Bila melihat spesies ikan, contohnya ikan patin Mekong, secara harfiahnya kita akan mengaitkannya dengan negara asalnya, Thailand. Setiap negara di dunia memiliki haiwan kebangsaan masing-masing. Tidak terkecuali negara kita harimau sebagai haiwan kebangsaan.
Tetapi ada juga negara yang mengangkat ikan sebagai haiwan kebangsaan mereka berdasarkan populariti ikan tersebut di negara mereka. Nyata ikan bukan sekadar haiwan biasa, bahkan sebenarnya menjadi ikon penting di sesebuah negara.
Yellowfin Tuna (Maldives)
Maldives memilih Thunnus albacores yang merupakan ikan tuna sebagai haiwan kebangsaan. Spesies ini biasanya banyak ditemui di kebanyakan perairan negaranya. Tidak hairanlah, rakyat Maldives begitu menggemari Yellowfin tuna ini sehingga menjadikan ia hidangan harian tanpa rasa jemu.
Blue Marlin (Bahamas)
Ikan marlin digunakan sebagai salah satu simbol lambang atau jata bagi negara Bahamas (Bahamian Coat of Arms). Ianya terletak di sebelah kiri yang melambangkan keadaan geografi negara Bahamas. Marlin biru atlantik atau Makaira nigricans adalah satu spesies Marlin selalu terdapat di Lautan Atlantik termasuk perairan Bahamas.
Mahseer (Pakistan)
Mahseer atau kelah merupakan ikan kebangsaan bagi Pakistan. Terdapat pelbagai spesies Mahseer, namun paling banyak daripada genus Tor. Seperti di Malaysia, yang disebut ikan kelah (semenanjung), empurau, semah (Sarawak) dan pelian (Sabah) sangat popular di kalangan kaki pancing selain nilainya yang tinggi. Mahseer biasanya hidup di perairan yang bersih dan berarus di kawasan pedalaman dengan kualiti air yang bersih.
Ohrid trout (Macedonia)
Spesies Salmo letnica ini menjadi pilihan bagi Macedonia dan boleh ditemui di negara-negara Balkan. Ikan ini mendapat tempat istimewa dalam masakan di Macedonia dan Albania di mana ianya dijadikan sup dan hidangan lain. Pada tahun 2004, kerajaan Macedonia mengharamkan pemburuan atau pancingan ikan ini kerana ancaman kepupusan.
Hilsa (Bangladesh)
Hilsa atau Tenualosa ilisha merupakan ikan yang paling popular di Bangladesh. Juga dikenali sebagai Ilish atau Elish. Di Malaysia, ia dikenali sebagai terubuk. Spesies ini merupakan spesies anadromous atau ikan migrasi di mana ianya akan berhijrah dari lautan ke sungai untuk bertelur. Ikan ini amat penting secara ekonomi di Bangladesh dan menjadi sumber makanan utama penduduk.
European Perch (Finland)
Ikan ini diangkat sebagai simbol bagi ikan kebangsaan oleh negara Finland. Spesies Perca fluviatilis ini merupakan pemangsa dalam kumpulan perch dan boleh di temui di Eropah dan Asia.
Ikan ini merupakan ikan buruan bagi pemancing kerana kekuatannya melawan lantas banyak diperkenalkan ke perairan luar. Sesetengahnya menyebabkan kerosakan besar kepada populasi asal seperti yang berlaku terhadap populasi ikan asal di Australia.
Asian arowana (Arowana)
Ikan kebangsaan Indonesia ini merupakan spesies yang berasal dari Asia Tenggara. Dengan nama Scleropages formosus, spesies ini mendiami sungai yang dalam, arus yang bergerak perlahan yang mengalir melalui hutan paya dan tanah lembab. Arowana asia yang dewasa memakan ikan yang lain, manakala juvana makan serangga.
Koi (Jepun)
Ikan koi atau kap ini sememangnya popular di Jepun. Tidak hairanlah spesies Cyprinus carpio dipilih sebagai ikan kebangsaan Jepun. Dengan corak warna-warni yang pelbagai, koi merupakan spesies yang penting dalam industri ikan hiasan. Koi dibezakan oleh warna, corak, dan susunan sisik.
Antara warna utama adalah putih, hitam, merah, kuning, biru, dan krim. Kategori koi yang paling popular ialah Gosanke, yang terdiri daripada varieti Kohaku, Taisho Sanshoku, dan Showa Sanshoku.
Bangus (Filipina)
Bangus (Chanos chanos) merupakan ikan kebangsaan Filipina di mana merupakan satu-satunya spesies yang masih ada dalam keluarga Chanidae. Dikenali sebagai ikan susu (milkfish) di Malaysia, spesies ini boleh ditemui di Lautan Hindi dan merentasi Lautan Pasifik, biasanya berkumpulan di sekitar pantai dan pulau-pulau dengan terumbu.
Bangus akan hidup di laut selama 2 hingga 3 minggu dan kemudian berhijrah ke kawasan hutan paya laut, muara atau tasik dan kembali ke laut setelah mencapai kematangan seksual dan membiak.