
Sebelum kita pergi kepada taktik dan teknik memancing udang galah, kita perlu memahami udang galah dan habitat yang ia hidup.
Udang galah hidup berkelompok dan selalunya terdapat di kawasan yang mempunyai reba atau struktur yang terdapat di dalam sungai.
Memahami situasi sesuatu lubuk adalah perkara yang paling utama sebelum melabuhkan umpan.
Sekiranya arus air deras maka mereka akan berselindung di kawasan tepi dan semasa tiada arus atau arus perlahan mereka akan ke tengah sungai.
Gagal memahami tabiat udang ini bakal menyebabkan kita rentung sepanjang hari.
Udang galah aktif apabila air sungai bersuhu suam dan akan kurang makan apabila air sungai sejuk atau terlampau tawar.
Musim yang paling baik untuk memancing udang adalah pada musim panas atau kemarau.
Udang galah adalah haiwan jenis omnivor iaitu spesies yang makan serba-serbi yang dijumpainya.
Bagi saya, umpan yang saya selalu gunakan adalah perumpun, cacing, isi ikan, jantung ayam yang dibakar sedikit dan dihiris, isi ikan kembung, kulit ayam dan ikan longkang atau
gapi yang ditangkap dan disimpan dalam bekas plastik selepas direnjiskannya dengan sedikit belacan dan dibekukan selama sehari dua.
Boleh dikatakan udang galah akan makan serba jenis benda yang berdaging yang berbau.
Untuk mata kail pula saya selalu menggunakan mata kail no 1 hingga 5 kerana saiz ini paling sesuai di mana adakala saya pakai jenis berduri (barb) dan ada masa jenis tidak berduri (barbless). Apa yang penting mata kail itu mestilah tajam.
Satu lagi tip yang saya hendak berikan adalah supaya menggunakan ‘burley’ atau rasuah untuk memikat udang datang.
Caranya gunakan makanan kucing yang basah yang dijual di kedai di dalam tin ataupun paket. Saya akan membuatkan lubang pada tin atau paket dan meletaknya di bawah bot atau sampan.
Ketahui Perkara Asas Menggunakan Enjin Bot!!

Pengenalan – Enjin sangkut laut dan air tawar
Terdapat dua sistem teknikal yang direka untuk kegunaan laut dan juga air tawar. Bagi kegunaan perairan air masin dan air tawar perbezaan panjangnya adalah 5 inci.
Perbezaan ini adalah kerana enjin sangkut yang digunakan di laut perlu melepasi badan bot atau sampan supaya kipasnya tenggelam dan tidak tergantung ketika meredah ombak.
Bagi enjin kaki pendek ianya sesuai digunakan di tasik, sungai, lombong dan juga perairan yang tenang yang tidak mempunyai ombak dan alun.
Enjin sangkut ini terbahagi kepada dua iaitu 2 lejang (2 stroke) dan 4 lejang (4 stroke) yang mana sistem penjanaan bahan apinya seperti motosikal ataupun kereta, cuma enjin 2 lejang memerlukan bahan pelincir tambahan minyak 2T TCW khas.
Asasnya sama seperti motosikal 2 lejang yang menggunakan minyak 2T.
Seiring dengan peredaran zaman ketika ini yang lebih mementingkan mesra alam, enjin bot 4 lejang boleh dikatakan semakin meluas penggunaannya berbanding enjin 2 lejang.
Harganya pula lebih mahal berbanding enjin 2 lejang. Namun, kebanyakan bot untuk kegunaan memancing dan nelayan pantai tradisional, enjin bot 2 lejang masih banyak dipraktikkan.
Penjagaan Enjin Sangkut
Kebiasaannya enjin sangkut di bawah kapasiti 30 kuasa kuda (hp) masih mampu dipikul oleh seorang manusia dengan berat anggaran 50kg ke bawah.
Ia memberikan kelebihan penyimpanan sekiranya tidak digunakan dengan kerap dengan menyimpannya di stor penyimpanan.
Tapi untuk enjin bot yang lebih besar atau yang kerap turun ke air, kebanyakan pemiliknya akan membiarkan enjin botnya terpasang di bot dan menaikkan kipasnya ke atas sahaja.
Sebaik-baiknya, jika dibiarkan, perlu tutup bahagian enjin menggunakan kanvas mengelakkan terdedah dari panas dan hujan.
Paling mustahak adalah, sentiasa memastikan palam pencucuh sentiasa berfungsi dan kerap diperiksa sebelum turun memancing.
Ini kerana sekiranya pantulan api ke palam pencucuh tidak mencukupi ianya akan menjadikan enjin ini semput semasa membuat pergerakan.
Terdapat beberapa faktor yang menjadikan enjin semput iaitu palam pencucuh yang tidak diganti (terlalu lama), kerosakan pada sistem coilnya, terlebih bancuhan 2T ke dalam
petrol (menyebabkan berlakunya plug ‘basah’ atau kaburator telah tersumbat (tidak kerap diservis ).
Sehubungan itu, sebelum turun memancing, pengendali bot perlu memeriksa terlebih dahulu keadaan enjin dan membawa perlatan secukupnya sebagai persediaan jika enjin bot tidak berfungsi.
Bancuhan 2T TCW
Bagi enjin sangkut 2 lejang, bahan api nisbah 50 liter kepada 1 liter 2T TCW adalah sukatan yang tepat.
Minyak pelincir ini mempunyai kelikatan yang berlainan dengan minyak pelincir untuk kegunaan enjin motosikal.
Ianya direka khas untuk spesifikasi enjin sangkut tidak kira sama ada yang digunakan di laut mahupun sungai.
Jangan sesekali menggunakan minyak pelincir 2T motosikal kecuali dalam keadaan kecemasan dan sukar mendapatkan 2T TCW enjin sangkut khas.
Ianya boleh memberi kesan kepada sistem pergerakan omboh dan juga pengaliran petrol ke dalam kaburator dan boleh menyebakan overflow kerana kelikatannya akan memekatkan lagi minyak petrol yang perlu dijana kepada sistem pembakarannya.
Bagi enjin sangkut 4 lejang yang menggunakan system minyak hitam untuk melincirkan pergerakan enjin ianya perlu ditukar sebulan sekali mengikut kekerapan penggunaan ataupun 100 jam penggunaan.
Sekiranya enjin ini tidak digunakan dan perlu disimpan, ianya tidak boleh dibaringkan pada posisi yang salah kerana ini akan menyebabkan kebocoran pada minyak enjin tersebut.
Sebaiknya letakkan pada posisi berdiri seperti menggunakan stand untuk memastikan enjin dapat berfungsi dengan baik selepas di simpan.
Profil lengkap udang galah!!

Udang galah bersifat omnivor di samping memiliki saiz mulut yang kecil untuk makan daging dan tumbuhan. Bahan reput, tumbuhan akuatik, daging haiwan, dan daging ikan juga merupakan sumber makanan udang galah.
Disebabkan makanannya mendap di dasar sungai, udang galah menjadi hidupan akuatik yang amat sesuai mendiami habitat di dasar sungai.
Macrobrachium rosenbergii merupakan spesies terbesar dalam kalangan udang air tawar dengan panjang keseluruhan termasuk kelanya mencecah hingga 70 sentimeter dan berat yang melebihi 500 gram. Kadang-kadang boleh mencecah sehingga 2kg.
Saiznya yang besar dengan fizikalnya yang menarik membuatkan spesies ini berpotensi dijadikan makanan istimewa bagi penduduk Malaysia.
Haiwan akuatik ini berwarna kebiru-biruan, kehijau-hijauan dan kelabu dengan memiliki kaki renang sebanyak lima pasang termasuk tiga pasang kaki jalan, sepasang penyepit dan sepasang kaki pemungut makanan.
Kulit udang galah yang berupa eksoskeleton adalah separa lembut dengan diselaputi lima segmen kulit yang memudahkannya bergerak, dan berenang.
Jangka hayat udang galah dapat mencapai hingga lima tahun. Hal ini menjadikan spesies udang galah masih kekal di persekitaran sungai di Malaysia.
Proses pemburuan oleh manusia yang terhad kepada kaedah tradisional menyebabkan spesies ini kekal beberapa dekad lagi.
Hal ini memberikan kesempatan kepada spesies udang galah meneruskan generasinya melalui proses pengawanan. Udang galah mengawan apabila mula matang.
Kebanyakan udang galah betina matang apabila umurnya mencecah dua bulan selepas menjadi poslarva.
Bagi udang galah jantan pula, kematangan dicapai apabila berumur melebihi tiga bulan.
Kebiasaannya, seekor udang galah jantan dapat mengawan dengan empat hingga tujuh ekor udang galah betina. Proses mengawan berlaku apabila induk udang galah betina mula bersalin kulit. Pada ketika itu, keadaannya lembut dan kurang bermaya.
Di samping itu, proses pengecutan otot pada bahagian luar ovari berlaku dan secara langsung memberikan tekanan kepada sistem peneluran. Dalam masa yang sama, organ pembiakan mulai terbuka secara perlahan-lahan.
Pengeluaran telur berlaku melalui telikum, iaitu organ pembiakannya. Peluang ini digunakan oleh induk jantan bagi memindahkan spermanya kepada telur berkenaan bagi proses persenyawaan.
Telur berkenaan kemudiannya dilekatkan pada kaki renang pertama hingga kaki renang keempat. Tempoh perkembangan telur ini adalah antara satu hingga 18 hari dengan disertai perubahan warna telur.
Terdapat tiga fasa peringkat telur. Fasa pertama, telur berwarna oren dalam tempoh tujuh hari pertama.
Pada fasa kedua, warna telur berubah menjadi kekuning-kuningan manakala pada fasa ketiga, warna telur menjadi kelabu dengan terbentuknya larva yang bakal mewarisi generasi udang galah.
Sebaik sahaja telur mencecah hari ke-21, larva udang galah menetas dan mulai beredar daripada induknya.
Larva udang galah berenang dalam keadaan terbalik, iaitu kaki berjalan dan kaki renangnya menghala ke atas.
Larva memakan hidupan zooplankton seperti moina, kopipoda, dan rotifer. Pada peringkat ini, persekitaran habitat sedikit masin disebabkan oleh garam daripada air laut.
Situasi ini berlarutan selama 40 hari hinggalah peringkat ini bertukar menjadi poslarva.
Pada peringkat poslarva, udang galah meniarap dan berenang seperti induknya. Bentuk udang galah yang bercirikan induk memudahkannya bergerak mencari makanan,
membesar menjadi juvenil di samping memaparkan unjuran kaki berjalan kedua yang mulai membesar serta memanjang.
Ciri fizikal yang dimiliki ini menandakan bahawa udang galah telah mewarisi sifat induknya. Jika udang galah memiliki warna yang pudar, induk betina terhasil. Sebaliknya, jika udang galah berwarna terang kebiru-biruan, induk jantan pula terhasil.
Mata kumpulan yang dimiliki oleh udang galah membantunya melihat keseluruhan persekitaran.
Hal ini menjadikan udang galah sukar terhapus generasinya dari segi keselamatan. Deria penglihatan ini memudahkan udang galah mengesan musuh di persekitaran kerana udang
galah menjadi kegemaran pemangsa seperti ikan haruan, toman, dan keli termasuk haiwan seperti memerang.
Di samping itu, bentuk udang galah juga memudahkannya melakukan penyamaran semasa berada di dasar sungai.
Antenular yang berbentuk sesungut berupaya mengesan gradien kimia serta menentukan punca pencemaran.
Udang galah ini bergerak dan mendiami suatu kawasan dalam bentuk kumpulan yang kadangkala mencecah hingga 50 ekor.
Macam Tak Percaya Umpan Ini Ikan Patin Suka

Guna tapai buat umpan memancing? Biar betul… memang betul! Ini dia rahsia yang disimpan sekian lama oleh seorang pemancing handalan bagi menyediakan umpan memancing ikan patin di kolam pancing.
Bahan-Bahan
1 pek tapai ubi kayu
1 pek santan segera
1 tin minyak sapi (kecil)
1 pek tempe
1 pek mauripan
esen pisang
2 biji telur itik
roti sandwic
Tutorial 1
Potong tempe kecil-kecil dan masukkan terus ke dalam bekas pengisar. Kemudian Masukkan sebungkus ibu roti segera / mauripan.
Tutorial 2
Masukkan satu pek penuh santan segera.
Tutorial 3
Buangkan urat-urat dalam tapai ubi kayau dan masukkan ke dalam bekas pengisar.
Tutorial 4
Pecahkan 2 biji telur itik ke dalam bahan di dalam bekas pengisar.
Tutorial 5
Masukkan pes pandan/strawberi sebanyak 2 penutup sekiranya perlu.
Masukkan 3 penutup esen pisang.
Tutorial 6
Kisarkan dulu bahan-bahan tersebut kemudian tuangkan minyak sapi yang telah dicairkan.
Kisarkan sekali lagi adunan dengan minyak sapi dan sebaiknya simpan umpan ini sekurangnya 6 jam sebelum digunakan.
Cara Menggunakan Umpan Tapai Ubi Kayu
Sebaiknya proses memeram umpan tapai ubi kayu dilakukan dengan cara memasukkannya di dalam bekas bertutup dan dibiarkan terkena cahaya matahari. Setelah 6 jam kemudian, barulah umpan tersebut sesuai digunakan bersama roti dadu.
Ambil umpan dan sapukan pada bekas bancuhan (sukatan umpan bergantung kepada anggaran roti yang digunakan. Sebaiknya jangan terlebih supaya roti tidak menjadi lembik atau benyek.
Masukkan roti sandwich yang telah dipotong dadu dan gaul sehingga umpan dan roti sekata.
Cucukkan roti dadu pada kedua-dua mata kail (perambut Y) sebagai inti. Sebaiknya biarlah roti menutup keseluruhan mata kail.
Kepal roti dadu pada mata kail yang telah dicucukkan roti dadu sebagai inti. Kepalan sebaiknya tidaklah terlalu kuat, sekadar ia tidak pecah ketika membuat lontaran sudah memadai.