Sesi pancingan di rumah api Permatang Sedepa atau One Phantom Bank (OFB) masa kini mungkin tidak semeriah beberapa tahun ke belakang.

Saya sendiri agak terlewat untuk mengutip pengalaman meski sudah lama didendangkan dengan kemahsyurannya.

Pada kali pertama menjejakkan kaki di OFB kira-kira 7 tahun lalu, dikatakan ia sudah tidak semeriah sebagaimana beberapa tahun sebelumnya.

 

Saya menyertai sekumpulan pemancing yang menyasarkan dua famili ikan ratfish dan rabbitfish. Waktu siang mereka akan memburu ikan kecil yang sebenarnya merupakan sasaran utama iaitu ikan dengkis.

 

 

Pada waktu malam pula memburu spesies pematah joran, si telinga gajah. Sementara saya pula lebih berhajat untuk menawan ikan-ikan predator yang agak sinonim di sini seperti tenggiri dan talang.

 

Sementara mempertaruhkan umpan ikan hidup disambar pemangsa, saya meluangkan masa untuk belajar teknik pancingan ikan dengkis dari mereka yang pakar.

8 daripada 10 ahli trip ini adalah pemancing berbangsa Cina yang amat menggemari keenakan daging ikan dengkis ini apabila dijadikan sup.

Maka tidak hairanlah mereka bersungguh-sungguh untuk mendaratkan seberapa banyak ikan yang mampu.

 

 

Bahan umpan yang disediakan amat ringkas. Bancuhan dedak itu kemudiannya diuli dan digentel kecil pada mata kail perambut apollo buatan sendiri.

Perambut apollo 3-5 mata kail itu diturunkan ke dalam air pada takat mata kail paling atas sekadar mencecah permukaan air.

Batu ladung yang digunakan tidak dilabuhkan ke dasar kerana ikan dengkis lazimnya mencari makan di permukaan dan pertengahan air.

 

Ikan dengkis tidak memberikan cabaran untuk mendaratkannya tetapi menunggu kemunculannya itulah yang memberikan cabaran.

Lebih sukar jika gerombolannya tidak kelihatan berlegar-legar dari permukaan. Mereka perlu berpusing keliling di atas rumah api itu sehinggalah umpan menerima getuan yang dinantikan.

 

 

Dalam pada menanti dengkis pertama didaratkan, pancing berumpankan tamban hidup saya menerima sambaran.

Setelah bertarung beberapa minit, seekor talang bersaiz sederhana berjaya `dilifkan’ ke tingkat atas bangunan 40meter rumah api baru berkenaan.

Melihat pada hasil tersebut, rakan lain mula memasang joran tambahan disamping ikan dengkis terus menjadi buruan utama.

 

 

Apabila ikan dengkis mula muncul dan memakan umpan, saya turut sama menyertai pemburuan yang kelihatan begitu menyeronokkan.

 

BACA rahsia memancing telinga gajah

Walaupun bukan bersaiz besar, dengan menggunakan peralatan ringan, terasa juga keseronokan melayan larian dengkis ini apatah lagi yang bersaiz agak kasar melebihi lebar tapak tangan.

 

 

Meskipun jumlah penangkapan dengkis tidak sebagaimana yang mereka harapkan, sesi memancing pada hari itu sama sekali tidak membosankan.

 

lesen pertama

 

Selain dengkis dan beberapa ekor talang, tenggiri, kerapu, alu-alu, serta ikan-ikan pelagik hasil apollo agak memuaskan hati.

Menjelang senja dan apabila ikan dengkis semakin menyepi, mereka mula persiapkan peralatan pancingan malam memburu ikan telinga gajah pula.

 

baca kenali ikan telinga gajah

 

 

Pencarian awal telinga gajah memperlihatkan cabaran tersendiri apabila joran aksi berat salah seorang ahli patah ketika sedang bertarung.

Gerun pulak rasanya kalau telinga gajah menghentam umpan set pancing aksi sederhana yang saya gunakan.

 

 

Namun selepas kejadian joran patah tersebut, telinga gajah amat perlahan memakan umpan. Sehingga ke lewat malam hanya beberapa saja telinga gajah yang berjaya didaratkan.

 

 

Sebelum kembali ke darat tengah hari keesokan harinya, saya tingkatkan pencarian ikan dengkis. Namun hanya beberapa ekor saja yang berjaya diperoleh.

Saya bercadang untuk dimasak singgang ikan-ikan tu. Masak singgang lebih kurang masak sup juga.

Dengan cara masakan begini kita akan dapat menilai rasa sebenar ikan tersebut. Dan ternyata isi ikan dengkis memang mantap! Teksturnya lembut dan manis.

 

 

Bagi mengekalkan keenakan rasa ikan, team pemburu dengkis ini mendedahkan satu petua penting.

Sejurus ikan dengkis didaratkan, jangan terus masukkan ke dalam kotak penyejuk. Biarkan ia mati begitu saja.

Setelah itu barulah disiang dengan membuang isi perutnya. Paling penting hempedu ikan ini dikeluarkan cermat.

 

Menurut mereka, jika tidak disiang dengan segera hempedu itu berkemungkinan besar akan pecah dengan sendirinya dan akan meresap ke bahagian daging yang akan mempengaruhi rasa ikan tersebut.

 

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan