Spesies Buruan Kaki Casting Di Muara – part 1

Percaya atau tidak, kawasan muara dari muka kuala hingga ke perairan air payau merupakan padang pancing kegemaran ramai kaki pengilat atau kaki casting di negara kita ini. Terdapat banyak spesies pemangsa yang menyambar gewang namun kami pilih 12 daripadanya yang merupakan buruan utama.

IKLAN

 

Kanai

Tidak dapat disangkal lagi ikan kanai atau tembaring dan lebih popular dengan nama singkatan BB (black bass) merupakan spesies paling agresif membaham dan menghancurkan gewang.

Hanya kerana ia boleh ditemui di beberapa lokasi di perairan Sabah, ia tidak menduduki carta paling atas spesies muara yang paling banyak diburu. Namun bagi pengilat tegar teknik casting ini, ia merupakan lesen yang wajib diperolehi walaupun hanya sekali.

 

 

Siakap

Tak dapat dinafikan lagi ikan siakap atau barramundi merupakan spesies sasaran casting nombor satu di muara. Ia juga disebabkan oleh kewujudannya yang bertaburan di merata muara seluruh negeri hingga ke Sabah dan Sarawak.

IKLAN

Kepuasan sebenar bagi kaki casting ialah melihat aksi akrobatiknya dalam usaha meloloskan diri apabila tercangkuk mata kail.

 

 

Siakap merah

Walaupun saiznya tidak mampu mengatasi ikan siakap atau kakap putih, namun siakap merah atau mangrove jack (MJ) tetap menduduki ranking antara teratas spesies sasaran casting muara.

Sebagaimana siakap putih, ia juga spesies yang mudah ditemui di serata negeri dan aksinya melarikan gewang ke celah-celah bangkar kayu merupakan cabaran menyeronokkan bagi kaki casting.

 

 

Bandang

Ikan bandang atau lebih popular dipanggil ladyfish merupakan ikan yang paling mencabar kesabaran pengilat. Selain taburan yang kurang meluas, ia juga antara ikan yang sulit untuk didaratkan.

Rahangnya yang bertulang keras dan kemampuan melibas gewang dari mulutnya membuatkan ia sukar untuk didaratkan. Namun ia memberikan satu kepuasan yang unik kepada sesiapa yang berjaya menewaskannya walaupun bersaiz kecil.

 

 

Bulan

Ikan bulan atau tarpon bolehlah dianggap sebagai lesen P bagi pengilat muara. Selagi belum berjaya mendaratkannya, maka anda belum boleh memiliki lesen penuh. Bagi lokasi yang mudah untuk mendaratan siakap dan MJ, ikan bulan hanya dianggap sebagai hiburan semata.

Tetapi dalam method pancingan ultralight, ia merupakan spesies yang cukup menyeronokkan dan spesies sasaran utama.

 

 

Jenahak

Sebagaimana spesies siakap merah, ikan jenahak juga menjadikan kawasan estuari membiak dan membesar sebelum berhijrah ke laut lepas apabila matang. Namun, berbanding siakap merah yang lebih mudah, untuk memperolehi jenahak adalah lebih sukar.

Sebaliknya ia lebih mudah jika dipancing dengan teknik dasar atau casting dengan menggunakan umpan hidup. Atas sebab itu ia adalah satu bonus jika berjaya menjinakkan jenahak.