Sebut sahaja elemen yang menjadi obsesi kepada kaki pancing, hampir semuanya ada pada spesies haruan.

Daripada elemen keterujaan apabila deburan sambaran kail, sifat karnivor dan agresif ikan ini mahupun kemampuan mengembalikan nostalgia lama, ikan haruan tidak dapat disangkal merupakan spesies kebanggaan pemancing di Malaysia.

baca juga Memburu haruan lanchang

 

 

Boleh dikatakan lebih separuh dari kaki pancing Malaysia, khususnya geng casting bermula dengan tangkapan ikan ini.

Tidak hairanlah spesies haruan memang cukup dikenali oleh kaki pancing di Malaysia tak kira yang bergelar otai atau yang baharu setahun jagung.

Kata orang kalau tak kenal spesies haruan ni, boleh bikin malu. Sedangkan yang bukan kaki pancing pun kenal akan spesies berkepala ular ini, lagikan kita yang hari-hari mengail.

 

 

Pancingan ikan haruan mampu membuatkan kaki pancing menjadi gian dek kerana kejutan hentaman pada umpan atau gewang.

Kaki pancing memang mengakui pancingan spesies snakehead ini mempunyai tarikannya tersendiri.

 

Spesies haruan juga merupakan spesies ikan pemangsa dan tarikan agresifnya secara tiba-tiba cukup membuatkan jantung anda berdebar-debar.

Terdapat dua cara pancingan haruan yang popular iaitu menggunakan umpan tiruan atau pun umpan hidup.

 

baca juga tip asas casting haruan

 

Bagi istilah umpan hidup, umpan yang popular digunakan ialah katak, anak ikan, cicak, cacing, udang sungai atau cengkerik. Katak merupakan umpan semula jadi yang paling popular.

 

Penggunaan katak boleh dilakukan dengan teknik merendam, unjunan atau pun mengilat.

Selain itu banyak teknik pancingan menggunakan umpan semula jadi boleh digunakan untuk pancingan haruan.

Antaranya ialah teknik pelampung, rawai, taut dan juga tajur yang merupakan antara teknik tradisional yang popular.

 

 

Tetapi bagi kaki casting tegar, teknik mengilat menggunakan umpan tiruan paling diminati. Sebab itulah muncul pelbagai jenis, rupa, bentuk, nama, istilah dan variasi umpan jenis ini sama ada diperbuat daripada kayu, getah, plastik dan sebagainya.

 

Contohnya, katak rambutan, spinnerbait atau janggut, jump frog, katak getak, gewang minnow, gewang permukaan, soft plastic dan sesudu antara gewang tiruan yang boleh

digunakan untuk menjerat ikan haruan. Ini menunjukkan haruan memang merupakan spesies yang tidak memilih gewang malah hampir kebanyakan gewang mampu menaikkan spesies ini.

 

Pemilihan gewang pula haruslah mengikut keadaan perairan sama ada dalam, cetek atau berumpai.

Namun, ramai yang gemar menggunakan gewang lebih-lebih lagi jenis permukaan seperti popper, pencil atau jumpfrog untuk memancing haruan.

 

Serangan hendap haruan ketika menghentam gewang yang menghasilkan deburan air memberikan satu perasaan yang mengujakan.

Seolah-olah diserang hendap oleh pemangsa ganas. Dan tarikan agresifnya selepas itu memang sukar untuk dijelaskan keseronokannya.

 

baca juga kenali haruan runtu

 

Tip mengilat haruan

 

Mengilat atau casting haruan agak mudah kerana haruan gemar kepada benda bergerak. Namun, sekiranya anda menemui spot yang dikenal pasti ada haruan tetapi tiada sebarang aksi sambaran, tip berikut boleh dicuba.

 

1. Lontar gewang dan buatlah karauan laju tiga hingga empat kali. Kemudian ubah kepada karau perlahan sambil melakukan henjutan pada gewang secara perlahan.

 

2. Sekiranya menggunakan jump frog atau soft frog, selang-seli kadar karauan sambil mengenjut gewang yang digunakan.

 

3. Lakukan karauan perlahan kemudian berhenti dan biarkan gewang pegun seketika. Kemudian lakukan henjutan dan teruskan dengan karauan perlahan.

 

4. Jika masih tiada sambaran, tukar pula gewang atau soft frog aksi tenggelam. Karau perlahan-lahan disulami henjutan kecil.

 

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan