Selari dengan objektif penubuhan Team Pacak Strike (TPS) merapatkan silaturahim dan ukhuwah bukan sekadar sesama ahli, malah dengan sesiapa sahaja dalam dunia pancingan tanah air, sebahagian kecil ahli TPS menyahut jemputan pengusaha produk umpan memancing, Papa Paste dan Kolam Pancing Bezz Aquaculture bagi melaksanakan komplot memancing.

Selain daripada berpeluang mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli, melalui komplot memancing ini para kumpulan kelab Facebook yang menghimpunkan para pemancing khususnya dari utara tanah air diterajui M. Nasir Ghazali turut sama berpeluang menimba dan berkongsi ilmu berkaitan memancing.

Melalui perkenalan dengan pemilik kolam pancing Bezz Aquaculture para ahli berpeluang menimba sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan rahsia kejayaan memancing di kolam tersebut. Ilmu yang sama turut sama dapat dipelajari daripada pemancing setia kolam yang turut serta. Sementara menerusi pengusaha umpan Papa Paste dapatlah pula mempelajari teknik-teknik atau setting umpan yang betul.

Selain daripada menerima ilmu, ahli TPS tidak lokek untuk berkongsi teknik dan cara penyediaan umpan yang diamalkan. Dan melalui sesi memancing ahli TPS membuktikan apa yang mereka kongsi amat berkesan apabila para ahli bersilih ganti melayan tarikan ikan yang terdapat di dalam kolam. Sekaligus memeriahkan lagi sesi komplot memancing bersama wakil sisipan UMPAN di Kolam Pancing Bezz Aquaculture.
Tuna Sirip Kuning Dari Aspek Pancingan!!

Kenapa begitu ramai pemancing menggilai spesies tuna ini? Salah satu sebab paling ketara ialah ingin merasai daya juang tuna sirip kuning yang cukup padu renangannya.
Ikan handalan ini mampu mengeluarkan tali pancing milik pemancing dengan mudah, memaksa joran aksi berat anda menerima tekanan berterusan, kemudian pemancing itu sendiri terpaksa minta bantuan, setelah tidak mampu lagi menangani berseorangan.
Para pemancing perlu ketahanan fizikal supaya dapat menyerap asakan solid ikan aya irip kuning ini. Malah ia diiktiraf sebagai salah seekor ikan gamefish paling popular buat kaki pancing.
Sesetengah ikan ini boleh dikesan dengan kehadiran kumpulan ikan lumba-lumba dan juga burung camar.
Apabila berjumpa fenomena ikan lumba-lumba berebut makanan di permukaan air, burung camar menujah dari atas ke dalam air manakala pada masa yang sama juga ikan-ikan aya akan menyerang mangsa dari bawah.
Ketiga-tiga pemburu ini mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain mengekori pergerakan anak ikan terutama bilis. Mereka berkongsi habuan hasil tanpa permusuhan di kalangan spesies ini.
Teknik Dan Umpan
Teknik hanyut, menunda dan pertengahan air paling mujarab memburu ikan aya kuning sesuai dengan sifatnya berlegar di pertengahan dan permukaan air.
Usah dihulurkan umpan anda hingga dasar yang dalam. Jika ditinjau di beberapa kawasan tumpuan dunia memancing aya sirip kuning, setiapnya mengamalkan teknik pancing yang berbeza.
Teknik tradisional masih diamalkan secara meluas bagi tujuan komersial. Cara moden pula melibatkan kos tinggi dan kebanyakannya dipelopori oleh pemancing profesional dan pemancing bangsawan sahaja.
Jika diperhatikan cara tempatan dengan nelayan Maldives pula, saya rasa cara Maldives lebih senang dan mudah. Tangsi tidak perlu panjang hanya 7 hingga 15 kaki berbanding nelayan kita mengunakan satu gelung tangsi sama.
Cara mereka memanggil ikan datang rapat ke permukaan dan merembat terus ikan ke permukaan manakala cara tempatan pula menunggu ikan sama ada pertengahan dan permukaan air serta melayan dengan berhati-hati ketika bertarung dengan ikan.
Aya sirip kuning adalah sejenis ikan memburu secara berkumpulan. Mangsanya terdiri dari ikan-ikan pelagik juga turut sama mendiami kawasan laut dalam.
Selain itu spesies aya lebih kecil juga sebahagian dari dietnya. Yang lain termasuklah sotong dan krustasia tapi sotong lebih banyak terutama ketika musimnya.
Selain dari itu ia mudah ditipu dengan pergerakan bulu putih (bulu itik) itik dan jig. Setengahnya menyambar kedua-dua umpan tiruan ini ketika perebutan mendapat makanan berlaku.
Peralatan pancing
Apakah peralatan pancing paling sesuai untuk ikan berskala purata 2 meter panjang dan berat hampir 100 kg berat? Selain menggunakan koyan berskala tangsi 200 lb?
Berhadapan dengan pecutan tiba-tiba, henjutan seluruh joran dan tekanan sepanjang masa membuatkan rami terfikir, ‘buat apa susah-susah pancing ikan terlalu besar… dapat pun susah sangat nak naikkan.
Baik cari yang table size lagi bagus buat lauk!”
Bayangkan, bila anda mengetat habis sistem tegangan kekili atau drag, tapi tangsi masih ditarik keluar!
Ketika inilah sesetengah pemancing terfikir betapa kerdilnya mesin tersebut berbanding dengan kekuatan ikan aya sirip kuning.
Kekuatan ikan aya sirip kuning ketika merembat mata pancing tidak lama, sebelum ia lemah.
Aya sirip kuning akan bergegas melarikan tali pancing sebaik sahaja menelan umpan. Ketika membuat sentapan balas, ia akan menujah ke kawasan lebih dalam, bertahan sehingga ia letih.
Setelah Puas ia mengeluarkan tangsi pemancing barulah ia mengikut arah masuk tangsi pula, ketika ini ia mudah dipujuk rapat ke arah bot sebelum ditewaskan.
Peralatan tugas berat seperti Penn International 50 SW, Shimano Tiagra , Shimano 50 TLD maupun Alutechnos, Accurate BOSS adalah kelas utama untuk bermain dengan speises aya ini.
Peralatan ini perlu mampu menyimpan tangsi yang panjang kekuatan minimum 50 paun mono atau 100 paun tali sulam. Perambut disyorkan adalah jenis clear minimum 70 paun.
Saya biasa mengunakan perambut Berkley Big Game Leader 60 paun, 100 paun dan 150 paun.
Mata kail pula haruslah dari 6/0 hingga 12/0 yang kuat serta tajam. Jika berhajat 50 kg ke atas pemilihan mata kail dan perambut perlu diteliti dengan tepat.
Anehnya nelayan luar masih ada mengunakan mata berskala 1/0, tetapi ia mampu mendaratkan specimen hampir lebih dari 50 kg.
Tiada mustahil jika ada keyakinan tapi letihlah sikit sambil melayan dan berharap agar mata kail tidak patah atau lurus!.
Selain itu tali pinggang (fighting belt) dan penahan perut sekali (hardness) perlu disediakan sebagai alatan sampingan.
Ada masa kita perlukan ia apabila bot yang disewa terutama bot nelayan tidak dilengkapi peralatan sampingan ini.
Akhir sekali ketahanan mental, fizikal dan isi poket amat diperlukan memandangkan belanja untuk mendakap spesies ini bukanlah murah.
(Sumber : Pokmud’s)
KORANG tanya UMPAN jawab – (S1Q3) – Kelebihan spinning berbanding baitcaster ®

Soalan:
Apakah keistimewaan menggunakan kekili mendatar (spinning reel) berbanding kekili menegak (baitcaster reel) ketika casting?
Jawapan:
Kami rasa semua kekili adalah sama, tujuan kekili di dalam memancing adalah untuk membantu pemancing mengumpul tali pancing dengan baik supaya tidak bersimpul dan kusut.
Bagi setiap kekili ada kebaikan dan kelemahannya. Kekili mendatar juga mempunyai keistimewaan tersendiri di mana:
Kelebihan 1
Tali pancing yang keluar daripada gelendong kekili mendatar bergerak secara berpusing disebabkan gelendong pada kekili mendatar statik dan tidak bergerak, oleh itu ia tidak akan mudah kusut.
Berbanding dengan kekili menegak di mana pada jenis ini gelendong akan bergerak (berpusing) dan sekiranya kita tak pandai kawal henti perjalanan tali ia akan mudah menjadi kusut atau birdnest.
Kelebihan 2
Kekili mendatar lebih mudah untuk membuat balingan gewang ultra ringan dan mikro melawan angin berbanding kekili menegak.
Kelebihan 3
Penggunaan kekili mendatar lebih senang dan tidak mengelirukan berbanding dengan kekili menegak di mana ia tidak mempunyai banyak alat dan fungsi tugas pada kekili.
Senang cakap, guna spinning ni tak perlu nak kena adjust itu adjust ini baru boleh baling dengan sempurna.
Kelebihan 4
Kekili mendatar lebih senang dan berkuasa apabila membuat karau laju di mana pusingan gelendong yang lebih besar serta nisbah gear akan menyebabkan lebih berkuasa dan pantas.
Kelebihan 5
Terdapat kekili mendatar yang mempunyai dua atau lebih gelendong apabila dibeli, oleh itu pemancing dapat membawa berbagai-bagai tali dan saiz tali dengan satu kekili.
Namun terpulang kepada pemancing itu sendiri. Walaupun penggunaan kekili menegak agak rumit, tapi kekili ini sebenarnya mendapat sambutan hangat di kalangan kaki-kaki casting.
Cara Guna Serbuk Roti Sebagai Umpan Memancing!!

Sediakan satu bekas bancuhan. Kemudian masukkan sekilogram serbuk roti. Curahkan 10 penutup botol perisa kelapa original dan gaulkan hingga sekata.
Masukkan pula 10 penutup botol perisa soya Original dan gaul hingga sekata. Kemudian masukkan 5 penutup botol perisa honeydew dan gaul hingga kesemua bahagian serbuk roti mengenai perisa.
Kemudian masukkan kira-kira dua genggam kelapa parut dan gaul sehingga sekata.
Sekiranya adunan serbuk roti terlalu berderai, boleh renjiskan air demi sedikit dan pastikan ia sesuai untuk dikepal iaitu tidak terlalu peroi dan tidak pula terlalu liat.
Cara menggunakan umpan:
Gunakan perambut Y dua mata kail tali sulam atau tangsi. Cucuk kedua-dua mata kail dengan beberapa keropok jagung.
Buatkan kepalan kecil dengan serbuk roti pada mata kail tersebut dan kepal dengan kuat. Buatkan satu lagi kepala kecil pada mata kail kedua.
Kemudian gabungkan kedua-dua kepala kecil dengan serbuk roti dan kepal dalam anggaran saiz sebesar penumbuk.
Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101
Boleh juga kepalkan secara langsung kedua-dua mata kail yang telah dicucuk keropok jagung dalam kepalan besar tanpa perlu membuat kepalan kecil terlebih dahulu.
Apa yang penting adalah kepala tersebut tidak terlalu peroi sehingga sukar untuk membuat lontaran dan tidak terlalu liat sehingga kepala tidak pecah berderai di dalam air.