Saya memang suka gila makan ikan pari. Masalahnya kekadang terkena jugak ikan pari yang bau hancing. Jadi, boleh tak nak minta petua macam mana nak elak atau hilangkan bau hancing pari?
JAWAPAN:
IKLAN
Memang terencat selera bila dihidangkan dengan pari asam pedas dengan nasi panas tapi bila nak suap ke mulut, bau hancing dari ikan pari tersebut terlebih dahulu menyucuk hidung. Mengapakah perkara sedemikian boleh terjadi? Apakah penyebabnya? Di bawah ini saya senaraikan beberapa sebab yang diperolehi dari beberapa sumber.
Pertama, ikan pari ini sebenarnya macam orang perempuan juga, ia beranak dam bukannya bertelur. Oleh yang demikian, dikatakan ada ketikanya pari ni datang bulan (period). Maka, bila pari ni datang bulan satu badan dia akan bau hancing.
IKLAN
Kedua, ketika menyiang ikan pari pastikan tidak terpotong bahagian pundi kencingnya. Sekiranya terpotong maka satu badan pari akan berbau hancing malah akan lebih teruk daripada bau ikan pari yang period tadi.
Untuk menghindari kejadian ini berlaku maka haruslah bijak ketika memilih ikan pari untuk dibeli. Berikut dinyatakan sedikit tip membeli pari; pertama, semasa memilih kalau boleh pastikan isi ikan pari tersebut tidak berwarna gelap, sebaliknya berwarna cerah.
IKLAN
Kedua, cium terlebih dahulu sama ada bau hancing atau pun tidak. Tidak perlu malu untuk melakukan perkara ini. Ketiga, selepas tangkap atau beli ikan pari haruslah ditelangkupkan badannya. Jangan biarkan ia terlentang kerana sekiranya ia kencing maka tak kenalah pada badannya.
Sekiranya terbeli juga ikan pari yang berbau hancing, ia mestilah dineutralkan dengan bahan asid seperti air perahan limau, lemon, cuka atau asam jawa. Inilah sebabnya kita mesti gunakan asam jawa dan sedikit garam untuk perapkan ikan pari selama 20 minit sebelum masak dan bersihkan dengan membilas air bersih.
Apa teknik memancing terbaik yang boleh dibuat pada waktu malam? Contohnya macam teknik apung menggunakan ikan hidup seperti selar dan kembung? Selain itu boleh tak jigging waktu malam? Atau ada teknik lain yang sesuai untuk pancingan malam?
JAWAPAN:
Memancing pada waktu malam merupakan satu kaedah yang amat saya gemari kerana lazimnya ikan-ikan monster lebih aktif pada waktu malam dan seperkara lagi, cuaca pada waktu malam lebih nyaman berbanding waktu siang. Begitu pun, ada empat kaedah atau teknik yang boleh dipraktikan untuk pancingan malam.
Satu, memancing dengan menggunakan teknik apungan iaitu dengan penggunaan belon, styrofoam atau pelampung komersial. Memancing cara ini di laut dengan menggunakan ikan atau sotong selalunya kita akan dapat ikan seperti ikan aruan tasik, alu-alu, tenggiri, gerepoh dan banyak lagi terutamanya sekiranya kita melepaskan umpan anda lebih kurang 3 – 5 meter di luar kawasan cahaya lampu bot anda.
Dua, memancing dengan menggunakan teknik layang (drift), di mana sebiji batu ladung kecil bersaiz nombor 2 atau 3 dipasang lebih kurang 3-4meter dari umpan sekor ikan atau sotong. Tali utama kemudian di lepas lebih kurang 30-40meter ke dasar laut. Cara ini adalah untuk memancing di kawasan pertengahan air untuk mencari ikan gerepoh, tenggiri, ebek dan pelbagai lagi ikan sukan berada di pertengahan air.
Tiga, teknik jigging sememangnya efektif pada waktu malam. Saya juga suka jigging pada waktu malam di mana saya selalu menggunakan jig jenis lut sinar atau luminous. Cara pergerakan mengarau perlulah pantas atau separa pantas.
Empat, satu lagi cara memancing adalah memancing dasar dengan menggunakan tanduk di mana ladung dibiarkan mencecah dasar laut dan diangkat lebih kurang 1 ke 2 kaki dari dasar. Sekiranya memancing ikan jenahak saya selalunya membiarkan batu ladung mencecah dasar terus. Tali perambut pula lebih kurang 1-2 meter panjang.
Boleh tak admin jelaskan apa yang dimaksudkan dengan kandang sotong?
JAWAPAN:
Jika anda atau sesiapa saja yang pernah pergi mencandat sotong pasti pernah mendengar istilah kandang sotong yang disebut tekong. Kadang-kadang, anda pun tak kisah pun sebenarnya yang disebut oleh tekong, tahu-tahu bila bot berlabuh, terus sahaja hulur mata candat ke bawah dengan harapan berjaya mendapatkan sotong.
Kandang sotong bukanlah tempat nelayan memelihara sotong tetapi ia satu istilah yang digunakan oleh pencandat tempatan bagi menerangkan lokasi sotong berkumpul dan bertelur. Jika sesiapa berjaya menjumpai kandang sotong, maka peluang untuk mendapatkan sotong dalam jumlah yang banyak sangat cerah.
Pada musim sotong antara April hingga Oktober, sotong torak, sotong jarum, dan sotong ketupat akan menghampiri perairan pantai timur untuk mengawan dan bertelur. Selalunya sotong akan memilih kawasan pasir kerana kawasan ini lebih cetek dan cahaya matahari boleh sampai ke dasar laut. cahaya matahari yang cukup dapat membantu telur sotong untuk menetas.
Selepas mengawan dan bertelur sotong mempunyai tabiat makan yang agresif. Sotong yang sudah bertelur kerap menggigit antara satu sama lain. Terdapat tiga cara yang biasa digunakan oleh nelayan tempatan bagi mencari kandang sotong.
Meninjau dengan cara mencandat – Jika terdapat beberapa ekor sotong berjaya di candat, maka bot akan dilabuhkan.
Mencari telur sotong – Cara ini menggunakan candat bersaiz besar untuk mengait telur di dasar laut. Proses dijalankan beberapa kali. Jika terdapat telur yang tersangkut, maka nelayan akan melakukan proses pertama sebelum bot dilabuhkan. Ada juga telur sotong yang dikesan tersangkut pada sauh bot.
Mencari kumpulan pencandat – Cara ini lebih mudah iaitu bot akan bergerak dan menghampiri kumpulan pencandat yang sedang berkumpul. Jika waktu malam kumpulan candat mudah dikesan dengan kehadiran lampu-lampu kalimantang dan sportlight.
Setiap tahun, kawasan kandang sotong akan berubah-ubah mengikut pembentukan serta kehadiran pasir di dasar laut. Walau bagaimanapun, kedudukan kandang tidaklah beralih terlalu jauh. Bagi nelayan yang mahir, mereka dapat mengagak lokasi kandang yang ingin dicari.
Boleh tak admin jelaskan bagaimana caranya untuk casting menggunakan udang mati atau udang kopek? Dan ikan apa yang biasanya makan umpan udang kopek ni?
JAWAPAN
Cara casting menggunakan udang mati atau udang kopek sememangnya sinonim dengan pancingan kolam air masin terutamanya bagi menjerat spesies siakap. Walau bagaimana ia turut berupaya menjerat spesies lain yang terdapat di kolam seperti siakap merah dan juga jenahak. Malah teknik ini juga boleh dipraktikkan di muara atau kuala sungai.
Cara menyediakan udang kopek juga mudah. Biasanya udang yang mati akan dibuang kepalanya dan kulitnya akan dikopek.
Bagi membolehkan udang kopek tersebut kekal lurus (tidak bengkok sebagaimana bentuk asalnya), biasanya pemancing akan membungkusnya dalam keadaan lurus dengan surat khabar dan disimpan di dalam ruang sejuk beku peti ais semalaman.
Apabila ingin menggunakannya, cangkukkan saja mata kail pada bahagian pangkal badannya. Sebaiknya cangkuk sedikit sahaja mata kail pada pangkal badannya agar ia dapat digerakkan dengan sempurna. Selepas itu anda boleh mula mengilat dengan cara lontar ke spot pilihan dan karau perlahan-lahan.
Anda juga boleh guna teknik baling, karau sedikit dan berhenti, kemudian karau perlahan dan berhenti dan seterusnya.
Untuk menambahkan jarak balingan anda boleh menggunakan batu ladung kecil atau batu kapit pada perambut.
Penambahan batu ladung ia juga bagus bagi mempercepatkan jatuhan udang kopek ke dasar bagi memikat ikan yang berlegar di permukaan dasar kolam atau sungai.