Berikut ialah ciri dan sifat-sifat mukmin yang berjaya yang di sebut oleh Allah di dalam surah al-Mukminun. Kadang-kadang, ada antara kita yang telepas pandang tentang fadhilat dan kelebihan yang terkandung dan tersirat dalam surah ini.

 

1. Khusyuk dalam solat

 

Khusyuk dalam solat ialah tunduk dan merendah diri dengan tumpukan fikiran, hati dan anggota ketika solat dan dilakukan adalah semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Terdapat pelbagai cara untuk kita mendapat khusyuk dalam solat.

Antaranya ialah kita perlu memahami maksud ayat dan lafaz yang dibaca, menumpukan pandangan ke tempat sujud, melakukan solat dengan tidak tergesa-gesa dan yang paling utama ialah kita menunaikan solat dengan ikhlas. Solat yang khusyuk dapat menghilangkan rasa takut, perasaan gelisah, jiwa menjadi berani dan bebas dengan kekusutan dunia.

Orang yang beriman wajib menunaikan solat, namun solat tidak akan bererti sekiranya hanya melakukan gerak badan sahaja. Solat mestilah disertakan dengan khusyuk, kerana solat dengan khusyuk itu ibarat tubuh dengan nyawa. Kedua-duanya saling memerlukan.

 

2. Menjauhkan diri daripada perkara yang tidak berguna dan sia-sia

 

Perkara yang sia-sia merangkumi semua perkara yang membawa kepada kelalaian, maksiat dan aktiviti yang tidak berfaedah. Orang mukmin perlu menjaga dirinya daripada terlibat dengan perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah.

Hal ini kerana, perkara yang melalaikan boleh menjauhkan seseorang daripada mengingati Allah dan memudahkan hawa nafsu dan syaitan menguasai serta membawa kita ke arah kemaksiatan dan derhaka kepada Allah. Mereka yang dapat menjaga diri daripada terlibat dan terjerumus dengan perkara yang sia-sia, mereka adalah orang-orang mukmin yang berjaya.

 

3. Menunaikan zakat

 

Zakat berasal daripada perkataan bahasa arab yang membawa maksud pembersihan. Zakat, sama ada zakat fitrah atau zakat harta, kedua-duanya adalah ibadah yang wajib dilakukan ke atas mereka yang mampu.

Mukmin yang berjaya adalah mereka yang bersedia dan rela ketika mana Allah memerintahkan untuk memberikan sebahagian harta yang dimilikinya kepada orang yang berhak (lapan asnaf).

Tujuan Allah mewajibkan zakat kepada kita adalah untuk menolong mereka yang berhajat dan berhak serta membersihkan harta, kerana di dalam harta kita terdapat hak orang lain.

 

4. Memelihara kemaluan

 

Memelihara kemaluan bukan hanya sekadar memelihara diri dari perbuatan zina, tetapi juga menghindarkan diri daripada perkara yang mendekati zina. Menjaga kemaluan sering dikaitkan dengan menjaga pandangan kerana awal dari segala bentuk perbuatan zina adalah ketidakmampuan kita dalam menjaga pandangan.

Orang yang pandai menjaga kemaluannya adalah orang yang sentiasa menjaga pandangannya. Oleh itu, tip yang paling berkesan dan mujarab untuk menjaga kemaluan adalah dengan menjaga pandangan kita. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat ke-30,

”Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”.

Pintu masuk perbuatan zina yang paling besar adalah dari pandangan mata. Jadi jagalah pandangan kita agar kemaluan kita juga turut terjaga.

 

5. Memelihara amanah dan janji

 

Amanah dan janji merupakan perkara yang wajib kita menepatinya, kerana itu Islam sangat menganjurkan umatnya untuk teguh memegang amanah dan juga janji. Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki amanah, dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji.” (riwayat Ahmad).

Daripada hadis diatas, kita diwajibkan untuk memegang amanah dan janji, kerana jika kita mengkhianatinya ibarat kita tidak mempunyai iman dan agama. Orang yang mengkhianati serta tidak memelihara amanah dan janjinya dengan baik, mereka disifatkan sebagai orang yang munafik, sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga (1) Apabila dia bercakap,dia berbohong. (2)Apabila dia berjanji, dia tidak tepati. (3) Apabila dia diberi amanah, dia mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya”.

 

6. Menjaga solat

Islam menyuruh umatnya melakukan solat fardhu yang wajib dilakukan lima waktu setiap hari. Orang Mukmin akan berusaha untuk memenuhi hari-hari mereka dengan menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain, ini kerana manusia yang paling mulia itu adalah apabila ibadah hariannya bermula dengan solat Subuh, kemudian diakhiri pula harinya dengan solat Isyak. Sebagaimana firman Allah dalam surah Hud, ayat 114:

“Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam”.

Terdapat pelbagai kemuliaan bagi orang yang menjaga solatnya. Antaranya ialah dicintai Allah, hatinya lembut, wajahnya bercahaya seperti orang soleh dan pelbagai lagi fadhilat lain. Kita juga dituntut untuk menjaga hak-hak yang berkaitan dengan solat contohnya adalah solat di awal waktu, menunaikannya secara berjemaah, menyempurnakan rukuk dan sujud serta segala rukun-rukunnya. Mereka yang menjaga solat dengan segala hak-haknya adalah mereka yang berjaya dan mendapat ganjaran daripada Allah di akhirat kelak.

Inilah ciri dan sifat-sifat mukmin yang berjaya yang di sebut oleh Allah di dalam surah al-Mukminun ini. Kadang-kadang, ada antara kita yang telepas pandang tentang fadhilat dan kelebihan yang terkandung dan tersirat dalam surah ini.

Jadi, melalui sedikit perkongsian ini, penulis mengajak anda untuk sama-sama kita menghisab dan menghitung diri kita, adakah kita mempunyai sifat-sifat yang disebutkan oleh Allah itu. Jika sifat-sifat ini tiada dalam diri kita, sama-samalah kita berusaha untuk mendapatkannya, kerana pada akhir ayat ini Allah berjanji akan mewarisi syurga-Nya iaitu syurga Firdaus kepada sesiapa yang mengamalkan sifat-sifat ini. Maka beruntunglah kita!

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI