DENGAN menggunakan sonar, pemancing boleh mengekplorasi lebih banyak lubuk. Tidak perlu lagi menunggu ikan datang untuk memakan umpan yang disuakan, sebaliknya anda terus menjejaki di mana ‘rumah’ atau ikan yang banyak berkumpul.
Bagi nelayan laut dalam, sonar, adalah alat terpenting bagi untuk mereka mencari rezeki. Perkataan sonar berasal daripada perkataan ‘Sound, Navigation, Ranging’ (bunyi, panduan dan jarak). Jadi alat yang menggunakan bateri ini akan memaparkan apa sahaja yang ada di bawah bot termasuk ikan dan struktur muka bumi di bawah sana.
Ads
Komponennya terdiri dari pemancar (transmiter), transduser, alat penerima dan skrin paparan. Apabila ia di pasang, signal elektrik voltan rendah dari transmiter akan ditukar kepada gelombang bunyi oleh tranduser dan dipancarkan ke dalam air. Gelombang bunyi akan terpantul balik ke permukaan apabila mengenai objek dalam air. Sekali lagi gelombang bunyi ini akan ditukar kepada signal elektrik oleh alat penerima seterusnya dihantar kepada skrin paparan sama ada dalam bentuk hitam putih atau warna (lebih mahal harganya).
Sonar akan sentiasa menghantar dan menerima isyarat berulang kali dalam setiap saat. Ini kemudian akan memberi gambaran secara terus menerus pada skrin selagi pancaran bunyi dan signal elektrik tidak terganggu. Apa saja yang menghalang gelombang bunyi di dalam air akan dipaparkan pada skrin termasuk kedalaman air semasa.
Ads
Ads
Objek yang menghalang gelombang bunyi di pertengahan air sering diertikan sebagai ikan atau mungkin sampah dan sebagainya. Sonar berprestasi tinggi, merangkumi empat elemen penting iaitu pemancar berkuasa tinggi, transduser yang cekap, alat penerima sensitif dan skrin paparan beresolusi tinggi.
Di pasaran ketika ini terdapat pelbagai model dan terpulang kepada bajet anda. Bermula dari ratusan ringgit hingga mencecah ribuan ringgit. Ada yang berjenama, tidak kurang juga yang jenama ‘cap ayam’. Pendek kata lagi mahal harganya, lebih tepat dan jelas kualiti paparannya serta terdapat fungsi lain yang disertakannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Udang lipan merupakan antara umpan mujarab yang semakin banyak digunakan dalam aktiviti memancing dasar laut dalam.
Di Selat Melaka khususnya ia merupakan umpan utama untuk memburu ikan jenahak, kerapu dan lain-lain lagi. Maka tidak hairanlah harganya semakin meningkat.
Bagi pemancing, nilai udang lipan terletak pada nyawanya. Ia tidak seperti sotong kurita yang berkesan sama ada digunakan ketika hidup mahupun sudah mati.
Justeru udang lipan perlu disimpan hidup dengan sempurna. Kesilapan kaedah penyimpanan bakal mengakibat pemancing berputih.
Udang hidup haruslah disimpan di dalam bekas yang terdapat air masin (laut) dan oksigen mengalir masuk ke dalamnya.
Manakala bekas simpanan udang lipan pula sebaiknya tertutup atau tidak terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.
Kunci utama bagi menjamin jangka hayat udang lipan adalah kualiti air masin yang diletakkan di dalam bekas simpanan.
Air laut atau air masin yang digunakan harus terkawal tahap kemasinannya. Air masin yang sudah tercemar atau bercampur dengan air tawar bakal mengganggu ketahanan udang tersebut.
Begitu juga dengan pam udara yang digunakan haruslah berfungsi dengan baik. Lagi banyak pam yang digunakan maka lebih banyak oksigen yang dapat disalirkan.
Manakala bekas simpan seperti tong menyimpan ikan yang biasa digunakan haruslah dalam keadaan bersih dan bebas dari bau-bauan yang boleh menjejaskan kualiti air masin yang digunakan.
Sebelum menjadikan udang lipan sebagai umpan, terlebih dahulu perlu diketahui cara-cara pengendalian udang tersebut bagi mengelak sebarang kecederaan berikutan keupayaan kuasa jentikan kaki depannya.
Udang lipan perlu dipegang dari arah belakang dengan menekan kepala dan ekornya sehingga berlipat.
Kemudian barulah dua mata kail dicangkukkan pada sisi ekor dan sisi badannya bergantung pada saiz udang dan perambut mata kail itu sendiri.
Melihat dari sudut pancingan, si bantal emas atau John’s snapper ini mungkin merupakan spesies ikan snapper yang paling digemari di kalangan kaki pancing. Atribut atau nilai utama tentunya pada nilai rasanya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan jenahak merupakan antara spesies ikan paling sedap jika dikira di kalangan spesies ikan estuari.
Begitu pun, sesuai dengan statusnya sebagai tertiary consumer, pemangsa kepada pemangsa ini masih merupakan spesies ikan yang agresif dan agak licik. Agresif di sini merujuk kepada naluri jenahak sebagai ikan pemburu hendap.
Jenahak mampu memberikan kesulitan kepada pemancing pada awal pertarungan terutama sejurus menerkam umpan. Pertarungan yang agresif biasanya dalam tempoh yang singkat sebelum darjah kesulitan dan cabaran pertarungan bertukar daripada naluri pemangsa yang agresif kepada pertarungan kelicikan.
Apabila menyedari pertaruhan tenaganya pada awal pertarungan gagal, jenahak akan menukar strategi kepada bertahan di sebalik struktur atau karang yang ada. Ketika ini, objektif utamanya tidak lagi untuk menghauskan stamina pemancing, sebaliknya tertumpu kepada stamina dan keupayaan tali pancing yang digunakan. Jika pemancing berjaya mengekang kedua-dua darjah pertarungan ini, maka nikmat kepuasan pastinya hadir setelah ‘emas lautan’ ini dapat dicungkil.
Di Malaysia, juvenil atau sering kita gelar tetanda boleh ditemui di kawasan muara sebelum spesies ini bermigrasi ke lautan apabila dewasa. Jenahak dewasa juga boleh ditemui di kawasan berhampiran muara disebabkan untuk mengawan.
Saiz sebiji bantal dengan berat antara 1 kg hingga 6 kg merupakan saiz yang banyak dipancing oleh pemancing tempatan. Biasanya jenahak sebegini mudah dipancing di kawasan kedalaman lebih 30 kaki atau lebih dengan dipenuhi struktur karang, kapal karam, tukun dan sebarang bentuk struktur yang lain.
Jenahak biasanya ditemui berkumpulan dalam habitat yang disebutkan tadi. Jika pemancing menemui lubuk jenahak, pesta jenahak akan dimulakan namun perlu diingatkan, jika seekor jenahak terlepas atau terlucut ketika dipancing, jenahak lain di lubuk yang sama akan menjadi culas dan berhenti memakan umpan seterusnya.
TEKNIK PANCINGAN DAN UMPAN
Di Malaysia, terdapat dua aplikasi teknik pancingan jenahak yang terkenal dan terbukti berkesan untuk memburu spesies bernilai tinggi ini. Aplikasi teknik pancingan yang pertama ialah teknik pancingan dasar dengan menggunakan umpan hidup atau umpan mati.
Teknik pancingan dasar ini boleh dikatakan teknik tradisi memancing jenahak dan telah diaplikasikan sejak sekian lama. Tanyalah mana-mana pemancing yang old-timer di Malaysia, pasti akan memberikan jawapan yang sama. Aplikasi pancingan dasar terbukti berkesan kerana sifat ikan jenahak sebagai ikan yang gemar berlindung di struktur habitatnya dan akan membuat serangan hendap jika ada mangsa yang melintasi kawasan tempat hendapannya.
Kekuatan set pancing pula antara set sederhana hingga berat bergantung kepada lapangan pancing dan arus. Biasanya bantuan ‘bangla’ akan direkrut untuk pancingan di kawasan yang kedalaman lebih 30 kaki. Kekuatan perambut sekitar 50lb hingga 80lb sudah memadai dengan kepanjangan perambut sekitar 2 meter.
Umpan hidup dan umpan mati merupakan pilihan untuk teknik dasar. Umpan sotong hidup seperti cumit dan sotong kurita dikatakan umpan terbaik untuk memikat John’s snapper yang bersaiz besar. Udang hidup pula mampu menaikkan jenahak pelbagai saiz malah jika ada modal lebih, anda boleh mencuba udang lipan.
Selain itu, tamban dan umpun-umpun juga mampu menaikkan spesies ini bergantung kepada teknik pancingan anda. Walaupun masa bagi spesies jenahak memburu mangsanya ialah sepanjang hari, namun teknik dasar pancingan jenahak lebih sinonim pada waktu malam.
Malah sering kali jenahak bersaiz besar acapkali dinaikkan pada lewat malam atau awal pagi. Begitu pun, sesekali dan sesetengah kawasan terdapat juga jenahak yang berjaya dipancing disiang hari. Di sinilah aplikasi teknik pancingan kedua menjadi alternatif kepada pemancing yang ingin memburu jenahak.
Aplikasi teknik kedua pula menggunakan umpan artifisial atau umpan tiruan iaitu mengunjun besi atau jigging. Teknik slow pitch atau slow jigging ternyata begitu praktikal memikat jenahak pada siang hari. Malah, teknik slow pitch menjadi kegilaan terbaru kepada pemancing jenahak tempatan sejak kebelakangan ini.
Dengan berat jig khusus untuk slow pitch bergantung kepada arus lapangan pancing, unjunan perlahan di kawasan berstruktur tidak dinafikan mampu menaikkan jenahak bersaiz gadang @ bantal. Teknik slow pitch boleh diaplikasikan dalam persekitaran kedalaman air antara 20 kaki hingga 30 kaki dengan set pancing sederhana (PE2- PE3, Jig 180-250 gram). Cuma perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah spot untuk melabuhkan jig perlu betul-betul di kawasan lubuk yang mempunyai ‘emas hidup’ ini.
Jika bernasib baik mendapat sambaran, kepuasannya memang secukup rasa. Apa tidaknya, bayangkan sekelip mata ketika syok mengunjun, ‘sapppp’ rod melentuk dan jig anda diragut. Fuhh, menjerit drag bak hang!
Perairan Malaysia sebenarnya terlalu luas untuk diterokai oleh seseorang pemancing. Nadi penggerak di atas air iaitu enjin bot boleh di kategorikan sebagai kenderaan air yang bernilai tinggi.
Berbeza dengan negara luar, terdapat larangan-larangan penggunaan sesebuah enjin mengikut kapasiti kuasa kuda.
Maka, setiap pemilik bot bebas menggunakan kuasa kuda untuk menyusuri sungai ataupun laut. Bezanya adalah harga dan kemampuan untuk memiliki enjin sangkut ini.
Bila berkata tentang kemampuan, memancing ini merupakan satu hobi dan bukan keperluan yang perlu dituruti sepenuhnya.
Berbeza dengan nelayan yang memerlukan enjin sangkut untuk mencari nafkah di laut atau sungai.
Tetapi, memiliki enjin sangkut adalah satu kelebihan bagi kaki pancing untuk bergerak ke segenap lokasi lubuk yang boleh dilalui dengan jalan air.
Penjualan enjin sangkut sememangnya boleh dibeli di pengedar atau kedai yang menjual alat-alat marin.
Sebenarnya Malaysia masih kurang kedai yang menjual enjin sangkut ini. Industri memancing yang pesat memacu ke hadapan sepatutnya memerlukan banyak pusat servis atau menjual enjin sangkut yang terpakai.
Bagi yang memilih untuk membeli enjin sangkut terpakai, beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum membelinya sama ada daripada individu ataupun kedai yang menjual enjin sangkut.
APA YANG PENTING?
Perkara pertama yang perlu diteliti adalah kualiti semasa enjin sangkut tersebut.
Bahagian dalaman enjin seperti gasket blok tiada kebocoran, mudah dihidupkan, pusingan sistem penyejuk enjin dalam keadaan baik dan tiada gegaran yang kuat pada enjin ketika dihidupkan.
Pembeli ada kuasa untuk meneliti enjin tersebut sebelum membelinya.
Harga juga memainkan peranan dalam pemilihan sesebuah enjin sangkut.
Secara amnya, enjin sangkut bukan dinilai dari tahun dikeluarkan seperti kenderaan motosikal atau kereta tetapi ia boleh dinilai dari kualiti keadaan semasa enjin tersebut dari segi luaran dan dalamnya.
Bagaimana ianya boleh dinilai?. Dapatkan harga model yang sama di kedai dan penilaian boleh dibuat berdasarkan harga susut nilai sebanyak 40 hingga 60 peratus.
Sebagai contoh enjin 5 hp (kuasa kuda) yang baru bernilai RM3200 Tetapi setelah dikira harga susut nilai semasa pengurangan mungkin boleh mencapai sehingga RM1500 mengikut keadaan semasa enjin tersebut.
Apa yang penting, enjin sangkut tidak mempunyai geran seperti kenderaan darat. Tetapi bukti pembelian resit asal daripada pemilik atau kedai amat penting disimpan kerana enjin sangkut adalah salah satu barang yang sering di curi.
Di perairan pantai barat Malaysia, kecurian enjin sangkut kerap dilaporkan dan pembeli perlu berhati hati agar dapat menghindarkan dari membeli barang curi.
Setiap enjin sangkut mempunyai nombor siri casis yang berlainan dan ia direkodkan di dalam setiap surat pembelian enjin baru.
Apa yang penting, fahami segala aspek enjin sangkut ini kerana setiap kuasa kuda berlainan spesifikasinya termasuklah beban berat, badan luaran alat ganti.
Sekiranya pembeli ingin membeli daripada penjualan Internet, sebaik-baiknya lihatlah sendiri keadaan fizikalnya sebelum membuat keputusan.
Buat pertemuan dengan si penjual. Lihat peralatan sampingan seperti tangki minyak serta saluran paip minyaknya dalam keadaan baik.
Jika tidak mahir, bawalah rakan yang mahir bertemu dengan penjual berkenaan. Mana tahu anda tertipu atau terbeli enjin curi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...