terkecuali.
Kerana itulah juga, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini ‘port’ wajib saya kunjungi setiap tahun. Ada kalanya, jika ada bajet lebih, 2-3 kali dalam setahun pasti saya kunjungi.
Trip kali ini disertai beberapa orang rakan sekerja dan agenda kami, ialah menduga penghuninya pada musim tengkujuh. Sebarau atau badong adalah target tangkapan utama.
Kenangan berkunjung pada tahun lepas, dengan bertemu sang sebarau sedang frenzy, faktor utama menyebabkan saya berkunjung lagi ke sini.
Hari pertama tiba di Tasik Kenyir, hujan lebat menyambut kedatangan kami. Nampaknya memberi petanda baik.
Lantas sebaik sahaja selesai memunggah barang ke dalam bot, tekong Karim yang kami selesa gunakan servisnya sejak empat tahun lalu pantas memacu boathousenya menuju ke sekitar Gua Bewah dan Gua Taat.
Ads
Tiba di sana, rata-ratanya sudah bersiap untuk turun memancing. Lantas tiga buah bot fiber diturunkan. Saya bersama Mus, Wan bergerak menuju mencari anak-anak sungai baru. Manakala dua bot fiber lagi, menghilang entah ke mana.
Lewat senja, kami pulang kehampaan kerana tiada hasil yang memberangsangkan. Begitu juga dengan dua bot lagi.
Keesokan harinya, hujan masih lagi turun sekejap lebat dan sekejap renyai. Menjelang petang, tekong Karim menukar tempat parking boat, tidak jauh dari kuala sebatang sungai yang sedikit keruh airnya.
Ads
Tanpa disangka oleh kami, percubaan Mus yang membaling popper ke arah kuala muka sungai tersebut menghasilkan sambaran, apabila popper yang dilontarkannya bersambut. Rupa-rupanya, ada kawanan sebarau berada di situ.
Mungkin sedang menghendap anak-anak ikan yang hanyut.Apa lagi, kami semua terus sahaja mencari arah kedudukan terbaik untuk melontar gewang.
Saya yang mencuba beberapa kali melontar gewang dalam gewang dalam terus sahaja mendapat sambaran.
“Nampaknya, kita tak payah pergi casting jauh-jauh. Kat sini pun dah banyak sebarau,” ujar rakan saya Nasir.
Ads
Sesi malam pula diteruskan, apa lagi kalau bukan baung. Dengan berumpankan tapa dan anak ikan, sesi pancingan malam itu turut diserikan lagi dengan tangkapan beberapa ekor belida.
Pancingan keesokan harinya yang juga hari terakhir, kami semua boleh dianggap semuanya bangun awal, walaupun tidur lewat malam semalamnya melayan baung.
Saya sempat juga casting menaiki bot fiber di lokasi tidak jauh dari boathouse berlabuh.
Hasil tangkapan tidak memberangsangkan, sebaiknya, Wan yang setia melontar gewang dari sejak awal pagi di boathouse dihadiahkan seekor sebarau sekitar 2 kg lebih yang dianggap tofi pada sesi kali ini.
Tengah hari, boathouse Karim mula meninggalkan lokasi. Walaupun hasil tidaklah terlalu lumayan, tapi masih boleh dianggap berbaloi. Apa yang pasti saya akan kembali lagi ke Tasik Kenyir lagi pada bulan Jun ini, untuk mencuba sesi pancingan kelah pula.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hampir 800 peserta dari seluruh negara berkampung di Pantai Bagan Lalang, Sepang, bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM30,000 sempena Pesta Bagan Lalang@Sepang 2017.
Ikan malong seberat 0.790 kg yang didaratkan oleh Johari Nazri, telah menobatkan dirinya sebagai juara pertandingan memancing tersebut dan membawa pulang hadiah RM20,000 pada jam 7.56 pagi. Manakala di tempat kedua Herman Abdullah yang membawa pulang RM5,000 turut menaikkan ikan malong seberat 0.505 kg pada jam 11.35 pagi dan tempat ketiga pula disandang oleh Mohd Zawawi Zakaria membawa pulang RM1,000 yang turut berjaya menaikkan ikan malong seberat 0.430 kg pada jam 8.00 pagi.
Detik siren pertandingan dibunyikan jam 7.30 pagi peserta seakan sudah bersedia untuk menguji joran panjang masing-masing pada kedudukan air pasang seawalnya dua jam setengah dan selepas itu bermulanya cabaran sebenar para peserta yang turun ke pantai ekoran air mulai surut.
Malah pelbagai bangsa dan umur disatukan dalam suasana yang harmoni dalam pertandingan memancing yang berlangsung selama empat jam setengah. Antara spesies yang berjaya dinaikkan oleh para peserta terdiri daripada ikan malong, sembilang, gelama, usat dan Senangin.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Puasa Md. Taib berkata, beliau kagum para pemancing seluruh negara menjadikan pertandingan pantai Bagan Lalang yang julung kalinya diadakan sempena Pesta Bagan Lalang@Sepang selama dua hari.
“Sambutan kaki-kaki pancing seluruh negara amat baik. Ada dari Labuan, Johor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.”
Beliau berpuas hati dan berharap pertandingan memancing ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi salah satu produk program pelancongan di bawah MPSepang.
Kuantan, Pahang terkenal dengan kepelbagaian padang pancingannya. Dari light jigging, micro jigging, pancingan pantai, pancingan muara dan tak ketinggalan pancingan sungai pergunungan.
Padang pancing yang terkenal seperti perairan Balok sehingga ke perairan Kempadang, muara-muara dari Cherating ke Cherok Paloh, sungai-sungai pergunungan seperti di
Sungai Lembing dan hulu Sungai Kuantan menyediakan variasi ikan sesuai dengan semua genre pancingan yang dapat anda bayangkan.
Walaupun begitu, dengan peredaran masa, pembangunan dan penerokaan tanah dan pesatnya perkembangan sukan pancingan rekreasi, padang-padang pancing ini semakin lemah dan tidak berdaya dalam menangani tekanan pemancing-pemancing.
Artikel ini bertujuan untuk membongkar satu penemuan peribadi penulis tentang betapa kroniknya penurunan bilangan dan kualiti sumber perikanan dari kaca mata seorang pemancing rekreasi.
IMBAS KEMBALI
Segalanya bermula apabila penulis menemui sebuah sungai yang mana penulis yakin amat jarang dikunjungi pemancing.
Semakan melalui Google Map pada ketika itu menunjukkan sungai itu mengalir melalui hutan belantara pedalaman Kuantan tanpa melalui sebarang penempatan manusia.
Aksesnya agak senang kerana terdapat jalan raya hingga ke hulunya dan muaranya berakhir di jalan utama Kuantan-Sungai Lembing.
Trip tinjauan pertama penulis amat memberangsangkan. Boleh dikatakan sungai tersebut bertanggungjawab membekalkan stok sebarau yang sentiasa diburu kaki pancing di sekitar Hulu Kuantan.
Ini kerana, sungai inilah satu-satunya sungai yang tidak dapat ditembusi alirannya kecuali di hulu dan muaranya.
Bermula dari situ, penulis telah merangka satu trip menggunakan bot getah, untuk berhanyut dari hulu hingga ke muara untuk menduga penghuni sungai tersebut.
Dua kereta diperlukan, satu diletakan di hilir, dan satu lagi ke hulu membawa segala peralatan dan bekalan.
Kereta pertama tadi akan digunakan untuk mengambil kereta kedua setelah berhanyut sepanjang sungai di penghujung trip.
Berbekalkan GPS, sebuah bot getah serta hati nekad mengharungi jeram deras dan binatang liar, penulis berjaya menghilir sungai tersebut dan menaikkan beberapa sebarau dalam berat kira-kira 1-3 kg.
Pendekatan hit & run iaitu tidak menduga lama satu-satu lubuk terpaksa penulis amalkan kerana takut tidak cukup masa untuk sampai ke muara sebelum hari gelap.
Walaupun trip tersebut amat berjaya tanpa sebarang masalah, penulis tekad tidak akan mengulanginya kerana penat jerih dan risiko yang dihadapi.
JEJAK SPOT LAMA
Setelah lama ditinggalkan terdetik hati penulis untuk menduga kembali sungai tersebut setelah menaikkan badong seberat 3kg di bahagian hulunya sebelum ini.
Bermacam tanda tanya bermain di fikiran tentang apa perubahan sungai tersebut setelah lama dilupakan.
Penulis yakin keadaannya masih sama seperti dulu yakni tiada tanda-tanda pencerobohan pembalakan mahupun aktiviti perladangan di kawasan tersebut.
Bersama seorang caster tegar dari Pulau Labuan, Faderick atau nama pangilannya Ikau telah nekad untuk menghilir sungai tersebut sekali lagi.
Sebuah bot fiber glass 13 kaki milik saudara Suhardi digunakan kali ini berbanding dulu menggunakan bot getah. Trip bermula seawal jam 7.00 pagi.
Ternyata andaian awal penulis meleset sama sekali. Dalam perjalanan ke hulu di mana tempat bermulanya berhanyut, sudah kelihatan kesan gelojoh tangan manusia mengikis keindahan hutan.
Kawasan yang dulunya hutan tebal kini gondol digantikan pokok kelapa sawit. Hancur luruh hati melihat keadaan tersebut.
Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur baru-baru ini telah membawa pasir dan lumpur dari bukit-bukit gondol tersebut terus ke dalam sungai.
Sungai yang dulu dasarnya berbatu kelikir kini dipenuhi pasir dan menjadi cetek. Namun trip tetap diteruskan seperti yang dirancang.
STRIKE
Strike pertama diterima penulis apabila gewang Rapala Shallow Shadrap berwarna goldfish yang dilontar ke satu deburan air yang disyaki sebarau mengejar anak ikan terus bersambut.
Larian pertama yang padu mengatakan ikan di hujung tali bukanlah juvenil.
Penulis hanya bertahan dengan tali mencicit keluar dari kekili. Belum pun sempat mengepam, tali sudah kendur dan ikan terlepas pergi.
Apa yang tinggal hanyalah sisik ikan yang misteri saiznya melekat di mata tiga gewang.
Permulaan yang agak thrilling seperti menjanjikan bakal banyak babak menarik di sepanjang perjalanan nanti.
Berbekalkan semangat baru, perjalanan diteruskan. Sekali sekala melalui jeram cetek dan deras.
Kami terpaksa turun dari bot, berjalan di tebing sambil menghanyutkan bot mengikut arus.
Dengan begini, risiko bot bocor akibat terlanggar batu dapat dikurangkan kerana kelajuannya hanyut boleh dikawal dan tiada berat tambahan yang boleh menyebabkan dasar bot bersentuhan dasar sungai.
Apabila berada di kawasan air dalam dan tenang, aktiviti casting diteruskan. Setiap lubuk diduga, manalah tahu berpenghuni.
Penulis yang dari tadi mengemudi bot agar Ikau dapat casting di kawasan deras mencuri peluang melontar sesudu Abu Garcia Island II 12 gram ke satu muara anak sungai.
Lontaran terus bersambut dengan sebarau juvenil. Bot ditambat seketika kerana percaya muara tersebut mungkin dihuni sebarau bersaiz mega.
Lontaran kedua penulis bersambut lagi dan sebarau yang naik pun hanya berkelas juvenil. Ikan segera dilepaskan dan perjalanan diteruskan.
KAWASAN GAJAH
Di suatu jeram panjang, penulis terdengar buluh-buluh pecah dan tumbang tidak jauh di hilir. Terdetik di hati bahawa itu adalah angkara sang `fumakila’ sedang mencari makan.
Kami berdua yang dari tadi sedaya upaya tidak membuat bising dalam bot dan berhanyut sesenyap mungkin, berpandangan satu sama lain.
Mungkin pendekatan senyap kami sangat efektif sehingga kawanan gajah tersebut tidak menyedari kehadiran kami.
Melihat kawasan sekeliling, memang tempat itu merupakan ‘highway’ gajah melintas sungai!
Akibat gigil yang amat sangat, satu gambar pun tidak diambil. Secara keseluruhannya, kami menaikkan 9 ekor sebarau pada hari itu dengan yang paling besar anggaran berat kira-kira 1.5 kilogram.
Satu perbezaan yang amat ketara berbanding kunjungan pertama penulis dahulu.
Kegiatan penerokaan hutan dan pembalakan telah meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dibaiki.
Mujur setakat ini, kerosakan tersebut belum menyebabkan kepupusan penghuni sungai namun sekiranya tiada tindakan pencegahan awal daripada pihak yang bertanggungjawab nescaya tarikan sebarau mega di daerah Kuantan hanya menjadi kenangan.
Kemerosotan stok tangkapan Kesimpulannya, walaupun trip kami kali ini memuaskan dengan tarikan sebarau bersaiz sederhana, namun bagi penulis, ternyata sungai tersebut kian susut bilangan ikan serta kualitinya.
Penulis hanya dapat membayangkan bagaimana kualitinya dalam masa dua tahun akan datang sekiranya keadaan sekarang berterusan.
Semakin susahlah caster-caster Kuantan merasai tarikan sebarau yang begitu didambakan. Apa pun,teruskan catch and release kerana setidak-tidaknya kita sebagai pemancing
rekreasi sudah memainkan peranan kita dalam memelihara spesies igauan kaki-kaki casting ini.
Hidup sang penghanyir tidak pernah kenal erti rehat. Walaupun banyak menghabiskan cuti hujung minggu di kolam-kolam pancing air tawar sekitar Lembah Kelang, namun disebabkan pandemik Covid-19, terpaksalah niat untuk merentas daerah/negeri pergi memancing dilandaikan seketika.
Pun begitu minat untuk memancing ikan-ikan di habitat liar tidak pernah padam dalam diri. Tak kiralah sama ada memancing ikan lampam, baung, belida atau patin di sungai, tasik mahupun lombong.
Keseronokan memancing di lokasi sebegini jauh lebih indah berbanding pancingan di kolam-kolam pancing komersial. Apatah lagi hasil pancingan dijadikan juadah dan dimakan terus di lokasi kejadian. Kepuasannya tidak dapat digambarkan dengan perkataan waima hanya sekadar tilapia bakar.
Apabila bertemu kembali dengan rakan-rakan lama yang pernah sama-sama menjadi penunggu tebing sungai, tasik dan lombong, secara spontan sesi untuk kembali menjadi penunggu tebing dirancang. Kami sepakat sekata untuk mencuba nasib yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi kami untuk memancing lampam dan patin.
Berikutan sudah agak sebati dengan pancingan kolam air tawar maka umpan yang digunakan untuk lokasi liar ini sama sahaja dengan umpan untuk pancingan kolam. Bezanya, untuk memanggil ikan merapati kawasan kami memancing, kami harus `merasuah’ beberapa kilogram dedak ayam yang dicampur dengan sedikit bahan perisa seperti pes strawberi.
Apabila ada riak-riak ikan menghampiri kawasan yang telah dirasuahi baharulah kami memulakan sesi memancing. Umpan yang digunakan pun sama sahaja dengan teknik pancingan kolam iaitu rot sandwich biasa dipotong dadu yang dicampuri dengan pes perisa strawberi.
Tidak perlu menanti lebih lama, sebagaimana yang dijangka ikan lampam Jawa dan lampam sungai yang berjaya didaratkan. Walaupun ia cuma lampam dan saiznya tidaklah sebesar mana namun ia tetap menghiburkan. Namun kami masih menaruh harapan spesies ikan liar yang terutamanya patin yang mengena.
Lebih setengah hari menjadi penunggu tebing, akhirnya pancing kami menerima sambaran dan corak larian yang berbeza dengan tindak balas lampam apabila terkena mata kail. Pada awalnya kami menjangkakan ikan patin yang mengena, setelah didaratkan ternyata ia bukan patin sebaliknya ikan kaloi. Kami sama sekali tidak menjangka ikan kaloi akan memakan umpan roti yang kami gunakan. Lebih menarik, tidak lama kemudian ada lagi kaloi yang berminat dengan umpan tersebut.
Setelah beberapa ekor berjaya didaratkan, kami bakar tanpa sebarang rencah dan diratah begitu sahaja. Nikmat dan kepuasannya sangat-sangat berbaloi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...