
Setiap pemancing memiliki jenis ikatan mata kail yang disukai. Kalau dah jumpa satu ikatan yang puas hati dah tak tukar lain lagi dah. Sehinggalah ikatan tersebut menemui kegagalan atau menemui ikatan yang lebih baik.
Kali ini kami nak perkenalkan satu lagi ikatan. Unique outside knot ini merupakan ikatan yang berasaskan simpulan. Semakin banyak simpulan maka semakin kukuhlah ikatannya.
Namun ia lebih sesuai digunakan pada mata kail bercincin atau swivel dan menggunakan kevlar atau perambut tali sulam. Ia kurang sesuai jika menggunakan perambut mono kerana simpulan dan jerutan yang terhasil boleh melemahkan tali.
Tutorial 1
Masukkan tali perambut melalui lubang cincin mata kail dari arah belakang mata kail.
Tutorial 2
Buatkan satu lingkaran dengan hujung perambut berada di atas tali perambut.
Tutorial 3
Selitkan hujung tali ke bawah tali utama dan masukkan ke dalam lingkaran yang dihasilkan tadi.
Tutorial 4
Ulangi tutorial itu sekurang-kurangnya tiga kali. Lagi banyak lagi bagus jerutan yang dihasilkan nanti.
Tutorial 5
Perlahan-lahan tarik hujung tali sehingga ikatan terbentuk. Pastikan simpulan tidak terbelit atau bertindih. Ia akan menyebabkan simpulan akan luka dan akan putus.
Tutorial 6
Kemaskan ikatan yang terhasil agak tidak bertindan atau berketul.
Tutorial 7
Tarik tali utama hingga ikatan rapat pada hujung cincin mata kail. Potong lebihan tali dan ikatan sudah menjadi sempurna.
Korang Tanya Umpan Jawab -S10S27- Teknik terbaik memancing udang galah?

SOALAN:
Saya ingin bertanya tentang memancing udang galah. Boleh tak terangkan teknik-teknik memancing udang galah, umpan yang sesuai dan kawasan persembunyiannya?
JAWAPAN:
Sepanjang pengetahuan dan pengalaman saya memancing udang galah, hanya ada dua teknik sahaja yang dipraktikkan iaitu teknik dasar dan teknik apungan.
Walau bagaimana pun teknik apungan ini hanya sesuai diaplikasikan di kolam memancing udang galah komersial sahaja. Ia kurang sesuai untuk memancing udang galah di habitat asalnya.
Bagi memancing udang galah, teknik dasar merupakan teknik yang paling popular di mana-mana sahaja.
Namun, bersesuaian dengan pancingan udang, peralatan yang digunakan haruslah juga sepadan.
Set pancingan udang galah memerlukan joran rod yang lebih halus dan mata kail khas untuk udang.
Tali utama pula lebih baik jika menggunakan tali sulam atau braided berkekuatan sekitar 6-8lb bagi mengelakkan mudah diputuskan buntal.
Begitu juga dengan bekas tangkapan udang hidup. Pilih dari jenis dawai dan elakkan dari menggunakan jenis benang kerana ia mudah dikerjakan buntal.
Umpan pula anda boleh gunakan cacing, umpun-umpun atau udang beras. Sesetengah lokasi sungai, umpan hirisan ikan, anak ikan gapi atau hirisan jantung ayam yang lebih sinonim dengan pancingan kolam juga boleh digunakan.
Anda juga boleh gunakan hirisan hati lembu, pedal ayam dan sebagainya.
Kawasan memancing udang biasanya tertumpu pada sistem sungai berair payau sekitar pokok nipah sehinggalah ke bahagian air tawar.
Sempadan air ini boleh dilihat dengan hasil pancingan. Jika anda kerap mendapat ikan gelama, itu tandanya air di perairan berkenaan masin dan wajar berpindah ke kawasan yang lebih ke hulu.
Soal Jawab Mancing – Masalah Ikatan Mata Kail Mudah Lucut?

SOALAN:
Saya ada satu masalah yang sering berlaku berulang kali. Saya ingin tahu apakah jenis ikatan tali yang paling sesuai supaya tidak putus. Dan kalau boleh admin berikan faktor yang menyebabkan ikatan sering gagal ketika bertarung dengan mangsa.
JAWAPAN:
Tali pancing adalah penghubung utama antara kita (pemancing) dengan subjek utama memancing iaitu ikan. Ia umpama talian hayat. Jika putus pertengahan jalan ketika bertarung kesudahannya pemancing akan kehilangan hasil dan rasa menyesal tanpa kesudahan.
Seorang pemancing perlu memahirkan diri untuk membuat ikatan yang kemas dan kuat supaya tidak akan menjadi satu penyebab mendatangkan kegagalan.
Perlu diketahui simpulan dan ikatan adalah titik paling lemah pada tali pancing. Ada berpendapat ikatan mengurangkan sehingga 50% kekuatan sebenar tali. Bayangkan ini hanya ikatan belum termasuk ikatan yang terluka, calar, genting dan sebagainya. Kekuatan tali turun mendadak dan terlalu mudah putus ketika bertarung.
Cara terbaik ialah anda perlu cuba pelbagai jenis ikatan dan uji sendiri kekuatan ikatan tersebut sebelum mengaplikasikannya ketika memancing. Di dalam portal Umpan ini kami menyediakan banyak jenis ikatan dan setiap ikatan memiliki kelebihan tersendiri.
Korang Tanya UMPAN Jawab – (S1Q7) – Hukum Pertandingan Memancing? ©

SOALAN:
Apakah hukumnya menyertai pertandingan memancing yang menawarkan hadiah termasuk dalam kategori judi?
JAWAPAN:
Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah dari pengajur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya haram. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini. Pertamanya kerana menyertai pertaruhan,yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.
Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa, “Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).
Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maidah: 90)
Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).
Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam.
Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya).
Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.
Dalam pertandingan memancing atau sebagainya, ada unsur pertaruhan atau jika membabitkan hadiah atau pemberian.
Walau bagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak. Justeru, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:
- Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).
- Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya, “Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku.”
Maksudnya penganjur pertandingan memancing menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.
Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan.
Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.
Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:
- Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
- Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
- Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
- Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
- Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.