
SOALAN:
Saya ingin tahu tentang umpan memancing di laut. Setahu saya, ikan tamban dan selar cukup popular dijadikan umpan memancing jika memancing di kelong. Soalan saya ialah ada tak ikan lain yang boleh dijadikan umpan jika kita memancing di tengah laut?
JAWAPAN:
Ikan-ikan pelagik seperti tamban, selar, selayang memang sinonim sebagai umpan di kalangan kaki pancing. Ia diguna secara meluas sama ada pancingan di pesisir pantai atau di laut dalam. Namun beberapa spesies ikan kecil lain yang dipancing juga boleh dijadikan umpan yang mujarab.
Spesies ikan demersal (ikan dasar) yang dipancing boleh dibuat umpan ialah ikan gelama dan bebolos. Dua spesies ikan ini sangat sesuai dan popular untuk dijadikan umpan pari dan senangin bagi pancingan pesisir pantai.
Caranya, ikan ini boleh digunakan seekor ataupun boleh menggunakan hirisan isinya yang dicangkuk pada mata kail. Saya sendiri pernah menggunakan umpan hirisan ikan belanak dan ia amat efektif dan lambat habis sekiranya digetu ikan kecil, kerana isinya yang agak liat.
Selain itu ikan-ikan bersaiz besar seperti tongkol atau ikan parang juga boleh dijadikan umpan. Ia boleh digunakan secara seekor atau dijadikan hirisan. Apa yang penting kesemua ikan ini haruslah dalam keadaan segar jika ingin dijadikan umpan.
Ketahui Fungsi & Penyeliaan Penting Anode Pada Enjin Bot

Umum sudah mengetahui, bahawa enjin sangkut dibina untuk kegunaan di semua kawasan tidak kiralah air tawar atau air masin. Cuma kapasiti kuasa kuda dan saiz membezakan penggunaannya lebih ke arah mana.
Badan enjin diperbuat daripada campuran besi dan logam adalah campuran yang terbaik bagi membina sebuah enjin sangkut. Namun besi akan mudah terhakis sekiranya terdedah kepada air masin dan dibiarkan tanpa penyelenggaraan atau dibersihkan selalu.

Teknologi pembuatan enjin sangkut dan juga pengangkutan laut telah menemui satu cara di mana satu alat yang diberi nama anod yang berfungsi menyerap hakisan pada badan enjin atau kapal dengan mengorbankan alat ini.

Bagi sebuah enjin sangkut ia dilekatkan menggunakan skru di bahagian bawah sirip bagi menyerap kadar hakisan di bahagian enjin bot. Saiznya adalah mengikut enjin sangkut dan juga alat ini dilekatkan pada badan kapal-kapal besar bagi mengurangkan hakisan pada seluruh badan kapal.

Walaupun ia kecil namun peranannya sangat besar dan mampu memberi ketahanan yang lebih lama sesuatu besi yang terdedah kepada air laut. Bagi enjin sangkut yang menggunakan starter terdapat arus elektrik yang mampu membuang plak dari air masin agar tidak melekat pada bahagian enjin dan terus menghakis badan enjin.
Harganya mengikut saiz enjin dan hanya perlu diganti apabila alat tersebut menjadi kecil atau pecah. Ia terdapat di pengedar enjin sangkut atau bengkel membaiki enjin. Anod ini lebih cepat teroksida semasa enjin digunakan di kawasan air payau dan air masin.
Soal Jawab Memancing – Apa Nak Bawak Kalau Mancing Di Oilrig??

Walau di mana pun tempat dan aktiviti yang dilakukan, kita perlu meletakkan keselamatan di tempat nombor satu. Di antara keperluan wajib untuk memancing di atas bot ialah:
Jaket keselamatan yang berfungsi baik dan bukan setakat ada saja. Kepandaian berenang boleh sebagai tambahan keselamatan.
Pakaian yang sesuai seperti dapat mengekang kepanasan di siang hari serta kedinginan pada waktu malam. Topi dan baju hujan juga satu kemestian.
Pakaian bersih untuk menunaikan ibadat solat lima waktu termasuk sejadah jika boleh. Jika boleh barang keperluan ini seeloknya disimpan dalam bekas atau beg yang kalis air.
Peralatan memancing minimum dua set; satu aksi berat dan satu aksi sederhana. Aksi berat lebih 30lb kapasiti muatan tali 300 meter minimum.
Set peralatan ini ialah kombinasi kekili dan joran yang sesuai dipadankan antara satu sama lain. Bawa kekili atau joran simpanan sebagai pengganti jika terdapat kerosakan pada peralatan utama.
Aksesori seperti kotak pancing, playar muncung panjang, pemotong, pisau, lampu suluh (tambahan), yang boleh dimuatkan dalam kotak pancing.
Mata kail pelbagai saiz bermula dari 2/0 hingga 5/0 untuk ikan besar, manakala mata 4 hingga 1/0 untuk skala ikan kecil.
Adalah disarankan susun atur mata kail mengikut saiz supaya lebih mudah untuk digunakan nanti. Jangan campur mata kail baru dengan yang sudah digunakan.
Perambut sesuai berkekuatan daripada 30lb-100lb berwarna cerah atau jernih. Kabel atau perambut dawai 40lb-60lb perlu untuk memancing ikan bergigi tajam.
Bekalan makanan dan minuman bergantung kepada bot. Terdapat bot yang memasak untuk peserta dan sebaliknya.
Rakan-rakan dalam bot juga boleh diajak berunding mengenai perkara ini. Bagaimanapun seeloknya kita turut membawa minuman dan makanan berserta bekalan ubat yang dirasakan sesuai.
Trip Retro – Kelah Badong Sungai Ketir!!

Trip trekking ke Royal Belum ini merupakan trip kedua saya. Ia rentetan ingin mengulangi betapa seronoknya casting dan trekking yang kena dengan jiwa saya. Dalam trip terdahulu saya telah pun sampai ke Sungai Kebeng.
Hajatnya trip kedua ini ingin mengulangi lokasi yang sama, namun atas beberapa halangan terutama kesukaran beberapa orang rakan mengambil cuti, terpaksalah trip kali ini disingkatkan kepada 4 hari 3 malam dan hanya sampai di Sungai Ketir.
Selepas solat Jumaat, saya, Zack, Encik Mohd, Pak Abu, Ajak, Zaki dan Acang Kopeng mulai bertolak ke Grik dari Kuala Lumpur. Sebelum tiba kami sempat berehat dahulu di R&R Sungai Perak sambil berbincang apa yang patut.
Kami bermalam di rumah rakan, Pok Jan di Gerik yang juga tekong dan pemandu boathouse di Royal Belum. Malam itu, kami membahagikan barangan sama rata yang akan dibawa. Sambil perkena air kopi dan biskut, kami rancak berborak terutama mendengar pengalaman guide sambil seorang demi seorang kami akhirnya tertidur.
Awal-awal pagi lagi, kami telah bangun dan bersiap dengan barangan masing-masing. Masing-masing memeriksa barangan takut-takut ada yang tertinggal. Sebelum ke Jeti Tasik Banding, guide terlebih dahulu pergi ke pasar pagi di Pekan Grik untuk membeli barangan keperluan untuk memasak seperti bawang, cili api, halia dan sebagainya. Tepat jam 7 pagi, selepas semua barang kelengkapan dipunggah ke dalam dua buah bot, terus sahaja di pacu laju meninggalkan jeti.
Perkara wajib yang wajib dipatuhi oleh semua pengunjung ke Royal Belum adalah mesti mendaftar permit masuk dan mengisytiharkan segala aktiviti sepanjang tempoh berada di sini. Sejurus selesai mendaftar permit, terus sahaja tekong memacu bot menuju ke Sungai Kejar. Alhamdulillah perjalanan berjalan dengan lancar dan kami tiba di kuala Sungai Kejar.
Dengan lafaz bismillah sekali lagi, saya dan rakan-rakan memulakan langkah meneruskan perjalanan. Dua orang guide iaitu Khairul, Janggut berjalan di hadapan kami. Manakala dua lagi guide iaitu Along RB dan Gan Craf berjalan di belakang kami.
Sebenarnya trek perjalanan di hulu Sungai Kejar ini tidaklah sesukar mana jika ingin dibandingkan dengan trek Sungai Terenggan di Tasik Kenyir. Ini berdasarkan pengalaman saya yang telah beberapa kali trekking di sana. Tidak seperti di Sungai Terenggan, trek di sini agak rata dan tidak terlalu bengkang bengkok dan banyak mendaki serta menuruni bukit.
Dalam perjalanan, kami bertemu dengan beberapa kumpulan lain yang turut sama trekking serta kumpulan orang asli yang mendiami sekitar kawasan ini dan juga pokok rambai yang ranum berbuah.
SUNGAI KETIR
Kami selamat tiba di Sungai Ketir jam 3 petang, iaitu lokasi yang menjadi spot kami selama 4 hari 3 malam. Guide membantu membina kawasan perkhemahan dengan membina tempat untuk memasak. Bagi saya, tidur di dalam hammock sudah cukup memadai dan saya merasakan ia paling sesuai seandainya bila di dalam hutan berbanding di dalam khemah tertutup.
Beberapa orang rakan, terutamanya Pak Abu, Acang Kopeng dan Ajak melayan bottom di depan khemah, manakala rakan lain termasuk saya masuk tidur awal pada malam itu. Punyalah semangat nak pergi casting esok hari, malam itu, saya terus memakai kelengkapan terutama baju dan seluar untuk casting.
… bersambung
(Oleh: Zulkifle Zul)