Pelari pecut samudera yang tersohor ini dikenali sebagai Ono di Hawaii, manakala Peto di Amerika Utara. Memang sekali pandang, wahoo (Acanthocybium solandri) tak ubah seperti tenggiri batang (Scomberomorus commerson).

 

Yang membezakannya ialah muncung wahoo lebih runcing, potongan badan lebih bersilinder, cabang ekor yang lebih melebar dan sirip dorsal pertama yang lebih panjang serta seragam ketinggiannya (pada tenggiri, sirip dorsal ini meninggi di depan dan menganjur rendah ke belakang)

 

Lazimnya wahoo berwarna biru kehitaman dan semasa hidup, ia mempamerkan jalur menegak yang berombak seperti corak harimau. Paling menggerunkan ialah barisan gigi setajam pisau belit di dalam muncungnya yang tirus itu.

 

Siri Spesies Predator Lautan – Wahoo Si Zebra!!

 

Kebanyakan wahoo yang ditangkap pemancing ialah antara 7 hingga 25kg. Hairannya, spesimen kurang 6kg jarang ditemui.

 

Wahoo gergasi melebihi 40 kg sering ditangkap di perairan Australia dan ia lebih banyak berkeliaran di sekitar kepulauan Fiji, di mana spesimen sehebat 65kg pernah direkodkan.

IKLAN

 

Wahoo boleh ditemui di kawasan lautan tropika, subtropika dan bersuhu sederhana di seluruh dunia. Di Malaysia, spesies ini bersepah di kepulauan Spratly di luar pantai Sabah dan Sarawak.

 

Siri Spesies Predator Lautan – Wahoo Si Zebra!!

 

Wahoo merupakan ikan pelagik lautan terbuka yang menyukai air lautan yang bersih dan biru dengan suhu 21 darjah ke 30 darjah Celcius.

 

Ia jarang dijumpai berdekatan persisiran. Wahoo gemarkan lokasi bertentang jurang karang yang dalam, gunung lautan dan puncak terumbu. Spesimen besar pula lebih suka terasing jauh sehingga melepasi penghujung pelantar benua.

IKLAN

 

Spesies ini disifatkan ganas perangai. Ia berstrategi dengan hanyut perlahan di bawah bayangan dan biasan cahaya gelombang lautan yang hampir di permukaan air.

 

Apabila sampai di jarak yang bersesuaian, ia akan memecut sepantas kilat untuk menyambar mangsanya, dan mengerat ke beberapa bahagian dalam sekelip mata saja.

 

Siri Spesies Predator Lautan – Wahoo Si Zebra!!

 

Mangsanya terdiri dari ikan tongkol, anak belitung, todak dan sotong. Walaupun kerap bersendirian, wahoo juga akan memburu dalam pasukan sejumlah dua hingga berbelas ekor, terutama di kawasan tropika.

IKLAN

 

Biasanya wahoo diperangkap dengan gewang berenang laju seperti skirt dan replika ikan selaman dalam, perambut dawai adalah perlu jika wahoo yang dicari.

 

Namun ramai pemancing agak bernasib baik biarpun berperambut tangsi, kerana taktik ikan ini yang suka membantai mangsanya dari ekor.

 

Siri Spesies Predator Lautan – Wahoo Si Zebra!!

 

Wahoo jarang disasarkan pemancing, sebaliknya ia terkena semasa memburu ikan tuna, mersuji, layaran, tenggiri, aji-aji dan sebagainya. Sebab itulah ia acapkali digelar ikan pengacau.

 

Tetapi wahoo tetap juga dialu-alukan kerana rupa bentuknya begitu menarik, tambahan pula kederasan larian dan keenakan isinya. Parasit besar berbentuk seperti cacing sering dijumpai dalam perut wahoo, tetapi ini tidak mempengaruhi isinya.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI