Sejak kebelakangan ini, makin kerap isu spesies ikan pendatang menjadi tajuk utama akhbar dan media sosial. Sebagai contoh, Makcik Viral yang menunggang motosikal sambil membawa BEM bersamanya di negeri Perak. Sungai Pahang dan Sungai Selangor juga sudah bermaharajalela spesies baung pelahap ini.
Begitu juga di Pahang & Sarawak yang mana ada pemancing atau nelayan darat yang berjaya mendaratkan spesies aligator gar. Lalu ramai yang persoalkan bagaimana spesies-spesies ini boleh berada di perairan kita. Kebanyakanya adalah berpunca dari aktiviti akuakultur dan akuarium.
Bagaimana spesies ini boleh mengancam serta merosakkan ekosistem periaran kita? Bukan sahaja ia mendominasi habitat, malah kebanyakan spesies ini membiak dan membesar dengan begitu pantas seterusnya menjadi pemangsa utama di sungai-sungai perairan kita.
Pemangsa asal seperti Toman turut dijadikan mangsa. Memang betul masih banyak toman bersaiz dan selamat dari menjadi mangsa. Tapi harus diingat ia menjadikan telur dan anak ikan tempatan sebagai diet utama bagi memenuhi sifatnya yang agresif dan pelahap. Selain itu, spesies pendatang ini turut menjadikan habitat terlalu padat, mengakibatkan ikan terbantut saiznya.
Ads
Kita tidak perlu menunggu sehingga kajian demi kajian dibuat bagi menangani isu ini. Jika bukan kita, siapa lagi? Group River Monster Hunter sememangnya giat mempromosikan kepada semua rakan anglers di luar sana utk menjadikan spesies asing ini sebagai sebahagian dari target utama ketika memancing.
Jika terpancing spesies asing ini di perairan semulajadi, JANGAN LEPASKAN balik ke dalam perairan. Makan, jual atau sedekahkan kepada mereka yang memerlukan.
Ads
Walaubagaimanapun, tidak dinafikan kewujudan spesies asing ini tetap mempunyai nilai baik dan buruk. Baik kepada para pemancing dan penggemar ikan air tawar kerana lebih banyak pilihan untuk dipancing.
Malah, tidak keterlaluan dikatakan bahawa sesetengah spesies asing ini sebenarnya turut membantu dalam menjana ekonomi setempat. Contohnya, kolam-kolam pancing, rumah rakit, serta kelong. Buruknya pula terhadap kelestarian ekosistem semulajadi perairan kita… lalu apa kesudahannya?
Ads
Spesies asing yang makin banyak di perairan kita adalah semua jenis Chichlid (flower horn, peacock bass, jaguar chichlid , semua jenis tilapia)
Ikan-ikan Kap : Kap Rumput, Leekoh, Kap Kepala Besar, Kap Kepala Putih, Rohu & Katla.
Ikan Keli : Keli Afrika, Keli Russia
Lain-lain spesies yg dijadualkan oleh Jabatan Perikanan : Baung Ekor Merah, Amazon Redtail, Pacu, Lampam Jawa, Bandaraya & banyak lagi!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pagi tersebut kami sudah berkumpul di dapur rumah pusaka Wan sambil menghadap nasi lemak panas yang siap Wan Bungkus dan air kopi pekat yang padu rasanya. Inilah yang menyebabkan aku suka berlama-lama di rumah Wan. Walaupun usia Wan sudah menjangkau 80-an namun Wan masih gagah untuk memasak bagi anak cucu cicitnya yang ada di kampung.
Selesai makan dan matahari sudah segalah di atas kepala, kami bertiga sudah mengatur langkah dengan membawa semua peralatan yang diperlukan. Kami bercadang untuk menaiki kereta hingga sampai di tepi kebun kelapa sawit ladang Felcra sebelum berjalan kaki merentas denai sejauh setengah jam untuk sampai ke tempat yang dituju.
Jam 11.00 pagi kami sudah sampai ke destinasi yang dituju. Sebatang sungai yang airnya masih jernih menyambut ketibaan kami. Kicauan burung yang galah berbunyi cukup menyakinkan aku bahawa rezeki kami akan pada hari itu.
Paiz mendirikan sebuah khemah manakala Jimi pula sibuk memeriksa jala dan perangkap burung yang dibawa. Aku pula mencari ranting-ranting kayu untuk dikumpulkan bagi dibuat unggun api untuk membakar ikan yang akan kami jala.
Siap semuanya Jimi memberi isyarat dia akan masuk ke belukar berhampiran untuk memasang jerat burung. Jimi memang pakal dalam hal ini. Aku dan Paiz pula mula meranduk anak sungai untuk menjala. Kami memilih bahagian hulu sungai, tempat yang selalu Pak Cu Jai mendapat ikan putih dan baung sebesar lengan minggu lepas.
“Aku hairanlah Jay,” Paiz bersuara sambil memandang mukaku. Ketika itu kami sedang meranduk air separas pinggang sambil membawa jala menuju ke tempat yang dituju.
“Kenapa pula?” tanyaku kembali. Kesejukan air sungai membuatkan aku sedikit terketar.
“Hutan ni sunyi semacam… macam rasa seram pulak,” jawapan Faiz membuatkan aku ketawa kecil.
“Memang sunyi. Sekarang kan musim raya. Siapa yang nak pergi memancing dan menjala time begini?” mahu kena leter dengan isteri atau mak bapak. Kita ni kira bernasib baik kerana masih bujang lagi,” jawabku cuba meredakan kerisauan di hati Faiz. Aku nampak Faiz tersenyum dan mengangguk. Mungkin jawapanku agak bernas di fikirannya.
Memang rezeki kami murah hari itu. Setakat ikan putih, baung dan lampam, semuanya bagaikan menyerah diri setiap kali kami menebar jala. Kami sudah bercadang utuk menyedekahkan ikan-ikan yang ada pada saudara mara yang datang berkunjung ke rumah Wan atau dijadikan lauk pauk utuk hidangan setiap kali ada tetamu datag. Sekurang-kurangnya dapat juga membantu Wan mengurangkan perbelanjaan dapurnya sehari dua.
Keasyikan kami menjala membuatkan kami terlupa tentang Jimi yang pergi memasang jerat burung di tepi belukar. Aku hanya teringat akan Jimi apabila terlihat seolah-olah kelibatnya sedang laludi tepi sungai sambil melambai tangannya seolah-olah meminta pertolongan. Ketika itulah aku melihat jam tangan dan terasa terkejut apabila meihat jam sudah menunjukkan anka empat petang. Zuhur hampir habis dan Asar akan menjelma. Ya Allah, betapa pantasnya masa berlalu tanpa kami sedari.
Terkecoh-kecoh kami seketika. Kami bergerak pantas menuju ke khemah dengan harapan semoga Jimi sudah ada di situ. Mungkin sudah menanak nasi dan menunggu ikan kami untuk dibakar. Namun harapan itu hampa. Khemah kami kosong. Jimi tiada.
Hatiku mula dilanda kerisauan. Takkan Jimi mengambil masa yang lama untuk memasang jerat burung. Biasanya hanya sekitar satu jam sahaja dan selepas itu dia akan mula menyertai kami untuk menjala ikan. Itulah kebiasaannya yang biasa kami lakukan.
Aku dan Faiz mula merayau di dalam kawasan belukar berhampiran sambil melaungkan nama Jimi. Hanya jeritan ungka dan kicauan unggas yang terdengar bersahutan. Akhirnya Faiz mendapat satu idea. Kami mendail nombor telefon Jimi dengan harapan akan terdegar bunyi deringan kelak. Usaha itu membuahkan hasil setelah beberapa kali mencuba.
Sayup-sayup terdengar lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham P. Ramlee di dalam kawasan belukar yang mulai redup itu. Kami berdua berlari mencari punca lagu itu dan akhirnya kami terjumpa Jimi yang sedang terbaring dalam keadaan telangkup di bawah pokok duri di tepi belukar. Di tangannya tergenggam telefon yang masih lagi berbunyi ketika kami sampai.
Mulut Jimi berbuih ketika kami menelentangkan badannya. Matanya terbuka terbelalak. Badannya menggigil-gigil seolah-olah dalam keadaan kesejukan.
“Jimi… bangun!” aku cuba utuk menggerakkan Jimi
Keadaan Jimi masih tidak berubah. Akhirnya kami berdua sepakat untuk memapah Jimi balik ke kereta. Hanya ikan yang dijala tadi yag kami bawa pulang bersama. Khemah dan peralatan jala kami tinggalkan saja. Nyawa Jimi lebih penting daripada itu semua. Keadaan rumah Wan kecoh dengan apa yang berlaku.
Imam Asrol dipanggil untuk membantu memulihkan Jimi. Setelah membaca ayat Qursi dan ayat-ayat Ruqyah, barulah Jimi sedar setelah bercakap merepek-repek sebelum itu. Setelah pulih, Jimi bercerita tentang pengalamannya berjumpa dengan sebuah istana besar yang dikelilingi air. Ikan besar-besar melompat-lompat jinak di dalam sungai itu. Begitu juga degan burung punai, merbah, merbuk, dan burung ayam-ayam.
Di istana besar itulah, Jimi berjumpa dengan seorang lelaki hodoh yang mempunyai dua tanduk di atas dahinya. Lelaki tua hodoh itu memarahi Jimi kerana memasuki kawasannya tanpa kebenaran dan mencuri binatang ternakannya. Sebagai hukuman, Jimi dipukul dengan akar rotan hingga belakangnya berbirat-birat merah. Anehnya kesan itu memang jelas kelihatan di bahagian belakangnya!
Sejak kejadian itu, kami sudah tidak masuk lagi di kawasan hutan simpan itu. Kejadian yang menimpa Jimi menguatkan lagi dakwaan orang-orang kampung yang mengatakan kawasan itu memang keras kerana berpenunggu. Namun hobi menjala dan menjerat burung ini tetap juga kami teruskan tetapi kali ini kami cari tempat yang lebih terbuka dan selamat.
Dulu-dulu orang memancing dapat ikan. Sekarang kalau tersilap lubuk, memancing bukan dapat ikan tetapi dapat orang. Ini bukan lawak, tetapi kisah benar seperti yang terjadi suatu ketika di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang.
Seorang nelayan turun ke laut jam 6.30 petang untuk mencari ikan. Sebelum memulakan rutin harian, dia menemui mayat seorang kanak-kanak yang seminggu sebelumnya dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya.
Tidak dapat dipastikan angkara siapa menyebabkan mayat kanak-kanak 6 tahun, yang telah reput terdampar di situ. Apa yang pasti kanak-kanak malang itu bukan yang pertama terapung di situ. Seperti yang dilaporkan media, banyak lagi mayat telah ditemui terapung di kawasan perairan tersebut.
Ini membuktikan bahawa manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan menjadi lebih ganas daripada binatang buas. Mereka sanggup membunuh, dan mencampakkan mayat mangsa ke dalam sungai atau laut.
Sekiranya sungai dan laut boleh bercakap, pasti mereka menyatakan keluhan dan sesalan di atas perbuatan biadab manusia. Rupanya semakin tinggi peradaban, dan semakin canggih kehidupan, manusia menjadi semakin singkat fikiran. Semakin bodoh dan zalim.
Sungai dan laut yang sejak azali menjadi sumber utama kehidupan, sudah semacam tidak dihargai. Banyak sungai kita diletakkan pada status tidak selamat sebab airnya telah dicemari oleh pelbagai bahan toksik. Usahkan hendak digunakan untuk minuman, untuk dibuat mandi pun sudah tidak selamat.
Sungai dijadikan tempat buangan sisa industri. Kekotoran kilang dan pembangunan di hulu sungai, akan mencemarkan air. Sebab itu air sungai yang dulunya jernih dan dingin, kini sudah bertukar warna. Ada warna teh tarik, malah ada warna kopi-O. Tidak ada siapa yang berani mandi manda, apa lagi untuk minum air seperti itu.
Tidak sahaja sisa industri, sungai kita juga dicemari seribu satu sampah saraf. Orang kita tidak sedikit pun menghargai sungai. Semua yang tidak dikehendaki akan didamparkan dalam sungai – dari tisu pengelap peluh, kulit pisang, kulit durian, lampin bayi, tuala wanita, coli buruk, seluar dalam buruk, pendek kata apa sahaja dibuang ke dalam sungai.
Malah, akhir-akhir ini sungai juga menjadi tempat membuang bayi! Selalu kita membaca berita mengenai penemuan mayat bayi di dalam sungai. Insan tidak berdosa yang masih bertali pusat itu terapung-apung di dalam sungai. Alangkah zalimnya manusia.
Sebab itu memancing di kawasan yang dulu terkenal dengan pelbagai jenis ikan, kini mungkin tidak banyak ikan seperti dulu. Sepanjang hari memancing, ikan tidak menyambar umpan. Puas dan lenguh – malah ada yang terlena – memegang joran, tidak ada ikan yang sudi menghidu mata kail.
Kalau nasib baik, ada yang menyentap mata kail setelah menunggu sekian lama. Bukan main bersemangat melayan ikan di hujung joran. Terasa seperti menarik ikan besar, mungkin bapak haruan, atau paling tidak pun anak toman.
Rupa-rupanya nasib baik menjadi tidak baik, apabila yang ditarik dan melekat pada mata kail bukan anak toman, jauh sekali bapak haruan, sebaliknya seluar dalam yang koyak dan usang. Ku sangka ikan, rupanya seluar dalam saiz XXL. Kalau seluar dalam wanita boleh juga rendam dan airnya boleh buat ubat jerawat!
Bukan sahaja seluar dalam, ada juga benda-benda lain yang tersangkut pada mata kail, termasuk coli wanita, tuala wanita, lampin bayi. Kulit durian dan baldi buruk pun tersangkut pada mata kail. Puas dan bersemangat menarik joran rupa-rupanya yang melekat pada mata kail hanyalah selipar jepun putus tali. Begitulah kotornya sungai kita sekarang!
Maka teringat saya pada Sungai Ring di kampung saya di hulu Muar. Zaman kanak-kanak dulu sungai ini adalah sumber utama kehidupan seluruh penduduk kampung. Setengah abad dulu kampung saya – juga kampung-kampung lain sejiran – tidak ada bekalan air paip. Sungai inilah sumber air utama.
Air sungai ini digunakan untuk minuman, masakan segala makanan. Air sungai ini juga untuk cucian dan mandian harian. Di sini jugalah saya dan kawan-kawan sekolah menjadi ‘Tarzan’.
Setiap kali pulang dari sekolah, kami berhenti di permandian. Lempar beg sekolah di tebing, tanggal baju, tanggal seluar, berbogel kami terjun ke sungai, mandi dan berendam hingga semuanya kecut.
Kalau nasib tidak baik, apabila terlajak menjadi Tarzan dan tiba di rumah lewat, emak akan berleter. Lebih teruk lagi sekiranya abah tahu, saya akan di sesak dengan tali pinggang atau rotan. Ada amaran dari abah:
“Kalau engkau mandi lagi di sungai tu, aku repot rumah pasung, biar polis tangkap engkau!”
Amaran demi amaran, tetapi saya tidak ambil pot. Pertama, saya tahu mana ada polis yang hendak menangkap budak mandi sungai. Kedua, kalau betul polis tangkap dan dimasukkan dalam lokap rumah pasung (balai polis) mesti tidak cukup lokap sebab ramai budak-budak mandi sungai.
Jadi, walaupun kena rotan, saya tidak pernah serik untuk menjadi Tarzan di Sungai Ring. Airnya yang jernih lagi dingin itu terasa segar betul meresap ke seluruh tubuh. Kalau rasa dahaga ketika mandi, teguk terus air sungai itu, walaupun ada teman-teman berkata:
“Ahhh, engkau minum air kentut aku!”
Di sungai itu juga penduduk mendapat sumber protein. Abah memasang lukah sebelah petang – umpannya biji getah yang direbus – dan sebelah pagi sebelum ke sekolah saya mengangkat lukah, gembira sekali melihat haruan, puyu, terbul menggelepar di dalam lukah. Sekali sekala masuk juga ketam air tawar, di tempat saya dipanggil ‘kertah’.
Ada juga yang menjala. Mula-mula taburkan umpan kepala parut yang ditumbuk dan digaul dengan ubi rebus. Campakkan umpan dalam air, sepuluh minit kemudian tebar jala, dan akan tersangkut terbul, tonjeng, anak baung atau sebarau.
Bagi pemancing pula, umpannya cacing atau telur kerengga, pasti tidak akan kecewa. Tidak sampai setengah hari menghulur joran, pasti pulang dengan toman, baung, malah kalau nasib baik dapat pula udang galah sebesar lengan budak.
Sekali turun memancing, cukup makan sekeluarga. Musim air besar, atau bah, ada ikan-ikan besar seperti tapah, ketutu. Tetapi, silap-silap gaya buaya pun ada!
Pendek kata Sungai Ring adalah sumber rezeki untuk penduduk setempat. Itu setengah abad dulu! Hari ini orang gila pun tidak sanggup menjadi Tarzan di situ. Sungai itu telah diluruskan. Pembangunan telah mencemarkan air sungai tersebut. Tidak lagi jernih, airnya kita keruh sepanjang masa, bertoksik dan tidak boleh diminum.
Pelbagai spesies ikan sudah pupus. Jangankan seluang dan kertah, buaya tembaga pun tidak sanggup hidup di sungai tersebut. Kalau ada haruan dan puyu pun warnanya sudah hitam legam seperti besi. Orang tidak berani memakan ikan di situ sebab mengetahui ikan di situ makan sekian banyak toksik.
Saya percaya kalau pasang lukah sekarang tidak ada haruan atau terbul yang masuk. Kemungkinan besar lukah akan dipenuhi lampin bayi, tuala wanita atau coli buruk.
Manusia tidak menghargai sungai, maka sungai pun tidak lagi memberi rezeki. Bayangkan sekiranya satu hari nanti semua sungai dicemari, di mana kita hendak memancing? Fikirkan dengan serius!
Spesies ikan omnivor ini mempunyai nilai pasaran yang tinggi terutamanya untuk dijadikan hidangan makanan. Oleh kerana itu, spesies ini telah dikomersialkan dalam bidang akuakultur. Isi ikan jelawat dikatakan lembut dan manis disertai dengan rasa lemak. Malah ikan jelawat turut memiliki khasiat yang banyak.
KANDUNGAN PROTEIN TINGGI
Protein adalah satu kumpulan bahan makronutrien yang memainkan peranan dalam pembentukan biomolekul. Umumnya jelawat mempunyai kandungan protein yang cukup tinggi antara 8-25% dan terdiri daripada beberapa asid amino. Protein yang tinggi ini akan memainkan peranan dalam membina dan memperkuat jisim otot.
KAYA VITAMIN B1
Tubuh manusia memerlukan pengambilan nutrisi berterusan agak kekal sihat. Ikan jerawat juga mengandungi vitamin B1 yang berguna dalam mengekalkan kekuatan dan dapat meningkatkan ketahanan dalam melawan stres. Vitamin B1 juga memainkan peranan untuk melegakan pening dan keletihan akibat kegagalan kerja.
MENINGKATKAN STAMINA
Stamina adalah tenaga tubuh yang perlu kekal bersemangat bagi menjalankan aktiviti harian. Dengan mengamalkan memakan ikan jelawat, korang tidak perlu mengambil suplemen lain.
MENGANDUNGI IODIN
Iodin sangat penting untuk mencegah beguk atau benguk. Kekurangan iodin yang dialami oleh ibu sejak kehamilan bakal mengakibatkan bayi lahir kronik, dan juga boleh mengalami IQ yang lemah atau rendah.
BAGUS UNTUK KESIHATAN GIGI
Kanak-kanak yang cukup fluorida dalam diet mereka akan memiliki gigi yang lebih sihat. Ikan jelawat dikatakan memiliki fluofrida yang baik untuk menguatkan gigi.
MENGAWAL BERAT BADAN
Bagi orang yang sangat prihatin terhadap penampilan dan sentiasa mahu kelihatan sempurna, maka korang perlu makan ikan Jelawat. Ini kerana kandungan lemaknya rendah dan mudah dicerna. Dalam erti kata lainnya ia dapat mengawal berat badan anda agar tidak menjadi obesiti.
MENGANDUNGI FOSFORUS TINGGI
Kandungan fosforus yang terkandung dalam ikan Jelawat berfungsi meningkatkan prestasi proses pencernaan makanan dan membantu mengawal proses pembuangan sisa metabolik dan bahan yang diperlukan oleh tubuh manusia. Fosforus juga berfungsi untuk memperkuat tulang dan gigi supaya tidak mudah rapuh.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...