Port Dickson atau lebih mudah menyebutnya PD, merupakan pantai peranginan popular bagi penduduk berdekatan terutamanya bagi warga kota kerana jaraknya yang dekat.

Namun, mungkin tidak ramai tahu bahawa lautnya yang biru itu juga adalah spot pancingan popular terutama jika mengetahui rahsia lubuknya serta teknik untuk memikat ikan-ikan di sana.

 

TRIP AIR BESAR

Kami memilih air besar bagi trip jigging ini kerana kebiasaannya, ikan aktif tanpa mengira waktu. Kedatangan kami pada awal pagi disambut dengan hujan dan angin Selatan.

Menurut tekong Pak Din, hujan akan mematikan angin Selatan tersebut. Akhirnya sekitar jam 9 pagi, barulah kami dapat memunggah barang dan bersedia untuk menuju ke laut dalam keadaan yang masih gerimis.

Bot 24 kaki Pak Din dengan enjin 40 kuasa kuda terus membelah ombak sambil semua menahan kesejukan akibat kebasahan.

Trip Retro – Gempur talang PD

 

Spot pilihan ialah boya penanda kapal karam di laluan kapal. Hampir 20 minit barulah kami tiba di sana. Matahari masih lagi menyorok dan Pak Din menyarankan agar jig berwarna terang berkilat kebiruan atau merah jambu digunakan.

Belum sempat kami membaling jig, Pak Din bergegas menghidupkan enjin kerana beliau telah mengesan boiling di belakang bot.

 

Kami yang telah bersedia hanya menunggu bot untuk sampai sahaja sebelum memulakan aksi pertama. Semua melontar hampir serentak dan Maed terus sahaja mendapat tarikan pertama.

Kemudian diikuti oleh tekong Pak Din selang beberapa saat sahaja, juga sedang menahan asakan.

 

Maed akhirnya dapat menawan seekor talang bersaiz remaja manakala Pak Din pula terlucut ketika hendak menaikkan ikan tadi.

Saya turut merasai tarikan namun ikan dapat melepaskan diri ketika separuh perlawanan. Azrul dan K.I tetap cekal berjigging walaupun masih belum menerima sebarang sambaran.

 

Trip Retro – Gempur talang PD
Tekong Pak Din

 

TARUHAN TEKNIK CAST JIG

Pak Din menyarankan agar kami memasang mata tiga pada jig bagi memastikan ikan lekat kukuh.

Bot kemudiannya terpaksa dialihkan kerana ikan telah beralih arah pula. Cepat sungguh ikan tersebut hilang daripada pandangan.

 

Untuk mengesan boiling kami hanya perlu mengikuti dan memerhatikan kawanan burung yang turut sama memburu ikan. Di mana ada burung, di situ ada boiling.

Tanpa membuang masa, sekali lagi, semua melontar jig serentak. Teknik cast jig diguna-pakai pada ketika ini kerana ikan bermain di atas. Giliran K.I mendapat sambutan dan drag terus menerus berbunyi.

 

Trip Retro – Gempur talang PD

 

Pak Din juga turut serta menahan asakan, sama seperti aksi pertama tadi. Setelah berhempas pulas berlawan tarik tali menggunakan set ringan, akhirnya kedua-duanya berjaya menewaskan talang.

IKLAN

 

Azrul yang rajin berjigging menerima sentapan padu dan tali terus menerus keluar tanpa henti. Ia tidak kelihatan seperti larian talang.

Tanpa diduga, tali terputus begitu sahaja tanpa sempat mengepam joran. Menurut Pak Din, pastinya itu adalah tenggiri batang.

 

Selepas kejadian putus tadi, tiada lagi kelihatan kelibat ikan bermain air dan kawanan burung pula menghilang entah ke mana.

Kami beralih berhampiran boya di mana terletaknya kapal di dasar. Maed yang menggunakan popper menerima 2 kali sambaran namun tidak lekat.

Saya yang masih bermain cast jig `atas air’ menggunakan jig Metalic Sardine 40gm menerima satu sambaran dengan larian pantas ketika jig berada di depan bot sahaja.

 

Trip Retro – Gempur talang PD

 

Belum pun reda dengan asakan larian ikan tadi, Azrul pula mendapat tarikan di sebelah saya. Kelam kabut kami membetulkan posisi masing-masing. Agak lama juga sebelum kami dapat melihat. Kelibat ikan.

 

“Tenggiri….!” Jerit Pak Din.

 

Kami berdua berjaya mendapat tenggri bunga dan tangguk digunakan untuk menaikkan kedua-dua ekor ikan tersebut bagi mengelakkan ia terlucut.

Walaupun tidak besar, ia tetap satu tangkapan yang berharga dalam trip ini.

 

Suasana sunyi selama hampir setengah jam dikejutkan dengan sambaran popper Maed. Akhirnya berjaya juga ikan melekat di popper tersebut setelah mata tiga ditukar.

Tewas talang tersebut angkara popper Yozuri. Dalam masa yang sama, K.I turut kelihatan sedang bertarung di belakang bot.

 

IKLAN

Trip Retro – Gempur talang PD

 

Seekor lagi Talang tumpas. Ketika ini, kami berjigging dasar kerana tiada kelibat ikan di atas air.

Sambil itu, tekong Pak Din tidak kurang hebatnya kerana sambil ligat bersembang, rupanya dalam diam beliau sedang lawan tarik tali dengan sang ikan. Spesies yang sama juga berjaya ditumpaskan lagi.

 

GANGGUAN SI PENGACAU

Tiba-tiba kami terlihat sekawan ikan lumba-lumba sedang melakukan “rondaan”. Serta-merta kami tahu bahawa sekejap lagi pasti ikan akan lari menyelamatkan diri.

Tiada lagi sambaran walaupun kami mencuba berkali-kali di tiga spot yang berbeza.

Kesempatan ini kami gunakan untuk makan tengah hari dan berehat. Matahari yang dari tadi suram, kini mula terik membakar kulit.

 

Trip Retro – Gempur talang PD

 

Setelah kira-kira satu jam lebih sedikit berehat, kami bergerak semula untuk mencari ikan.

Saya menukar ke mikro jig, semata-mata ingin mencuba nasib. Jig Bakau 23gm akan diuji. Tanpa disangka, balingan kedua saya disambut dengan junaman demi junaman.

 

Setelah berjaya mengawal lariannya, ikan mula di pam naik. Seperti biasa, seekor lagi talang ditawan. Aksi tadi disambung oleh Azrul dan K.I pula.

Masing-masing menahan asakan dan dalam pada itu, Maed yang menukar kepada popper rare barunya, turut mendapat sambaran.

 

Nampaknya triple hook up sedang berlaku ketika ini. Ketiga-tiga mereka terpaksa menukar posisi bagi mengelakkan tali terbelit. Tumpas lagi sepsis Talang.

IKLAN

Nampaknya kami berpesta talang pada waktu ini. Spesies seperti GT, aruan tasik atau pun sagai langsung tidak kelihatan.

 

Trip Retro – Gempur talang PD

 

Kelibat ikan lumba-lumba masih kelihatan. Ia sedikit sebanyak telah mengganggu ikan-ikan di kawasan ini.

Rata-rata bot lain yang turut berada di sini tiada sambaran, senasib seperti kami. Namun kami tetap berusaha.

 

PESTA TALANG

Bot mula dialihkan sambil Pak Din mencari spot-spot terbaik. Agak jauh juga kami bergerak ke spot baru untuk mencuba nasib.

Hampir 10 minit berlalu, Pak Din memecah kebuntuan dengan bunyi drag beliau. Maka bermulalah pesta Talang kami lagi.

 

Boleh dikatakan kami semua mendapat sambaran paling tidak dua kali seorang. Pelbagai saiz berjaya dinaikkan.

Rabut dan terlucut juga dirasakan sama banyak dengan jumlah sambaran kami berlima.

 

Menjelang petang, kami beralih ke kawasan berbatu Tanjung Tuan. Di sini, airnya cetek namun berpotensi untuk mencari spesies lain.

40 minit telah berlalu, masih tiada hasil. Maed akhirnya mendapat satu sambaran padu dan melentur jorannya.

 

Trip Retro – Gempur talang PD

 

Masing-masing bersorak mengatakan GT telah terjerat. Sangkaan kami meleset apabila senangin kasar yang menjelma dan ia selamat di tangguk naik.

Trip ini berakhir dengan tangkap tersebut. Berjaya juga kami mendapat ikan gred A.

 

Walaupun tiada GT atau tenggiri batang mahu pun spesies mega lain, sambaran talang tetap menghiburkan dan mendebarkan.

Misi memancing adalah untuk merasai adrenalin dan “karen” tarikan ikan kerana pengalaman tersebut tidak ternilai.

 

Tekong Pak Din telah memberikan servis terbaik kepada kami dengan tidak lokek memberi tunjuk ajar serta pelbagai tip dan teknik yang betul di samping berbual sepanjang masa!!

Trip ini juga telah membuktikan bahawa perairan PD masih kaya dengan ikan sekali gus menafikan kata-kata sesetengah pihak yang kerap mengatakan ianya tiada hasil.

(Oleh: Amir Shakib)

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI