Dari semasa ke semasa tukun dan unjam ditambah bagi memastikan populasi ikan berterusan di lokasi unjam kepunyaan beliau.

Walaupun kerja dan penambahan terpaksa ditanggung dengan kos sendiri, demi pulangan untuk jangka masa panjang ia tetap dilaksanakan.

 

Unjam di pertengahan air dan tukun di bahagian dasar mampu menjadi rumah buat kumpulan ikan pelagik dan kemudiannya turut sama didatangi oleh ikan-ikan predator.

Unjam buluh dengan ranting daun kayu sebagai tempat bermain anak ikan manakala tukun yang sebelah bawah dihuni ikan demersal.

 

Tukun-tukun yang terdiri daripada gelung konkrit, rangka kereta terbuang, kayu dan bangkai tongkang pula pasti menarik perhatian ikan untuk membuat tapak perumah kekal.

Kehadiran tukun ini boleh dijadikan perisai dan kubu kuat dan perlindungan kepada sebarang ancaman termasuk pemancing sendiri.

 

Lebih banyak tukun dan unjam di serata kawasan sebenarnya dapat menjaga pemulihan ekosistem laut tempatan dan mampu menyekat kehadiran bot pukat tunda yang bertugas menggondolkan dasar laut.

 

Kawasan laut yang dipenuhi unjam milik nelayan tempatan memberi banyak ruang kepada anak ikan bermain dan yang menambah aroma ialah kehadiran tenggiri di kawasan ini boleh dikatakan tidak bermusim tetap sepanjang tahun.

 

Trip Retro – Menjulang Tenggiri Kuala Dulang
Penyediaan unjam

 

Kalau di Rompin terkenal kerana ikan Layaran, Kuala Dulang boleh dianggap satu lagi destinasi untuk merasai larian tenggiri.

Saban hari, saban minggu ia dikunjungi pemancing untuk menikmati tenggiri dengan teknik casting seharian.

Yang penting memancing di sini ialah cuaca yang perlu menyebelahi pemancing. Kawasan lautnya adalah terbuka dan terdedah kepada segala arah angin.

 

Beberapa tapak pilihan dikenal pasti sebagai tempat pembuangan unjam yang terletak di pertengahan antara Pulau Payar Langkawi dan Pulau Pinang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Jarak perjalanan dari jeti ke tukun memakan masa kurang dari sejam menggunakan bot berkelajuan lebih dari 15 knots.

Banyak bot di Kuala Dulang ini menggunakan jentera enjin lori yang berkuasa kuda tinggi untuk mempercepatkan masa bergerak ke lokasi menjadikan ia digemari ramai pemancing.

 

Sentiasa peka

 

Bila ikan bermusim tidak menentu, sukar untuk membuat perancangan tepat bila kumpulan ikan tenggiri galak.

Beberapa kali selepas mendapat info daripada tekong ikan sedang galak, bila bertandang sentapan ikan tidak seperti yang diperolehi sebagaimana tekong membuat perkhabaran.

Begitu juga dengan faktor cuaca, sebelum pergi ramalan memberitahu cuaca adalah baik, tapi bila masa hendak berdiri di atas bot pun susah, macam mana nak casting!

 

Namun sebenarnya pemancing perlu rajin bertandang kerana pasti lambat laun akan jumpa masanya pantang lontar umpan sama ada bulu itik mahupun pelaling mati terus diterkam kumpulan tenggiri.

Jangan sekali datang hasil tidak memberangsangkan terus membuat keputusan negatif tak akan memancing lagi di Kuala Dulang ini.

 

Trip Retro – Menjulang Tenggiri Kuala Dulang

IKLAN

 

Ada juga beritahu info tekong tidak betul, katanya ada banyak tenggiri, bila memancing haram sekor kelibat tenggiri tidak kelihatan.

Sebenarnya banyak perkara yang terlindung di sebalik kejayaan atau kegagalan untuk memikat tenggiri. Ramai pemancing bertanggapan bila casting umpan ada tenggiri pasti diterkamnya.

 

Yang ramai malas nak tahu ialah teknik mengayakan umpan, persembahan umpan, jenis-jenis umpan yang ‘killer’ masa tersebut, jenis dan saiz tali, waktu dan cuaca laut persekitaran turut memberi kesan dan peranan terhadap jaya atau gagal trip tersebut.

 

Sehebat mana kita memancing di serata pelosok ceruk, tekong tempatan perlu dirujuk kerana mereka lebih arif daripada kita dan lebih masak laut tempat mereka mencari sesuap nasi.

 

Dua dalam satu

 

Kali ini misi dua dalam satu apabila tekong memilih hari untuk kami bertandang. Sebelum ini hanya tertumpu kepada sasaran tenggiri, kini tukun konkrit dan tongkang sudah dikesan banyak penghuninya.

 

Rekod kerapu 18 kg masih belum dipecahkan di tukun berkenaan dan rekod tenggiri seberat 18.5kg juga masih terus kekal catatannya. Satu cari ikan di atas air dan satu lagi mengendap ikan yang di dasar air.

 

Dua set peralatan berbeza digunakan. Memancing sebenarnya berhajat nak yang besar je baru ada cabaran.

Hajat untuk mencari dan melihat bapak kerapu yang menghuni tukun berkenaan di teruskan dengan membawa bekalan sotong mengabang hidup hampir 20 ekor.

Bot Tekong Wan Dulang dilengkapi dengan sistem ‘livebait’ yang besar memberi ruang untuk sotong berenang sepanjang tempoh memancing.

 

Trip Retro – Menjulang Tenggiri Kuala Dulang

 

Bekalan umpan pelaling mati satu kemestian kerana unjam milik tekong Wan amat sukar untuk mendapatkan anak ikan kembung kerana terlalu banyak kumpulan ikan besar yang berkeliaran.

 

IKLAN

Anak ikan menjadi takut untuk menghampiri unjam berkenaan. Faktor air pasang surut memaksa kami bergerak dari jeti seawal jam 3 pagi dan jam 4 pagi kami sudah berada di tukun milik Wan.

Beliau berlabuh begitu hampir dengan tukun tongkang yang dibuang setahun lalu.

 

Beberapa kali kerapu berskala 10 kg tewas di tangan beliau dan kali ini hajat tentunya mahu melihat saiz yang berjaya memperdayakan beliau dalam trip terdahulu.

Sementara bulan masih bercahaya, kami tertumpu kepada pancing dasar sambil mengharapkan kerapu keluar daripada persembunyian mencari mangsa.

 

Melihat saiz sotong mengabang, kami tidak berani menggunakan joran kelas menengah, lantas melihat sahaja tekong memasang dua ekor sotong mengabang hidup menggunakan set koyan berkekuatan 200 lb.

 

Trip Retro – Menjulang Tenggiri Kuala Dulang

 

Hirisan dan kepala sotong pula digunakan pada set joran yang dibawa. Ada di antara kami yang mengambil tempat beradu sementara menanti langit bercahaya sambil menanti sistem penggera berteriak memanggil pemancing apabila sambaran mengena.

 

Sotong terus segar sehingga menjelang fajar sehingga kelihatan beberapa ekor pelaling terhempas ke air menandakan aktiviti casting tenggiri bermula.

Geng di belakang bot adalah ruang untuk aktiviti memancing tenggiri dan yang di hadapan bot menyiapkan peralatan gempur untuk ikan demersal.

 

Tukar umpan silih ganti

 

Umpan untuk memikat tenggiri sering ditukar dari masa ke semasa dan penggunaannya pula bergantung kepada tahap sambaran.

Jika hasil banyak mengena kepada umpan ikan mati, maka ia menjadi pilihan seketika dan sambil itu sotong plastik, bulu itik dan kepingan jig turut di lontar untuk melihat potensinya.

 

4 ekor tenggiri awal pagi memilih pelaling mati manakala sotong plastik dua kali terlucut hasilnya. Umpan pelaling dipasang 3 mata kail manakala sotong plastik hanya 1 mata kail sebab itu kadar hook up jauh berbeza.

 

IKLAN

Pagi itu juga kami dikejutkan apabila sistem penggera botol mineral berbunyi, sesuatu telah menarik tali 200 lb.

Saya yang kebetulan berada berdekatan terus mencapai tali dan menarik tali ke atas. Macam tarik kerbau, tanpa henti sementara ikan seperti mengikut sahaja. Di pertengahan air ikan mula meronta, dua kali dihenjut ke bawah perambut putus…..

 

Trip Retro – Menjulang Tenggiri Kuala Dulang

 

Kemudian joran pula mengena, sesuai dengan saiz umpan yang digunakan hanya kerapu berskala 3 kg sahaja menelan kepala sotong mengabang.

Dua ekor kerapu dengan saiz hampir sama sedikit sebanyak mengurangkan rasa kecewa apabila sasaran utama terlepas.

 

Matahari semakin dan aktiviti casting tenggiri semakin memperlahankan rentaknya. Sotong mengabang dipasang menjadikan dua koyan sebagai pertaruhan pusingan kedua nanti.

 

Pusingan akhir

 

Masuk petang semua tertumpu ke aktiviti casting tenggiri dalam keadaan cuaca yang sedikit beralun.

Letih lontar dan tarik sotong plastik sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi yang pernah dengar sebelum ini.

Botol air mineral penyek menandakan sotong mengabang dibaham sesuatu. Kali ini Wan pula yang tampil menangani koyan tersebut.

 

Dua kali karau tali dah tersekat, tak boleh tarik ke atas lagi. Kedudukan bot yang hampir dengan tukun membantu ikan berkenaan melawan tali 200 lb.

Bunyi yang tak ingin kami dengan berulang kembali. Seperti yang saya khabarkan sebelum ini kehadiran tukun konkrit badan kereta dan struktur binaan terpakai menghasilkan perumah kepada karang dan teritip.

 

Trip Retro – Menjulang Tenggiri Kuala Dulang
tekong

 

Ia adalah perlindungan yang diperlukan sang ikan sekiranya terancam. Bila ia masuk dalam rangka kereta yang pasti tali tentu akan bergesel dengan teritip atau besi kenderaan.

Tali yang kasar mana sekalipun akan putus jika bergesel berulang kali. Dua kosong kena hari itu.

 

Harapan untuk memecah rekod nampaknya tergendala dan perlu diteruskan dalam trip akan mendatang. Baru ada kesinambungan dalam aktiviti memancing. Kami beredar tidak lama selepas itu apabila awan gelap semakin menghampiri kedudukan bot kami.

 

Rumusan

 

Saranan agar nilai pelancongan ekosistem yang dimiliki oleh Kuala Dulang perlu dibangunkan dengan lebih pesat lagi oleh kerajaan negeri dan bantuan daripada pihak

swasta agar permasalahan yang dihadapi tekong-tekong di Kuala Dulang dapat diatasi segera.

 

Bila terdapat keselesaan sebegini penduduk setempat akan mendapat impak ekonomi kerana kehadiran ramai pelancong dan pemancing.

Laut sekitar Pulau Payar (taman Laut) hingga sekitar gugusan Pulau Bidan perlu dibangunkan dengan menambahkan lagi tukun konkrit yang besar agar dapat mengekang kemasukan bot pukat tunda di pesisir pantai.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI