Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.

Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.

Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.

Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.

Trip Padu Sungai Sepia *

 

TEROKAI PERJALANAN JERAM

 

Trip Padu Sungai Sepia *

Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.

Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.

Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.

Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.

Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.

IKLAN

Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.

 

CELIK MATA PANDANG LUBUK

Trip Padu Sungai Sepia *
Tekong

Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.

Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.

Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.

Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.

Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.

 

IKLAN

POTONG TRIP

Trip Padu Sungai Sepia *

Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.

Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.

Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.

Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.

Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.

Trip Padu Sungai Sepia *

APA LAGI

IKLAN

Trip Padu Sungai Sepia *

Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.

Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.

Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.

Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.

Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.

Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.

Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.

Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.

Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.

Trip Padu Sungai Sepia *

INFO TRIP

  • Jumlah ahli : 9 orang
  • Jumlah sampan : 3 orang (kapasiti 5 termasuk boatman, jurumudi dan 3 pemancing)
  • Kos keseluruhan: RM 13,000
  • Tempoh: 4 hari 3 malam
  • Sasaran: Kelah merah, kejor, sebarau, baung
  • Tip: Tubuh badan perlu sihat, mampu mengharungi air dan merentas denai.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI