
Di antara teknik memancing Tenggiri yang popular ialah; menunda atau trolling menggunakan gewang atau ikan hidup atau mati. Kelajuan bot mestilah sekitar 3 hingga 7 batu nautika. Gewang selaman dalam bersaiz 15cm ke atas amat sesuai.
Mengilat atau casting. Teknik ini menjadi pilihan ramai kaki pancing. Selain umpan ikan mati, gewang, sesudu dan bulu itik adalah jenis yang terbaik untuk menggoda tenggiri. Teknik ini memerlukan kerajinan dan usaha berterusan bagi menjamin potensi menerima sambaran tenggiri.
Teknik seterusnya ialah mengunjun atau lebih popularnya jigging. Ia menjadi pilihan kaki jigging tegar yang gemarkan aksi yang lebih mencabar. Jigging Tenggiri banyak cabaran dan kekuatan stamina. Namun teknik yang paling berkesan ialah teknik menggunakan umpan hidup secara berhanyut di permukaan atau pertengahan air.
Teknik berhanyut atau drifting ini adalah teknik paling popular di kalangan kaki pancing. Teknik hanyut bergantung kepada faktor arus dan angin. Kalau arus lemah, umpan boleh dihanyutkan tanpa pemberat. Ladung kecil pula digunakan sekiranya arus bergerak laju.
Pengunaan belon juga sesuai dan bantuan angin membantu menganyutkan umpan jauh sedikit dari kedudukan bot.
Manakala untuk teknik pertengahan air, teknik ini berkait rapat dengan pengunaan ladung besar. Umpan dilabuhkan hingga mencecah dasar dan kemudian dikarau kira-kira 7 depa dari dasar.
Ini bagi memastikan umpan berada di kawasan selalunya lingkungan Tenggiri meronda, iaitu di pertengahan air. Sentiasa hulur atau naikkan umpan sehingga jumpa parameter kedudukan tenggiri berada.
Digomol Gerombolan Aya!!

Bercakap pasal pancingan tuna atau ikan aya ini mengingatkan saya pada trip memancing ke perairan Beting Patinggi Ali atau Lucornia di Sarawak.
Memandangkan trip tersebut lebih menjurus kepada menyasarkan ikan kertang dan ruby snapper melalui teknik pancingan dasar, maka peralatan bottom yang diberi keutamaan.
Peralatan jigging sekadar untuk ringan saja yang dibawa dengan beberapa ketul jig ringan.
Dalam perjalanan ke lubuk seterusnya pada malam kedua, tekong singgah sebentar di suatu kawasan untuk membolehkan kami berjigging.
Namun tujuan sebenar adalah untuk menambah stok umpan segar terutamanya ikan-ikan aya atau tongkol.
Melakukan teknik fast jigging pada kedalaman 80 hingga 100 meter di perairan berkedalaman sehingga 200 meter, dengan menggunakan jig seberat 60 hingga 100 gm, semata-mata untuk mencari ikan umpan memerlukan motivasi yang tinggi.
Tidak sampai sepuluh pusingan berjigging bagai nak tercabut lengan, saya mengangkat bendera putih.
Memandangkan ada di antara ahli trip yang tidak memiliki peralatan jigging maka saya beri peluang kepada mereka pula.
Saya mengambil keputusan untuk membersihkan tubuh dan berehat di dalam kabin. Dapat melelapkan mata buat seketika pun bagus juga.
Belum pun sempat melelapkan mata, kedengaran kekecohan mereka strike ikan dan kedengaran nama saya diseru keluar.
Sejurus keluar, kelihatan beberapa ekor ikan aya bergelimpangan di atas dek dan beberapa ahli trip sedang rancak berjigging dan mengepam joran.
Apabila melihat ada ahli trip berjaya mendaratkan aya sirip kuning, saya segera mengambil kamera untuk merakam foto.
Dalam pada merakam foto itu berdetik juga dalam hati rasa kesal kerana terlalu cepat menyerah kalah.
Tambah geram bila melihat aya sirip kuning itu dinaikkan oleh rakan yang menggunakan set pancing saya.
Walaupun masih bersaiz juvenil, ia tetap bergelar aya sirip kuning yang mana saya sendiri pun belum peroleh lesen!
Selain aya sirip kurning tunggal, aya-aya lain yang didaratkan ialah aya kurip dan satu lagi spesies aya yang belum pernah juga saya daratkan iaitu aya budak atau dogtooth tuna.
Saiznya tidaklah besar sekitar 1-2 kg saja, tapi di Semenanjung mana nak jumpa aya spesies itu.
Dan ia begitu mudah pula diperolehi sehinggakan ada ahli trip yang berjaya mendaratkan dua ekor aya budak pada satu jig.
Mungkin memahami perasaan saya ketika itu, selepas mendaratkan seekor lagi aya budak juvenil, rakan yang menggunakan set pancing saya itu menyerahkan kembali set pancing itu kepada saya.
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa berlengah lagi saya terus menyambutnya dengan senyum lebar.
Bila ikan dah banyak, tak perlu berpenat lelah mengunjun joran pun boleh dapat ikan. Sejurus jig memasuki kedalaman 70-80 meter, terus ada pemangsa yang menyambar.
Harapan saya tentulah aya sirip kuning yang mengena. Tetapi yang berjaya didaratkan ternyata aya budak juvenil. Tak mengapalah… sekurang-kurangnya sudah ada lesen.
Selepas 3 ekor aya budak juvenil berjaya saya naikkan, gerombolan aya tersebut mula menghilang.
Tidak pasti pula sama ada bot hanyut keluar dari lubuk atau gerombolan ikan yang beredar ke kawasan, suasana kembali sebagaimana waktu awalan saya berjigging tadi.
Menyedari keadaan itu, tekong mengambil keputusan untuk bergerak ke lubuk kertang dan ruby snapper dan kami pula bergerak ke kabin untuk melelapkan mata buat seketika.
Dan saya pula masih tidak dapat melelapkan mata kerana terlepas peluang untuk memperoleh lesen aya sirip kuning.
Menebing Si Jenggo Sungai Timun

Bagi penggemar pancingan si sepit biru pastinya sudah terbiasa dengan nama Sungai Timun. Sungai Timun yang terletak di Linggi, Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan aktiviti memancing udang galah.
Sama ada ia udang galah, sepit biru atau jenggo, ia sememangnya spesies yang seronok dipancing dan sedap dimakan. Selain udang galah, sebenarnya Sungai Timun lebih dikenali dengan kehadiran sang bedal aka buaya. Mungkin juga dengan kehadiran sang bedal ini maka populasi si sepit biru terkawal di Sungai Timun.
Ada yang berkata, ada udang ada buaya. Itu memang tidak dinafikan, Tapi saya pula berpendapat, ada buaya ada udang. Maka itulah sebabnya Sungai Timun sentiasa ada udang. Bila ada buaya, maka kuranglah sedikit orang turun menangkap udang.
Begitulah halnya pada saya. Kalau tak kerana join orang setempat, maka sampai bila-bila pun saya takkan berani nak memancing udang galah di Sungai Timun. Oleh kerana bertemankan orang setempat, maka cara kami memancing udang galah agak berbeza sedikit. Biasanya, orang akan menyewa sampan dan memancing pada sebelah siang hari saja.
Tapi kami berenam menaiki dua buah sampan di Jeti Sungai Timun pada pagi Sabtu dan kembali ke jeti pada petang Ahad, keesokan harinya.
Walaupun Sungai Timun terkenal dengan kehadiran sang bedal tapi tidak bermakna setiap inci sungai didiami buaya. Sungai Timun itu sendiri bukanlah cuma sejengkal. Sekiranya bertembung juga dengan buaya sekalipun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sehingga kini belum pernah lagi berlakunya kejadian yang tidak diingini antara buaya dan manusia di Sungai Timun.
Berpandukan rakan anak jati Sungai Timun, kami dibawa ke lubuk-lubuk yang berpotensi. Kami memancing di atas sampan sehinggalah ke petang. Dalam pada masa yang sama kami turut meninjau beberapa kawasan tebing yang sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan untuk kami berehat pada malam hari dan berpotensi untuk pancingan tebing juga.
Hasil seharian memacing di atas sampan bolehlah dianggap lumayan juga bagi kami yang baru pertama kali turun memancing udang di Sungai Timun ni. Hasil itu kami jadikan juadah pada sebelah malam. Selain alatan ringkas perkhemahan, kami turut membawa alatan mmemasak dan makanan kering. Tentu saja kami tidak lupakan mi segera. Apa lagi yang lebih enak dimakan selain mi segera udang galah bersama kopi O!
Hasil pancingan dari tebing pada malam harinya agak perlahan. Namun saiz udang yang diperoleh agak kasar-kasar juga. Kami memancing sehingga mana mata larat berjaga. Keesokan pagi setelah bersarapan ala kadar dengan apa yang ada, kami menyambung kembali aktiviti memancing udang galah di atas sampan sehinggalah kembali ke jeti pada petang harinya.
Biarpun hasil tidak seberapa tetapi dapatlah juga membawa pulang hasil perut Sungai Timun untuk ahli keluarga merasainya bersama.
Patin 12.235 kg, juara Tasik Metropolitan

Pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) yang diadakan di Taman Tasik Metropolitan dekat Kepong pada hari ini berjaya menarik penyertaan seramai 1,126 kaki pancing anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi siri ke-6. Ini merupakan jumlah penyertaan tertinggi pernah dicatatkan sejak ia mula diperkenalkan.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zaharudin Basiron berkata, slogan `Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ khusus kepada warga kota menjadikan aktiviti riadah bersama keluarga dapat diterapkan melalui pertandingan memancing yang disediakan oleh DBKL.
Teruja dengan sambutan yang menggalakkan, beliau yakin produk Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) di bawah DBKL ini dapat mencapai matlamat agar perpaduan dan keharmonian melalui pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat usia mahupun agama disatukan melalui aktiviti riadah sihat ini.
Beliau berharap penganjuran JPKL dapat diteruskan lagi memandangkan program yang dilaksanakan amat baik untuk warga kota dan bagi tahun ini sebanyak 4 lagi siri JPKL menunggu kaki pancing termasuk siri akhir yang dijadualkan bulan Disember 2017.
Pada pertandingan kali ini, Razman Abu Hassan telah dinobatkan sebagai juara dan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000. Beliau yang memiliki pengalaman memancing selama lima tahun berjaya mendaratkan ikan patin seberat 12.235kg pada jam 9.26 pagi. Tempat kedua dan ketiga disandang Mohamad Ridwan dan Molik Yaakub yang masing-masing menaikkan ikan belida seberat 5.695kg dan 5.665kg. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM1,000.