Kebiasaannya, sepupu isteri saya, Sopi akan menjadi peneman saya. Sebelum ke lokasi, saya akan melengkapkan dahulu keperluan mengisi perut seperti mi segera, roti, biskut, air mineral dan sebagainya.
Paling penting adalah bekalan umpan seperti udang, sotong dan ikan kembung yang dibeli di pasar dan juga udang hidup untuk ikan sasaran ikan siakap, jenahak dan kerapu.
Setelah semuanya lengkap, kami terus ke destinasi dan dijemput oleh Pak Ndak. Seorang pengusaha ikan dalam sangkar yang ramah. Kami akan bermalam di atas sangkarnya.
Perjalanan bot hanya memakan masa 5-10 minit dari jeti. Setibanya di atas sangkar, kami disambut dengan hembusan angin yang mendamaikan.
Tanpa membuang masa kami terus menyediakan peralatan kami, membuat perambut pelbagai jenis dan terus melabuhkan umpan ke dasar di sekitar sangkar.
Ads
Pada awalnya kami dihiburkan dengan gelama dan duri yang banyak mengena. Tak lupa juga ‘miss call’ yang banyak membuatkan kami huru-hara sebentar. Manakala umpan hidup pula silih berganti ditukar kerana kerap dikutis anak-anak ikan yang nakal.
Malam kian melabuhkan tirainya, suasana hening begitu damai sesekali ditemani bunyi bot dan unggas berterbangan. Di sangkar ini, terdapat kemudahan seperti bilik solat, bilik air, dapur untuk memasak dan tempat tidur di atas sangkar ini.
Generator pula akan dipasang sehingga jam 12 malam, dan sesudah itu, kami ditemani lampu gas dan ubat nyamuk.
Malam makin lewat, umpan hidup yang dihidangkan masih belum terusik. Hati dah mula gusar.
“Mana la hang pi ikan oii… mai la jamah sikit…” gumam sepupu saya.
Ads
Tak lama kemudian hujung rod miliknya terus melendut dan srrrreettt… terdengar nyaring kekili milik Sopi. Lantas cepat sahaja, dia menyambar rod dan terus mengarau, mangsa terus melakukan pecutan.
Sopi cuba mengawal dan pada ketika itulah perkara tak dijangka berlaku. Kekili milik Sopi terbelit pada salah satu jaring ikan yang digantung berhampiran tiang ketika mengubah posisi. Menyebabkan kekilinya sangkut dan drag terkunci.
Tusss… akhirnya ikan itu berjaya melepaskan diri bersama anting-anting di bibirnya. Disyaki ikan siakap yang meragut umpannya. Sopi pasrah sambil menyiapkan perambut seterusnya. Perjuangan harus diteruskan!
Ads
Dia meneruskan konsentrasi pada pancingnya. Kesabarannya berbalas apabila sekitar jam 2 pagi itu, dia mendapat sambaran. Ikan yang dilayannya semakin berada dalam genggaman.
Sekali lagi dia diuji, ikannya tersangkut di antara tong pelampung sangkar. Mujurlah tidak begitu jauh. Dengan bantuan sauk, ikan berjaya dinaikkan dan Sopi tersenyum puas.
Sehingga keesokannya, topik siakap menjadi perbualan kami. Mata kami tidak terlepas dari memerhatikan kurungan yang menyimpan ikan tersebut.
Tak cukup dengan itu, ikan ditambat menggunakan tali. Takut jika ia melompat dan melepaskan diri. Kami tak mahu berputih mata!
Setibanya Pak Ndak pagi itu, menandakan waktu memancing sudah tamat. Dan hasil pada hari itu, siakap, duri dan gelama dibawa pulang.
Setibanya di jeti, kami dijemput oleh isteri dan anak saya. Ternyata mereka gembira dengan hasil kali ini. Syukur Alhamdulillah, rezeki untuk seluruh keluarga kami.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Musim Jenggo Sungai Endau Sudah Bermula
(Oleh Wak Zairul)
Sebagai seorang pejenggo (pemancing udang galah) tegar, saya ingin berkongsi sedikit info tentang jenggo bagi tahun 2020.
Dengan penuh ikhlas dan berlapang dada saya ingin memaklumkan bahawa MUSIM UDANG GALAH TAHUN 2020 DI SG ENDAU SUDAH BERMULA.
Kini tibalah masanya bagi pecinta jenggo untuk merasai tarikan sepit biru di Sunga Endau dan Sungai Sembrong di Kahang, Johor.
Baru-baru saya telah mencuba nasib untuk menilai sama ada sudah musim ataupun belum. Hasilnya… sebanyak 5.845 kg udang galah berjaya dinaikkan untuk seharian memancing.
Jika saya ingin gasak sendirian tentu saja saya diamkan diri tetapi saya lebih gemar berkongsi berita baik ini dengan rakan-rakan pejenggo lain.
Umpan terbaik di sungai ini utk menjerat udang galah adalah ruat halus, cacing tanah, anak udang, anak ikan gapi dan lain-lain lagi. Namun ruat halus dan anak udang merupakan umpan yang wajib dibawa.
Teknik memancing sama saja dengan mana-mana lokasi memancing udang galah yang pernah anda kunjungi.
Setiap hari sudah ramai pemancing yang turun memancing ke sungai-sungai ini. Bulan Januari dan Februari ni adalah masa terbaik memancing udang galah di sungai ini.
Sesiapa yang ingin mencuba bolehlah hadir ke sini untuk merasai tarikan sepit biru. Saya dah cuba, anda bila lagi? Banyak pangkalan yang anda boleh pilih apabila berkunjung ke sini.
Antaranya ialah LOJI AIR NITAR, JETI 40 EKAR, JETI TANAH ABANG, JETI KOLIN, JETI MAN BOT KAHANG, atau JETI JARUT KAHANG.
Kuantan, Pahang terkenal dengan kepelbagaian padang pancingannya. Dari light jigging, micro jigging, pancingan pantai, pancingan muara dan tak ketinggalan pancingan sungai pergunungan.
Padang pancing yang terkenal seperti perairan Balok sehingga ke perairan Kempadang, muara-muara dari Cherating ke Cherok Paloh, sungai-sungai pergunungan seperti di
Sungai Lembing dan hulu Sungai Kuantan menyediakan variasi ikan sesuai dengan semua genre pancingan yang dapat anda bayangkan.
Walaupun begitu, dengan peredaran masa, pembangunan dan penerokaan tanah dan pesatnya perkembangan sukan pancingan rekreasi, padang-padang pancing ini semakin lemah dan tidak berdaya dalam menangani tekanan pemancing-pemancing.
Artikel ini bertujuan untuk membongkar satu penemuan peribadi penulis tentang betapa kroniknya penurunan bilangan dan kualiti sumber perikanan dari kaca mata seorang pemancing rekreasi.
IMBAS KEMBALI
Segalanya bermula apabila penulis menemui sebuah sungai yang mana penulis yakin amat jarang dikunjungi pemancing.
Semakan melalui Google Map pada ketika itu menunjukkan sungai itu mengalir melalui hutan belantara pedalaman Kuantan tanpa melalui sebarang penempatan manusia.
Aksesnya agak senang kerana terdapat jalan raya hingga ke hulunya dan muaranya berakhir di jalan utama Kuantan-Sungai Lembing.
Trip tinjauan pertama penulis amat memberangsangkan. Boleh dikatakan sungai tersebut bertanggungjawab membekalkan stok sebarau yang sentiasa diburu kaki pancing di sekitar Hulu Kuantan.
Ini kerana, sungai inilah satu-satunya sungai yang tidak dapat ditembusi alirannya kecuali di hulu dan muaranya.
Bermula dari situ, penulis telah merangka satu trip menggunakan bot getah, untuk berhanyut dari hulu hingga ke muara untuk menduga penghuni sungai tersebut.
Dua kereta diperlukan, satu diletakan di hilir, dan satu lagi ke hulu membawa segala peralatan dan bekalan.
Kereta pertama tadi akan digunakan untuk mengambil kereta kedua setelah berhanyut sepanjang sungai di penghujung trip.
Berbekalkan GPS, sebuah bot getah serta hati nekad mengharungi jeram deras dan binatang liar, penulis berjaya menghilir sungai tersebut dan menaikkan beberapa sebarau dalam berat kira-kira 1-3 kg.
Pendekatan hit & run iaitu tidak menduga lama satu-satu lubuk terpaksa penulis amalkan kerana takut tidak cukup masa untuk sampai ke muara sebelum hari gelap.
Walaupun trip tersebut amat berjaya tanpa sebarang masalah, penulis tekad tidak akan mengulanginya kerana penat jerih dan risiko yang dihadapi.
JEJAK SPOT LAMA
Setelah lama ditinggalkan terdetik hati penulis untuk menduga kembali sungai tersebut setelah menaikkan badong seberat 3kg di bahagian hulunya sebelum ini.
Bermacam tanda tanya bermain di fikiran tentang apa perubahan sungai tersebut setelah lama dilupakan.
Penulis yakin keadaannya masih sama seperti dulu yakni tiada tanda-tanda pencerobohan pembalakan mahupun aktiviti perladangan di kawasan tersebut.
Bersama seorang caster tegar dari Pulau Labuan, Faderick atau nama pangilannya Ikau telah nekad untuk menghilir sungai tersebut sekali lagi.
Sebuah bot fiber glass 13 kaki milik saudara Suhardi digunakan kali ini berbanding dulu menggunakan bot getah. Trip bermula seawal jam 7.00 pagi.
Ternyata andaian awal penulis meleset sama sekali. Dalam perjalanan ke hulu di mana tempat bermulanya berhanyut, sudah kelihatan kesan gelojoh tangan manusia mengikis keindahan hutan.
Kawasan yang dulunya hutan tebal kini gondol digantikan pokok kelapa sawit. Hancur luruh hati melihat keadaan tersebut.
Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur baru-baru ini telah membawa pasir dan lumpur dari bukit-bukit gondol tersebut terus ke dalam sungai.
Sungai yang dulu dasarnya berbatu kelikir kini dipenuhi pasir dan menjadi cetek. Namun trip tetap diteruskan seperti yang dirancang.
STRIKE
Strike pertama diterima penulis apabila gewang Rapala Shallow Shadrap berwarna goldfish yang dilontar ke satu deburan air yang disyaki sebarau mengejar anak ikan terus bersambut.
Larian pertama yang padu mengatakan ikan di hujung tali bukanlah juvenil.
Penulis hanya bertahan dengan tali mencicit keluar dari kekili. Belum pun sempat mengepam, tali sudah kendur dan ikan terlepas pergi.
Apa yang tinggal hanyalah sisik ikan yang misteri saiznya melekat di mata tiga gewang.
Permulaan yang agak thrilling seperti menjanjikan bakal banyak babak menarik di sepanjang perjalanan nanti.
Berbekalkan semangat baru, perjalanan diteruskan. Sekali sekala melalui jeram cetek dan deras.
Kami terpaksa turun dari bot, berjalan di tebing sambil menghanyutkan bot mengikut arus.
Dengan begini, risiko bot bocor akibat terlanggar batu dapat dikurangkan kerana kelajuannya hanyut boleh dikawal dan tiada berat tambahan yang boleh menyebabkan dasar bot bersentuhan dasar sungai.
Apabila berada di kawasan air dalam dan tenang, aktiviti casting diteruskan. Setiap lubuk diduga, manalah tahu berpenghuni.
Penulis yang dari tadi mengemudi bot agar Ikau dapat casting di kawasan deras mencuri peluang melontar sesudu Abu Garcia Island II 12 gram ke satu muara anak sungai.
Lontaran terus bersambut dengan sebarau juvenil. Bot ditambat seketika kerana percaya muara tersebut mungkin dihuni sebarau bersaiz mega.
Lontaran kedua penulis bersambut lagi dan sebarau yang naik pun hanya berkelas juvenil. Ikan segera dilepaskan dan perjalanan diteruskan.
KAWASAN GAJAH
Di suatu jeram panjang, penulis terdengar buluh-buluh pecah dan tumbang tidak jauh di hilir. Terdetik di hati bahawa itu adalah angkara sang `fumakila’ sedang mencari makan.
Kami berdua yang dari tadi sedaya upaya tidak membuat bising dalam bot dan berhanyut sesenyap mungkin, berpandangan satu sama lain.
Mungkin pendekatan senyap kami sangat efektif sehingga kawanan gajah tersebut tidak menyedari kehadiran kami.
Melihat kawasan sekeliling, memang tempat itu merupakan ‘highway’ gajah melintas sungai!
Akibat gigil yang amat sangat, satu gambar pun tidak diambil. Secara keseluruhannya, kami menaikkan 9 ekor sebarau pada hari itu dengan yang paling besar anggaran berat kira-kira 1.5 kilogram.
Satu perbezaan yang amat ketara berbanding kunjungan pertama penulis dahulu.
Kegiatan penerokaan hutan dan pembalakan telah meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dibaiki.
Mujur setakat ini, kerosakan tersebut belum menyebabkan kepupusan penghuni sungai namun sekiranya tiada tindakan pencegahan awal daripada pihak yang bertanggungjawab nescaya tarikan sebarau mega di daerah Kuantan hanya menjadi kenangan.
Kemerosotan stok tangkapan Kesimpulannya, walaupun trip kami kali ini memuaskan dengan tarikan sebarau bersaiz sederhana, namun bagi penulis, ternyata sungai tersebut kian susut bilangan ikan serta kualitinya.
Penulis hanya dapat membayangkan bagaimana kualitinya dalam masa dua tahun akan datang sekiranya keadaan sekarang berterusan.
Semakin susahlah caster-caster Kuantan merasai tarikan sebarau yang begitu didambakan. Apa pun,teruskan catch and release kerana setidak-tidaknya kita sebagai pemancing
rekreasi sudah memainkan peranan kita dalam memelihara spesies igauan kaki-kaki casting ini.
Ikan tembaring atau kanai memang spesies yang saya idamkan untuk memancingnya sejak sekian lama.
Namun belum pernah ada kesampaian lagi untuk memancingnya. Kalaulah Sabah tu dekat sahaja dan boleh berkereta dari Semenanjung, tentu sudah lama saya sampai.
Perkenalan dengan rakan dari Sabah, iaitu Ralf dan Alam yang bekerja di Semenanjung telah membuka pintu untuk saya sampai ke sana.
Itupun selepas mereka meracun saya dengan gambar-gambar tembaring dalam trip mereka terdahulu.
Selepas berbincang, lepak di kedai makan dan bersembang di whatsapp, saya akhirnya menjejakkan kaki kali pertama di bumi Sabah atau lebih tepat lagi di Sandakan iaitu di kampung halaman mereka sendiri.
KHAMIS (Day 1/6)
Setibanya di Lapangan Terbang Sandakan, kami bertiga, saya, Ralf dan Alam dijemput oleh adik Alam, Ulek dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Kampung Sugut yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dari Sandakan.
Hari pertama tiba di Kampung Sugut, kami hanya berehat sahaja di rumah dan saya mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar kampung.
Malamnya kami menyiapkan peralatan senjata tempur.
Perasaan saya agak bercampur baur memikirkan bagaimanakah memancing ikan ini. Akhirnya saya terlelap buat kali pertama di bumi Negeri Di Bawah Bayu ini.
JUMAAT (Day 2/)
Selepas bersarapan, kami menuju ke di jeti berhampiran kampung berkenaan. Hanya lima minit sahaja dari rumah Alam dan lokasi pencarian tembaring adalah di Sungai Paitan.
Selain nama tembaring dan kanai, orang di sini juga menyebutnya dengan nama ‘temaing’.
Di situ telah tersedia dua buah bot dan rakan lain yang menunggu kami. Saya, Ralf, Ujang menaiki bot yang dibawa oleh Daus.
Manakala sebuah bot lagi yang dibawa oleh Farhan dinaiki oleh Ustaz Syukri, Alam dan Ulek.
Selepas 30 minit menaiki bot, kami memulakan trolling dan juga casting. Menurut Daus, mereka di sini lebih gemar bermain trolling dan bottom.
Sesekali sahaja melakukan kaedah casting. Namun pagi tersebut, kami kumpau sekumpaunya.
Selepas solat Jumaat, kami sekali lagi turun ke lokasi tidak jauh dari susur sungai yang pertama tadi.
Hasilnya kami berjaya memperoleh siakap merah, kerapu, baby GT dan juga anak alu-alu. Tiada tembaring berjaya di perolehi.
Setibanya dia sebuah persimpangan sungai yang agak strategik dengan keadaan struktur kayu bakau dan nipah yang tenggelam kami memberhentikan sampan.
Menurut tekong, inilah lokasi di mana banyak tembaring bersaiz mega pernah dinaikkan.
Apa lagi tanpa membuang masa saya dan Ralf memulakan sesi casting. Setelah lama memujuk penghuni dasar tiada seekor pun yang sudi menjamah.
Kami meneruskan sesi trolling di kawasan tersebut. Baru seminit Ralf menunda rod Megabass Destroyer dipadankan dengan kekili Shimano Exsense DC telah menerima sentapan kasar.
Gewang Zerek saltwater series dengan kekuatan tali sulam 40lb berserta tali perambut Sufix 50lb ditekan ke bawah.
Keadaan menjadi kelam kabut disebabkan tali keluar mencurah-curah. Hanya beberapa minit bertarung ikan berjaya melepaskan diri.
Kami melihat kesan ragutan ikan memang sah ini tembaring. Jelas tertera gigitan bersaiz 1 inci seperti pontianak bak kata tekong kami. Anggaran saiz dalam 3 kilo ke atas.
Di penghujung waktu petang, saya dikejutkan bunyi sambaran yang kuat oleh bot di sebelah. Rupa-rupanya Ustaz Syukri yang melontarkan gewang pensil ke arah tebing, telah mendapat satu sentapan kuat.
Saya melihat bagaimana Ustaz Syukri bergasak menahan tali dari terus keluar dari spool kekilinya.
Disebabkan setup yang digunakan oleh Ustaz Syukri agak kasar, iaitu rod PE 1-3, kekili Penn Conflict 4000, tali braided 40lb dan perambut 50lb, akhirnya tembaring seberat 3.7 kg memihak kepadanya.
Kami semua tumpang gembira dengan tangkapan tersebut, lebih-lebih lagi empunya diri yang baru berjinak dengan teknik casting.
Ini menambahkan lagi semangat kami yang tengah berkobar-kobar memburu ikan pujaan kaki casting Lewat petang, kami pulang semua ke jeti Kampung Sugut sambil memujuk hati saya, “esok masih ada”.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...