Lama tak post cerita pasal trip yandat.. bermula dari 1.7.2022 hingga 3.7.2022 sedia maklum diikutkan pada kiraan hari bulan Islam (1-5hb) ialah tempoh bulan baru mula muncul setelah hampir seminggu menghilangkan diri. Jadi untuk dapatkan hasil yang boleh memuaskan hati adalah sangat tipis.
Kat sini saya ingin berpesan kepada semua angler sajat (pemancing sotong) atau kepada angler yang baru nak belajar cara memancing sotong:
Jangan segan tanya tekong atau krew cara-cara dan teknik memancing sotong dengan betul.
Jangan malas tukar perambut atau buat perambut yang baru seperti tekong tunjukkan
Jangan menunggu sotong nak makan sendiri candat yang korang dah turunkan ke dalam air. Jangan jadi pemalas…! Dah tau kita guna candat yang tak beryawa jadi kita sendiri kena menggayakan candat tu sendiri untuk menarik perhatian sotong supaya cepat menyambar candat yang kita gunakan. Hasil nak banyak kan? Jadi jangan malas… korang ingat mancing sotong rileks je!? Lagi penat dari korang main bottom.
Ads
Kalau korang dah tau tekong yang korang booking tu memang specialist tekong candat, jadi jangan nak memandai mengajar tekong itu ini atau beralih spot ikut suka hati korang. Yes… customer always right. Pada saya permintaan dari korang adakala boleh diterima dan adakala saya terpaksa menolak permintaan korang kerana bersebab.
Masa makan sotong aktif pada terbenamnya matahari 6pm-8pm adakala masa aktifnya tidak seperti masa yang saya bagitau ni.. adakala ikut pada faktor air laut. Kesimpulannya, masa makan sotong tak panjang jadi korang kena kerja kuat dapatkan strike sebanyak mana yang korang mampu!
Ads
Bukan masa sotong tengah galak makan korang sibuk nak makan la baru nak ikat perambut la. Persiapan sepatutnya boleh dilakukan seawalnya. Perambut tambahan perlu ada yang dah siap diikat untuk mempercepatkan atau memudahkan kerja korang masa dalam bot.
Bila saya tanya selalu ke turun ke laut!? Jawapannya seminggu sekali bang… saya ada trip laut ni ikut kawan-kawan… tapi bila ikat perambut dalam bot dia mabuk!
Kebajikan tekong dan awak-awak. Korang tau apa yang saya maksudkan. Macam saya takde masalah korang nak jaga kebajikan saya dan awak-awak tu tak penting… tapi untuk tekong lain maybe ambil berat tentang ni. Sekurang-kurangnya korang bekalkan la sikit makanan untuk dorang ni baru tekong dengan awak-awak korang ada tenaga nak bantu untuk menambahkan lagi hasil korang. Benda ni patutnya tak perlu bagitau (ada akal pikir sendiri).
Ads
Percaya pada rezeki korang pada hari trip yang korang dah pilih. Tapi kan, kat sini ada kontranya… bila dapat tekong yang hyper aktif player pulak yang malas! Bila dapat player yang hyper rajin tekong lak buat perangai. So ni pun korang kena terima dengan berlapang dada. Jangan salahkan sesiapa. Mood manusia sentiasa berubah-ubah macam sesumpah.
Mancing je pun… yang penting kita happy hasil nombor dua. Paling penting bila pulang ke jeti masing-masing berpuas hati dengan usaha antara tekong dan anglers… good job. Walaupon balik dengan hasil yang tak seberapa.
Perkongsian oleh: Mohd Nadzri Ismail
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Memancing kena enjoy, jangan ada sebarang tekanan, barulah perasaan gembira dan feeling akan mengalir dalam diri kita.”
“Untuk menjadi seorang pemancing yang baik, perlu senantiasa belajar banyak perkara tentang ilmu memancing dan jika sudah berilmu jangan lokek dan sombong untuk berkongsikan dengan pemancing lain terutama pemancing baru,”
itu kata azimat dari otai yang begitu professional dan dikenali dalam arena pancingan tanah air, Mejar (B) Ismail Feisol.
Bercerita dengan lebih lanjut perihal mengenai dirinya, Ismail atau lebih senang disebut Mejar atau ‘Major’ dikalangan orang yang mengenali dirinya, berkata memancing kini sudah begitu sebati dengan dirinya.
“Saya minat memancing sejak dari kecil lagi. Keluarga saya memang gila memancing termasuklah datuk nenek saya dan tempat favourite memancing kami sekeluarga adalah perairan Pulau Langkawi dan sekitar negeri Kedah.”
“Bahkan, pada awal usia kanak-kanak saya telahpun dibawa oleh keluarga memancing di laut dan ketika usia lima tahun saya telah berjaya merasai pengalaman bagaimana bergasak menaikkan ikan yu besar.”
“Kalau nak tahu, dua hari lepas saya dan isteri bernikah, saya pergi berbulan madu dan bulan madu kami itu sebenarnya kami pergi memancing di Langkawi,” katanya.
“Selepas menamatkan pengajian, barulah saya betul-betul serius dengan arena pemancingan dalam negara, luar negara, menternak dan buat bisnes berkaitan ikan, terlibat dengan pelbagai program dokumentari dan banyak lagi.”
“Sejak itu jugalah saya diundang sebagai kolumnis untuk kebanyakan penerbitan di tanah air berkaitan hobi memancing,” katanya yang telah memancing hampir keseluruhan tempat memancing terbaik dunia.
Ujar Major lagi, program dokumentari memancing pertama beliau di kaca televisyen adalah Pancing-Pancing yang disiarkan di RTM pada tahun 1996, dimana beliau bergandingan
dengan personaliti Maznah Zulkifli. Program berkenaan diterbitkan oleh Pesona Pictures dan disiarkan selama tiga tahun.
Disebabkan master mengenai serba-serbi tentang ikan baik kaedah pemancingan, teknik, kefahaman mengenai fisiologi ikan, bapa kepada tiga cahaya mata ini seringkali diundang
memberi ceramah mengenai Fishing World-Sport & Field oleh kebanyakan negara di dunia seperti Australia, Amerika Syarikat, Thailand, Denmark, New Zealand, Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan banyak lagi.
Walaupun menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1978, hobi memancing dan minatnya tentang ikan tidak pernah surut. Bahkan sebenarnya `memang tidak boleh tinggal langsung`.
Bertugas memerangi ancaman komunis di Royal Belum sekitar tahun 1980-an, turut mendekatkan dirinya dengan peluang memancing di kawasan `syurga ikan` (Orang awam dilarang masuk disebabkan darurat ketika ini).
Katanya, waktu itu hanya tuhan sahaja yang tahu, bagaimana seronoknya memancing ikan di kawasan yang banyak ikan dan bersaiz mega terutama ikan kelah.
SAMBUNG PENGAJIAN
Pada tahun 1993, Ismail bersara wajib dari ATM dengan berjaya menyandang jawatan mejar.
Disebabkan minatnya mendalam dengan dunia ikan, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Oceanic Institute Brest, di Perancis dalam bidang fisiologi ikan selama enam bulan.
Bahkan Ismail juga dilantik pernah dilantik ‘produk tester’ jenama terkenal dunia seperti Lucky Craft, Duel, Ofmer, serta jenama lain.
Malah pengeluar gewang tersohor dunia, Lucky Craft telah mengiktiraf Ismail sebagai pemancing professional dan beliau satu-satunya pemancing dari Malaysia dan Asia Tenggara mendapat pengiktirafan berkenaan.
Tambah Ismail, harus diingat, memancing ini perlu sentiasa enjoy dan untuk memancing sebenarnya boleh pakai apa sahaja peralatan memancing, asalkan ia bersesuaian dengan ikan yang hendak dipancing.
Nasihatnya terutama kepada pemancing baru, tidak perlu terikut-ikut menggunakan set pancing mahal, ikut kemampuan poket masing-masing.
Pada masa yang sama sentiasa amalkan etika memancing yang betul seperti sentiasa lakukan catch & release, ambil ikan untuk makan hanya bila perlu dan sentiasa menjaga kelestarian alam padang pancing.
Tidak sesekali mahu berbangga dengan apa yang dikecapinya ketika ini, Ismail menambah, seorang pemancing sejati adalah pemancing yang dihormati kawan dan juga lawan.
HARAPAN
“Jika kita lihat, arena pancingan tanah air semakin berkembang dengan saban hari kita melihat ramai orang diluar sana mula berjinak-jinak dengan hobi ini.
Ia jelas member satu petanda yang baik, kepada semua pihak sama ada pihak pengeluar barangan pancing dan juga pihak kerajaan.
“Sayangnya, padang pancing yang kita ada sekarang ini semakin kekurangan ikan dan perlu satu gerakkan yang lebih intensif dilakukan oleh semua pihak.
Ancaman ikan pendatang yang bermahajalela sehingga memusnahkan populasi ikan tempatan juga harus diambil tindakan.
“Untuk semua kaki pancing, memancinglah sepenuh hati, kerana ia satu hobi yang amat menyeronokkan.
Sebagai seorang pemancing sentiasa amalkan etika-etika pemancing, sentiasa setiakawan dan jangan sesekali cuba merendahkan moral pemancing lain terutama pemancing-pemancing baru,” katanya mengakhiri perbualan.
Nama penuh: Ismail Feisol
Tarikh Lahir: 11 Ogos 1959
Tempat Lahir: Sitiawan Perak, dibesarkan di Kedah
Pekerjaan: Pemancing professional, ahli perniagaan, konsultan, penceramah jemputan
Hobi selain memancing: Mengambil gambar, kumpul senjata melayu lama & pemetik api Zippo koleksi khas
Lokasi memancing disifatkan terbaik dunia: Australia perairan air tawar dan air masin, Denmark dan perairan Sabah.
Lazimnya tip atau bahagian hujung joran yang paling banyak patah pada sesebatang joran kerana ia point atau titik yang paling lemah dalam pembinaan joran. Namun insiden di luar memancing lebih kerap mematahkan tip ini berbanding ketika sedang memancing seperti patah ketika sedang menyimpan di dalam sarung, patah akibat terpijak, terhimpit atau tersepit pada pintu kereta.
Gam atau varnis dan ikatan benang perlu bergabung antara satu sama umpama ikan dan air. Jika epoxy terkopek, ikatan benang akan terdedah dan mudah luka sekaligus menyebabkan ia mudah putus. Rajin-rajinlah periksa bahagian ini.
Ia berlaku kepada joran bersambung atau 2 pieces terutamanya joran yang diperbuat daripada fibre glass atau gentian kaca. Penyambung joran gentian kaca diperbuat daripada logam dan murah menggerutu akibat proses pengoksidaan.
Ia tidak mudah rosak tetapi terdedah kepada kerosakan kerana ramai pemancing yang gemar mencucuk mata kail pada pemegang joran. Selain itu ia juga perlu dibersihkan selalu agar tidak menjadi serangan kepada lipas.
Bahagian pemegang joran ini paling cerewet jika berlaku kerosakan. Tidak ramai pembuat joran custum sedia menerima tugas untuk menukar pemegang joran yang rosak. Bagi memastikan bahagian ini tidak cepat rosak, pastikan anda memasukkan tapak kekili dengan betul dan tidak mengetatkannya secara berlebihan.
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung.
Biasanya kita akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal.
Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah. Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal.
Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas.
Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi.
Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb. Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup. Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok.
Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik. Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut.
Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya.
Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah. Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai.
Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...