Apa reaksi dan perasaan anda sekiranya set pancing kesayangan bernilai ribuan ringgit terlepas dari genggaman dan tercampak ke laut dalam sekelip mata?
Selain keselamatan diri, kelengkapan pancing juga perlu dikendalikan dengan baik agar tidak terjun ke laut ketika sedang bertarung dengan ikan berstatus monster.
Saya yang berada di lokasi kejadian hanya dapat menyaksikan set pancing rakan trip (Bobby) tenggelam dibawa pergi ke dasar laut oleh pemangsa yang tidak dikenali pasti spesiesnya.
Hasil terakhir sebelum ia terjun ke laut
Trip jigging perlahan bersama tekong Pak Ali di Port Dickson hari itu berjalan seperti biasa-biasa saja.
Malah seperti menampakkan petanda bakal pecah tong berikutan pada awal pagi lagi sudah ada ikan yang menyambar jig yang kami gunakan namun gagal didaratkan.
Setelah beberapa kali kejadian tali bersilang dengan pemancing lain, Bobby menyangkakan kejadian sama berulang.
IKLAN
Sejurus beliau bertanyakan perkara tersebut kepada pemancing lain, secara tiba-tiba set pancingnya direntap kuat dan dihenjut dengan deras.
Dalam keadaan tidak bersedia set pancingnya tergelincir dari genggaman dan tercampak ke laut.
Antara hasil lain hari itu
Saya sendiri dapat melihat set pancing itu terapung seketika di permukaan air namun agak jauh untuk dicapai. Kemudian, joran Temple Reef Levitate yang dipadankan dengan kekili Shimano Ocea Jigger Limited berserta power handle Livre tenggelam ke perut laut.
Menyedari apa yang berlaku, tanpa berlengah tekong mengarahkan kami berhenti jigging dan kembali ke lokasi tersebut dalam usaha untuk mendapatkan kembali set pancing yang lenyap di lautan luas dan dalam.
IKLAN
Sambil berhanyut di kawasan tersebut, kami berlima berusaha dengan cara tersendiri mencarinya.
Setelah tiga kali berhanyut di kawasan tersebut, usaha saya menyeret jig 250gm di dasar laut membuahkan sesuatu.
Namun sesuatu yang tersangkut pada mata kail itu dirasakan terlalu berat seumpama menarik sampah atau karang besar. Sesekali ada juga seperti tarikan berlaku.
IKLAN
Saya tidak menaruh harapan tinggi sehinggalah kelihatan ada tali pancing yang tersangkut pada split ring jig dan apabila tali pancing itu ditarik, maka muncullah set pancing yang dicari-cari.
Bobby kembali beraksi walaupun kekok menggunakan kekili kayuhan kanan
Sorak-sorai bergema di tengah lautan sejurus set pancing yang hampir satu jam tenggelam di dasar laut selamat kembali ke tangan pemiliknya.
Ternyata rezeki berpihak kepada pemiliknya. Saya sendiri sukar untuk percaya ia berjaya ditemui semula.
Setelah ianya selesai, kami meneruskan kembali berjigging mencari ikan pula. Biarpun tidak banyak hasil yang diperolehi, sekurang-kurangnya kami pelajari sesuatu yang baru pada trip tersebut.
Kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya set pancing terjun ke laut.
Rezeki saya setelah berjaya menemui set pancing Bobby
Pada 6 September 2016, seorang Nelayan berusia 64 tahun berjaya menangkap ikan pari gergasi seberat 300 kilogram di perairan Tanjung Batu, Miri Sarawak.
Nelayan, Bihie Ismail,64, berkata, ikan berkenaan ditangkap pada jam 12 tengah hari sebelum berjaya ditarik ke pantai Kampung Bungai dua jam kemudian.
Menurutnya, ikan pari itu ditangkap melalui kaedah pukat rawai menggunakan umpan isi ikan. Pukat berkenaan memang untuk menangkap pari, tetapi, dia tidak menyangka akan memperoleh tangkapan sebesar itu.
Katanya,setakat ini, dia sudah memperolehi RM1,000 hasil dari sebahagian jualan ikan berkenaan di pasar Bekenu dan penduduk kampung.
Ikan 2
Juga di Miri, pada 18 Mac 2015, Seekor ikan kerapu bersaiz luar biasa dengan berat 168 kilogram berjaya ditangkap nelayan di perairan Tukau.
Ikan kerapu yang dijual lebih RM10,000 itu menjadi rebutan pengusaha restoran di bandar ini selain turut menjadi tumpuan orang ramai yang tidak melepaskan peluang melihat ikan bersaiz luar biasa terbabit.
Pembeli bertuah yang juga pengusaha makanan laut, Ah Tai Chian, berkata, dia gembira apabila berjaya membeli ikan kerapu itu walaupun terpaksa berebut dengan pengusaha restoran lain.
Ikan 3
Pada 3 April 2017, seorang penduduk Kampung Jerantut Feri digemparkan dengan kemunculan ikan tapah seberat hampir 50 kilogram dan sepanjang 1.5 meter yang ditangkap oleh salah seorang nelayan darat di situ.
Nelayan berkenaan, Roslan Mohamad Napiah, berkata dia menangkap ikan itu menggunakan sauk besar dikenali sebagai candit.
Sekiranya anda berhasrat memancing dalam suasana santai dan damai tetapi dalam masa yang sama dapat tidak menang tangan menarik ikan, maka anda perlu menyenaraikan Kolam Pancing Harmony Klang dalam kamus memancing anda.
Melangkah masuk ke kolam pancing komersial air tawar berkeluasan satu ekar yang terletak di Rantau Panjang, Klang yang berlandskapkan kawasan kebun kelapa dan pokok buah-buahan, anda akan disajikan dengan sebuah kolam yang pada mata kasar seperti biasa-biasa sahaja.
kaunter kolam
Kolam berukuran 100 meter panjang dan 40 meter lebar, dengan kedalaman sekitar satu hingga tiga meter itu seperti tiada bezanya dengan kolam-kolam pancing lain. Namun di dalam tersebut tersembunyi lebih 10 tan ikan khususnya spesies patin yang sentiasa kelaparan.
Dengan saiz kolam yang tidak besar dan terdapat lebih 10 tan ikan yang sentiasa kelaparan itulah menjadi jaminan setiap pemancing yang mengambil pakej memancing RM 30 untuk tempoh lapan jam tidak akan kumpau atau gagal menarik walau seekor ikan.
Zuhaivy, pengurus kolam juga pemancing tegar
“Kami tidak akan biarkan pemancing bangau (tak dapat tarik ikan) dan sedia memberi tunjuk ajar termasuklah menyediakan umpan supaya pemancing boleh pacak-pacak. Malah ada pemancing yang berjaya pacak sehingga 50 ekor dalam tempoh 8 jam. Pacak sampai lebam merupakan objektif utama Kolam Harmony Klang.” Ujar Zuvainy Saari yang merupakan pengurus kolam setelah kolam diambil alih pengurusannya oleh Kolam Pancing Harmony Puchong.
Zuvainy sendiri merupakan seorang pemancing kolam berkemahiran menyediakan umpan dan pernah memenangi pertandingan memancing berstatus mega. Justeru beliau amat memahami sifat pemakanan ikan-ikan di kolam seliaannya.
pengunjung setia kolam harmoni klang
Memancing di Kolam Harmony Klang ini bukan sekadar untuk pacak-pacak sahaja. Dengan membayar yuran memancing para pemancing turut berpeluang memenangi ganjaran lebih RM1000 sekiranya tangkapan tersenarai pada papan ranking ikan terberat bulanan.
Malah pemancing turut berpeluang menerima bonus RM1000 sekiranya berjaya mendaratkan ikan patin dan karak (siamese carp) melebihi 13 kilogram. Soal berat ikan melebihi 13 kilogram bukanlah suatu yang mustahil kerana terdapat banyak ikan besar bersaiz hingga 16 kilogram.
Anda juga tidak perlu merangka masa tertentu untuk memancing kerana Kolam Harmony Klang beroperasi setiap hari. Kolam dibuka jam satu petang hingga tiga pagi dari Isnin hingga Khamis. Jumaat pula beroperasi dari jam tiga petang hingga tiga pagi.
Sabtu dan Ahad pula dibuka seawal sepuluh pagi hingga tiga pagi. Pihak kolam turut menyediakan sesi pertandingan pada setiap hari Isnin malam Selasa khusus buat pemancing yang meminati pancingan seumpamanya. Syarat-syarat atau peraturan memancing turut mesra pemancing.
Pancingan spesies tenggiri memang cukup popular di kalangan pemancing kita. Lokasi atau lubuk paling sinonim dengan tenggiri di utara ini tentulah tuas.
Tuas ialah tukun atau unjam yang dibina di tengah laut, biasanya terdiri daripada gelung simen, daun kelapa atau daun pokok Ibus yang kemudiannya diikat dengan buluh sebagai penanda lokasinya.
Maka, kelihatanlah ceracak-ceracak buluh di tengah laut penanda lokasi berkumpul ikan-ikan kecil dan besar termasuklah tenggiri.
Tenggiri memang gemar berenang berhampiran tuas untuk memburu ikan-ikan kecil seperti kembong, selar atau tamban di sekitar tuas. Jadi bagi peminat tarikan tenggiri, pastinya tuas menjadi lubuk pilihan untuk berentap.
Tuas Yan di Kedah sudah sekian lama diakui antara yang terbaik mencari tenggiri. Namun untuk lari daripada kebiasaan, grup Penang Anglers Club (PAC) telah memilih untuk mencabar tenggiri di lokasi tuas kawasan Pulau Payar atau Tuas Payar.
TRIP TUAS PAYAR ANJURAN PAC
Trip cungkil tenggiri ini pada awalnya dianjurkan oleh PAC bertujuan mengumpulkan rakan-rakan pemancing khususnya ahli PAC sendiri untuk mengeratkan hubungan sesama ahli grup seterusnya menikmati hobi hanyir yang dikongsi bersama ini.
Pihak PAC memilih lapangan Tuas Payar kerana secara tidak langsung dapat menguji lapangan dan mempromosikan lokasi ini sebagai lokasi alternatif di utara tanah air kepada peminat tegar tenggiri di Malaysia.
Sekitar 25 orang pemancing menyertai trip ini dan berkumpul di Jeti Kubang Rotan, Kuala Kedah seawal jam 6.30 pagi. Setelah berkumpul dan sesi taklimat ringkas, 5 buah bot bertolak membawa pemancing menuju ke kawasan tuas.
Tiba di tuas, masing-masing terus melabuhkan umpan pilihan. Begitu juga dengan penulis, Khairul, Tokwan, Fazrul dan Pet yang berada dalam satu bot.
Awal pagi kami bermula dengan teknik apollo mencari kembong dan tamban untuk dijadikan umpan dengan teknik drift belon.
Sambil menanti henjutan tenggiri, kami melayan cencaru yang tidak putus-putus melarikan apollo.
Di belakang bot, balingan demi balingan sesudu SO’DO perak oleh Tokwan akhirnya bersambut.
Henjutan yang dilakukan ditangani kemas oleh Tokwan yang menggunakan kekili Quantum EXO PT lantas seekor belitong sub-juvenil berjaya dinaikkan.
Tiba-tiba set joran berumpankan kembong menjerit lalu pantas disambar oleh Khairul dan mula melakukan kayuhan demi kayuhan.
Keadaan agak riuh dengan masing-masing membayangkan tenggiri pertama. Namun, bayangan tinggal bayangan apabila yang terdampar lemah ialah sang todak.
Patutlah tarikannya melilau di permukaan.
Oleh kerana keadaan air tenang dan tiada angin, kami lebih banyak melakukan teknik casting dan jig-cast sambil menanti sang tenggiri.
Fazrul masih gigih melayan cencaru dan kerisi, King of Cencaru hari itu. Casting menggunakan sesudu dan mini jig tidak menghampakan.
Belitong, cencaru dan pecah periuk antara hasilnya, jig dan sesudu yang berhasil putus pun ada.
Sekitar jam 2 petang, balingan bulu daripada Khairul akhirnya diragut kasar. Henjutan kali ini pasti tak lain tak bukan sang tenggiri torpedo.
Asakan larian bak torpedo ditahan kuat oleh Khairul sebelum mendapat peluang membuat karauan.
Setelah beberapa minit, seekor tenggiri berskala 4kg menyembah di tepi bot dan menjadi satu-satunya tenggiri hasil bot kami.
TUAS PAYAR, SPOT ALTERNATIF DI KUALA KEDAH
Di penghujung trip, hasil bot yang kami naiki hanya berjaya mengcungkil seekor tenggiri. Menurut tekong, mungkin nasib agak tidak menyebelahi kami.
Permukaan air sangat tenang kerana tiada angin menyebabkan ikan kecil kurang mengejar riak air. Namun, setidaknya ikan lauk seperti cencaru, kerisi dan selar yang memenuhi tong masih membuatkan kami berpuas hati.
Hasil daripada bot rakan pemancing lain dikumpulkan bersama pada petang itu. Jumlah spesies target iaitu tenggiri yang berjaya dicungkil sejumlah 8 ekor dengan yang paling berat ialah 12 kg.
Teknik drift umpan hidup, membulu dan casting antara teknik yang menewaskan 8 ekor tenggiri ini.
Pada hari yang tidak berapa baik, 8 ekor tenggiri yang dicungkil menandakan betapa tuas Pulau Payar ini mempunyai potensi yang baik sedikit masa lagi.
Penulis difahamkan kebanyakan tuas berusia sekitar 12 – 14 bulan dan akan ada penambahan tuas berperingkat.
Rakan pemancing yang sudah ke sini sebelum ini juga mengatakan tuas Payar tidak mengecewakan.
Melihatkan keadaan, jelas tuas Payar mampu menarik kedatangan pemancing khususnya sebagai spot melayan tenggiri.
Peranan tekong juga memainkan peranan penting dalam memberi impak positif kepada perkembangan Tuas Payar sebagai satu spot pancingan terbaik.
Dengan lokasi yang tidak jauh dari Taman Laut Pulau Payar, penulis percaya sedikit masa lagi, Tuas Payar akan dijulang sebagai satu spot utama spesies king mackerel ini.
Info Tambahan:
Kesesuaian Teknik: Pancingan tenggiri di kedah, terutama di Yan dan sekitarnya sedikit berbeza dengan tempat lain. Ada yang menganggapnya begitu cerewet.
Banyak teknik yang perlu dipraktikkan seperti casting menggunakan 2 @ 3 mata menggunakan ikan kembong (temenung) mati, drift, jigging, trolling, casting bulu dan gewang.
Untuk keberkesanan hasilnya, cubalah semua teknik kerana cita rasa tenggiri kadangkala tidak sama. Rajin-rajinlah bertanyakan kepada tekong atau orang lama atau kaki-kaki tuas sejati atau rajin-rajinlah berkunjung ke tuas.
Bukan bermakna sekali anda gagal terus tak mahu mencuba. Anggaplah ini semua sebagai satu cabaran bagi diri anda sebagai seorang kaki pancing sejati.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...