
Ikan ketutu dipancing bukanlah disebabkan oleh daya juang sebaliknya disebabkan oleh kualiti dagingnya. Ikan ketutu atau nama saintifiknya Oxyeleotris marmorata merupakan salah satu ikan yang mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran.
Spesies Marble Goby ini mendapat permintaan yang cukup tinggi dalam pasaran, namun dalam sektor akuakultur, ikan ini mengambil masa yang lama untuk membesar.
Ketutu atau haruan ketutu mempunyai mulut yang lebar dan tinggal di kawasan paya, kolam, sungai dan tasik. Dikenali sebagai ikan yang sangat pasif, spesies ini menggunakan teknik menyedut ketika memakan mangsanya yang lalu di hadapannya.
Di sini antara tip dan teknik yang mungkin boleh membantu anda yang berminat untuk memancing spesies ikan ini:
Set pancing
Gunakan set pancing air tawar yang asas dengan kepanjangan rod yang sesuai, tali dan mata kail. Apa yang penting, anda mampu menjangkau spot yang dirasakan terdapatnya ikan ini dengan set pancing anda.
Umpan
Umpan yang paling sesuai ialah menggunakan cacing atau udang kecil kerana kedua-dua ini merupakan diet utama ikan ketutu. Gunakan umpan udang hidup untuk menarik perhatian itu atau pastikan cacing anda meliang-liuk pada mata kail.
Teknik
Ketutu biasanya hidup di kawasan air tenang atau di tempat yang terlindung dengan struktur pada kedalaman sekitar 1-3 meter. Apa yang penting, pastikan umpan anda turun ke dasar kerana ketutu hidup di dasar air.
Guna pelampung untuk lebih mudah melihat sama ada umpan telah diambil ketutu. Jika pelampung tenggelam, biarkan beberapa saat sebelum menarik rod.
Oleh kerana ikan ketutu sangat pasif, pastikan umpan anda diturunkan di spot yang dekat dengan ikan ini.
Cara-Cara Buat Sendiri Penyelamat Gewang (Homemade Lure Retriever) ©

Gewang tersangkut memang mengusarkan kita terutama kaki-kaki casting, apatah jika ia gewang yang baru dibeli (belum kena ikan), gewang yang killer, gewang mahal atau limited edition.
Penyelamat gewang atau Lure Retriever adalah perkakasan yang wajib ada dalam kotak memancing kita.
Selain membelinya dari kedai, ia juga boleh dibuat sendiri sekali gus menjimatkan wang & juga menjadikan kita lebih kreatif .
Barang-Barang Keperluan:
- 2 biji batu ladung buah kana saiz 6 (Untuk lebih berat, boleh gantikan batu ladung bersaiz besar).
- Tali sulam 80lb
- Dawai lembut & dawai keras
- Playar
- Marker pen.
Cara-Cara Menghasilkannya:
Langkah 1
Tanggalkan klip pada dawai keras. Jangan dibuang, akan guna semula. Potong klip berkenaan (rujuk anak panah).
Langkah 2
Gunakan dawai lembut untuk bina model terlebih dahulu.
Langkah 3
Selepas reka bentuk siap, barulah gunakan dawai keras mengikut model yang telah dibuat. Gunakan marker pen sebagai tanda bahagian dawai yang perlu dibengkokkan.
Langkah 4
Masukkan sebiji batu ladung pada kaki pendek.
Langkah 5
Masukkan batu ladung yang satu lagi pada kaki dawai panjang & lipat dawai ikut yang telah ditandakan.
Langkah 6
Betulkan kedudukan dawai yang melintang & cantumkan.
Langkah 7
Tiruskan sedikit pada bahagian muncung (rujuk anak panah).
Langkah 8
Dan sekali lagi di bahagian tengah.
Langkah 9
Lipat hujung untuk dibuat cangkuk.
Langkah 10
Ikat penyambung & batu ladung dengan braided supaya lebih kejap.
Langkah 11
Ambil klip yang dipotong tadi, buang lebihan dawai & bentukan balik gelung tersebut. Boleh juga digunakan untuk ganti klip swivel.
Langkah 12
Ikat klip pada pangkal penyelamat gewang dengan tali braided.
Langkah 13
Aplikasi penyelamat gewang. Sambungkannya dengan tali yang panjang & kuat. Sangkutkan klip & hujungnya pada tali pancing.
Langkah 14
Penyelamat gewang telah pun siap & sedia untuk diuji.
Ikatan Terbaik Mata Kail Jenis Eyeless Hook!!

Ramai yang memilih untuk tidak menggunakan mata kail tanpa lubang cincin (eyeless hook) kerana berhadapan kesukaran untuk mengikatnya dengan kemas. Sebenarnya ada pelbagai jenis ikatan yang boleh dicuba tetapi ikatan knotless knot ini merupakan ikatan terbaik yang telah dicuba.
Cara untuk mengikatnya juga tidak terlalu rumit untuk dipraktikkan. Jom kita buat bersama.
Langkah 1
Terus lekapkan tali pada teras belakang mata kail (tak perlu masukkan ke lubang cincin mata kail kerana mata kail ini tak ada lubang cincin).
Langkah 2
Buatkan satu lingkaran kecil dan pegang lingkaran dengan jari.
Langkah 3
Lilitkan hujung tali pada teras mata kail menghala ke arah hujung teras.
Langkah 4
Teruskan melilit sehingga terhasil 5 hingga 7 lilitan.
Langkah 5
Setelah membuat lilitan terakhir, masukkan atau selitkan hujung tali di antara mata kail dan tali utama (langkah paling betul dilakukan dengan betul kerana ia menjadi kunci ikatan daripada terlucut dari mata kail).
Langkah 6
Setelah itu masukkan hujung tali ke dalam lingkaran yang dihasilkan tadi.
Langkah 7
Tarik hujung tali dan tali utama sehingga ikatan menjadi ketat.
Langkah 8
Tarik tali utama sehingga ikatan merapat kemas pada lubang cincin dan potong lebihan hujung tali.
Kisah Seram Memancing – Jeram Misteri ®

Hampir dua minggu mereka merancang aktiviti untuk memancing di tengah-tengah hutan ini. Semuanya bermula di kedai kopi.
Ketika itu Asri sedang minum bersama nizam dan Foiz. Nasi lemak panas buatan induk senah memang popular di kampung Air Dedali ini.
“Bagaimana, jadi tak rancangan kita?” Tanya Asri. Asri, anak jati Batu Kikir sememangnya gila memancing.
Pantang mendengar ada kawasan baru, pasti dia akan redah pada hujung minggu atau hari-hari cuti untuk memancing di situ.
“Eh, mestilah jadi. Kata kawan aku, kawasan tu memang cantik. Tak ramai yang tahu port ni” jawab Poiz pula dengan penuh yakin.
Nizam hanya mengangguk-angguk macam burung belatuk. Di kalangan mereka bertiga, Nizam memang agak pendiam orangnya.
“Aku tak kisah port ni cantik atau tak. Yang penting, ikan kena banyak. Jadi, tak sia-sialah kita ke sana” Asri memandang Poiz.
“Aku berani jamin hal tu tapi ada satu lagi yang kawan aku cerita tentang tempat ni” ujar Poiz. Kali ini suaranya seakan berbisik.
Nizam dan Asri terpaksa merapatkan kerusi untuk mendengar kata-kata Poiz seterusnya.
“Kawasan tu keras. Kawan aku cakap ada kampung bunian di situ!”. Nizam dan Asri saling berpandangan sebelum Asri bersuara sinis.
“Aku tak hairanlah, sekalipun bapak ada bunian kat situ, yang penting, misi kita terlaksana”.
“Kau ni Asri. Mulut celupar sangat. Cakap nak besar aje. Dibuatnya kita bertembung, mati kita!” sergah Nizam tidak puas hati.
Asri hanya ketawa terbahak-bahak. Sedikit pun dia tidak berasa takut. Bukannya riak, setakat hantu atau bunian, itu perkara biasa baginya.
Bukankah mereka juga makhluk Allah yang sama-sama menetap di muka bumi ini?
Tiba hari yang dirancang mereka memulakan perjalanan. Selepas habis melalui jalan tar, mereka terpaksa melalui jalan tanah merah yang agak berlopak.
Setengah jam berkereta, mereka tiba di perkampungan orang asli dan meminta izin meninggalkan kereta mereka di situ.
Dari situ, mereka terpaksa berjalan kaki merentas jalan denai sejauh tiga kilometer. Selain mereka bertiga, dua orang rakan Poiz yang arif dengan Jeram Banir turut serta.
Mereka bercadang untuk bermalam di situ dan masa diisi sepenuhnya dengan memancing ikan.
Sepanjang perjalanan, Asri asyik bersiul. Entah mengapa, hatinya berasa sangat gembira dan teruja untuk ke Jeram Banir.
Andak Ipin, kawan Foiz sudah beberapa kali mengingatkan Asri agar menjaga pantang larang semasa di dalam hutan terutama bersiul, namun Asri buat endah tak endah saja dengan teguran yang diberikan.
Hampir 45 minit meredah denai , akhirnya mereka berlima sampai ke tempat yang dituju. Sebatang anak sungai mengalir jernih, tenang dan deras dibahagian hilirnya menyambut kedatangan mereka.
Tetapi tumpuan lebih terarah ke kawasan air yang mengalir tenang dan gelap airnya di bawah pokok besar.
“Subhanallah! Cantik betul tempat ni.” puji Nizam sambil berjalan ke gigi air. Dia membasuh mukanya sambil berfikir-fikir lokasi manalah hendak dilabuhkan jorannya nanti.
“Geng, kita pasang khemah dululah. Lepas ni kita cari kayu api dan pasang joran. Mana tahu ada ikan yang menjadi mangsa santapan tengah hari kita nanti” arah Andak Ipin. Semua mengikut arahan Andak Ipin tanpa banyak soal.
Dua buah khemah didirikan tidak jauh dari gigi air. Foiz kemudiannya mencari kayu api untuk dijadikan bahan bakar.
Nizam dan Jimie pula sudah memasang empat batang joran dengan berumpankan perut ayam yang diadun dengan tepung gandum dan juga umpan kelapa sawit peram.
“Ikan apa yang ada di lubuk ni Andak?” Tanya Asri.
“Ikut pengalaman akulah, ada ikan tengas, sebarau, baung dan kelah” jawab Andak Ipin. Mata kail yang sudah dilekatkan umpan dilemparkan ke dalam air.
“Kelah?” Asri tersenyum keriangan.
Ikan kelah adalah raja segala ikan sungai. Ikan ini memerlukan habitat yang bersih, sunyi dan air yang mengalir tenang.
Bukan calang-calang orang dapat menangkap ikan kelah ini! Jam dua petang, mereka sudah berjaya menaikkan tiga ekor ikan sebarau, dua ekor tengas dan lima ekor ikan lampam sungai.
Ikan-ikan itu dibersihkan lalu dipanggang begitu saja untuk dijadikan santapan tengah hari. Aduh, enak tak terkata apabila menikmati ikan segar yang ditangkap sendiri dan dimakan panas-panas begitu.
Menjelang waktu Maghrib, Andak Ipin sudah mula menghidupkan unggun api di tepi sungai. Selain untuk menerangkan kawasan perkhemahan, unggun api juga bertujuan menghalau nyamuk, agas serta menakutkan binatang liar kalau ada.
Namun sesuatu yang ganjil berlaku apabila senja semakin melabuhkan tirainya. Ketika asyik melayan joran yang galak dimakan ikan, satu suara asing menegur dari belakang.
Tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia awal 40-an, bertubuh kurus, tetapi kelihatan pucat dari semak-samun berhampiran.
“Boleh pakcik tumpang berteduh sebentar di sini” jawab lelaki itu dengan ramah. Andak Ipin hanya memandang saja.
Foiz dan Nizam pula bagaikan terkunci mulut. Jimie leka melayan jorannya yang galak dimakan ikan.
“Duduklah encik. Kami pun baru saja sampai petang tadi. Kalau encik nak makan, ada lagi nasi petang tadi. Ikan panggang tu pun ada lagi. Tapi kena cicah dengan air kicap je la” kata Asri menjawab bagi pihak rakan-rakannya.
“Tak takut ke memancing di tengahtengah hutan ni?” lelaki misteri tadi terus menyoal.
“Nak takut bendanya. Bukan ada hantu atau bunian kat sini” lancang Asri menjawab. Andak Ipin menjeling tajam ke arah Asri!
Tiba-tiba guruh berdentum. Daun-daun mula menari di tiup angin.
“Nak hujanlah pulak. Leceh…” rungut Asri. Dia memandang ke tempat lelaki tadi duduk. Berderau darahnya.
Lelaki tadi telah ghaib entah ke mana! Malam itu mereka berlima tidak dapat memancing. Semuanya berkurung di dalam khemah.
Hujan turun mencurah-curah diikuti dengan petir dan kilat sabung menyabung. Selain itu, mereka dapat mendengar pelbagai bunyi aneh kedengaran di sekeliling kawasan khemah. Seperti ada pesta keramaian.
Suara kanak-kanak dan orang dewasa berbual jelas kelihatan. Ini menyebabkan mereka gelisah dan tidak dapat tidur.
Masing-masing enggan membuka mulut, bertanyakan hal yang berlaku, apatah lagi cuba untuk menjenguk apa yang berlaku di luar khemah.
Keesokan harinya, mood memancing seperti sudah hilang. Tepat jam 9 pagi, mereka berlima sudah siap mengemas untuk pulang.
Namun, sampai sahaja ke tempat kereta diletakkan, mereka terperanjat apabila melihat kawasan itu sudah dipenuhi oleh polis dan orang awam.
“Ada apa ni bang?” Tanya Jimie kepada seorang lelaki.
“Ada orang jumpa mayat dalam gaung. Kata polis, mungkin dah 2,3 hari mati kot. Kena bunuh. Ngerilah” jawab lelaki itu bersahaja.
Sewaktu pihak polis mengusung mayat itu, secara tidak sengaja mereka terpandang ke arah muka mayat yang tidak ditutup rapat.
Berderau darah mereka berlima apabila melihat muka lelaki itu saling tak tumpah dengan lelaki asing yang datang berteduh di khemah mereka malam tadi.
Siapa lelaki berkenaan dan bagaimana dia ghaib dengan tiba-tiba serta bunyi aneh di sekeliling khemah mereka terus menjadi persoalan.
Sejak kejadian itu, mereka tidak berani untuk berkunjung ke Jeram Banir. Pengalaman yang dilalui tersebut menyebabkan mereka menjadi serik terutama kepada Asri!!!.