Semua terletak kepada apa yang anda minat. Tapi, ada juga yang merungut, “ Alah, pergi sorang-sorang, siapa nak ambil gambar?”. Ikuti tip kali ni, pasti tiada masalah lagi.
GEAR WAJIB ADA:
1. Tripod
2. Kamera (DSLR atau Auto)
3. Ikan
4. Orang dalam gambar
5. Casing Kalis Air
6. Marker pen merah
7. Rod Pancing, segala yang sewaktu dengannya
Ads
LANGKAH 1
Pergi lubuk yang anda biasa pergi, jarang pergi atau tak pernah masuk.
LANGKAH 2
Cari tempat yang sesuai, maksudnya jika di tepi parit, lubuk, pantai, kolam, pacakkan kayu selaras dengan anggaran ketinggian yang bersesuaian. Jika boleh, aras mata (eye-level).
LANGKAH 3
Ads
Berlutut dalam posisi anggaran sendiri di hadapan kayu tadi. Jika boleh, sangkut sehelai t-shirt @ tuala, topi sebagai penanda aras jika ikan akan dipegang di kawasan tersebut. Tandakan spot ikan t-shirt tersebut. (Nampak susah, tapi sebenarnya senang).
LANGKAH 4
Set kamera dan tripod. Menggunakan viewfinder, guna t-shirt tadi sebagai anggaran jarak untuk crop gambar nanti. Berhati-hati supaya anggaran jarak tidak terlalu dekat atau terlalu jauh.
NOTE: Jika and tidak menggunakan kamera DSLR, sila langkau Langkah 5.
Ads
LANGKAH 5
Set fokus kamera pada t-shirt. Jika guna kamera DSLR , biasanya bila kita set self-timer, ia akan secara autonya akan auto-fokus di bahagian latar belakang.
Kalau ada semak, kamera akan auto-fokus pada semak. Gambar anda bersama hasil habuan jadi blur. Bagi mengelakkannya, bila anda sudah fokus pada t-shirt, terus tukar kepada fungsi manual.
LANGKAH 6
Set masa untuk 10 saat menggunakan self-timer, ambil ikan yang ditangkap tadi, alihkan t-shirt dan terus berdiri di hadapan kayu tadi. Ulang sebanyak tiga kali sehingga anda puas hati, gambar jadi tidak blur. Agak kelakar juga, tapi janji hati puas!
TIPS
Beli remote control yang kalau boleh kalis air, atau yang biasa. Ia lebih memudahkan anda menekan shutter release bila and bersedia. Memang pelik tapi anda akan membiasakannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ramai bersetuju bahawa aktiviti memancing merupakan aktiviti membuang masa, tenaga dan wang ringgit.
Mana tidaknya, kebanyakan pemancing akan pergi memancing dari awal pagi hingga lewat petang.
Ada pula yang pergi memancing beberapa hari, dari awal minggu hingga hujung minggu. Mereka juga terpaksa meninggalkan anak dan isteri di rumah.
Semasa keluar mereka bertenaga, apabila pulang badan dah penat. Habis tenaga berjemur di tengah panas dan kadang-kadang dilanda hujan, ribut dan petir.
Bukan itu sahaja, duit juga banyak dilabur untuk membeli barang-barang dan alatan memancing.
Beli umpan, duit minyak, tambang bot, chalet, makan, minum, rokok, dan bermacam lagi barangan yang difikirkan perlu oleh pemancing.
Ada juga yang habis ribuan ringgit semata-mata hanya untuk keluar memancing!
Jadi, memang benarlah aktiviti memancing ini membuang masa, tenaga, dan wang ringgit, terutama pada mereka yang tidak melakukannya.
Tetapi, apa kesan aktiviti memancing ini kepada pemancing itu sendiri? Apa kesannya kepada pembangunan ekonomi dan negara?
Apa akan terjadi sekiranya pemancing ini dihalang dari keluar memancing?
Kajian mendapati bahawa pemancing keluar memancing atas sebab tertentu. Menurut bapa ‘motivasi pemancing’ Dr. Fedler dan Dr. Ditton (1994), tujuan pemancing keluar
memancing bukanlah semata-mata untuk mendapatkan ikan, tetapi untuk mendapatkan ‘rekreasi’.
Betul ikan adalah benda yang mereka buru, tetapi tujuan utama mereka adalah untuk mendapatkan rekreasi. Kebanyakan pemancing sendiri tidak sedar tentang hal ini!
Rekreasi yang dimaksudkan termasuklah ‘ketenangan’, ‘menikmati alam sekitar’, ‘untuk bersama rakan’ selain ‘keseronokan mendaratkan ikan’.
Oleh itu ‘ikan’ hanyalah tarikan untuk pemancing mendapatkan ‘rekreasi’.
Kesan aktiviti memancing kepada masyarakat telah banyak dibincangkan di negara maju.
Pemancing akan cuba mendapatkan ‘ketenangan’ semasa memancing dengan merehatkan badan dan minda, iaitu fizikal dan mental.
Mereka juga dapat lari dari rutin kehidupan harian. Di negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Australia, telah menjadi kebiasaan bagi rakyatnya untuk keluar memancing pada hujung minggu bersama rakan atau ahli keluarga.
Cari sahaja di capaian internet, anda akan dapati setiap lapisan masyarakat, pelbagai peringkat umur dan jantina, keluar memancing bersama rakan atau keluarga.
Bagaimana pula kesan dari sudut ekonomi? Sudah tentu ianya berkaitan dengan wang yang dibelanjakan oleh pemancing.
Secara tidak sedar, kawasan yang dikunjungi oleh pemancing akan pesat membangun.
Di situ ada orang membuka kedai alatan memancing, kedai umpan, kedai runcit, menjual makanan, kuih-muih, ada juga yang mengusahakan chalet atau homestay untuk pemancing, dan bermacam-macam lagi aktiviti ekonomi terjana.
Bayangkan seperti di Tasik Kenyir, pemancing sanggup berbelanja ribuan ringgit hanya untuk menginap di ‘houseboat’.
Malah, sejak keluar dari rumah untuk sampai ke Tasik Kenyir, mereka telah pun berbelanja ratusan ringgit untuk minyak kereta, makan dan minum.
Keadaan ini menggalakkan perkembangan ekonomi setempat dan negara.
Ada juga pendapat menyatakan bahawa aktiviti memancing dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara, iaitu kos rawatan pesakit di klinik dan hospital awam.
Mana tidaknya, mereka yang terlibat dengan aktiviti memancing adalah orang yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Mereka kebiasaannya adalah orang yang lasak dan tinggi daya tahan penyakit. Sekaligus mereka kurang ke klinik dan hospital awam untuk mendapatkan rawatan.
Perkara ini ada dinyatakan dalam kajian rekreasi oleh California State Park pada tahun 2005, semasa pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger menjadi gabenor di negeri tersebut.
Kajian mendapati aktiviti rekreasi dapat mengurangkan stres atau depresi, mengurangkan obesiti dan penyakit kritikal lain seperti; serangan jantung, tekanan darah tinggi, diabetis, dan osteoporosis.
Negara juga akan mengalami pertambahan ‘keluaran dalam negara kasar’ secara tidak langsung, apabila negara mempunyai masyarakat yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Selepas keluar memancing, pada keesokannya, produktiviti kerja pemancing di pejabat akan meningkat.
Mereka dapat melakukan kerja dengan lebih produktif dan efektif dari sebelumnya.
Oleh itu, apa yang boleh dilakukan dalam menjawab soalan ‘kenapa membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk memancing?’
Di sini ada dua idea, untuk pemancing dan masyarakat umum.
Bagi pemancing, mereka seharusnya bijak dalam menentukan keutamaan aktiviti harian.
Boleh pergi memancing, tetapi pastikan kebajikan dan kepentingan ahli keluarga diutamakan terlebih dahulu.
Pemancing harus meletakkan tanggungjawab yang tinggi pada keperluan anak dan isteri, serta ahli keluarga yang lain.
Jika semuanya telah selesai, maka bolehlah pergi memancing – selama mana tempoh yang dirasakan berpatutan, tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama.
Pemancing juga harus bijak dalam membelanjakan wang. Bahagikan wang untuk keluarga dan keperluan utama terlebih dahulu.
Selebihnya berbelanjalah untuk aktiviti memancing anda, dengan berhemah. Dari segi produktiviti kerja pula, buktikan pada majikan dan masyarakat sekeliling bahawa
pemancing adalah seorang yang produktif dan efektif dalam melakukan tugasan, terutamanya selepas keluar memancing.
Manakala bagi masyarakat umum, termasuklah ahli keluarga, rakan dan masyarakat di luar sana, ‘menghormati’ dan ‘memahami’ adalah dua perkara yang perlu dititik-beratkan.
Menghormati hak pemancing adalah sangat penting. Kita tahu, masa, tenaga dan wang yang dibelanjakan oleh pemancing adalah untuk mendapatkan ‘rekreasi’, bagi kelangsungan hidup pemancing sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Fahamilah pemancing, kerana mereka memang terlalu cintakan aktiviti ini. Berilah galakan dan sokongan kepada mereka untuk memancing secara positif.
Ingatlah bahawa aktiviti memancing adalah jauh lebih baik dari aktiviti lain yang tidak bermoral di luar sana.
Dengan harapan, selepas ini, aktiviti memancing tidak lagi dianggap sebagai membuang masa, tenaga dan wang ringgit, malah dianggap sebagai penyumbang kepada kesan positif bagi individu pemancing, pembangunan ekonomi dan negara.
Penulis:
Dr. Izharuddin Shah Kamaruddin, UPM
Pensyarah Kanan (Bidang Perikanan Rekreasi),
Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian,
Universiti Putra Malaysia
Rujukan:
Dr. Fedler dan Dr. Ditton (1994) Understanding Angler Motivations in Fisheries Management
California State Park (2005) The Health and Social Benefits of Recreation: An Element of The California Outdoor Recreation Planning Program
Ke mana perginya kelah merah liar? Ke mana perginya temoleh bersaiz puluhan kilo? Ke mana perginya tapah dan juga badong yang dikhabarkan antara spesies terhebat air tawar malaysia? Balik-balik yang dapat saiz curut je. Mana perginya ikan bersaiz besar?
Berbalik kepada soalan di atas, marilah kita renungkan dan tanya kepada diri kita sendiri, sebelum soalan ini akan ditanya semula oleh cucu cicit kita di masa hadapan.
Masalah kemerosotan stok ikan di malaysia bahkan di dunia bukan lagi perkara baru untuk dengari. Andai dapat dihitung keluhan kaki pancing mengenai isu kejatuhan stok ikan di malaysia pasti ramai yang akan sedar mengenai betapa seriusnya perkara ini. Cubalah ditanya kepada otai-otai yang sudah lama menceburkan diri di dalam hobi memancing ini, pasti perkara sama juga akan diungkapkan oleh mereka.
Inilah antara perkara yang semakin dirisaukan oleh semua kaki pancing. Pergi memancing, tapi selalu kumpau, sebabnya ikan dah takde dan kurang. Dengan ancaman lain di kalangan nelayan rakus, kaki bom, dan kaki tuba, semuanya lebih mendatangkan kesan. Dan yang paling menarik sekali, ancaman daripada sejenis umat kaki pancing yang sama ada sedar atau tidak menggelarkan diri mereka kaki tapau.
Kaki tapau yang dimaksudkan ini ialah mereka yang sering mengaut atau bawa pulang semua hasil tangkapan yang mereka perolehi termasuklah dari saiz kecil hinggalah bersaiz kecil-kecil anak, malah yang bersaiz sebesar ibu jari juga mahu mereka bawa pulang.
Acap kali dilihat di laman sosial mengenai kewujudan golongan-golongan ini. Mereka seakan-akan tidak segan silu memuat naik gambar mereka bersama semua hasil tangkapan yang boleh dikatakan tidaklah sebesar mana, namun seakan menunjuk-nunjuk lambakan ikan bersaiz curut yang mereka perolehi.
Bila diajukan soalan, “Kenapa tidak dilepaskan je ikan tu, kecil lagi tu?”
Lantas, dengan bangga pemancing itu menjawab, “Rezeki Tuhan nak bagi, kenapa nak tolak? Kalau tak ambil, itu tolak rezeki namanya. Lagipun kalau aku tak ambil ikan tu mesti ada orang lain yang kaut jugak!”
Memang benar rezeki jangan ditolak, tetapi tidak kah kita sedar bahawa, sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang kaki pancing untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam.
Antara jalan penyelesaian yang dapat kita pertimbangkan bersama, kenapa tidak mulai sekarang kita sebagai pemancing mula menetapkan had jumlah ikan yang perlu dibawa pulang. Seelok-eloknya ikan yang bersaiz kecil serta ikan induk yang bertelur haruslah kita lepaskan kembali ke habitatnya.
Ikan air tawar, contohnya sebarau yang masih kecil, lepaskanlah semula. Jika ia ikan betina dan nampak sedang bertelur, apa salahnya lepaskan semula dan biarlah ia menetaskan dahulu benih-benihnya. Begitu jugalah dengan udang galah dan ikan-ikan lain.
Setidak-tidaknya amalkanlah konsep bag limit, iaitu ambil jika benar-benar hendak makan sahaja bukan bawa pulang semua hasil tangkapan. Walaupun ada di antara kita yang kurang pasti sama ada ikan yang dilepaskan itu mampu survive atau tidak, tetapi ketahuilah, ia pasti akan mati jika anda tidak melepaskannya kembali ke habitat asal. Diharapkan, dengan cara ini, ada juga sesuatu yang dapat anda sumbangkan kepada generasi akan datang.
Sekurang-kurangnya dengan usaha yang dilakukan oleh kaki pancing yang ada pada hari ini akan selamatlah stok ikan-ikan kita daripada diambang kepupusan selain untuk kesinambungan generasi di masa akan datang.
Sesi bual bicara dari pemancing kepada pemancing kali ini admin keutarakan persoalan yang dikemukakan oleh pemancing dan para pemancing juga yang memberi respon. Admin sebagai moderator saja.
Topik yang dikemukakan ialah…
“Apa perbezaan casting menggunakan tali tangsi dan tali benang? Ada yang kata, kalau pakai benang, ikan akan lari sebab getaran. Lagi bagus pakai tangsi.
Ada di setengah tempat pula katanya, memang tak dapat ikan kalau pakai tangsi, nak kena benang jugak.”
Apa kata netizen :
“Tali tangsi best layan ikan sebab dia ada memori. Cuma, bila kita cast dari tebing sungai yang arus laju, tali tangsi cepat tenggelam dan mudah dibawa arus.
Sebab dia lebih tumpat dari air. Jadi kita tak sempat nak gayakan gewang,air dah bawak lari tali. Orang kata ikan culas pakai tali benang, boleh jadi juga sebab tali benang ada bunyi bergesel kuat dengan cincin joran bila kita karau.tali tangsi takde bunyi.
Bila pakai tali tangsi juga, seperti susah untuk keluar drag reel. Sebab tali itu sendiri mungkin sudah mainkan peranan melalui memori dia tu.
Bila kena ikan, nyutttt… dia terasa lain macam hingga terbawa dalam mimpi.”
SUWARDI AZMI
”Ilmu tak berapa sangat… tapi pada pendapat saya, bila dikaitkan dengan casting ni, kesesuaian tali yang digunakan adalah benang.
Banyak kelebihan bila pakai tali benang jika nak casting… benang ni lembut kalau nak dibandingkan mono.
Senang cerita atas minat masing-masing…. ada kelebihan ada kekurangan. Terpulang pd individu itu sendiri.”
CHOR MAN
“Dua-dua jenis tali ni saya pernah guna. Ok je… ada je ikan yang nyambut. Pada saya, penggunaan tali lebih kepada keselesaan saya sendiri, bukan kerana dapat ikan ke tidak.
Dulu ya pakai mono, tapi bila dah guna benang, lagi selesa so terus dgn benang. Entahlah ikan kat dalam air tu rasa getar ke tidak.”
CHEF ENDRAWAN
“Pernah pakai dua-dua. Tapi saya pilih braid sebab walaupun lama di dalam spool dia tak bergulung. Bila birdnest, braid lagi mudah selesai.”
EDDY CALLEIGHT
“Tengok padang bossku… ada keperluan untuk mono dan ada keperluan untuk braided. Kalau casting tenggiri guna bulu, mono lebih efektif.”
MOHD YUSMAN
“Otai pernah cerita casting tenggiri kat satu port ni kalau pakai benang memang payah dapat walaupun pakai leader tangsi.
Tapi yang saya tau kalau casting bc pakai tangsi memang best kalau nak buat bihun masak kicap. Hahaha!”
MOHD AZRIL AZNAN
“Pengalaman aku… masa trip Gua Musang tak berapa menjadi disebabkan ada ahli trip kata kerana pakai tali benang.
Trip Air Putih memang best sebiji sawit belah empat dapat empat ekor kelah masih tali yang sama joran yang sama.
Bagi aku tali ke umpan ke kalau takde rezki memang tak menjadi kalau dah rezki itu semua tak boleh dibuat kira sangat.”
SABRI GHANI
“Kalau mancing kat Sungai Perak belah Teluk Intan kena pakai benang… kalau pakai tangsi koyak la poket. Buntal kekoh sokmo tali.. kejap putuih kejap putuih.”
MOHD HARMIZIE HASAN
“Hal ni memang garu kepala. Macam-macam petua sampai dah jadi pantang larang. Ada yang meroyan gila sebab member sebelah cuma set RM 60 joran dengan mesin lagi percuma tali pun boleh naik tanda… sekarang hentam saja janji umpan ada uhmmm.”
NOORAZ MOZA
“Dua-dua ok je… tapi kalau gewang sangkut mono lagi bahaya sebab gewang akan terbang balik kat kita.”
AKIM JENGKA
“Entahlah susah nak cakap. Pandai memancing pun zaman dah ada benang. Tapi kalau guna bc jadi bihun tersimpul mati kot tali tangsi.”
FENDI AHMAD
“Untuk daya lontaran maka braided adalah lebih utama. Kita sedia maklum saiz braid lebih kecil biarpun lbs sama.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...