
Bagi pemancing tempatan, pancingan kayak masih baru di kalangan kita. Di luar negara pemancing yang mahukan lebih cabaran menjadikan pancingan kayak sebagai platform yang lebih ekstrem dan kadangkala menjadikannya lebih berisiko. Dengan lambungan ombak dan bertarung sambil ditarik oleh pemangsa besar seperti layaran atau jerung cukup menjadikannya antara cara ekstrem untuk memancing.
Apabila memancing, pemancing biasanya memancing dari dalam bot atau dari daratan, asalkan memancing dari lokasi yang lebih selamat. Namun apabila diangkat ke satu tahap yang lebih ekstrem, pemancing mula memancing dari atas papan luncur. Hanya dengan beralaskan sekeping papan luncur di permukaan air dan set pancing, pemancing akan bertarung cuba menaikkan mangsanya. Spesies yang lebih ganas berisiko mendatangkan bahaya dan kecederaan kepada pemancing.
Memancing dari pantai berbatu kelihatan seolah-olah teknik pancingan biasa. Namun tidak bagi sesetengah kaki pancing di Australia dan New Zealand. Lebih dikenali dengan nama rock fishing, teknik ini memerlukan pemancing memancing dari tebing pantai berbatu. Risiko bahaya dan ekstrem teknik ini datangnya daripada ombak yang menghempas kuat daratan berbatu. Cara memancing ini dikatakan meragut nyawa pemancing setiap tahun di Australia.
Menembak ikan merupakan antara salah satu teknik dalam memancing. Biasanya kita didedahkan dengan menyelam dan menembak ikan air tawar. Bagi cara memancing yang lebih ekstrem, pernahkah anda terfikir menembak ikan yang lebih besar dan ganas seperti barracuda, tuna malah jerung? Lebih dikenali dengan terma spearfishing, terdapat segelintir yang menjadikan teknik ini antara cara memancing yang ekstrem dengan memburu mangsa di air masin. Memang antara cara ekstrim dan berisiko tinggi.
Memanah ikan atau aerial bowfishing menjadi antara cara ekstrem memancing ikan di Eropah. Ketidakupayaan mengawal spesies ikan kap yang memenuhi sungai-sungai mengancam spesies asal di sana. Saban tahun mereka menjadikan acara menangkap atau memancing ikan kap sebagai antara cara mengawal spesies ini. Memburu kap menjadi lebih ekstrem dengan pengenalan teknik memanah ikan kap yang sering melompat ke permukaan apabila bunyi enjin bot melalui sungai di sana.
Fakta & Trivia Luar Biasa 11 Monster Air Tawar (bab 1)!!

Keluasan kawasan air tawar adalah lebih kecil berbanding lautan. Namun bilangan spesies ikan air tawar mengatasi ikan yang hidup di air masin.
Di sebalik ribuan spesies ikan air tawar, kami pilih 11 spesies monster untuk dikupas kehebatannya.
Sturgeon beluga
Sturgeon beluga memiliki barbel (sesungut) barbel di sekitar mulutnya, hampir menyamai ikan keli tetapi lebih pendek.
Sesungut yang berbulu di hujungnya berperanan agar lebih efektif merasakan gerakan di dalam air. Muncung mulutnya menunjuk ke bawah dan terletak di bahagian bawah kepalanya.
Monster ini adalah spesies ikan air tawar terbesar di Amerika Utara. Disebalik memiliki kulit berlendir seperti ikan keli atau lapisan sisik seperti kebanyakan ikan lainnya, sturgeon putih ini ditutupi oleh cakera tulang keras yang disebut scutes.
Mereka juga memiliki persamaan sifat dengan jerung: kerangka internal yang terbuat dari tulang rawan, bukan tulang. Kerangka tulang rawan ini memberikan fleksibiliti tambahan membuatnya cukup lincah di dalam air.
Sturgeon putih betina dapat melepaskan 3 juta telur, yang menempel di dasar-dasar sungai setelah proses mengawan.
Proses yang dinamakan `broadcast spawning’ di mana ikan jantan dan betina masing-masing mengeluarkan komponen subur mereka untuk bercampur secara eksternal di dalam air.
Pari Air Tawar Gergasi
Ikan besar ini memiliki sengat terbesar dari semua jenis pari, yang panjangnya mampu melebihi 14 inci.
Pari air tawar gergasi umumnya tidak agresif terhadap manusia, tetapi duri pada ekornya dapat menyebabkan beberapa kecederaan serius jika ia melibas untuk mempertahankan diri.
Kurang diketahui tentang spesies ini dibandingkan dengan kekayaan informasi yang tersedia oleh pakar.
Tidak pasti apakah giant freshwater stingray dilengkapi organ istimewa untuk menjelajah jauh dari sungai di mana ia paling sering terlihat berenang melalui air laut yang masin.
Para saintis khuatir bahawa spesies ini mungkin tidak bertahan lama, karena polusi dan gangguan pada habitat sungainya telah mengurangi jumlahnya.
Wels Catfish
Meskipun spesies keli monster ini berasal dari Eurasia, ia dianggap sebagai spesies invasif di banyak daerah berbeza di mana ia diperkenalkan sebagai ikan sukan.
Ukurannya yang besar membuatkan ia mendapat nama jolokan `The Ebro Monster’, `The European Maneater’, dan `Man-Eater Catfish’. Disebalik gelaran ini, wels catfish bukan pemakan manusia.
Makanan ikan dewasa khususnya terdiri dari ikan dan belut lainnya, krustasea, dan bahkan tikus dan itik yang malang.
Seperti beberapa spesies ikan besar lainnya, ikan keli memburu dengan metod menelan, menghisap mangsa dengan tiba-tiba membuka mulutnya untuk menciptakan daya sedutan yang kuat.
Pada kebiasaannya, proses pembiakan keli wels melibatkan sedikit kerja berpasukan. Ikan jantan menggali dasar pasir, biasanya berdekatan dengan struktur seperti akar pohon atau batu.
Ikan betina kemudian mengisi sarang yang digali ikan jantan dengan ribuan telur, dan ikan jantan kemudian dengan rajin menjaganya sampai mereka menetas.
Chinese paddlefish
Ramai pakar ikan bimbang bahawa ikan masif yang hampir pupus ini mungkin sudah pupus. Tidak ada penampakan spesimen juvenil di alam liar sejak 1995, dan tidak ada penampakan sama sekali dari Chinese paddlefish di alam liar sejak tahun 2003.
Setelah empangan dibina di Sungai Yangtze pada 1980-an, habitat ikan raksasa ini telah berubah sehingga populasi tidak dapat bangkit kembali dari penangkapan ikan yang berlebihan.
Moncong khas ikan ini, yang mengilhami orang China untuk merujuknya sebagai Chinese swordfish, dipanggil rostrum.
Rostrum menciptakan daya angkatan sementara ikan raksasa ini berenang, ia bertindak sebagai penstabil dan membolehkan ia menjaga kepalanya tetap stabil.
Giant Mekong Catfish
Raksasa air ini dianggap sebagai yang terbesar di antara semua ikan air tawar tanpa sisik. Ancaman terhadap populasinya seperti penangkapan ikan berlebihan, pencemaran teruk di habitat pembiakannya, dan pencemaran sungai-sungainya telah mendorongnya ke titik yang hampir pupus.
Ikan patin Mekong adalah satu-satunya spesies catfish yang tidak memiliki gigi, dan juga memiliki barbel yang jauh lebih sedikit daripada sesungut biasa yang memanjang dari mulut catfish lainnya.
Kurangnya barbel yang luar biasa dalam kombinasi dengan ukurannya yang besar sering membuat orang yang melihat salah satu ikan patin raksasa ini beranggapan bahawa mereka telah melihat ikan jerung.
Siberian Taimen
Nafsu makan ikan ini yang rakus telah memberinya nama jolokan `Serigala Sungai’. Siberia Taimen dapat hidup sampai tiga puluh tahun atau lebih, memberi mereka banyak waktu untuk mencapai ukuran yang mengesankan.
Ikan ini adalah yang terbesar dan tertua dari spesies salmon, dan berfungsi sebagai bukti hubungan evolusi antara salmon dan trout.
Siberia Taimen memerlukan waktu lebih lama daripada banyak spesies ikan lainnya untuk mencapai kematangan seksual.
Ini kerana spesies ini jangka hayat yang panjang dan tidak matang dan membiak dengan cepat, populasinya cenderung dipengaruhi oleh perubahan faktor lingkungan.
Atas sebab itu Siberian Taimen memberi wawasan yang berharga kepada para ahli ekologi yang memungkinkan mereka mengukur bagaimana ekosistem akuatik mereka ketika hidup.
Buru Keluarga Toman Lembah Klang!!

Kunjungan kali pertama saya ke kawasan tadahan air ini kebetulan untuk merasmikan enjin Mercury 5 kuasa kuda yang baru dibeli oleh Zaini. Kunjungan ini juga disambut dengan hujan seawal jam 9 pagi dan berlarutan hingga ke petang. Namun itu tidak melemahkan semangat kami bertiga pada hari tersebut.
Di beberapa suak kami menemui satu kawanan anak toman yang masih kecil dan kelihatan sepasang induk yang mengiringi kawanan tersebut. Tanpa berlengah lagi pelbagai gewang permukaan dan selaman dalam kami hulur namun tidak membangkitkan rasa amarah kedua induk tersebut malah langsung tidak mahu menghentam gewang-gewang kami.
Sehingga tengah hari kami masih lagi belum dapat menaikkan toman gadang kecuali saudara Apit yang berjaya mendaratkan seekor toman bujang berskala 1kg dengan kaedah yang kami gelar di sini ‘Drive Thru Casting’ iaitu dengan cara menghantar ‘buyun’ @ katak rambutan dan buzzbait sehampir yang boleh dengan tebing sambil bot dipandu secara perlahan menyusuri tebing tasik.
Apabila perut semakin berbunyi ditambah pula dengan kesejukan berhujan dari pagi, kami mengambil keputusan untuk berehat di spot yang saudara Zaini gelarkan ‘Port Air Terjun’ kerana terdapatnya sungai kecil berair terjun yang mengalir masuk ke kawasan tadahan air ini.
Sambil menghampiri spot tersebut secara perlahan-lahan kami turut menghantar gewang-gewang permukaan, manalah tahu sekiranya ada pemangsa yang sedang menghendap di sekitarnya.
Setelah mendarat di tebing, di satu sudut bereba kayu tumbang saya perhatikan seperti kelibat ikan yang baru disambar oleh sesuatu di dalam air.
Selepas beberapa ketika, seekor tilapia belang bersaiz dua tapak tangan yang hanya tinggal separuh timbul berhampiran reba tersebut dan sejurus itu juga saya terpandang sekilas ikan toman yang begitu besar saiznya timbul bersebelahan tilapia tersebut.
Saya tanpa berfikir panjang terus menghantar gewang Lucky Craft Gunfish 95 yang kebetulan memang siap tersedia diset pancing saya.
Satu sambaran kuat diperoleh sebaik sahaja gewang tersebut mencecah air namun sambaran tersebut tidak mengenai sasaran. Saya mainkan kembali gewang saya tersebut dan sejurus itu jugalah toman yang sama menyambar sekali lagi dan kali ini tepat mengenai gewang!
Berlakulah adegan tarik-menarik yang begitu mencemaskan daripada penghuni dasar dan saya menahan sedaya yang termampu.
Namun nasib tidak menyebelahi saya kerana hanya mampu bertahan selama 10 saat sahaja di mana shock leader berkekuatan 30lb saya putus begitu sahaja dikekah gigi toman gadang tersebut dan menelan gewang kegemaran saya. Lebur RM50!!!
Setelah selesai sesi mengisi perut dan solat, kami menyusuri semula sebahagian lagi kawasan tadahan air ini sambil ditemani basah hujan dan kesejukan. Di satu sudut berstruktur kayu tumbang, Apit yang menggunakan buzzbait menerima sambaran agak kasar.
Hampir 2-3 minit perlawanan seekor toman bunga berskala 1.5kg berjaya didaratkan. Setelah gambar dan hasil timbangan diambil, toman bunga tersebut dilepaskan semula ke habitat asalnya dengan senyuman lebar hingga ke telinga kerana telah berjaya mendapat lesen penuh bagi spesies kepala ular ini.
Sehingga lewat petang tiada lagi sebarang sambaran yang kami perolehi kecuali seekor toman bujang yang menghentam buyun saya, jadilah daripada ‘kumpau’ serta sebagai lesen saya di sini. Namun semasa bot perlahan-lahan menyusuri highway dalam perjalanan pulang, mata kami terpandang kepada satu kawanan anak yang agak besar kelompoknya.
Zaini dan Apit serentak menghantar gewang permukaan serta gewang selaman dalam namun kedua-duanya tidak memperoleh sambaran. Giliran saya pula menghantar pencil Combat Gigantes berwarna kuning apabila kawanan anak toman tersebut menimbul semula.
Sekali lagi, sebaik sahaja gewang mencecah permukaan air, 2 ledakan serentak yang begitu kuat menyambar dan tali utama terus tegang. Sistem tegangan kekili yang hampir 85% telah saya ketatkan terus-menerus memuntahkan tali dari gelendong. Hampir 5 minit pertarungan namun akhirnya memihak kepada induk toman tersebut kerana berjaya menyelinap di celahan kayu di dasar tasik malah menguncupkan mata tiga berkekuatan 3X.
Dua kali saya kempunan untuk mendaratkan toman gadang pada kunjungan pertama ini. Setelah kejadian rabut kedua tersebut tiada lagi sebarang sambaran kami terima dan kami pulang sambil menyimpan hasrat untuk kembali lagi ke sini.
Kunjungan ulangan dirancang tidak lama selepas kunjungan pertama dan kami bertiga kembali semula dengan misi yang sama untuk menumpaskan sang mama. Kebanyakan suak sama pada kunjungan yang lepas, kami ‘repeat’ semula dan turut menemui satu suak baru umpama nursery toman di mana banyak kelompok anak toman kami temui di sini.
Kunjungan kali ini berpihak kepada Zaini kerana berjaya mendaratkan dua ekor mama toman berskala 4-5kg dengan berpelurukan Rapala Fat Rap warna Fire Tiger. Apit juga berjaya mendaratkan seekor lagi kerandang yang agak kasar sekali lagi dengan menggunakan buzzbait jenama Ofmer.
Saya pula setelah rabut seekor mama pada awalnya namun akhirnya dapat juga mendaratkan seekor mama setelah mengacau kawanan anak toman yang masih merah yang menimbul berhampiran tebing di satu bahagian suak dan seekor lagi di tengah highway pada kunjungan ketiga saya di sini.
Kami begitu teruja kerana kunjungan ulangan kali ini membuahkan hasil yang begitu baik. Yang lebih membanggakan adalah kami tidak perlu memandu jauh hingga ke Temenggor ataupun Kenyir untuk mendapatkan hasil yang lumayan sebegini.
Jangan Buat Perkara Kalau Rasa Nak Mabuk Laut!!

Bagi mabuk laut ringan, ia tidak terlalu mengganggu aktiviti pemancing. Pemancing yang mabuk laut ringan akan merasa sedikit pening sahaja dan boleh diubati dengan hanya menyapu minyak angin atau apa-apa ubat sapuan.
Bagi mabuk laut sederhana, pemancing akan muntah tetapi masih boleh melakukan aktiviti memancing. Kes mabuk berat pula akan menyebabkan pemancing termuntah beberapa kali dan tidak mampu untuk berdiri apalagi melakukan sebarang aktiviti memancing.

Sementara bagi kategori mabuk darat pula, ia selalunya terjadi apabila kita sudah berada di darat. Kesannya boleh dirasai sehingga beberapa hari. Mereka yang mabuk darat akan rasa terumbang-ambing semasa berdiri dan tidur. Mabuk darat juga boleh membahayakan jika mereka yang terlibat memandu kenderaan.
Gangguan kecil pada medula oblongata di otak akan menyebabkan individu terasa seakan dibuai-buai. Kesan mabuk darat ini akan hilang dengan sendiri.
Pelbagai cara boleh gunakan untuk mengelak dari mabuk laut. Semua kaedah ini diperoleh dari perbualan dengan nelayan-nelayan tempatan dan rakan-rakan pemancing yang lain. Walaupun anda biasa ke laut, risiko untuk mabuk laut tetap ada.
Sebaiknya kurangkan mengambil makanan yang banyak minyak (berlemak) sebelum turun ke laut. Lebih bagus sekadar mengalas perut dengan makanan yang kaya protein.
Makan asam atau benda masam seperti asam masin ketika tekak mula terasa mual. Tapi jangan makan berlebih pula kerana ia boleh menyebabkan rasa loya sekaligus percepatkan lagi pening dan mabuk.
Jangan terlalu lama memandang lantai bot. Kerap mengikat perambut atau mata kail di atas bot boleh mengundang mabuk laut.
Jangan merenung atau melihat riak air laut dalam tempoh yang lama. Pergerakan naik turun bot dibawa alun akan percepatkan proses pening. Cuba beri tumpuan pada objek jauh seperti pantai, bot nelayan, bukit-bukau dan pulau-pulau. Dalam pada masa cuba atur pernafasan agar berasa tenang dan damai.
Pastikan anda tidak mencium bau minyak diesel dan asap bot. Bau petrol juga boleh menimbulkan masalah yang sama. Duduklah di mana arah angin bertentang dengan bau petrol.
Jangan duduk berdekatan enjin bot. Bunyi yang kuat boleh mengundang mabuk. Cubalah ambil angin segar dengan duduk di bahagian hadapan bot.
Jangan bermain dengan hasil tangkapan terlalu lama. Jangan terbuai dengan keseronokan sementara. Harus diingat, bau hanyir ikan boleh menerbitkan rasa loya.