Nak beli mata kail murah cap ayam… takut sebelum bertarung dah kecundang. Nak beli mata kail berkualiti, mahal pulak harganya. Maklum sajalah bukan semua kaki pancing
berstatus golongan bangsawan yang boleh membeli apa sahaja barangan pancing yang diinginkan.
Sebenarnya, ada beberapa item yang telah digunakan selepas memancing masih elok dan boleh digunakan lagi. Contohnya, mata kail.
Memang tidak dinafikan ada kaki pancing yang membuang terus mata kail selepas digunakan kerana tanggapan mereka, jika digunakan selepas ini ia tidak lagi kuat, tidak tajam dan mudah patah.
Jika jenis harga murah terpulanglah kepada anda sama ada mahu menggunakannya semula ataupun tidak. Tetapi bagaimana dengan mata kail berharga mahal?
Satu set assist hook (dua mata kail) ada yang berharga hingga puluhan ringgit. Kurang-kurang pun belasan ringgit juga la. Tentu fikir berbelas kali nak dibuang, bukan?
Ads
Tahukah anda mata kail tersebut sebenarnya masih lagi boleh digunakan dan berfungsi baik jika anda mengendalinya dengan baik.
Untuk penjimatan juga, adalah lebih baik sebenarnya anda menggunakan mata kail tahan karat.
Ia tahan lama dan selamat digunakan berulang kali. Jika ingin memancing di laut, pilih mata kail yang bertulis salt water pada bungkusannya kerana ia sememangnya berupaya menahan hakisan air masin.
Ads
Cara penjagaan mata kail
∝Selepas pulang daripada memancing terutamanya di laut (air masin), jangan sesekali lupa untuk bersihkan dan bilas dengan air tawar. Kemudian keringkan di bawah sinaran cahaya matahari.
∝Selepas dikeringkan, periksa satu persatu mata kail. Perhatikan mana bahagian yang ada tanda karat. Jika ada, gosok dengan kertas pasir. Penting untuk anda menyimpannya
dalam kotak pancing anda. Sila amati semula, jika kurang tajam, boleh gunakan kikir halus (handlife) dan asah pada bahagian berkenaan.
Ads
∝Jika mata kail agak berkarat adalah lebih baik anda membuangnya sahaja. Paling penting, mata kail yang telah anda bersihkan ini jangan sesekali dicampurkan ke dalam
bekas atau pek mata kail yang masih belum digunakan. Anda perlu menyediakan satu bekas khas untuk mata kail yang terpakai.
∝Perkara yang sama juga jika anda menggunakan assist hook atau mata kail gewang. Jangan simpan begitu saja gewang-gewang di dalam tackle box selepas digunakan.
Pemancing tegar tidak mengenal masa. Sama ada pagi, tengah hari, petang atau malam sentiasa ingin memancing. Setiap waktu pasti ada keistimewaan tersendiri. Namun bagi yang lebih menggemari memancing pada waktu malam, sedikit persediaan peralatan tambahan dan tingkah laku amat penting bagi melancarkan aktiviti memancing.
Penghalau serangga
Insect repellent atau ubat penghalau serangga juga perlu ada demi untuk keselesaan kecuali sudah kebal dengan gigitan nyamuk dan agas serta serangga-serangga hutan.
Lampu suluh
Torchlight atau lampu suluh wajib ada! Tak kiralah apa jenis lampu suluh sekalipun ia adalah keperluan kedua terpenting selepas peralatan memancing. Kalau bawak lampu suluh tak bawa peralatan memancing itu dah kira tujuan lain.
Warna hitam
Nak pakai pakaian macam pergi pejabat pun boleh asalkan jangan berwarna hitam. Pakaian serba hitam memang bagus bagi penyamaran kerana ikan tidak nampak kehadiran kita tetapi tidak bagi nyamuk.
Berkumpulan
Sebaik-baiknya memancinglah secara berkumpulan. Walaupun cuma di sungai belakang rumah atau tepi lombong, ia dapat membantu jika berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini.
Jangan suluh sembarangan
Seboleh-bolehnya kurangkan penggunaan lampu suluh terutamanya tabiat gemar menyuluh ke arah air. Cahaya dari lampu suluh boleh menyebabkan ikan menjauhi kawasan pancingan kita.
Unggun api
Sebaiknya juga buatkan unggun api bagi menjauhkan binatang-binatang buas dan berbisa menghampiri kawasan pancingan kita (kalau di daratan la, jangan buat unggun api di dalam sampan!)
Simpan peralatan
Simpan peralatan memancing yang tajam seperti mata kail atau pisau di tempat asal selepas digunakan bagi mengelakkan kecederaan yang tidak diduga.
Ikan bersengat
Kenali terlebih dahulu spesis tangkapan yang berjaya didaratkan sebelum mengendalikannya bagi mengeluarkan mata kail agar tidak terpegang ikan sembilang sama seperti memegang ikan gelama.
Kes-kes kumpau atau hasil tidak memuaskan memang selalu kita dengari dari kaki pancing yang rajin memancing di kelong.
Namun, dari kes-kes sebegini, adakah ada di antara kita melakukan post-mortem mengapa perkara ini berlaku? Di sini dikongsikan beberapa tip dan persediaan untuk memancing di kawasan kelong:
➡ Buat Homework
Buat sedikit research mengenai kelong yang anda ingin pergi. Sekurang-kurangnya anda akan tahu struktur, kedalaman dan pelbagai perkara penting tentang kelong tersebut.
Selain itu, kaji juga spesies ikan yang ada di kelong berkenaan. Dari sini anda boleh dapatkan petua dan info umpan yang sesuai untuk memancing ikan yang ada di kelong tersebut.
➡ Waktu Sesuai
Kebiasaannya keadaan air bani adalah masa yang paling sesuai untuk memancing di kelong.
Ini kerana pada waktu berkenaan arus kurang laju dan banyak ikan akan bermain di sekitar kelong untuk mencari makanan.
Namun begitu, ini semua tertakluk kepada kelong yang ingin anda pergi. Lain kelong, lain kesesuaiannya.
➡ Persediaan Peralatan
Pastikan peralatan dan tiada yang tertinggal. Ada juga mendengar kes pemancing yang sudah membawa joran, tetapi terlupa membawa kekili dan pelbagai peralatan yang lain.
Bila sudah jadi begini, jawabnya terpaksalah memancing hulur je.
Selain itu, penting juga bagi anda membawa joran spare. Iyalah, ada masanya kejadian tak diingini boleh berlaku dengan mudah.
Sekurang-kurangnya, jika kejadian seperti joran patah, joran jatuh laut dan lain-lain berlaku anda sudah ada back-up plan. Jangan lupa bawa appolo!
Dan jangan sesekali lupa untuk membawa tong ikan berserta ais.
➡ Bekalan Makanan
Ini juga antara perkara yang paling penting untuk memancing di kelong. Iyalah, bukan semua kelong ada menyediakan khidmat makanan dan minuman.
Adalah seelok-eloknya jika anda menyediakan keperluan bekalan minuman dan makanan ini secukupnya sebelum naik ke kelong.
Kalau tak, nanti ada pula yang tak dapat memancing akibat menahan lapar.
Ilmu & Pengalaman
Tidak cukup dengan hanya membuat research tentang kelong itu sahaja. Kadang-kadang adalah perlu juga untuk anda mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang arif tentang
kawasan kelong yang hendak anda pergi. Cungkil seberapa banyak rahsia dan petua untuk memancing di kawasan kelong berkenaan bagi mengelakkan kes-kes membangau ini.
➡ Kepelbagaian Teknik
Jangan hanya fokus kepada pancingan bottom sahaja, sekali sekala cuba juga teknik yang berbeza seperti drifting, casting, jigging dan sebagainya (bergantung kepada jenis dan kedalaman kelong).
➡ Umpan
Jangan lupa juga untuk membawa pelbagai jenis umpan yang berkemungkinan berkesan untuk memancing. Jangan bergantung harap kepada umpan hasil pancingan apollo sahaja yang belum tentu setiap masa ada.
➡ Kelakuan
Penting bagi yang memancing kawasan kelong yang jauh dari tepian. Semasa di kelong silalah jaga adab, pertuturan dan tingkah laku anda. Ini bagi mengelakkan berlakunya kes-kes yang tidak diingini.
➡ Kebersihan
Amat penting juga bagi mendidik pemancing menjadi warga yang menjaga kebersihan. Jangan sesekali meninggalkan umpan yang lebih dan ikan-ikan yang kecil di kawasan kelong.
Dan janganlah juga membuang plastik atau sampah-sarap ke dalam laut. Jadilah warga yang bertanggungjawab dan menjaga alam sekitar kita.
➡ Keselamatan
Paling penting untuk utamakan keselamatan diri anda. Pastikan anda kenal pasti barang di sekeliling anda yang boleh membantu jika musibah berlaku.
Mana tidaknya musibah seperti rebut, hujan lebat dan sebagainya berlaku tanpa kita duga. Pastikan diri dan harta benda anda selamat dari sebarang kecelakaan yang tidak diingini.
Sebut sahaja Taman Negeri Perak atau Royal Belum, tergambar satu panorama indah mengenai sebuah landskap hutan semula jadi yang indah. Ia diberi pengiktirafan sebagai ‘Diraja’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003. Seterusnya ia diwartakan di bawah Enakmen perbadanan Taman negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.
Kawasan yang diwartakan seluas 117,500 hektar. Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat. Ia juga dikenal pasti sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana menjadi tempat perlindungan gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.
Sebagai lembah Hutan Tropika dara terbesar dan tertua di Semenanjung dan berusia lebih 130 juta tahun , ia lokasi penting kawasan perlindungan burung, terutama burung enggang. Namun, tidak mudah atau sewenang-wenangnya untuk memasuki Royal Belum melainkan perlu memohon permit dahulu dari Perbadanan Taman Negeri Perak sebelum memasukinya.
Caranya, jika untuk tujuan memancing, minta sahaja guide atau tekong menguruskan permitnya. Manakala untuk tujuan santai boleh minta pengurusan hotel yang terdapat sini membuatnya untuk anda dan selepas mendaftar masuk, pihak berkuasa akan merekodkan bila anda masuk dan keluar.
Lubuk memancing Bagi kaki pancing tegar, Royal Belum memang dianggap lubuk terbaik. Bahkan daripada susunan ranking lokasi pancingan tasik di negara ini, ada yang berani mengatakan, Royal Belum atau disebut juga Temenggor Utara lebih baik dari Tasik Kenyir kerana populasi ikannya seperti sebarau, toman, kelah, kejor, tengas, temoleh, kalui, baung masih banyak.
Untuk kaki casting tegar yang ingin mencari sebarau, toman, pilihan terbaik ke Sungai Tiang, Papan, Kenarong dan Sungai Kejar. Servis yang terbaik ialah menggunakan khidmat speedboat dan tidur di wakaf yang telah disediakan. Manakala untuk pancingan santai bersama kaum keluarga atau rakan-rakan, pilihan terbaik adalah menyewa boathouse sambil menyusuri tasik ini sehinggalah ke Sungai Kejar.
Bagi kaki pancing berhasrat mencari kelah, trekking ke hulu sungai adalah terbaik. Lokasinya ialah berjalan kaki dari tapak perkhemahan Sungai Kejar, melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho. Purata perjalanan 4-8 jam. Semakin menghala ke hulu, semakin bertemulah anda dengan lubuk-lubuk kelah, tengas, kejor yang bisa menggetarkan tangan apabila umpan yang dilontar dilarikan ganas oleh penghuni lubuknya.
Waktu sesuai Sebenarnya Royal Belum boleh dikunjungi bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Apa yang penting, adalah apa target spesies yang anda sasarkan. Secara umumnya, bulan April hingga Julai dianggap waktu terbaik memancing kelah kerana ketika ini musim panas. Untuk merasai bagaimana kuatnya penangan toman Royal Belum, waktu ini juga dianggap sesuai.
Manakala musim tengkujuh, Oktober hingga Januari merupakan saat yang paling sesuai atau pesta untuk kaki casting mencari sebarau atau ikan trofi, iaitu badong kerana kumpulan ini biasanya kan lebih kerap ‘boiling’ untuk mencari makanan. Pokok pangkalnya, perlulah sentiasa berhubung dengan rakan atau tekong yang biasa di kawasan ini, terutama bila waktu ‘paling sesuai’ (kerap hujan, panas terik, air naik tinggi) atau ‘tidak sesuai’ (air tasik surut teruk, rumput telah masam, harimau bawa anak).
Teknik Memancing Di Royal Belum
Casting
Kesemua jenis aksi gewang (floating, sinking, suspending) disyorkan wajib ada dalam kotak gewang. Tapi bergantung juga dengan lokasi dan spesies yang disasarkan. Untuk yang baru berjinak dengan kaedah ini, bolehlah minta pendapat rakan kaki casting. Tidak perlu membeli gewang secara banyak dalam satu-satu masa. Sebaiknya beli sedikit demi sedikit dan beli mengikut warna dan jenis gewang ‘killer’ sahaja.
Spoon- Satu lagi item wajib ada, kerana ada masanya, sebarau memandang sepi gewang anda dan sedang boiling jauh dari speedboat. Pastikan warna-warna ‘killer’ (gold, silver) berat 7-18 gram mesti bawa.
Mengenai teknik persembahan, cubalah tanyakan otai-otai, sama ada perlu karau laju, perlahan, jerk, light jigging.
Bottom
Untuk kaki bottom, bawalah apa sahaja yang anda perlukan di sini, terutama tapa (baung), anak ikan kap, emas (baung besar, belida), cengkerik (baung, kalui), cacing tanah (baung, ikan terbul) dan anak keli (toman).
Tahukah anda?
Di sebalik nama Royal belum itu sendiri, nama Belum itu diambil daripada nama asal perkampungan Melayu, iaitu Kampung Belum Lama yang meliputi enam perkampungan kecil yang wujud sejak tahun 1952 lagi. Bahkan, belum itu sendiri sebenarnya diambil daripada bunyi yang dihasilkan oleh sejenis belalang besar berwarna hijau yang menghuni hutan ini yang mengeluarkan bunyi belum, belum, beluuummm!.
Sejarah juga pernah mencatatkan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan hitam pada tahun 1984 kerana berlakunya ancaman pengganas komunis. Aktiviti ketenteraan dan kem tentera yang terdapat di sini berfungsi sebagai menjaga kawasan sempadan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan membawa keluar hasil hutan terutama kayu gaharu yang banyak terdapat di sini.
Sesiapa yang berhajat berkunjung ke sini untuk tujuan rekreasi, anda perlu mendapatkan permit terlebih dahulu dari Perbadanan Taman negeri Royal Belum dan perlu patuh terhadap peraturan sepanjang berada di sini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...