
SOALAN:
Selain menjala, pukat atau bubu, adakah sepat siam boleh dipancing. Ada yang mengatakan boleh dipancing dan ada yang kata tak boleh sebab mulutnya yang kecil.
Jika boleh apakah caranya?
JAWAPAN:
Sebenarnya ikan sepat Siam atau juga disebut sepat kedah atau sepat benua memang boleh dipancing.
Saya pernah melihat orang kampung di Tanjung Karang, Selangor memancing ikan ini menggunakan pancing teleskopik sahaja.
Malah saya sendiri juga pernah memancingnya di beberapa tempat.
Bagi memancing ikan sepat ini anda memerlukan peralatan memancing yang biasa-biasa saja.
Lazimnya saya menggunakan mata kail jenama Gamakatsu no 5 (pek warna hijau). Tali utama cukup hanya gunakan tangsi 6-8lb atau tali sulam 4-6lb.
Umpan sedikit masalah kerana, selain lumut, boleh juga gunakan cacing bersaiz kecil. Jika sukar untuk mencari umpan-umpan ini, boleh juga menggunakan umpan bancuhan dedak dan perisa cacing tanah.
Cara memancingnya adalah sama, perhatikan di mana sepat selalunya timbul membuka mulut. Hulurkan mata kail secara perlahan-lahan ke kawasan ia timbul.
Jangan biarkan ikan terkejut kerana ia lambat untuk timbul semual di permukaan jika diganggu.
Sebagai tip tambahan, ada pemancing mencurahkan sedikit minyak menggoreng ikan yang sudah digunakan di kawasan di mana sepat timbul.
Ia bertujuan membolehkan ikan ini berkumpul di satu tempat.
Jika kita memancing di kawasan lubuk (kawah, lubang, kapal karam atau tukun) sasaran melabuh umpan terbaik adalah di dalam lubuk di mana tempat ikan selalu berkumpul di dasarnya.
Lubuk begini lazimnya lubuk kawah atau lubang yang tiada hadangan di tengah-tengah lubuk.
Namun berbeza jika kita memancing di lubuk yang mana di tengah lubuk terdapat reba, tukun atau kapal karam.
Sudah tentu jika kita melabuhkan umpan di tengah lubuk maka umpan, mata kail dan ladung akan turut sama menjadi tukun.
Jika kita memancing di lubuk sebegini maka sasaran terbaik melabuhkan umpan adalah di bahagian hadapan lubuk.
Seperkara lain lazimnya, ikan-ikan besar sering berada di hadapan dan dalam tukun untuk melakukan serang hendap dan sebagainya.
Lokasi pilihan lain ialah bahagian sisi lubuk sama ada di sebelah kiri atau kanan sisi lubuk. Jangan berada di belakang lubuk kerana kawasan ini terlalu jauh dari zon serangan ikan bersisik.
Kebiasaannya ikan bersisik akan menyerang mangsa dari dalam dan belakang lubuk dengan menerpa arah hadapan di mana terdapat sumber makanan seperti anak ikan yang datang mengikut arus di hadapan lubuk.
SOALAN:
Hai admin… apa khabar? Saya dan team saya baru masih baru dalam hobi memancing dan kami ada memancing ke Pulau Jarak (trip pancingan bottom). Kami menggunakan tanduk besi. Hasilnya agak kurang.
Bila balik, rakan lain ada beritahu, jangan guna tanduk besi/tembaga… sepatutnya guna tanduk plastik kerana besi berkilat di dalam air. Tapi saya musykil, kerana rakan yang mengesyorkan guna tanduk besi kerap pulang dengan hasil lumayan.
JAWAPAN:
Kenyataan seumpama itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia memancing ini. Kenyataan yang dibuat tanpa sebarang fakta sebaiknya diabaikan saja kerana sedikit ia akan mempengaruhi pemikiran setiap pemancing terutamanya pemancing yang masih baru dalam hobi ini.
Apa yang perlu anda faham adalah fungsi utama kegunaan tanduk tersebut. Tanduk atau Spreader bertujuan untuk mengelakkan tali perambut berbelit dengan tali utama apabila ia diturunkan ke dasar laut.
Saya sama sekali tidak boleh terima hakikat bahawa warna tanduk tersebut boleh mempengaruhi tangkapan ikan anda. Malah sifat berkilat tanduk besi yang dinyatakan itu agak bercanggah.
Sedangkan gewang, spoon atau jig direka khas bagi menghasilkan kilatan untuk menarik perhatian ikan, bukan untuk menjauhkannya.
Seperkara lain yang perlu anda fikir, pada asasnya umpan yang dicangkukkan pada mata kail tidak diikat terus pada tanduk. Ada ke orang ikat mata kail pada tanduk? Jika ada mungkin logik juga ikan tak ambil umpan sebab pengaruh dari tanduk tersebut.
Saya telah lama menggunakan tanduk dari beberapa jenis dan warna dan saya tidak pernah mempunyai masalah ini. Saya rasa perambut saudara mungkin tak cukup panjang. Saya syorkan saudara ikat perambut sepanjang sekurang kurangnya 1.5 meter.
SOALAN:
Baru-baru ini saya ada try casting sebarau. Memang ada nampak kelibat sebarau boiling tapi bila saya baling gewang, sebarau tu langsung tak layan gewang saya tu. Kenapa eh admin?
JAWAPAN:
Ada beberapa kemungkin yang mungkin menyebabkan sebarau tidak mengendahkan gewang yang anda lontarkan tersebut. Pertama, mungkin gewang yang anda gunakan tidak menepati ciri-ciri mangsa semula jadi yang menyebabkan sebarau tidak mengejarnya.
Atau mungkin sebarau tersebut berstatus juvenil (sebarau kecil), sedangkan gewang yang anda gunakan bersaiz besar. Tentu saja sebarau tersebut tidak ghairah untuk mengejar mangsa yang tidak sepadan dengan saiz dietnya.
Untuk cubaan akan datang, sebaiknya anda cari gewang yang lebih kecil atau hampir menyamai saiz mangsa yang diburu oleh sebarau-sebarau tersebut. Lazimnya gewang yang lebih kecil dan mirip dengan saiz dan bentuk mangsa akan lebih berpeluang disambar pemangsa.
Seperkara lain, aksi renangan gewang yang anda gunakan juga mempengaruhi pemangsa atau sebarau untuk menyambarnya. Dalam menggayakan aksi renangan gewang ini anda perlulah menguasai dengan melakukan latihan yang kerap.
Sebagai nota tambahan, sekiranya gewang yang digunakan tidak dilayan oleh pemangsa, mungkin anda perlu menukarnya kepada sesudu atau spoon. Oleh yang demikian sesudu pelbagai saiz dan bentuk harus ada di dalam kotak pancing anda sekiranya pergi casting.