IKLAN

 

Disebabkan ayam dan daging sudah terlalu mainstream untuk dijadikan rendang pada musim perayaan ini, teringin pula mengubah cita rasa merasai rendang belut untuk dimakan bersama-sama lemang panas.

 

Oleh sebab itu, satu komplot memancing belut dibuat selepas mendapat perkhabaran ada port baik untuk mencari belut di sekitar Bukit Rambai, Melaka.

 

Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah tahu kewujudan tempat memancing belut di kawasan perumahan yang didiami keluarga saya sekarang.

Semuanya hasil cerita daripada adik saya yang sering memancing belut bersama rakan-rakannya pada bulan puasa lalu.

Tiba hari yang dijanjikan  bersama adik saya dan dua lagi rakannya terus menuju ke lubuk pertama memancing belut di sebuah kawasan sawah.

IKLAN

Sebelum tiba ke lokasi yang ditetapkan, kami terlebih dahulu menangguk ikan seluang di kawasan tali air untuk dijadikan umpan belut. Selepas itu, pemburuan dari lubang ke lubang pun bermula.

 

Tidak banyak perkakas yang perlu untuk memancing belut di kawasan ini. Penggunaan tali pintal dipadankan bersama mata kail bersaiz kecil sudah cukup untuk menipu makhluk lubang ini.

 

Tapi cabarannya sudah tentulah untuk memujuk sang belut untuk buka mulut. Harus tahu, tidak semestinya setiap lubang yang kita singgah akan berpotensi mendapatkan hasil.

Jadi, kerajinan dan kesungguhan sangat penting untuk memperoleh hasil yang lumayan. Jika puas memujuk tanpa sambaran, segeralah berpindah ke lubang lain.

IKLAN

Perkara yang paling menyeronokkan sepanjang pertama kali memancing belut ialah ketika mendapat sambaran ‘goal-keeper’.

Apa yang dimaksudkan ialah pada saat umpan ikan seluang baru sahaja masuk ke lubang, belut terus menangkap kemas umpan itu dan melarikannya jauh ke dalam lubang.

 

Saat ini membuatkan adrenalina mengalir deras dan membuatkan peluh di dahi menitik untuk menahan lariannya daripada terus melarikan diri jauh ke dalam lubang.

 

Satu lagi perkara menarik yang saya pelajari ialah belut sentiasa lapar! Ada ketikanya sewaktu cuba menaikkan belut, ia boleh lucut di pertengahan jalan.

 

Tapi jangan risau, belut tidak akan serik untuk memakan umpan. Cepat-cepatlah jatuhkan kembali umpan ke lubang yang sama dan dalam beberapa ketika ia sudah pasti akan menjamah kembali umpan tersebut.

Dalam tempoh sejam memancing hingga menghampiri senja, kami sudah berjaya mendapatkan hasil yang dikira agak mewah.

Hasil 10 ekor belut yang dipancing ini sudah cukup untuk dikorbankan ke dalam kuali dan dimasak rendang cili api.

Apa yang boleh saya katakan, rasanya memang betul-betul terangkat!