Setelah sesi berkenalan dengan Tasik Chini pada hari pertama, kami meneruskan Siri Jelajah Snakehead Malaysia pada hari kedua pula. Hari kedua merupakan hari kedua kami di Tasik Chini dan akan mencuba nasib di Tasik yang penuh dengan cerita lagenda ini secara penuh.
Hari ini kami bersama tuan rumah Sipu Suri Azlan, Sipu Atan dan Naim. Sepatutnya sipu Mohd Azly Hasan Lieynaga join kami tapi disebabkan Sipu Liey demam lepas komplot dengan kami semalam maka tak dapatlah nak join. Kami berlima mencuba nasib dengan menaiki 2 buah bot.
Ads
Berikut merupakan keputusan hasil kami casting dari pagi hingga tengah hari.
Amlie Abie (suami Akak) kena 5 misscall.
Sipu Lan kena 4 misscall
Total misscall dari pagi sampai petang (Sifu Lan, Amli Abie dan Akak) – 12 misscall.
Total lokoh – Akak seekor dan Amli Abie seekor
Strike – seekor!
Ads
Tengah hari kami rehat sampai pukul 3.00 petang. Semua terbongkang termasuk jugalah Akak… Kahkahkahhh! Pukul 3.00 kami sambung semula mencari strike toman Tasik Chini.
Petang ni cuaca berubah sikit. Angin punya la kuat sampai air tasik jadi bergelombang. Bila jadi macam ni, alamatnya… memang Akak mabuk la. Jadi pening air liur masam semua ada terasa kat tekak. Tak casting la Akak dari pukul 3.00-5.00 petang tu.
Ads
Pukul 5.00 petang tu Akak pun try la baling. First cast Akak belah petang tu terus kena baham! Menjunam dia bawak gewang Akak. Pam petama dia ada, pam kali kedua… ciuuuuuu! Terbang buzzbait Akak terus tuju kat Sipu Lan.
Nasib baik la Sipu Lan sempat tunduk. Kalau tak, bertindik la Sipu Lan. Senang cakap… lokoh la cerita dia. Laki Akak baling pulak depan dari tempat Akak lokoh. Pommmm!!! Menjunam dia bawak.. pam kali kedua terus locottttt.
Alhamdulillah Trip Tasik Chini memang kami puas hati. Walaupun laki Amli Abie tak dapat Landingkan toman dalam bot, dia puas hati dengan deretan misscall yang bagi ketor lutut.
InsyaAllah kami repeat lagi ke Tasik Chini. Terbaik semua sahabat yang terlibat. Jutaan terima kasih kami ucapkan sudi terima kami di Chini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Malam semakin pekat cuma pelantar boreng sahaja yang setia memuntahkan api tanpa henti. Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Kelihatan anak-anak ikan bermain-main kilauan cahaya di atas permukaan air. Tekong merapati tiang pelantar yang dilimpahi cahaya itu. Tanpa membuang masa, masing-masing berjigging dan membuat lontaran popper ke sasaran.
GEREPOH BEKOK
Tiba giliran Asri menyambung aksi apabila jig Runaway kegemarannya disambar penghuni dasar. Selang beberapa ketika, Wahab pula menjerit gembira setelah strike nya mengena. Selepas itu silih berganti aksi antara saya, Azman dan Wahab. Saya sendiri mendapat 3 kali strike selepas itu namun cuma seekor berjaya ditewaskan.
Selepas berusaha tanpa jemu, akhirnya popper milik Azman disambar rakus berhampiran dengan tiang pelantar. Nampak kelibat pun dah tahu tentu gerepoh yang menyambarnya. Kuat betul asakan dan lariannya tapi masih tidak mampu menandingi kekuatan Daiwa Saltiga milik Azman. Dengan pengalaman yang ada, advantage masih memihak kepadanya setelah bot dikeluarkan jauh dari pelantar minyak. Setelah hampir dengan bot barulah kelihatan seekor gerepoh lingkungan 25 kg tewas dengan popper Yo-Zuri.
Sesi malam diteruskan dengan acara jigging dan popping. Kehadiran cupak bagaikan pesta kerana banyak menyambar jig hingga ke lewat malam. Galak betul gerombolan cupak ini menyerang tanpa memilih jenis atau warna jig sekali pun. Malah jig yang bukan luminous pun pasti ada cupak yang menyambar. Tekong dan awak-awak yang silih berganti mengemudikan bot memang cekap dan profesional.
Mereka sanggup tak tidur semata-mata hendak melayan kerenah para pemancing. Lagipun dilarang sama sekali sauh diturunkan di kawasan larangan tersebut. Apabila ada sahaja sambaran maka tekong akan segera mengalihkan botnya keluar daripada ’zon bahaya’ agar pertarungan lebih adil. Sang gerepoh tidak berpeluang lagi menyelinap ke tiang pelantar yang menjadi senjata terakhirnya.
Suatu ketika, keadaan seperti tidak terkawal lagi apabila sambaran demi sambaran berlaku hinggalah ke tengah malam. Tidak kira jigging mahupun popping, semuanya membuahkan hasil. Beberapa jig telah lebur dilarikan gerepoh bagak. Begitu juga dengan popper turut menjadi mangsanya.
Cuma Wahab sahaja berjaya melayan kedegilan gerepoh menggunakan set popping miliknya yang baru dibeli. Apa yang penting, semua peserta ekspedisi ini dapat merasakan sendiri henjutan rakus sang gerepoh ini melarikan besi jig dan popper.
Kami berhenti jigging hampir jam 1 pagi. Lagi pun sudah tiada kelibat gerepoh bagak yang mencabar kami. Kami faham tekong juga keletihan mengawal bot sepanjang hari. Tekong segera beralih arah untuk memancing dasar pula. Bolehlah tekong berehat dan tidur sekejap kerana keesokan harinya masih ada tugas besar yang perlu dilaksanakan.
Acara malam menjadi acara merendam umpan untuk mencari ‘lauk’ spesies bersisik pula. Biasanya kami meletakkan acara ini sebagai penyeri bagi setiap trip. Lagi pun masa inilah nak berehat dan bersembang sambil berbincang apa strategi untuk esok harinya.
GEREPOH MEGA GT TRIANGLE
Keesokan paginya tekong segera menghala botnya ke pelantar spot yang kami gelar GT Triangle yang menempatkan tiga pelantar minyak tersohor iaitu Pulai, Seligi dan Tinggi. Bagi yang gagal semalam, inilah masanya melunaskan dendam kerana keesokan harinya kami perlu bertolak pulang mengikut yang telah ditetapkan.
Azman yang masih setia dengan teknik jigging memulakan pertarungan. Gerepoh pagi ini nampaknya lebih ganas. Namun otai berpengalaman sepertinya tidak timbul masalah kerana persediaan yang cukup rapi. Berbekalkan Shimano Stella miliknya dan rod Jigging Master mudah menjinakkan mangsa. Biasanya beliau akan melayan gerepoh sehingga lembik barulah pelan-pelan ditarik naik.
Di tengah-tengah kemeriahan tarikan gerepoh, Si Wahab pula banyak menaikkan ikan mayong yang entah dari mana sesat pun tak tahu. Mayong pun mayonglah, bagi pemancing Johor, mayong cukup bererti bagi mereka lebih daripada tenggiri lagi.
Sekurang-kurangnya jelajah api boreng ini menyaksikan gabungan ‘orang lama’ dengan pemancing baru berganding bahu merealisasikan objektif yang ingin dicapai. Otai-otai laut dalam seperti Wahab, Azman dan Asri serta awak-awak berpengalaman senantiasa memberi tunjuk ajar kepada mereka. Pesanan penaja untuk mereka yang mula mengenal pelantar minyak haruslah membuat persiapan yang lebih rapi terutamanya kekuatan mental dan fizikal.
Masing-masing baru merasai dan menyaksikan kekuatan tarikan ganas gerepoh mega di sini. Nampak gayanya lain kali perlu lebih persediaan peralatan yang lebih baik termasuklah teknik ikatan pada popper dan shock leader yang lebih kemas. Lain kali sebelum datang, masuk gym dulu bro, angkat besi lima enam kilo barulah ada power! Apa yang pasti, sambaran gerepoh di semua pelantar di sini sukar untuk dilupakan.
Setelah seharian meredah hutan dan sungai, akhirnya kumpulan kami tiba di pertembungan sungai di Sangka 3, itu pun hari sudah mendekati senja dengan renyai hujan masih tidak jemu mencurah hutan Jerantut.
Perjalanan kira-kira 80km melalui jalan balak bukanlah menjadi masalah kepada sembilan jentera ‘kereta perang’ grup Memerang Tracker, cuma cuaca hujan renyai berterusan membuatkan jalan menjadi becak dan beberapa kali juga pacuan empat roda tumpas di lereng bukit.
Setelah mendirikan kem utama dan mengisi perut lebih kurang, kami memilih untuk berehat dahulu memandangkan kesemua penat bermain kereta sepanjang hari. Lagi pun trip empat hari, tiga hari lagi sebelum keluar dari hutan.
Esoknya seawal tujuh pagi, masih dalam renyai hujan, kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan penulis memilih untuk meranduk ke hulu berbekalkan beberapa keping sesudu untuk mengilat. Setelah hampir dua jam mengilat, masih belum ada yang sudi menyambar. Lebih membimbangkan, tidak ada kelibat ikan mahu pun anak-anak ikan melintas berkejar-kejaran. Ini sesuatu yang pelik memandangkan kawasan seperti ini pasti ada anak-anak ikan melintas.
Entah ada pihak bermain tuba atau tidak, kami memilih untuk berkemas dan bertukar lubuk bagi mengelak pulang dengan gelaran kumpau. Kami terpaksa korbankan hari kedua untuk turun sedikit ke bawah dan tiba di Lubuk Sg. Pertam ketika matahari hampir terbenam.
Pagi hari ketiga, penulis cuba mengilat, namun tidak lama memandangkan hujan berterusan menyebabkan air semakin keruh dan paras air semakin tinggi. Gagal cubaan teknik mengilat tidak harus dikenang, cubalah teknik bottom asalkan tak kumpau.
Teknik bottom berumpankan cengkerik dan sawit nampaknya tidaklah begitu memberikan hasil lumayan. Dalam keadaan renyai hujan, hanya baung bersaiz kecil hingga sederhana yang menjamah umpan, yang gadang nampaknya tak berselera.
Pada malam akhir, penulis bersama Mizun dan Wan sekali lagi, kali ini dengan sedikit umpan cacing yang dikorek di kawasan lubuk. Selepas beberapa ekor baung dan dua ekor keli tumpas, joran Wan ditarik kasar. Entah spesies apa yang menarik kerana tali dibawa ke reba sebelum terlucut.
Kemudian, joran Mizun yang melentur laju sempat disambar dan karauan laju dibuat. Setelah beberapa ketika, dalam kepekatan malam dan renyai hujan, seekor kelah merah hampir 1kg tewas di gigi air. Nah, hanya berumpan cacing.
Dalam bergembira dengan kelah tersebut, sekali lagi rod Mizun ditarik sebelum seekor lagi kelah, kali saiz lebih kecil, berjaya didaratkan juga berumpankan cacing. Betullah perkiraan kami sebelum itu, kalau mengilat tak dapat, main bottom pun jadilah. Setidak-tidaknya, dua ekor kelah tersebut sedikit sebanyak menjadi pengubat dalam trip ini. Tidaklah kami berangkat pulang dengan membawa gelaran kumpau.
Kebiasaannya, ramai pemancing mengklasifikasikan Temenggor Selatan sebagai Tasik Banding manakala Temenggor Utara sebagai Taman Negeri Royal Belum. Antara dua bahagian di Empangan Temenggor ini, yang kerap diberi perhatian oleh geng casting ialah di bahagian Temenggor Utara iaitu Taman Negeri Royal Belum kerana stok ikannya yang masih terjaga.
Tetapi disebabkan kekangan waktu yang agak tak mengizinkan dan juga musim monsun yang telah tiba kami mengambil keputusan untuk mencari trip sehari yang mana ia tidak memerlukan perancangan masa yang lama dan juga kosnya yang agak murah.
Potensi Setiap Suak
Sebenarnya di Temenggor Selatan terdapat banyak juga spot-spot yang boleh dicuba. Antaranya Sungai Kedah, Pulau Tujuh, Sungai Rokam, Air Kuda, Air Dok dan juga beberapa buah tempat lain lagi.
Trip kali ini disertai seramai 12 orang dengan menggunakan 4 buah bot. Kami yang dari pagi telah berpecah ke suak-suak kegemaran guide masing-masing sentiasa mengharapkan agar setiap bot memperolehi hasil yang memuaskan.
Bot yang dipandu oleh tekong Zack, selaku guide bot penulis terlebih dahulu mencuba di kawasan sekitar suak berhampiran dengan Jeti Awam Banding sahaja malah boleh dikatakan agak dekat sahaja dengan jambatan kerana tidak mahu membuang masa pada awal pagi.
Dari kejauhan setiap suak yang dimasuki agak sunyi dan tidak kelihatan langsung riak ikan bermain air. Namun, tanpa disangka, lontaran pertama Syawal ke arah tunggul yang agak terbuka telah disambut sebaik sahaja sesudu beliau menyentuh air.
Kami agak terkejut kerana suak yang berdekatan dengan kawasan bot lalu lalang sahaja sudah boleh memberikan hasil. Ini membuatkan kami bertambah semangat untuk mula mencuba nasib.
Teknik Korek
Semasa menghampiri penghujung suak, terdapat sebatang pokok tumbang yang kelihatan berpotensi. Faizal tanpa membuang masa telah menjatuhkan mikro jignya merapati reba yang menjulur ke dalam tasik. Baru dua atau tiga kali ‘jerk’ sahaja jig beliau telah disambar oleh sebarau berskala 800-900 gram. Memang lumayan!
Tekong yang berdayung perlahan menyarankan kami tunggu untuk casting seketika sehingga dia betul-betul memakir botnya selari dengan reba tumbang yang tenggelam. Setelah memakir bot betul-betul di atas reba tumbang tersebut, dia menyarankan kami untuk mencuba teknik ‘korek’. Beliau menyarankan agar kami membaling spoon ke tengah tasik dan menarik spoon ke tepi.
Kami yang selalunya melontar gewang ke tebing dan menarik semula gewang ke tengah merasa agak pelik dengan teknik yang disarankan oleh tekong. Tetapi bila kami mencuba teknik ini kami bukan sahaja terkejut dengan hasil yang diperolehi tapi boleh dikatakan teknik ini agak sukses. Dengan cara ini sahaja kami telah berjaya ‘mengorek’ sebarau direba tersebut dengan agak banyak.
Selalunya pada awal pagi dan petang adalah waktu yang paling sesuai untuk memburu sebarau. Dan pada waktu pagi jugalah selalunya ‘boiling’ sebarau senang dijumpai.
Tetapi kali ini kami langsung tidak menjumpai ‘boiling’ sebarau. Kebanyakan sebarau yang kami perolehi adalah dengan teknik melontar gewang atau spoon serapat mungkin di ranting-ranting dan tunggul kayu yang terdapat di tepi tebing.
Jika tunggul tersebut berpenghuni dengan sekali karauan sahaja gewang kami akan disergap sebarau. Saya yang dari pagi asyik menggunakan spoon telah cuba menukar kepada gewang Rapala Fat Rap 5cm.
Gewang telah di lontar dicelah dua batang reba dan mengarau secara perlahan hasilnya saya mendapat strike pertama setelah merasa agak panjang juga sebelah tangan.
Boleh dikatakan pada trip kali ini toman sangat jarang timbul. Suak demi suak yang kami masuk langsung tidak nampak toman timbul untuk mengambil udara. Mungkin disebabkan cuaca yang mendung dan berada pada musim monsun menyebabkan toman sedikit pasif. Sehinggakan kami menjumpai beberapa kelompok anak toman yang masih ‘berpenjaga’ tapi langsung tidak mengendahkan gewang yang kami lontarkan.
Syawal yang menyediakan dua set mengilat, satu set untuk sebarau dan satu set untuk toman dengan pantas melemparkan gewang Megabass Deep X ke arah toman bujang yang timbul di satu suak. Walaupun lontaran sedikit tersasar tetapi kayuhan perlahan gewang tersebut telah diragut oleh penghuni tasik. Nyata toman bujang memang lebih agresif.
Bot yang dinaiki Wan, rakan penulis yang berada tidak jauh dari bot penulis turut mencatatkan keputusan yang menggembirakan. Sang toman yang mereka daratkan kebanyakan menghentam gewang ketika ‘blind cast’ sahaja. Dalam trip ini juga Chidan telah berjaya mendaratkan seekor sebarau anggaran saiz lebih 2 kg menggunakan set up yang agak ringan dengan menggunakan tali berkekuatan 6lb.
Keputusan Bot Lain
Alhamdulillah, dalam kunjungan ini, nasib sangat menyebelahi kami. Alhamdulillah, setiap bot mendapat hasil yang boleh tahan lumayan. Nampaknya trip ke Temenggor kali ini masih memberikan hasil yang agak lumayan kepada setiap bot.
Cuma trip kali ini kami semua tidak dapat meneroka keseluruhan tasik kerana waktu memancing yang singkat. Dengan izin Allah, kami pasti akan kembali lagi ke sini bila tiba musimnya nanti.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...