Setelah berkenalan dengan Abang Zul, penyelia REP, ketika beliau rancak bercerita perihal kolam-kolam yang ada di REP, penulis cukup tertarik dengan sebuah kolam larangan yang menjadi lubuk ikan-ikan tradisi seperti sepat, puyu, selat, terbol dan haruan.
Apabila dinyatakan penulis boleh memancing di kolam larangan tersebut dengan kebenaran pihak pengurusan, tanpa berlengah penulis menetapkan tarikh untuk kembali ke REP.
Tiga minggu kemudian penulis kembali ke REP bersama beberapa orang rakan untuk turut mengimbau kenangan memancing sepat dan puyu ketika zaman kanak-kanak.
Serasi dengan perubahan zaman, peralatan memancing dan umpan turut sama berubah. Namun teknik tetap sama.
Jika dulu menggunakan batang buluh atau nipah, kini menggunakan joran teleskopik. Jika dulu menggunakan getah selipar untuk dijadikan pelampung, kini menggunakan pelampung sepenuhnya.
Dan jika dulu menggunakan cacing atau lumut untuk dijadikan umpan, kini boleh menggunakan umpan buatan.
Apatah lagi tatkala musim panas kering begini memang sukar untuk mencari lumut atau mencari cacing pokok pisang.
Umpan alternatif yang penulis hasilkan adalah campuran dedak ayam, dedak 929, serbuk perisa cacing tanah dan tepung umpan gam.
Ads
Campuran bahan-bahan ini akan diuli sehingga lembut dan kenyal. Kemudian ia digentel kecil pada mata kail yang juga bersaiz kecil.
Pada awalnya Abang Zul yang sudah biasa memancing sepat berumpankan lumut seperti sukar untuk percaya umpan alternatif yang penulis hasilkan ini akan dijamah ikan.
Setelah seekor demi seekor sepat berjaya naikkan, barulah beliau percaya dan sedar tidak bersusah payah lagi untuk mencari lumut untuk dijadikan umpan sepat.
Jika benar memancing itu dapat melatih kesabaran maka memancing sepat adalah contoh terbaik. Kesabaran pertama yang perlu dihadapi adalah menahan panas.
Apatah lagi jika memancing di kawasan lapang tanpa sebarang kanopi untuk berteduh. Ditambah lagi dengan tabiat sepat waktu panas terik itulah ia rancak bermain air.
Ads
Seterusnya sabar menanti kemunculannya memasuki radius pancingan. Maklum sajalah saiz kolam larangan tersebut bukanlah kecil malah hampir sebesar kolam pancing komersial.
Menggentel umpan pada mata kail juga perlu sabar. Umpan tidak boleh terlalu kecil atau besar dan melekap kemas pada mata kail.
Dan status kesabaran paling maksimum diperlukan tatkala mahu menyentap. Sentapan tidak boleh dilakukan terlalu awal atau terlalu lewat kerana akan berakhir dengan kegagalan.
Selain dari sepat Siam yang merupakan spesies target, kolam larangan ini turut dihuni sepat ronggeng.
Boleh dikatakan sepat ronggeng lebih banyak bilangannya berbanding sepat Siam. Sepat tempatan yang saiznya lebih kecil berbanding sepat Siam inilah yang benar-benar menguji kesabaran kami.
Ads
Ia akan terlebih dahulu menggetu dan menghabiskan umpan pada mata kail.
Biar pun menggunakan mata kail bersaiz paling kecil namun cukup sukar untuk melekat pada mulutnya yang lebih kecil berbanding sepat Siam.
Dalam pada seronok menyentap sepat dan umpan sepat alternatif yang penulis adunkan terbukti efektif, kami mula beralih kepada umpan konvensional seperti cengkerik dan anak udang untuk memvariasikan hasil tangkapan.
Melalui teknik apung yang sama, anak udang yang menggantikan umpan dedak berjaya menaikkan beberapa ekor selat. Manakala cengkerik yang digunakan untuk pancingan apung dan dasar pula berjaya menaikkan beberapa ekor puyu.
Seekor keli tempatan atau keli kampung bersaiz agak kasar hampir berjaya didaratkan sekiranya ada penyauk atau tangguk.
Melihat pada kelibat keli kampung dengan saiz luar biasa itu membenihkan ilham kepada penulis untuk kembali lagi ke kolam larangan Rantau Eco Park untuk pancingan keli kampung pula.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sabtu yang lepas saya berkesempatan mengikuti satu trip memancing. Ini kali kedua kami sampai ke kelong ini di mana hasil tangkapan pada trip pertama agak memuaskan hati.
Kali ini seramai 8 orang turut serta yang mana kebanyakan pemancing ini cukup sibuk dengan tugasan kerja.
Mereka memilih untuk memancing di kelong. Pilihan mereka kali ini adalah kelong Persatuan Nelayan Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson.
Kami bertolak dari jeti nelayan Kg. Teluk jam 5.00 petang. Memandangkan kelong ini tidak berapa jauh dari daratan maka perjalanan bot cukup mudah dan cepat. Kadar bayaran (pakej) bagi kelong ini sekitar hanya RM280 bagi 8-10 orang.
Kelong ini beroperasi dari jam 3.00 petang hingga 10.00, 3 kali seminggu saja iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Sebenarnya kelong ini masih dalam proses pembinaan. Belum sempurna sepenuhnya.
Kemudahan asas seperti lampu dan toilet masih dalam pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan ini.
Namun ini bukanlah halangan bagi pemancing yang dtg untuk melepaskan gian dalam erti kata menikmati sentuhan ikan. Segala peralatan dan makanan mereka bawa sendiri.
Bermula jam 6.00 petang para pemancing mula melabuhkan Joran. Mereka tidak menunggu lama untuk menaikkan tangkapan. Pelbagai spesies berjaya didaratkan.
Antaranya gemang, semilang, gelama, gelama papan, tetuka, senangin, seludu, tetanda dan beberapa spesies lain.
Pada malam hari mereka memancing sambil menikmati juadah makanan yang dimasak ataupun yang di bawa sendiri. Suasana harmoni inilah yang mampu merapatkan silaturahim yang dipenuhi gelak tawa sepanjang hari.
Kami meninggalkan kelong jam 10.00 pagi keesokannya. Segala tangkapan dibahagi sama rata untuk dibawa pulang.
Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.
Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.
Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.
TEROKAI PERJALANAN JERAM
Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.
Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.
Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.
Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.
Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.
Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.
CELIK MATA PANDANG LUBUK
Tekong
Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.
Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.
Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.
Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.
Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.
POTONG TRIP
Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.
Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.
Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.
Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.
Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.
APA LAGI
Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.
Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.
Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.
Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.
Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.
Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.
Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.
Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.
Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.
INFO TRIP
Jumlah ahli : 9 orang
Jumlah sampan : 3 orang (kapasiti 5 termasuk boatman, jurumudi dan 3 pemancing)
Kos keseluruhan: RM 13,000
Tempoh: 4 hari 3 malam
Sasaran: Kelah merah, kejor, sebarau, baung
Tip: Tubuh badan perlu sihat, mampu mengharungi air dan merentas denai.
Tanggal 12 April 2015, terpahat sebagai tarikh berlangsungnya acara Battle of Jigger, Pelindung Challenge 2015 yang mana merupakan edisi sulung pertandingan light jigging yang diadakan di Pantai Pelindung, Beserah, Kuantan.
Edisi sulung ini memperlihatkan sambutan penyertaan yang sangat memberangsangkan daripada kaki pancing khususnya peminat light jigging.
Menariknya, pelan asal pertandingan ini merupakan sekadar battle sesama rakan terdekat hasil usaha daripada Shah Right, Kay Red D, Nazim Nordin dan Epu Burn, namun tanpa diduga menjadi sebuah acara yang menghimpunkan 37 orang peserta dengan 9 buah bot digunakan sepanjang pertandingan.
Malah pertandingan ini juga turut menarik minat penaja iaitu Angler Buff Malaysia dan Pure Fishing Malaysia untuk turut sama menaja bagi memeriahkan pertandingan ini.
Menurut Shah Right, salah seorang pengelola utama pertandingan, melihatkan sambutan daripada kaki pancing terutama sekitar Kuantan dan Lembah Klang, pihak penganjur bercadang mahu menjadikan Pelindung Challenge sebagai acara tahunan.
Penganjuran yang lebih besar mungkin akan dirancang pada edisi seterusnya dan diharap Pantai Pelindung mampu menarik penaja yang lebih banyak untuk lebih memeriahkan edisi akan datang.
Pada hari pertandingan, para peserta berkumpul seawal jam 7.30 pagi untuk sesi taklimat ringkas dan bergambar. Jam 8.00 pagi, peserta menaiki bot masingmasing di Pantai Pelindung untuk terus memulakan pertandingan menaikkan ikan buruan menggunakan teknik jigging sehingga jam 6.00 petang. Hanya ikan hasil tangkapan dengan teknik jigging sahaja layak dipertandingkan.
Di akhir pertandingan, Sahbudin Selan berjaya mencipta reputasi sebagai juara sulung Pelindung Challenge 2015 apabila menaikkan gerong belang seberat 4.96 kg. Muhammad Zuhari Rosli dan Muhammad Imran Hafiz Muhammad Azzam pula tidak kurang hebat memberi saingan untuk keluar sebagai pemenang tempat ke-2 dan ke-3 dengan masing-masing menaikkan ebek (3.2 kg) dan talang seberat 2.98 kg.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...