Rezeki bukanlah hanya hanya dalam bentuk wang ringgit semata-mata dan sesungguhnya konsep rezeki itu meluas.
Rezeki yang telah dijamin
“Tidak ada satu makhluk melata yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin Allah rezekinya.” – (Q.S.11:6)
Rezeki kerana usaha
“Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya.” – (Q.S.53:39)
Rezeki kerana bersyukur
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.” – (Q.S.14:7)
Ads
Rezeki yang tak disangka-sangka
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya” – (QS. At Thalaq:2)
Rezeki Kerana Istighfar
“Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta.” – (QS. 71: 10-11)
Ads
Rezeki kerana menikah
“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak dari hamba sahayamu baik laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, maka Allah akan memberikan kemampuan kepada mereka dengan kurnia-Nya.”
– (QS. an-Nur: 32)
Rezeki kerana anak
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu karena takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” – (QS. al-Isra 31)
Ads
Rezeki kerana sedekah
“Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (infak & sedekah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.” – (QS. Al Baqarah 245)
Rezeki kerana keberkatan berpagi-pagian
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Rezeki kerana menjalinkan silaturrahim
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hutan simpan Ulu Pering diselimuti oleh kepekatan malam tanpa ditemani oleh cahaya bulan. Hanya bunyi unggas dan cengkerik yang menghidupkan malam di hutan simpan ini. Bersatu bersama nyanyian arus sungai yang mengalir laju dicelah-celah bongkah batu besar yang berceratuk di tebing dan tengah sungai.
Aku menggeliat seketika. Badan yang letih dan mata yang mengantuk, membuatkan aku terasa tubuh seperti mahu melayang-layang. Perjalanan ke sini tadi mengambil masa hampir empat jam lamanya. Tiga jam perjalanan berkereta dan sejam berjalan kaki meredah belukar lalang setinggi pinggang orang dewasa.
Kalau diikutkan badan memang penat tetapi apabila aku melihat Zahim dan Zahirudin masih segar melayan joran masing-masing yang agak galak dimakan ikan, aku kuatkan semangat untuk mencontohi kerajinan mereka berdua. Manalah tahu kalau-kalau malam ini aku mendapat ikan kelisa yang menjadi idamanku.
Aku mula memancing. Di tepi khemah berbentuk A itu, Zairi dan Mazin masih rancak berbual sambil menghirup kopi panas. Aku tidak tahu apa topik yang mereka bualkan kerana kebisingan arus sungai yang bagaikan tiada berpenghujung.
Malam semakin larut. Mataku terasa semakin berat. Aku benar-benar mengantuk kini. Akhirnya aku mengalah. Malam itu aku cuma mendapat dua ekor ikan baung seberat 500 gram. Umpan yang aku gunakan bagai tidak dapat memikat hati penghuni di dasar sungai untuk memakannya. Aku mengerling ke arah Zahim dan Zahirudin. Mereka masih lagi setia menjadi penunggu di tebing sungai.
Zairi dan Mazin juga masih lagi rancak berbual. Kali ini aku dapat menangkap topik perbualan mereka. Semuanya berkisar tentang bola dan jualan rumah yang semakin mencecah tinggi di Kuala Lumpur. Aku berjalan masuk ke khemah. Merebahkan badan di atas kanvas biru yang dijadikan alas perbaringan. Bantalku hanyalah beg galas yang berisi pakaian dan sehelai kain pelikat. Tidak sampai beberapa minit, aku sudah terlena.
Ketika tidur itulah, aku didatangi oleh dua orang wanita yang sungguh cantik. Mereka memanggil daripada sebelah kanan pokok balak tinggi yang menjulang berhampiran khemah yang aku dirikan. Aku katakan mereka cantik kerana seumur hidupku dua puluh tiga tahun ini, inilah kali pertama aku memandang wanita yang paras rupanya bagaikan bidadari.
Kulit mereka putih, alis mata melentik dan terbentuk indah, hidung mancung. Bibir pula kemerah-merahan. Mata mereka sangat indah bagaikan bulan yang bersinar penuh. Jujur aku katakan, aku sudah jatuh cinta pada mereka berdua!
“Saudara Fazrul, dari tadi kami asyik memandang saudara. Sejak saudara melalui perkampungan kami siang tadi. Saudara tak seperti sahabat saudara yang lain. Kami suka melihat saudara solat dan berwirid selepas itu. Suara saudara membaca surah Al Fatihah sungguh mendayu-dayu dan menarik perhatian kami untuk bersahabat dengan saudara. Sudikah saudara menjadikan kami berdua sahabat?” tanya seorang wanita cantik itu sambil tersenyum padaku. Ya Allah, mereka tahu namaku rupanya.
“Siapakah saudari berdua?” suaraku akhirnya terkeluar setelah rasa terkejutku hilang. “Nama saya Putri Khaisara. Ini pula adinda saya, namanya Putri Kasturi. Kami sebenarnya merupakan anak penghulu yang menjaga perkampungan di sini,” jawab salah seorang puteri itu sambil tersenyum dan menampakkan susunan giginya yang putih dan bersih.
Otak warasku sempat juga berfikir. Mana ada perkampungan di dalam hutan simpan yang tebal ini. setakat perkampungan orang asli itu mungkin ada tetapi daripada paras rupa dan pakaian kebaya yang mereka pakai, aku percaya kedua-dua beradik ini datang daripada keturunan orang yang berada. Siapakah mereka yang sebenarnya?
Kami terus berbual-bual hinggalah bunyi kokokan ayam jantan kedengaran bersahut-sahutan. Ini menandakan waktu subuh hampir masuk. Sebelum mereka minta diri untuk beredar, aku memaklumkan kepada mereka keinginan hatiku untuk memancing ikan idamanku iaitu kelisa atau kelah emas. Mereka berdua hanya ketawa sambil mengatakan itu perkara yang sangat mudah!
Aku hanya tersedar apabila dering handphone yang telah aku set berbunyi. Berat sungguh untuk aku membuka kelopak mata. Peristiwa yang aku alami tadi aku anggap hanyalah satu mainan mimpi yang berlaku akibat badan letih dan tidur di dalam hutan yang asing bagiku.
Selesai solat subuh dan berwirid, aku menyambung aktiviti memancing dengan misiku untuk memburu kelisa atau ikan kelah. Dan tanpa diduga, pagi itu sesuatu yang luar biasa berlaku. Setiap kali aku melabuhkan joran, pasti kelah idaman akan tersungkur pada mata kailku.
Peristiwa itu membuatkan rakan-rakanku terasa amat pelik. Hanya aku daripada kami berlima yang berjaya mendaratkan kelah sebesar lengan lelaki dewasa. Mereka berempat hanya mendapat ikan yang ‘biasa biasa’ saja seperti baung dan sebarau.
Sehingga kini, aku masih lagi ‘bersahabat’ dengan kedua orang puteri yang jelita itu. Kini aku faham. Mereka sebenarnya berasal daripada perkampungan bunian Islam yang ada di situ.
Mungkin kerana kami berlima berniat baik dan mengerjakan suruhan Allah dengan taat seperti bersolat lima waktu, maka kami tidaklah diganggu dengan peristiwa yang aneh atau menakutkan. Hingga kini, setiap kali aku memancing di sini, ikan kelas gred A pasti menjadi kepunyaanku dan peristiwa ini kekal rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa!
Sekitar 10 tahun lalu, ketika teknik jigging ringan atau light jigging mula menjadi fenomena dan kegilaan para pemancing tanah air, boleh dikatakan semua pemancing ingin turut mencuba. Pemancing yang tidak pernah menaiki sampan atau bot sanggup berhadapan dengan mabuk laut semata-mata untuk turut sama dalam fenomena yang melanda industri memancing tanah air.
Buat seketika ikan sasaran jigging ringan terutamanya talang menjadi spesies ikan yang begitu popular. Maka ramailah pemancing berlumba-lumba memuat turun hasil jigging ringan di laman sosial seperti Facebook. Pendek kata, gambar ikan talang yang ditumpaskan pemancing bertaburan Facebook.
Begitu juga dengan pengusaha-pengusaha atau tekong-tekong yang menyediakan pakej memancing. Dalam masa yang singkat, pertambahan tekong jigging umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Trip jigging talang umpama pisang goreng panas. Secara tidak langsung ia meningkat dan merancakkan lagi industri memancing yang agak sepi dan statik.
Apabila pancingan jigging perlahan atau slow jigging mula menjadi teknik memancing paling digemari, buat seketika populariti spesies talang ini bertahan. Namun sedikit demi sedikit popularitinya merudum berikutan konsep utama jigging perlahan itu sendiri adalah mensasarkan spesies ikan demersal seperti jenahak, kerapu, merah dan ibu gelama yang sebelum ini hanya berjaya dijinakkan melalui teknik pancingan konvensional iaitu pancingan dasar menggunakan umpan alami.
Dalam masa singkat, terutamanya apabila teknik pancingan jigging perlahan menjadi fenomena dalam sukan memancing tanah air, talang tidak lagi menjadi spesies sasaran utama. Khususnya dalam teknik pancingan jigging perlahan ini.
Sebaliknya spesies demersal seperti jenahak dan kerapu pula yang menjadi trophi bagi setiap trip memancing (jigging). Dalam masa yang sama, trip pancingan light jigging turut berganti kepada trip slow jigging. Atau dalam erti kata lainnya, hampir tiada lagi trip memancing talang melainkan nama jenahak dan kerapu sahaja yang menjadi judul sesuatu trip.
Kemuncaknya, status populariti talang jatuh ke tahap paling bawah apabila ia seperti tidak diiktiraf sebagai hasil tangkapan dalam sesuatu trip jigging perlahan. Untuk bergambar dengan talang sekalipun ada pemancing yang tidak sudi. Bahkan trip itu dianggap gagal sekiranya hanya talang yang berjaya dibawa pulang.
Namun, mutakhir ini tatkala spesies pujaan seperti makin culas untuk membaham jig keramat dan khuatir trip berakhir dengan kegagalan mutlak, jauh di sudut hati kembali berharap agar spesies talang yang dipinggirkan ini sudi memberikan sedikit hiburan.
Peringatan mudah ini sering dipandang remeh, namun ia merupakan asas dan perkara paling mudah untuk dilakukan. Jika anda pergi memancing di hutan atau di mana-mana, pastikan anda membawa pulang sampah atau menanamnya. Jangan sesekali membiarkan sampah merata-rata terutama jenis plastik dan polimer.
Begitu juga dengan botol minuman berkaca, jangan sesekali membuangnya terus ke dalam air dan membiarkannya tenggelam kerana ia lebih memburukkan keadaan dasar sungai. Inilah sebenarnya sifat seorang pemancing sejati.
Peraturan dan etika memancing wujud untuk memelihara ikan dan sumbernya agar kita terus dapat menikmati dan berkongsi keseronokan memancing. Tiada sebab untuk anda memancing secara melulu tanpa mengikut etika dan peraturan memancing. Keseronokan memancing perlu seiring dengan etika dan peraturan terhadap sumber dan ikan itu sendiri.
Setiap pemancing perlu melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral terhadap sumber. Pemusnahan sumber seperti kegiatan menuba, bom ikan, penggunaan elektrik dan lain-lain perlu dicegah bersama-sama.
Walaupun di Malaysia, pemancing tidak diiktiraf, tidak ada salahnya jika kita pemancing, mengambil peranan ini terlebih dahulu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan. Siapa tahu suatu hari nanti, kerajaan melihat pentingnya peranan pemancing, mungkin akan ada ‘Jabatan Pemancing’ untuk kita berhubung terus untuk sebarang masalah.
Lindungi Kawasan Sekitar Perairan
Jangan sesekali memusnahkan atau menokok tambah kecantikan asli sesuatu kawasan. Kita sering melihat lakaran atau torehan nama pada batu atau pokok di hutan kononnya sebagai kenangan abstrak pernah ke sana. Ia tidak patut berlaku malah sebenarnya perbuatan ini lebih mencacatkan persekitaran dan nilainya. Biarkan pokok-pokok atau bunga-bunga tumbuh meliar dan jangan sesekali memetik atau merosakkannya.
Seorang pemancing yang bagus akan sentiasa terus belajar untuk menambahkan ilmu dalam memancing. Ini termasuk meningkatkan teknik memancing, meluaskan ilmu tentang sifat ikan dan sentiasa tahu jika apa yang pemancing lakukan boleh mendatangkan akibat buruk kepada sumber.
Dengan ini, anda mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada punca masalah. Anda tidak perlu untuk terus tahu tentang segalanya, namun anda mampu untuk belajar sesuatu daripada setiap trip yang anda lalui.
Setiap pemancing perlu berkongsi tentang kesedaran dan ilmu dengan pemancing lain. Malah ia mampu menarik perhatian bagi individu lain untuk terjun ke dunia memancing. Berkongsi ilmu sebegini lebih mendatangkan manfaat berbanding hanya kita yang tahu dan praktikkannya. Jika anda mampu melakukan ini tanpa sebarang kepentingan peribadi, maka barulah anda layak bergelar pemancing sejati.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...