Setelah berehat agak lama, Team Lan Lubuk (TLL)yang merupakan antara kelab pemancing yang popular dengan konsep pancingan kolam air tawar, kembali
melangsungkan aktiviti yang sememangnya senonim dengan kelab mereka, iaitu komplot memancing.
Bertempat di Kolam Gadong Jaya, sebuah kolam pancing air tawar yang terletak di Seremban, TLL dengan kerjasama jitu pengurusan kolam, satu aktiviti memancing atau komplot penutup tahun 2018 telah diadakan pada Ahad lalu.
Menurut boss TLL iaitu Lan Lubuk sendiri, program ini bertujuan bagi ketengahkan generasi muda atau pemancing baru menimba ilmu dari sahabat lama sambil bersilaturahim.
Ads
Program komplot ini bermula jam 10.00 pagi dengan bacaan doa. Seterusnya diikuti program membuat demontrasi bancuhan umpan, penyediaan perambut dan teknik
memancing terutamanya cara-cara pengendalian ikan untuk didaratkan. Program ini diketuai oleh Lan Lubuk selaku owner Kedai Umpan Pacak dengan bantuan dari admin kelab yang berpengalaman.
Jam 12.00 tengah hari barulah bermula acara memancing yang sangat dinantikan oleh semua ahli komplot.
Acara memancing yang lebih mirip mini pertandingan ini turut disediakan hadiah hamper,barangan pancing serta sedikit wang tunai bagi kategori ikan terberat.
Ads
(Sedutan video aksi komplot)
Acara memancing berehat seketika sejurus masuk waktu Zuhur dan memberi ruang kepada semua pemancing bersolat dan menikmati juadah kambing bakar yang ditaja oleh saudara Man Sate.
Ads
Pukul 2.00 petang kami meneruskan sambungan acara memancing. Suatu yang amat memeranjatkan, puluhan malah mungkin lebih dari seratus ekor berjaya didaratkan.
Rata-rata pemancing melahirkan rasa puas hati kerana hampir setiap masa strike. Jelas keriangan di wajah para ahli dalam suasana harmoni.
Kami menamatkan komplot pada jam 5.00 petang dengan tangkapan saudara Lebai Patin seberat 14.15 kg muncul selaku juara.
Seterusnya penyampaian hadiah di adakan sebelum kami berangkat pulang dengan kepuasan di hati.
GALERI KOMPLOT
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kami tiba di lubuk pertama pada waktu senja. Lubuk pertama merupakan sebuah unjam yang banyak terdapat di timur Pulau Similan. Menurut tekong, Pulau Similan yang terletak di Laut Andaman mempunyai struktur laut yang unik. Di sebelah timur pulau, lautnya amat cetek dengan kedalaman hanya 50 – 80 meter sahaja.
Di kawasan ini banyak terdapat unjam dan tukun tiruan yang dibina oleh nelayan tempatan. Kawasan ini kaya dengan lambakan sotong dan ikan-ikan karang. Kelihatan berpuluh-puluh bot pukat dan sotong sedang beroperasi di kawasan tersebut.
Pada sebelah barat Pulau Similan pula, keadaan lautnya amat berbeza. Hanya kurang satu batu nautika dari pulau tersebut, kedalamannya mencecah drop off sehingga 300 meter. Di kawasan inilah terdapatnya kerapu hitam yang kami sasarkan. Ruby snapper, tuna dan banyak lagi spesies ikan laut dalam juga boleh di pancing di kawasan ini.
Selepas singgah di lubuk pertama di sebuah unjam. Tekong Sai Yan berhubung dengan bot nelayan berhampiran untuk membeli umpan segar. Ikan tongkol dan sotong segar dibeli dengan kuantiti yang banyak sebagai bekalan umpan kami.
Di unjam, kumpulan kami mengamalkan pancingan dasar di hadapan bot dan jigging di belakang bot. Tanpa menunggu lama, pelbagai ikan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan. Ikan ebek kelihatan banyak terdapat di kawasan unjam ini selain ikan merah dan kerapu. Selepas semalaman memancing di unjam, pelbagai jenis ikan yang berjaya dinaikan oleh kumpulan kami.
Antara ikan-ikan tersebut ialah kerapu (Malabar grouper, Epinephelus malabaricus), ebek (Diamond trevally, Alectis indica), merah (Lutjanus erythropterus), kakap merah (Mangrove jack, Lutjanus argentimaculatus) dan banyak lagi spesies ikan lain.
IKAN SASARAN, KERAPU HITAM!
Awal-awal pagi lagi tekong mula bertolak ke kawasan drop off di sebelah barat Pulau Similan untuk memancing ikan kerapu hitam. Kami segera membuat persediaan untuk memancing sepanjang perjalanan ke sana. Perambut appollo berkekuatan 100-120lb diikat bersama mata kail 4X circle hook bersaiz 7/0. Penggunaan ‘bangla’ atau kekili elektrik amat digalakkan kerana mampu menyimpan tali utama lebih 500 meter.
Batu ladung yang akan digunakan untuk memancing di kawasan sedalam ini seberat 2kg. Pasti pemancing akan keletihan jika menggunakan kekili manual apabila berhadapan situasi seperti begini. Semasa memancing ikan kerapu hitam, hanya sebelah kanan bot sahaja dibenarkan untuk memancing. Ini kerana kami akan memancing secara berhanyut kerana bot tidak mampu melepaskan sauh di tempat yang begitu dalam.
Apabila tekong memberi isyarat, kami segera menurunkan umpan. Umpan tongkol yang dibeli oleh nelayan semalam terus disambar ikan dengan rakusnya. Bangla kepunyaan kami terpaksa berhempas pulas melawan asakan ikan kerapu supaya tidak lari ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyiannya. Selepas beberapa ekor ikan kerapu berjaya ditawan, tekong akan berubah tempat ke lubuk yang lain.
Bot hanya berhenti seketika sahaja di setiap lubuk. Aktiviti sedemikian kami lalui sehingga petang. Masa seakan-akan berlalu dengan pantas kerana kami sentiasa sibuk memancing ikan kerapu ini dan hasilnya berbelas-belas ekor ikan kerapu hitam yang berjaya kami perolehi.
UNJAM DI HARI KEDUA
Selepas seharian memancing ikan kerapu, tekong bergerak menuju ke kawasan unjam sebelum hari menjadi gelap. Selepas selesai menikmati makan malam. Kami menyambung semula aktiviti memancing. Kami amat bertuah pada malam kedua di unjam. Lambakan sotong jarum banyak terdapat di sini. Kami berpesta mencandat sotong di sini.
Kehadiran sotong-sotong yang banyak ini juga menarik pelbagai ikan pemangsa di kawasan unjam. Selain mencandat, kami juga berpesta dengan acara jigging. Ikan alu-alu, ikan cupak, skipjack tuna dan amberjack banyak dinaikkan melalui teknik jigging. Bagi yang suka memancing dasar, banyak ikan karang yang berjaya diperoleh. Sotong yang di candat oleh kumpulan kami serta merta dijadikan umpan hidup untuk pancingan dasar.
Banyak ikan kerapu karang/boron yang bersaiz lebih 7kg berjaya kami perolehi. Tekong Sai Yan juga tidak melepaskan peluang turut serta jigging bersama-sama kami ketika kumpulan kami sedang berpesta ikan. Walaupun kami dalam keletihan dan tidak cukup tidur, semuanya hilang akibat seronok berpesta dengan ikan-ikan yang tidak henti-henti memakan umpan hingga ke subuh.
KENA BULI
Waktu pagi seterusnya, tekong bergerak semula ke lubuk ikan kerapu hitam. Kali ini tekong Sai Yan akan membawa ke lubuk yang didiami ikan kerapu yang lebih besar berbanding semalam. Berbekalkan pengalaman semalam, kumpulan kami tampak lebih bersedia. Umpan diturunkan selepas tekong memberi isyarat.
Seperti semalam, umpan tongkol terus disambar oleh ikan. Tetapi kali ini tekanan yang kami hadapi lebih hebat. Mesin bangla kami tidak mampu membuat karauan. Sekali sekala kami terpaksa mengarau secara manual. Mulanya kami ingatkan umpan kami telah sangkut di struktur berbatu di dasar laut, tetapi disangkal oleh tekong Sai Yan. Beliau mengatakan tekanan yang hebat berpunca daripada kerapu hitam yang besar.
Keadaan ini sering berlaku apabila umpan dimakan oleh kerapu bersaiz besar dan sentiasa disangka seperti tersangkut oleh pemancing. Kali ini tekong Sai Yan dan awak-awak beliau terpaksa turun padang membantu kami menewaskan kerapu ini. Tali utama ditarik menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Tempoh beberapa minit diambil untuk memujuk kerapu yang memakan umpan keluar dari lubang yang menjadi tempat perlindungannya.
Selepas terasa ikan telah keluar dari kawasan lubang, kami segera membuat karauan dengan pantas supaya ikan tersebut tidak berpatah balik masuk semula ke dalam lubang. Memang benar tekaan kami, ikan kerapu hitam yang bersaiz gergasi kelihatan di permukaan air. Saiz ikan yang lebih besar daripada semalam amat mengujakan kami.
Kemudian beberapa ekor lagi kerapu gergasi berjaya kami tawan di lubuk-lubuk berhampiran menggunakan teknik yang sama. Kami dibuli teruk pada kali ini. Beberapa orang ahli kumpulan kami terpaksa berhenti memancing akibat tali utama putus sepanjang 200 meter.
Walaupun kami menggunakan bangla atau kekili elektrik yang mengarau secara automatik, kami bagaikan kehabisan tenaga akibat menarik tali utama secara manual untuk memujuk ikan keluar dari lubang sebelum membuat karauan menggunakan bangla kami. Puluhan lubuk yang kami terokai bersama tekong Sai Yan tidak mengecewakan. Puluhan kilo kerapu hitam berjaya kami sumbat di dalam tong ikan.
PUAS HATI
Selepas 3 hari 2 malam kami melakukan aktiviti yang sama, kami bersiap sedia untuk pulang ke jeti. Keletihan amat terasa sekali. Tong ikan yang dibawa oleh kami semuanya telah penuh diisi dengan ikan bersaiz kasar.
Selepas mengemas segala peralatan yang kami bawa. Kami melelapkan mata akibat keletihan sepanjang aktiviti memancing. Perjalanan pulang ke jeti akan mengambil masa 6 jam lagi. Selepas itu perjalanan mengharungi 1200km untuk pulang ke rumah akan kami tempuhi sekali lagi.
Walaupun keletihan, kelihatan semua ahli sangat berpuas hati dengan trip ini. Kesimpulannya, trip ekplorasi pertama kali di perairan Laut Andaman di Pulau Similan boleh dikategorikan sebagai trip first class dan berjaya dengan jayanya. Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami telah lalui bersama tekong Sai Yan. Apa yang pasti, sayalah orang yang paling gembira atas kejayaan trip ini kerana impian untuk memancing di Laut Andaman telah pun dipenuhi.
Pagi itu, tepat jam 8.30 pagi, kami mula meninggalkan jeti. Makanan tengah hari telah siap disediakan dan segala kelengkapan mula dipasang ketika bot bergerak menuju ke spot pertama. Bagi saya yang kali terakhir turun ke laut sekitar tahun 2012 bersama rakan-rakan menduga layaran Rompin, trip kali ini terasa ibarat trip laut pertama.
Sampai sahaja di spot pertama, saya telah berjaya memberi sedekah dasar laut PD dengan jig seberat 220 gram selepas beberapa kali membuat unjunan. Putih mata kejap beb! Hanya mampu berhuhu-huhu sambil memandang rakan lain.
Tidak lama kemudian, Faizal Ali berjaya mendapat strike yang pertama untuk grup kami. Unjunan jig Faizal dimamah oleh seekor yu anggaran 2-3 kg. Walau bagaimanapun, agak malang bagi Faizal apabila ikan tersebut lucut biarpun sudah diheret ke tepian bot.
“Takpe, dah boleh senyum pasal ikan sudah gigit jig aku,” ujar Faizal dengan positif dalam masa yang sama cuba menaikkan semangat kawan-kawan yang lain.
Selepas itu, tiba giliran Cikgu Badek yang kali ini berjaya menaikkan seekor ikan talang. Kalau Cikgu Badek dapat ikan yang lain siaplah, memang akan panas telinga la. Dah nama pun cikgu kan, mestilah power memberikan tip semacam dalam kelas.
Dalam tidak henti memanaskan telinga ahli trip lain, Cikgu Badek sekali lagi menjinakkan seekor ‘tong gas’. Memang sungguh hanyir cikgu ini.
Banyak spot-spot berlurah dan berbukit di dasar perairan Port Dickson berdasarkan monitor pada sonar. Memang indah ciptaanNya dan apatah lagi jelas kelihatan spot-spot impian kaki pancing. Seterusnya, Jawe pula berjaya menaikkan seekor ‘tong Gas’.
Bertambah berbulu kami yang belum disapa penghuni dasar. Saya pula hanya berjaya mendapat satu sambaran tetapi lucut selepas beberapa karauan. Tertekan juga masa tu tapi apa nak buat belum ada rezeki.
Lebih tertekan bila pembantu tekong, Syafik sahaja telah berjaya menjinakkan 2 ekor ebek bersaiz mantap dan saya dan beberapa orang rakan lain masih lagi setia mengetuk dasar dengan harapan ada sambaran kasar dari penghuni dasar.
Ketika bot berhenti untuk makan tengah hari, beberapa orang rakan lain yang telah berjaya menaikkan ikan menjamah makanan tengah hari. Kami yang lain masih terus menghulurkan jig ke dasar. Tidak disangka-sangka, bot berhenti tepat pada kawanan GT.
Pertama sekali jig saya direntap kasar dan diikuti oleh jig Faizal Ali, dan seterusnya jig Jawe. Triple hook-up!
Apa lagi, bersimpang siur tali utama kami ke kiri dan ke kanan. Sentapan rakus si GT telah berjaya menanggalkan split ring dari jig Faizal Ali. Akhirnya, GT pertama saya untuk tahun ini seberat 7 kg berjaya dinaikkan selepas 20 minit pertarungan dan GT kedua oleh Jawe yang berat jangkaan sekitar 20kg dinaikkan selepas 40 minit bertarung.
Memang cukup besar bagi GT yang dinaikkan Jawe hingga bot hanyut sejauh hampir 2.5 batu dari spot asal. Ketika pertarungan dengan Sang GT, kedengaran nyanyian berseloroh.
“Pulangkan… pulangkan… pulangkan wang kami…” daripada Cikgu Badek. Ini kerana, pertarungan Jawe memakan masa yang cukup lama sekaligus Wanx Ismail dan Ebek pinjam hasil pancingan Mr. Nedd menyebabkan rakan-rakan lain tidak boleh menurunkan jig masing-masing.
Apa pun, sikap rakan-rakan lain yang ‘sporting’ dan memberi peluang rakan-rakan melayan ikan sangat saya puji.
Selepas bergasak GT, tiada lagi sentapan dari dasar berikutan angin mula bertiup kuat dan arus laut juga semakin laju. Beberapa rakan-rakan sudah mula mengeluarkan apollo bagi mencari ikan serombong yang cukup terkenal dengan rasa isinya yang manis.
Kami bergerak balik ke Jeti pada jam 6 petang dan membersihkan diri di Admiral Marina Cove sebelum bergerak balik ke destinasi masing-masing dan masing-masing memasang hajat untuk kembali lagi dalam masa terdekat.
Seorang juruteknik dari Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd, Mohd Khairi Hisyam Othman, 32, muncul juara dalam Pertandingan Memancing Terbuka Universiti Malaysia Pahang (UMP) setelah berjaya mendaratkan ikan tengalan seberat 1.62 kilogram sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 di Tasik UMP, Pekan, Sabtu lalu.
Tempat kedua milik Mohd Arif Mohd Azarudin, 20, dari Sg. Soi yang mendaratkan ikan tilapia seberat 0.440 kilogram. Manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh Shahrul Nizam Mat Aris, 47 dari Indera Mahkota dengan mendaratkan ikan keli seberat 0.380 kilogram. Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,000.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan UMP, Abd Rahman Safie. Terdahulu majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin seawal jam 8.04 pagi.
Menurut Dato’ Dr. Daing Nasir, program ini adalah sebahagian daripada aktiviti menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia selain berpeluang memperkenalkan kampus UMP kepada masyarakat sekeliling.
Sementara itu, Abd Rahman berpuas hati dengan penyertaan pertandingan memancing pada kali ini mencecah sebanyak 588 melebihi sasaran awal iaitu 500 penyertaan. Berdasarkan penyertaan tersebut, dapat kita saksikan penerimaan pemancing terhadap pertandingan di tasik UMP ini semakin meningkat termasuk dari luar Pahang seperti Melaka, Johor, Kelantan dan Terengganu .
Bagi pemenang pertandingan, Khairi tidak menyangka dengan hanya menggunakan umpan cacing seawal jam 8.47 pagi berjaya memperoleh tangkapan terbesar.
Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM 16,000 ini dianjurkan Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dan Pejabat Naib Canselor UMP sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...