Tengalan @ Puntioplites Bulu merupakan spesies yang tergolong dalam keluarga Cyprinidae yang mampu membesar di habitat semulajadi sehingga 7kilogram berat dengan ukuran 35cm panjang.
Ikan yang ‘berat mulut’ untuk memakan umpan di mata kail ini mempunyai tabiat pemakanan yang amat perlahan iaitu dengan cara mematuk dan menyedut makanan
disebabkan mulutnya yang kecil serta tidak mempunyai barisan gigi yang membolehkan ia mencengkam makanan.
Dedak yang telah digaul perisa strawberi dan pandan yang kemudiannya dicampur palet ikan antara yang laris untuk menjeratnya.
Bebola polisterin yang kecil dicangkuk ke mata kail supaya ia terapung kerana tengalan makan secara menegak dengan mulutnya di bawah serta ekornya ke atas.
Ketika ia sedang leka menyedut umpan dedak pasti akan tersedut mata kail yang terawang-awang masuk ke mulutnya.
Pecutan pertama sang tengalan setelah ‘tercekik’ mata kail mampu membuatkan joran terpelanting ke dalam sungai.
IKLAN
Jangan pandang sebelah mata ikan ini dengan meletakkan joran bebas merdeka atau menyandarkannya sambil lewa.
Kedudukan rumah rakit yang ditempatkan di satu selekoh Sungai Tembeling ini dengan tebing berbatu hingga ke dasar merupakan lubuk kegemaran berbagai spesies termasuk tengalan yang gemar bermain di pertengahan serta dasar sungai.
Menurut Haji Nan harga pasaran bagi ikan yang berbadan pendek, dempak serta banyak tulang tapi manis isinya ini mencecah sehingga RM70 sekilogram.
IKLAN
Selain lampan sungai dan temperas yang dianggap pengacau turut terpedaya. Turut memeriahkan suasana apabila beberapa ekor kerai kunyit serta kelabau sudi menjamah umpan.
Teknik mata bom di sungai ini juga berjaya menjinakkan sebilangan patin lawing yang pada kebiasaannya dipancing menggunakan umpan roti dan lipas.
IKLAN
RUMAH RAKIT HAJI NAN:
⇒Dibina pada tahun 2007
⇒Untuk ke rumah rakit ini mengambil masa 45 minit hingga 1 jam dari Kuala Tahan bergantung kepada paras air serta muatan.
⇒Kadar sewaan rumah rakit, RM150 seorang untuk 2H 1M dan RM220 untuk 3H 2M. Pakej termasuk penginapan serta makan dan minum. Sewaan chalet (di daratan) sehari RM15 seorang.
⇒Disamping berkunjung bersama rakan pemancing, rumah rakit ini juga sesuai untuk pancingan santai bersama keluarga sambil bercuti menikmati keindahan alam semulajadi hutan hujan yang berusia 130 juta tahun.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kewujudan perkampungan Air Ganda pada tahun 1976 adalah susulan daripada projek pembinaan Empangan Temenggor.
Penduduk Kampung Temenggor dan beberapa kampung lain telah dipindahkan ke kawasan penempatan baru termasuklah perkampungan Air Ganda.
Limpahan air empangan yang membentuk tasik sehingga ke perkampungan ini sekaligus menamakan tasik tersebut sempena nama kampungnya, Air Ganda.
Dalam masa yang singkat, tasik di hadapan kampung ini menjadi salah satu sumber rezeki penduduk di sini.
Spesies ikan air tawar seperti jelawat, kelabau, ketutu, sebarau, loma, belida, baung, tengalan serta ikan-ikan lain menjadi sumber pendapatan kepada penduduk, di samping mengerjakan ladang getah serta bercucuk tanam.
Sementara kewujudan ikan pemangsa seperti toman dan sebarau secara tidak langsung membuka kepada sesetengah penduduk menjadi juru pandu pancing.
Tasik Air Ganda merupakan antara destinasi popular bagi pemburuan keluarga ikan snakehead.
Dikatakan toman yang menghuni tasik buatan ini mempunyai kudrat berganda berbanding di tempat lain.
Bagi caster yang menyasarkan toman sebagai ikan buruan dianggap ‘tidak lengkap’ sekiranya belum bertarung dengan toman di tasik ini.
Air Ganda terkenal dengan tomannya yang perkasa dan pemancing sering berkunjung ke sini untuk merasai nikmat pertarungan dengan penghuninya.
Semakin lama populariti Air Ganda semakin merebak sehinggakan ramai pemancing dari luar negara turut berkunjung ke sini termasuk dari Jepun.
Permintaan yang tinggi daripada pemancing menyebabkan tekong tidak menang tangan.
Sebelum menjadi tekong, Pak Usop merupakan seorang nelayan di tasik ini tetapi melihat kepada perkhidmatan sewaan bot memancing yang diusahakan oleh tekong di Chenderoh,
Temenggor serta Bersia mendatangkan hasil yang memuaskan, beliau beralih arah. Kini Pak Usop mempunyai beberapa buah bot untuk memenuhi permintaan warga pancing.
Info Air Ganda
Terletak dalam daerah Gerik, Perak.
Merupakan tasik buatan paling hilir di selepas Temenggor/ Banding dan Bersia.
Dinamakan Air Ganda berdasarkan nama tempat iaitu Felcra Air Ganda yang terletak bersebelahan empangan tersebut.
Nama Air Ganda juga disebut ‘double water’ oleh kaki pancing.
Antara juru pandu pancing yang popular di sini ialah Pak Usop dan Anip AG.
Umpan tiruan atau lebih senang disebut sebagai gewang merupakan terminal tackle yang amat penting dalam aktiviti memancing terutamanya dalam metod sukan memancing. Sekiranya anda ingin menggunakan gewang, sedikit sebanyak tip perlu diketahui.
Gewang berkualiti
Oleh kerana kebanyakan gewang berbadan keras perlu berenang cantik untuk menggoda sambaran, apa yang anda lihat mencakop di rak kedai pancing itu tidak akan membantu jika ia tertonggeng atau meluncur di permukaan air selepas dilontar.
Gewang jenama popular lazimnya diuji dalam kolam mini sebelum dipaket, jadi ia pasti berenang elok sebaik saja keluar dari paketnya.
Kebanyakan gewang berkualiti tinggi diuji setiap unit apabila disiapkan dan kadar penghasilannya lebih perlahan berbanding gewang bajet yang bagaikan peluru dimuntahkan dari mesin acuannya.
Gewang softplastic
Gewang softplastic SP) yang semakin banyak dan pelbagai memang menakutkan kita melihatnya. Tetapi ia memang berkesan sejak sekian lama. Lazimnya semua jenis dan warnanya adalah bagus dan sesetengahnya lebih berkesan berbanding gewang lain.
Dua perkara perlu diingat jika menggunakan sp iaitu mata kail dan jig head berkualiti dan saiz sp yang digunakan relatif dengan mangsa semulajadi ikan sasaran.
Anda boleh mengelak dari membeli sp murah tetapi anda tak boleh lari dari mata kail tumpul, murah dan lembut padanya atau jid head yang tidak berpadanan atau beratnya tidak seimbang dengan gewang.
Rajin-rajinlah guna tali atau perambut sehalus mungkin agar tidak mencacatkan pergerakan gewang anda.
Membeli perkakasan terminal sama seperti membeli barangan lain. Tanyalah apa sahaja kemusykilan kepada operator kedai pancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...