Tarikh yang dipilih adalah agak berarus airnya walaupun masih lagi belum tahap ‘air besar’. Sudah semestinya kami memilih teknik casting dan juga jigging.

Walaupun begitu, kami tetap menyediakan satu set pancing dasar untuk mencari anak-anak ikan sebagai hasil tambahan, jika ada.

 

Tepat 7.30 pagi, kami telah pun bersedia di jeti Kampung Permatang, Teluk Rubiah, Perak. Segala makanan dan air telah dibeli secukupnya sebagai bekalan hingga ke petang.

Bot meluncur laju ke destinasi pertama iaitu sebuah pulau kecil yang berbatu. Agak kuat juga alunnya pada waktu itu. Casting dimulakan tanpa henti namun setelah 20 minit, tiada hasil.

 

Berpindah ke pulau berdekatan dan masih lagi sama keputusannya. Tekong mengajak ke Batu Putih pula. Sauh dilabuhkan sambil jigging dan casting. Seekor todak mengena.

IKLAN

Kami juga mencuba memancing dasar di situ dan hasilnya mendapat 5 ekor ‘kerapu manis’ setelah sejam setengah di situ.

 

Hari telah mula panas terik pada waktu ini. Kami ke pulau lain pula dan ketika ini, arus masih belum pasang lagi. Lubuk ini masih lagi tiada hasil kecuali rabut sebanyak dua kali ketika beraksi.

 

Kami membuat keputusan untuk berehat di salah sebuah pulau di mana terdapat air tawar. Setelah mandi, dan berehat sehingga tertidur, kami teruskan lagi sesi memancing untuk ‘separuh masa kedua’.

IKLAN

 

Lubuk ini nampak tenang. Balingan bulu ayam kedua Elmi disambar kasar dan bermulalah aksi yang ditunggu. Setelah membuat loncatan dan berpusing separuh bot, ikan talang tersebut akhirnya tumpas.

 

Saya yang menyambung casting mendapat tarikan serta merta selepas itu. Namun ketika tekong bersedia untuk menangguk, ia terlucut. Hanya mampu melihat kelibat sahaja. Kami berpindah lagi. Nampaknya pada awal petang ini, ikan agak galak pula.

 

IKLAN

Tak sampai 10 minit casting, Tompok yang menggunakan popper mendapat sentapan. Beliau yang berada di belakang bot terkialkial menahan asakan. Tumpas alu-alu tersebut.

Memandangkan keadaan tenang, tekong pun ingin mencuba nasib. Baling kelima beliau disambut kasar.

 

Tergesa-gesa kami menggulung pancing kerana agak liar pula lariannya kali ini. Seekor talang besar berjaya ditawan. Kami berpindah setelah hampir 2 jam dan menuju ke lubuk-lubuk lain pula tetapi tiada ikan yang menyambut balingan kami.

Kata putus dicapai lalu kami pulang ke jeti dengan ceria walaupun hasilnya tidaklah banyak seperti yang diidam-idamkan. Kami akan kembali nanti.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI