Suara Misteri Di Lubuk Estet

Share

 

Sekitar tahun 90an semasa kemaruk pada dunia pancingan, di mana saya sanggup membeli bot fiber dan enjin semata-mata minat pada mengail. Pernah 2-3 kali memancing pada waktu malam di atas bot fiber dan juga pernah melalui pengalaman mendebarkan sewaktu mengail pada waktu malam diganggu sesuatu .

 

Sewaktu itu kami 4 orang dengan menggunakan 2 bot fiber memancing di sekitar Sungai Johor di Estet Nam Heng, Ulu tiram. Malam itu bulan penuh diterangi dan cantik pemandangan persekitarannya, dimana kami memancing saling berhampiran.

 

Semasa sedang asyik menukar umpan ruat bakau dan ikan pula menyambar tak henti2 tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu suara yang teramat asing bagi kami… suara seolah-olah mengerang dan menangis hiba.

 

 

Ketika itu masing senyap terdiam, tiada suara sindir-menyindir kedengaran. Serta-merta bulu tengkuk meremang berdiri. Masing-masing berbisik bertanyakan bunyi apakah gerangan?

 

Serta merta keadaan menjadi senyap termasuk gertuan ikan juga. Ketika sedang asyik bertanyakan soalan yang tak terjawab, tidak semena-mena bot fiber kami terolang-aling seperti ada alun ombak seolah-olah ada bot melintas lalu.

 

Di dalam kepala mulalah memikirkan yang bukan-bukan. Iyalah, mana ada bot melintas. Buaya ke?!

 

 

Teringat cerita orang tua-tua… suatu ketika ada pemancing menaiki bot telah didatangi tetamu tak diundang, `terperuk’ duduk menumpang di hadapan bot mereka dengan rambut panjang mengurai, pakaian lusuh, serta berbau busuk meloyakan.

 

Tetamu mereka adalah langsuir datang tanpa diundang sambil membelangkangi pemancing tersebut. Terisak-isak menangis, mengeluh dan akhir sekali mengilai….. sehingga membuatkan pemancing tersebut gelabah ketakutan lalu pengsan…!

 

Eeeeeii… menyeramkan! Akhirnya kami bergegas hidupkan enjin bot lalu menarik sauh dan berpatah balik menuju ke jeti. Kemudian terus balik membatalkan hasrat untuk memancing malam itu.

 

Masing-masing tertanya bunyi apakah itu? Benda apakah yang mengolang-olingkan bot fiber kami?

 

 

Kejadian tadi menjadikan satu kemusykilan yang tak terjangkau oleh akal kami. Memang ramai yang menganggap ini tahyul tetapi bagi mereka yang pernah mengalami kejadian-kejadian pelik seperti pengalaman saya tadi. Memang tidak disangkal, ada kehidupan lain iaitu alam mistik selain alam realiti ini.

Oleh: Zulkifflee Hussin

IKLAN