Seawal jam 7.00 pagi lagi saya, Andi Max, Lee dan Rosli Su dah berada di atas bot kayu biru sepanjang 21 kaki dan lebar 5 kaki yang dipacu oleh dua buah enjin berkuasa 15 hp setiap satu.
Berbekalkan udang hidup yang dibeli dari nelayan yang berhampiran, kami berempat berharap agar dapat bermesra dengan penghuni lubuk Pulau Baru.
Saya sebagai tekong memerah habis kelajuan yang termampu. 30 minit diperlukan untuk tiba di lokasi.
Tanpa menunggu lama, kami dikejutkan dengan joran milik Lee yang dihenjut kasar membuatkan dia kelam-kabut memberikan tindak balas yang sepatutnya. Kemenangan berpihak pada sang ikan.
Ads
Selang beberapa minit kemudian, Andi Max pula diuji. Mangsa yang berada di hujung tali pancing berjaya dijinakkan. Seekor jenahak skala 1.4 kilogram tumpas.
Belum sempat Andi menanggalkan mata kail, saya pula mengambil giliran bertegang urat dengan sang jenahak.
Jenahak 1.7 kilogram terkulai juga selepas beberapa kali pecutan yang mengujakan. Henjutan seterusnya dialami oleh Rosli yang tiba-tiba ditekan oleh pecutan kuat.
Ads
Jenahak skala 1.8 kg berjaya Rosli jinakkan. Selepas jenahak tersebut didaratkan, lubuk agak sunyi dari pagutan ikan. Hanya ikan-ikan kerapu kecil yang mengganti sang jenahak yang mendiamkan diri.
Hinggalah sekitar jam 2.40 petang, Lee yang agak pendiam tiba-tiba membuat sentapan balas yang mengejut. Pecutan mangsa dilayan dengan baik.
Larian ikan kali ini agak berbeza dari jenahak. Lebih degil dan sukar. Aksi bertarik tali berterusan sehingga 4 minit. Andi yang sudah bersedia dengan tangguk resah menanti.
Minit ke-7 barulah ikan kelihatan. Tanpa menunggu lama, Andi lantas menyauk ikan yang menjadi lesen Lee pada hari itu. Seekor ikan kaci terkulai di dalam tangguk. Sesi fotografi dijalankan.
Seterusnya kami hanya ditemani oleh keramahan anak kerapu dan merah yang bersaiz tapak tangan hingga kepetang. Tepat jam 5 petang, kami sepakat untuk pulang.
Bekalan umpan hidup sudah habis dan hasil tangkapan pun sudah memadai. Tak perlu mencari lebih. Cukuplah sekadar untuk dijadikan lauk sehari dua.
Bila arus pasang surut akan sesuai lagi dan ada kelapangan masa, kami akan berkunjung lagi. Semoga penghuni lubuk Pulau Baru sentiasa menerima kehadiran kami.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pada jam 0400 kami berlepas dari Bandar Bintulu menuju destinasi yang sekian lama kami tak kunjungi iaitu Murum. Sebuah empangan yang menyimpan jutaan cerita dan khazanah tersendiri termasuklah ikan buruan kaki pancing… sebarau.
Kami jangka akan tiba di Simpang Anding sekitar jam 0800 namun jangkaan terpelesot. Kami tiba 2 jam awal ekoran melalui jalan Pan Borneo – Btu / Spg Bakun hanya mengambil masa 35 minit berbanding dulunya hampir sejam.
Kami terpaksa menunggu guide kami (Bapak Kulleh yang juga owner jelatung Ulu Danum) selama 2 jam. Kami bertolak dari Spg. Anding sekitar jam 0840 menuju ke kem Ulu Danum. Bermula dari jalan aspal (Spg Anding – Empangan Murum) kemudianya kami menelusuri jalan kampung sebelum kami memasuki jalan balak.
Perjalanan selama 2 jam setengah tersebut sangat menyeronokkan ditambah lagi dengan hujan yang memang bermula dari sejak kami tiba di Anding. Jam 1120 kami tiba di kem Ulu Danum yang mana tempat kami tinggalkan kereta sebelum meneruskan perjalanan menggunakan perahu.
Sesi menunggu bermula sehinggalah jam 1430 baru la tekong kami tiba (Onkol Salim @ Om) dengan wajah bersalah dia… hehehe.
Maka bermulalah sesi mencari sebarau kami di sekitar lubuk-lubuk yang berdekatan. Hasilnya tidak begitu baik namun cukup menggembirakan setelah lebih setahun belum renew lesen sebarau. Ditambah dengan keadaan angin kencang di tasik Murum membuatkan tekong mengalih haluan pulang ke tempat tinggal.
Sebaik saja tiba di jelatong (floating house), kami sangat teruja dengan bersihnya tempat tersebut dan kemasnya susunan tempat tidur untuk para anglers yang datang bertandang ke Ulu Danum. Malam tersebut, kami dihidangkan dengan stim ikan semah yang disediakan oleh owner jelatong dan ikan baung masak sweet and sour. Kenyang dowh… malam tersebut hujan menyebabkan kami lena dalam kesejukan.
Esoknya, seawal jam 0700 kami mulakan aktiviti mencari sang sebarau di lubuk-lubuk terbaik tekong Ikan pertama hari tersebut dinaikkan oleh saya sendiri dengan sekali balingan di spot pertama menerima sambaran sang Sebarau. Seterusnya gewang kami disambar sebarau sehinggalah ke waktu makan tengah hari.
Tengah hari kami berehat di sebuah air terjun dengan tekong menyediakan api untuk ikan bakar. Sementara itu, kami layan air terjun yang entah berapa banyak tingkatnya. 2 jam geng berendam dan berborak menikmati keindahan air terjun sampaikan tekong layan makan tengh hari sendiri tak leh nak tunggu kami selesai. Hidangan tengah hari kat bawah air terjun hanyalah 2 ekor sebarau, dengan rebung manis dibekalkan oleh owner jelatong.
Jam 1430 sesi memancing bermula semula. Sesi petang hanya beberapa ekor yang menyambar bersaiz baby. Tak lama kemudian ribut melanda membuat ombak, sehinggakan perahu tidak lagi dapat dikawal apabila sesi pancingan.
Kami hentikan sesi hari tersebut sawal jam 1700 memandangkan cuaca tidak mengizinkan. Tiba di jelatong, kami dihidangkan dengan donut gebu bersama kopi panas. Di belakang dapur sudah membara api panggang, pastinya itu untuk makan malam.
Makan malam kami pada hari kedua sekali lagi ikan semah menjadi menu (stim kicap) dan semestinya bersama ikan-ikan panggang tadi (baung dan keli, sayur pakis goreng). Selesai makan kami mulakan sesi borak dan malam tersebut saya tidur awal… hehehehe.
Hari terakhir, seawal jam 0630, tekong sudah bersedia di jelatong untuk membawa kami ke lubuk kelmarin. Duncan menjadi pilihan sebarau hari tersebut yang mana gewang-gewang dia menjadi sambaran. Saya hanya berjaya menaikkan 2 ekor sahaja. Sesi ini berakhir jam 1100 kerana kami perlu bergerak dari ke kem ulu Danum sebelum jam 1400.
Jam 1130, kami tiba di jelatong untuk bersiap balik, sebelum bergerak, kami menikmati makan tengah hari kami di jelatong dan pastinya semah adalah menu bersama dengan baung sweet and sour dan pucuk ubi.
Jam 1300 kami mulakan pergerakan memandangkan ribut mula melanda dan ombak-ombak mula 1menjadi di tasik Murum. Jaket keselamatan diarahkan oleh owner jelatong perlu dipakai. Perjalanan memang agak mencabar dengan ombak berlaku di area Long Malim, tapi kepakaran tekong kami tak perlu risau.
Kami tiba di pengkalan kem Ulu Danum sekitar jam 1340. Kami berlepas dari kem dengan cuaca menyebelahi kami (panas). Hanya dalam masa 70 minit, kami tiba di simpang jalan aspal. Kami amik masa sekejap untuk view pemandangan empangan Murum.
Kami teruskan perjalanan balik sehinggalah kami tiba di Bandar Bintulu sekitar jam 1930. 8 jam dalam perjalanan memang memenatkan, tetapi keseronokan itu tetap ada dan pastinya episod memburu Sebarau Ulu Danum akan tetap bersambung.
Terletak di sebelah pantai barat semenanjung, Tanjung Tuan dalam kawasan Port Dickson merupakan antara spot memancing yang terbaik beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah, Port Dickson sendiri telah menjadi antara destinasi percutian dan berlibur yang popular di Malaysia.
Lokasi ini juga terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri. Juga dikenali sebagai Cape Rachado, nama yang diberikan oleh Portugis, lokasi ini terkenal dengan rumah apinya (Cape Rachado Lighthouse) yang menghadap ke Selat Melaka.
Perairan ini pernah menjadi medan pertempuran laut antara Dutch VOC dan Portugis dalam Battle of Cape Rachado sekitar tahun 1606.
Hari ini, Tanjung Tuan menjadi antara lokasi yang menjadi perhatian kaki pancing, lebih-lebih lagi bagi pemancing dasar dan jigging.
Jigging atau mengunjun besi memang mempunyai ‘karen’ tersendiri. Bahkan melihat besi jig yang berwarna-warni pun kadang-kadang bole terlupa akan masa kerana asyik, apatah
lagi kalau jig tersebut berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan memberi pulangan dengan menaikkan ikan hasil godaannya.
TRIP ‘MEMBESI’ TANJUNG TUAN
Seawal jam 6 pagi kami bertolak menuju ke Port Dickson dari Kuala Lumpur bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Sebelum ke jeti, kami sempat bersarapan ala kadar serta membeli barang makanan lain di sekitar Teluk Kemang.
Usai bersarapan, tanpa membuang masa, kami menuju ke Jeti Pengkalan Teluk Kemang Batu 7, lokasi yang menjadi tempat janji temu kami berjumpa tekong Apex Kecik.
Jam 8 pagi kami tiba di jeti dan mula memunggah peralatan yang perlu digunakan. Kelihatan beberapa orang grup pemancing baru tiba di gigi air, mungkin baru pulang dari trip malam tadi.
Sementara menunggu Apex menurunkan bot, kami mempersiapkan set pancing masing-masing dengan ikatan yang perlu dan juga membuat pemeriksaan akhir agar tidak
tertinggal peralatan yang akan digunakan terutamanya besi-besi pelbagai warna dan berat yang akan digunakan sebagai modal utama menggoda isi perut Tanjung Tuan.
Sebaik sahaja Apex selesai menurunkan bot di gigi air, kami berlima bertolak dari jeti menuju ke lubuk-lubuk simpanan Apex yang bakal menjadi medan pertarungan jigging kali ini.
Bot sepanjang 24 kaki ini meluncur laju membelah air hasil lonjakan deruan enjin Johnson berkekuatan 40hp.
Sekitar 30 minit meluncur, akhirnya Apex menghentikan bot menandakan kami telah tiba di lubuk pertama yang akan menjadi medan unjunan besi.
BATTLE OF CAPE RACHADO BERMULA
Masing-masing mula mencapai set masing-masing dan jig pilihan digantung pada hujung tali.
Tekong Apex yang lebih arif dengan perairan ini khususnya lubuk simpanannya menyarankan kami menggunakan jig yang mempunyai berat sekitar 80g-120g kerana keadaan arus air yang tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.
Lalu masing-masing menurunkan jig, unjunan menegak (vertical jigging) secara slow-pitch menjadi pilihan pertama pagi itu.
Tak menunggu lama, ketika masingmasing masih mencuba warna jig yang sesuai, tiba-tiba Apek yang melakukan unjunan di bahagian belakang bot mendapat henjutan pertama.
Hujung rod mula melengkung namun sayang, beban yang dirasakan pada mulanya tiba-tiba hilang menandakan besi yang dihidang telah dipotong.
Belum sempat nak mengeluh kecewa, jig yang digayakan menggunakan set custom PE 0.6 – 1.5 milik Zach pula mendapat henjutan dari bawah, tapi sekali lagi hampa apabila
mangsa terlepas mungkin kerana mata kail tidak tercangkuk kemas ketika melakukan strike.
Belum sempat besi jig Zach dinaikkan, Bob yang sedari tadi tidak putus-putus membuat unjunan perlahan di bahagian tengah bot pula dihenjut kuat menandakan pertarungan seterusnya.
Rod Crosstage PE 1.2 milik Bob menjunam mahu mencium riak air. Setelah menyaksikan Apex dan Zach tewas di depan mata, mangsa kali ini perlu dinaikkan.
Yakin dengan kemampuan rod Crosstage miliknya, Bob menahan asakan mangsa sebelum mula membuat asakan balas menggunakan kekili Ryojin 3000 sebagai padanan rod.
Kayuhan kudrat Bob menyebabkan tali utama mula memasuki spool Ryojin 3000 dan sesekali mangsa cuba mengasak, namun kekuatan beban milik Crosstage Bob serta drag kekili membataskan segalanya.
Akhirnya, mangsa mengaku kalah apabila menunjukkan sisik oren dirinya di permukaan air. Jelas, kemenangan milik Bob apabila menaikkan seekor jenahak sekitar 3 kg.
Bob menjerit kepuasan sambil memegang jenahak yang menjadi trofi kemenangan miliknya pagi itu.
ANGKATAN TALANG TANJUNG TUAN
Di lubuk berikutnya, unjunan jig daripada Bob sekali lagi mendapat berjaya menggoda mangsanya.
Sekali lagi Bob tenang mengawal keadaan. Kudrat rod Crosstage PE 1.2 dan kekili Ryojin 3000 sekali lagi digunakan sebaik untuk membataskan asakan lawan.
Pertarungan kali ini lebih singkat tanpa banyak masalah dan Bob sekali lagi tersenyum puas dengan seekor lagi jenahak hampir 2 kg ketika matahari semakin menegakkan sudutnya.
Ketika terik matahari semakin menikam kulit, tekong Apex menghidupkan enjin bot untuk membawa kami mengejar boiling talang.
Tiba di lokasi, kelihatan riak-riak boiling sang talang umpama air mendidih di bawah payungan burung-burung laut.
Serta merta, kami yang turut mendidih keghairahan mencapai set masing-masing dan melakukan teknik jig-cast menggunakan jig yang lebih kecil.
Berat sekitar 20-40g, sebaiknya warna silver atau biru menjadi saranan Apek untuk teknik jig-cast.
Seekor demi seekor talang mula menyerah diri akibat terpedaya dengan luncuran jig kami.
Apek yang masih tekun dengan teknik vertical jigging di bahagian belakang mendapat henjutan yang agak kasar.
Menjerit-jerit drag kekili Apek meraung akibat strike demi strike yang dilakukannya, lepas geram untuk pagi tadi agaknya. Dengan tenang seekor talang atau Queenfish dinaikkan.
Talang hasil vertical jigging mempunyai saiz yang lebih besar berbanding talang hasil buruan jig-cast semasa boiling.
Keasyikan mengejar boiling talang tidak terhad kepada teknik jig-cast sahaja. Untuk menambah keseronokan, kami bertukar kepada teknik popping dan hasilnya memang terbaik.
Malah lebih teruja melihat riak air apabila talang menghentam popper di permukaan air.
Untuk aksi popping talang di Tanjung Tuan, popper berwarna putih atau clear merupakan salah satu gewang mujarab sebagai pertaruhan.
JUMPA LAGI CAPE RACHADO
Keasyikan mengejar boiling talang menyebabkan kami terlupa sudah mengheret waktu ke petang. Kami sempat dibawa ke lubuk kerapu ketika dalam perjalanan ke jeti sebagai persinggahan akhir.
Walaupun singkat, seekor kerapu berjaya dicungkil dari celahan batu sebagai hasil penutup untuk pertempuran Naval Battle of Cape Rachado.
Sekitar jam 6.30 petang, kami tiba di jeti bersama hasil cungkilan Tanjung Tuan. Sepanjang trip berlangsung, penulis secara peribadi cukup tertarik dengan kerajinan, tip dan khidmat tekong Apek Kecik sepanjang trip berlangsung.
Tidak hairan, sebelum ini ada khabar mengatakan dia antara tekong terbaik di Tanjung Tuan untuk trip jigging dan casting, sehinggakan terpaksa menempah 2 atau 3 bulan lebih awal.
Diharapkan tekong Apex Kecik terus menawarkan khidmat terbaiknya kepada kaki pancing.
Trip kali ini boleh dianggap sukses walaupun tiada mangsa bersaiz mega, namun rata-rata spesies yang dinaikkan cukup untuk membuktikan bahawa Tanjung Tuan merupakan antara lokasi terbaik untuk teknik jigging di pantai barat Semenanjung.
Dengan pengurusan di jeti yang tersusun dan dijaga bersih, penulis melihat Tanjung Tuan akan menjadi lokasi tumpuan yang lebih besar di kalangan pemancing untuk tahun yang mendatang.
Matahari yang terbenam menandakan kami perlu kembali pulang. Pertarungan sepanjang trip dan hilangnya jig sepanjang trip membuatkan kami bertekad untuk kembali. Sampai jumpa lagi Cape Rachado.
Pemilik dan pengusaha pusat pelancongan Kelong Paradise Waterfront Resort, meninggal dunia ketika berada di kelong miliknya itu yang terletak kira-kira 10 Batu Naurtika dari Jeti Bagan Nakhoda Omar, di sini, tengah malam Khamis lalu.
Allahyarham Datuk Abu Hassan Said, 62, menghembuskan nafas terakhir akibat diserang penyakit asma kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Anak kedua Allahyarham, Muhammad Raiyan Asyraf, 22, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan seorang rakan bapanya berada di kelong terbabit.
“Kami sampai di kelong ini pada jam 9 pagi Khamis lalu untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baikpulih kelong berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 pagi.
“Sebuah jentera FRT dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Sabri Dahali digerakkan ke Jeti Bagan Nakhoda Omar.聽
“Kita juga mendapatkan bantuan daripada BBP Sekinchan dan BBP Sungai Besar untuk kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot pasukan itu untuk operasi tersebut,” katanya.
Menurut Mohd Saufi, sepasukan tujuh anggota bomba dan polis menggunakan sebuah bot bomba dan mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan sehala.
“Jenazah mangsa selamat sampai di jeti Bagan Nakhoda Omar kira-kira jam 6.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk dibedah siasat,” katanya.
Allahyarham yang menetap di Subang Jaya meninggalkan seorang balu, Datin Faridah Abdul Hamid, 52, dan tiga orang anak masing-masing berusia antara 20 hingga 23 tahun.
Kelong Paradise Waterfront Resort merupakan bangunan di tengah Selat Melaka yang menjadi padang pancing popular. Penulis sendiri sudah beberapa kali ke kelong ini dan kali terakhir pada Mei 2015 yang lalu dan sempat memancing bersama Allahyarham Datuk Abu Hassan Said.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...