Kalau dah rezeki memang tak ke mana! Begitulah kisah durian runtuh bagi kebanyakan pemancing di kawasan Sungai Udang, Pulau Pinang apabila berlakunya kejadian sangkar ikan pecah di kawasan tersebut.
Menurut follower fan page Majalah Umpan yang mengirim berita ini dari tempat kejadian, beliau mendapat perkhabaran kejadian sangkar pecah melalui pemilik sangkar itu sendiri pada jam 2.00 petang, sebentar tadi.
Ads
Tanpa menunggu lama beliau segera menghebahkan perkara tersebut kepada rakan-rakan lain dan persiapkan kelengkapan memancing dan segera menuju ke kawasan sangkar tersebut.
Ads
Menurut beliau lagi, sebuah sangkar (sangkar 90) yang banyak memuatkan ikan jenahak itu dipercayai pecah akibat dipukul alunan ombak.
Nasib mereka agak bertuah kerana lazimnya ikan-ikan yang bebas dari sangkar ini tidak akan merayau jauh dalam tempoh terdekat.
Sehingga berita ini dimuat naik ke halaman web Umpan, Izuandi dan rakan-rakan sedang bergasak sakan dengan spesies ikan jenahak dan juga merah.
Seawal jam 7.15 pagi kami sudah terpacak di dalam bot masing-masing. Tiga orang setiap gabungan bot fiber dan polisterine buatan sendiri Pak Su Razak ini cukup selesa. Cuma yang kurang selesanya bagi penulis adalah hampir semua bot di Tasik Beris menggunakan enjin ekor biawak.
Ketika hujan renyai turun, enam buah bot berpecah mencari spot masing-masing. Bermula di kawasan tidak jauh dari ladang anggur, kami kemudiannya meneroka kawasan tuas (ceracak pokok buluh mati yang tenggelam).
Di spot ini, hanya seekor sebarau bersaiz juvenil berjaya diperolehi. Pencarian di kawasan ini sedikit terbatas kerana kawasan permukaan tasik hampir dipenuhi samai dan amat sukar untuk kami menggayakan gewang lain selain gewang jenis permukaan.
Menurut Yares, inilah cabaran casting di Tasik Beris, sebaraunya sukar dijejaki terutama bersaiz besar kerana ia berselindung di bawah samai. Jadi dek kerana kesukaran inilah, amat bertuah buat mereka yang berjaya menaikkan sebarau bersaiz 1 kg ke atas.
Tambahnya lagi, dek kerana samai-samai inilah, punca mengapa enjin ekor biawak menjadi pilihan kebanyakan pemilik bot di sini. Walaupun ia bukan enjin yang praktikal untuk tujuan casting (kerana bunyi bising), tetapi ia menjalankan tugas yang baik kerana mampu melalui permukaan tasik yang dipenuhi dengan rumput tebal dan samai.
Menginjak tengah hari, kami mencuba di kawasan yang lebih terbuka untuk menjejaki sang toman. Namun disebabkan rintik hujan dan mendung yang berterusan membantutkan usaha mencari sang toman sebelum kami berangkat pulang semula ke jeti Pak Su Razak untuk berehat dan makan tengah hari.
Semasa berehat, masing-masing menceritakan kesukaran mendaratkan spesies sasaran. Faktor air yang dalam, samai memang menyukarkan. Tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat geng NKA yang rata-ratanya baru berjinak dengan teknik casting. Beberapa orang berjaya memperoleh sebarau dan toman bujang. Tiada lagi kelibat badong mahupun mama toman pada sebelah pagi.
Sesi petang diteruskan kembali dengan masing-masing mencuba spot yang berlainan. Sebelah petang, cabaran untuk mencari spesies sasaran lebih mencabar, kerana faktor angin yang mulai bertiup kuat.
Di satu hujung tanjung, ketika baru sahaja Yares memberhentikan bot, terlihat kelibat toman timbul mengambil udara tidak jauh di belakang bot. Terus sahaja kami melontarkan gewang yang ada dan berapa kali karauan, sang toman terus menyambar rakus gewang permukaan milik Yares.
Lewat petang, hari kelihatan semakin mendung. Angin juga mulai semakin kuat bertiup. Nun di puncak bukit bukau yang melatari pemandangan indah Tasik Beris, kelihatan awan hitam sedang berarah menuju ke arah kami.
Harapan untuk menduga spot ‘Raja Sakti’ akhirnya tidak kesampaian apabila rintik hujan mulai semakin kasar dan seterusnya hujan berserta angin ribut diiringi kilat dan petir menimpa kami. Mujur bot yang dinaiki saya sempat berlindung di wakaf tidak jauh dari hentian R&R Tasik Beris.
Sambil bertanyakan kepada rakan bot lain, akhirnya kami diberitahu sebuah bot mengalami kerosakan enjin dan berlindung agak jauh daripada bot kami. Selesai hujan reda, kami menjejaki mereka. Mujur juga di Tasik Beris ini, liputan talian telefon amat baik.
Sekitar jam 9 malam, bot yang dinaiki saya selamat sampai ke jeti Pak Su Razak Beris bersama bot yang ditunda.
Sesi sebelah malamnya, kami berkumpul sambil mendengar cerita bot yang lain. Masing-masing menunjukkan hasil yang tidak seberapa.
Melihat kepada beberapa faktor seperti cuaca yang tidak menentu, samai yang tebal, ramainya penduduk kampung memasang jaring dan rawai serta air tasik yang tinggi, memang harapan untuk menduga dua spesies ini sememangnya sukar ketika ini.
Ini kali pertama saya menjejaki Sungai Rompin. Itu pun selepas termakan `racun’ dan pujukan Zaidi, anak jati Rompin. Zaidi beria mengajak saya bertandang ke lubuk permainan sebaraunya di Sungai Rompin.
Sempena cuti umum yang jatuh pada hujung minggu, saya bersama Andy dan Azlan bertolak menuju ke Rompin dari Lembah Kelang.
Seawal jam 6 pagi kami tiba di Rompin. Selepas solat subuh, kami bertemu dengan Zaidi dan bersarapan di gerai kampung di Rompin.
Bersama Zaidi, rakannya Sidek, Zaini dan Ayie juga turut serta. Sebenarnya, untuk trip ini, saya telah pun merancang untuk berkhemah satu malam dan sebelum bergerak ke Sungai Rompin, kami singgah di kedai runcit berhampiran bagi melengkapkan keperluan untuk berkhemah.
Hari Pertama
Tepat jam 8 pagi, kami tiba di jeti perkampungan orang Asli dan memulakan final camping checking iaitu memastikan peralatan untuk berkhemah cukup dan lengkap.
Perjalanan menyusuri Sungai Rompin ke camp site menggunakan tiga buah bot milik Zaidi dan rakannya. Ia mengambil masa kira-kira setengah jam dari jeti.
Sepanjang trip ini, spesies sebarau menjadi sasaran utama kami. Ini kerana menurut kata Zaini, Sungai Rompin masih banyak menyimpan lubuk yang dihuni spesies sebarau.
Setelah tapak perkhemahan telah siap dipasang, bermula lah aktiviti survivor kami, iaitu misi mencari lauk tengah hari.
Untuk permulaan, kami hanya melakukan aktiviti casting tidak jauh dari kawasan tapak perkhemahan.
Alhamdulilah, cuaca pada hari kejadian cukup baik. Saya menggunakan gewang untuk melontar ke seberang sungai betul-betul di celah reba kayu. Ada miss call tetapi rabut.
Selepas beberapa kali percubaan keadaan sunyi sepi. Rakan saya yang berada tidak jauh dari saya telah pun berjaya memperoleh lesen sebarau.
Selepas menapak beberapa minit, saya melihat deburan air menandakan ada pemangsa sedang mengejar sesuatu, betul-betul di bawah sepohon dahan yang rendang.
Saya menukar kepada spoon AXZ. Dua lontaran sahaja, hujung joran saya disergap kuat, tanda ada sebarau telah menyambar.
Sebaik sahaja melayannya, akhirnya sebarau yang saya anggarkan bersaiz lebih sekilogram berjaya diperolehi.
Cukup puas hati bertarung dengan sebarau sungai bersaiz begini. Lebih-lebih lagi sebarau sungai yang begitu kuat kudratnya.
Tiba di camp site, kami semua berjaya memperoleh 3 ekor sebarau bersaiz memuaskan dan semuanya dijadikan hidangan makan tengah hari.
Selepas makan tengah hari, aktiviti casting disambung semula sehingga lewat petang. Hasilnya beberapa ekor sebarau juvenil bersaiz 200 – 400g berjaya diperolehi .
Tidak ada spesies yang kasar diperolehi sebagaimana pagi tadi. Hanya Andy yang berjaya memperoleh saiz melebihi sekilogram.
Mana-mana sebarau bersaiz kecil, kami lepaskan semula selepas hanya bergambar dengannya.
Aktiviti Malam
Malam hari, kami menikmati menu masakan yang simple sahaja, iaitu masakan dalam ikan sardin dalam tin, ayam goreng, sayur kubis goreng dan ikan kering ia tetap menu yang terhebat buat kami.
Apatah lagi Zaini menyediakan sambal tempoyak dan jering muda sebagai ulam. Fuhh terangkat, apatah lagi sambalnya cukup pedas.
Sebagai persediaan, kami telah pun memasang unggun api besar berdekatan khemah di mana sejak awal petang tadi juga kami telah mencari banyak bangkar kayu untuk dijadikan unggun api.
Malam melabuhkan tirai, kami memulakan aktiviti pancingan dasar berhadapan khemah. Sasaran utama, sudah pastilah ikan baung. Umpan cacing dan sedikit umpan tapa menjadi umpan terbaik untuk dipertaruhkan.
Namun aktiviti membaung berlangsung selama 4jam berakhir dengan hasil yang tidak memberangsangkan.
Kami berpendapat lubuk di hadapan khemah ini bukanlah spot terbaik mencari spesies baung. Jam 11 malam, kami semua selamat memasuki khemah dan tidur.
Hari Kedua
Hari kedua, kami memutuskan untuk naik ke bahagian hulu sungai. Iaitu memasuki kawasan anak sungai yang lebih cetek airnya dan boleh diharungi separas pinggang.
Teknik casting sambil meranduk air memang memerlukan kesabaran, ketahanan fizikal dan mental.
Anak sungai di sini dipenuhi spot-spot menarik, bangkar-bangkar kayu sangat mudah ditemui. Mungkin ia kesan banjir besar pada musim tengkujuh yang melanda Disember lalu.
Di setiap selekoh sungai pasti ada sahaja spot-spot yang menarik. Memang berbaloi dengan hasil tangkapannya.
Strike demi strike diperolehi oleh semua ahl trip. Cuma tiada kelibat bersaiz 800 gram ke atas. Rata-rata saiz yang diperolehi 200-600 gram sahaja yang berjaya diperolehi.
Sekitar jam 4 petang, kami menamatkan trip ini. Walaupun trip ini singkat, namun bagi saya dan rakan-rakan yang datang dari ibu kota, menganggapnya ia trip yang memberi kenangan seribu makna.
Memandangkan masih ada ahli komplot yang kumpau dan lose control sekali gus belum merasai pecutan sang sebarau Sungai Rompin, kata putus diambil, satu trip susulan akan diadakan lagi selepas Aidilfitri nanti. Sungai Rompin, mu tunggu aku datang semula.
Jajaran Sungai Dinding yang terletak di daerah Manjung, Perak sememangnya menjadi antara port memancing yang sangat berpotensi untuk diketengahkan. Tak kiralah sama ada untuk casting mahupun bottom, pelbagai jenis ikan boleh dijadikan target di sini.
Tak hairanlah jajaran sungai ini semakin meriah di kalangan kaki pancing dan pada masa yang sama pengusaha kelong turut tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan untuk mendirikan kelong di jajaran sungai ini untuk kaki pancing.
Kelong Batu undan merupakan antara kelong yang semakin mencipta nama dan meniti di bibir kaki-kaki pancing Malaysia. Memulakan operasi dengan sebuah kelong pada tahun 2010, siapa sangka ia mendapat sambutan yang sangat luar biasa dan tidak mampu menampung permintaan tempahan di kalangan kaki pancing pada waktu itu.
Oleh yang demikian, kelong yang diusahakan oleh pasangan suami isteri yang mesra dipanggil Puan Lina dan Cikgu Kamarul mengambil inisiatif untuk menambah 2 buah lagi kelong untuk menampung permintaan yang sangat menggalakkan pada waktu itu.
Menurut Puan Lina, sebelum terbinanya kelong ini, beliau hanya bermula dengan nursery ikan di belakang rumahnya, kemudian akibat masalah bekalan elektrik yang kerap terputus, menjadikan beliau menghentikan projek nursery ikan dan terus merancang untuk membina sangkar ikan pada tahun 2009.
Ternyata projek sangkar ikan juga tidak bertahan lama atas faktor persekitaran dan hasilnya yang lambat dituai. Idea terbinanya Kelong Batu Undan ini terjadi secara tiba-tiba apabila ada pihak yang ingin menjualkan kelong terpakai (second hand) kepadanya pada waktu itu. Dengan bantuan sedikit modal, mereka memperbaiki kelong itu dan seterusnya terhasillah Kelong Batu Undan yang masih kukuh hingga ke hari ini.
Bermula dari itu, sambutan yang diterima memang tidak putus-putus. Semuanya hasil perkongsian dari mulut ke mulut di kalangan pemancing. Ternyata perkongsian “word of mouth” ini mampu menaikkan nama Kelong Batu undan untuk dikenali.
Dan atas sambutan menggalakkan itu, Puan Lina terus mengambil inisiatif menghasilkan sebuah blog untuk mempromosikan lagi Kelong Batu Undan.
Bercerita tentang fasiliti, Kelong Batu Undan lengkap dengan kemudahan asas sama seperti kelong ataupun rumah rakit yang lain.
Setiap kelong di sini terdapat satu bilik, bilik air, dapur gas, dan juga bekalan air yang dibawa dari darat bersama dengan lampu menggunakan bateri untuk pancingan waktu malam. Untuk sesi memancing, menurut Cikgu Kamarul, waktu yang terbaik memancing di sini ialah ketika air berarus iaitu sewaktu pergerakan air besar ke kecil dan air kecil ke besar.
Ini kerana, pada waktu ini ikan dari laut banyak mudik masuk ke muara untuk mencari makanan. Antara ikan yang boleh dijadikan target di sini ialah jenahak, kerapu, siakap dan pari. Malah untuk lebih membakar kaki pancing berkunjung ke sini, ada rekod pernah menunjukkan kaki pancing menaikkan kerapu seberat 9kg dan pari 10kg di kelong ini. Itu belum lagi ditambah dengan cerita ikan tak dapat dinaikkan dan kes-kes joran terbang di kelong ini.
Diakhir perbualan penulis dengan pasangan suami isteri ini, mereka sempat menyatakan harapan untuk perniagaan yang diusahakan ini. Mereka amat berharap agar pihak tertentu untuk mula melaksanakan undang-undang untuk mengasingkan kawasan zon memancing dan memukat di kawasan Sungai Dinding ini.
Ini bagi memberi lebih ruang kepada pemancing amnya agar bebas memancing dengan tenang tanpa gangguan pukat sekali gus mampu memberikan hasil terbaik buat mereka yang berkunjung ke sini. Ini sekali gus mampu menaikkan industri ‘angling tourism’ di negeri Perak.
Dalam pada masa yang sama juga Puan Lina dan Cikgu Kamarul amat berharap agar kelong yang diusahakan ini mendapat sokongan padu di kalangan kaki pancing Malaysia. Puan Lina juga turut meletak harapan untuk menambah beberapa lagi rumah rakit di masa akan datang untuk menarik lebih ramai kaki pancing berkunjung ke sini terutama pada waktu hujung minggu dan juga cuti persekolahan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...