Tidak lengkap ilmu pancingan anda sekiranya sekadar menumpukan pada sesuatu aspek pancingan sahaja.
Walaupun ikan kuku bukanlah spesies popular yang diburu ramai pemancing, namun ia merupakan salah satu cabang pancingan yang ada pengikut dan teknik tersendiri.
Bagi memahami skop pancingan ini saya ke Kuala Pahang, Pekan menyertai ‘komplot nguku’ bersama tim Bream Fishing Malaysia yang diterajui oleh saudara Rosdi.
Pelajaran pertama yang saya pelajari adalah kemahiran imbangan badan berikutan lokasi pancingan adalah di atas batu-batu pemecah dan penahan hakisan ombak di muka kuala.
Ads
Pelajaran seterusnya adalah mengenali spot untuk melabuhkan umpan apabila pantai berbatu itu nanti akan ditenggelami air pasang.
Dan pelajaran terakhir yang paling mudah tetapi paling sukar untuk dilaksanakan, bersabar. Sabar menanti umpan diragut ikan dan sabar menahan peritnya sinar matahri tegak di atas kepala.
Ads
Menggunakan umpan resepi tersendiri oleh Rosdi, pancingan ikan kuku sebenarnya tidaklah terlalu taktikal dan sulit untuk dipratik.
Apa yang sulit sebenarnya ialah setelah ikan memakan umpan dan bertindak balas apabila mata kail tertancap pada mata kail.
Memandangkan spot pancingan adalah kawasan berbatu, pemancing haruslah tangkas bertindak balas dan bijak mengendalikan ikan daripada memutuskan tali pancing dengan menggeselkannya pada batu-batu tajam.
Sebarang kelekaan pasti akan berputih mata. Jika tali pancing tidak putus pula, batu ladung yang digunakan turut berpeluang tersangkut dicelahan batu sehingga menyebabkan ikan berjaya meloloskan diri.
Ads
Dan kejadian yang lebih berpihak kepada ikan ternyata banyak kali berlaku walaupun joran dikendalikan ahli ‘komplot nguku’ yang berpengalaman.
Walaupun dalam komplot ini saya gagal secara mutlak untuk merasai keseronokan melayan tarikan spesies Pasific seabream ini, namun ahli-ahli lain tetap juga berjaya mendaratkan beberapa ekor spesies dengan skala saiz yang agak memberangsangkan.
Sekurang-kurangnya saya berjaya juga menyentuh dan bergambar kenangan dengan spesies yang belum pernah saya pancing sebelum ini.
Setelah lebih setengah hari berpanas ngail ikan kuku di atas batu bersama sembilan orang ahli tim Bream Fishing Malaysia yang akrab dan mesra, kami berjaya juga membawa pulang beberapa ekor kuku, tamok dan siakap merah yang turut mencari makan di habitat ikan kuku.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dalam kunjungan kali kedua ke kawasan Yan, Kedah membolehkan saya mencuba pengalaman memancing di Pulau Bunting.
Ia gara-gara trip casting tenggiri di Tuas terpaksa dibatalkan sejurus hendak bertolak ke sana dari Shah Alam.
Alang-alang sudah tiba di sini, saya mengajak rakan yang juga pemancing tempatan untuk mencuba memancing di Pulau Bunting.
Mujur bila diberitahu Pulau Bunting spot sotong menggabang, saya sempat membawa beberapa ketul gewang candat udang.
Kami mencuba di kawasan spot berbatu di sebelah kanan pulau menghadap Pulau Langkawi. Memang banyak sotong menggabang di sini.
Cuma masalahnya candat perlu dilontar sejauh mungkin kerana sotong tidak berada berhampiran dengan pantai. Jadi terpaksalah mencari kawasan yang lebih bertanjung untuk melontar jauh.
Sotong menggabang di sini boleh tahan juga saiznya, malah ada bersaiz selebar tapak tangan.
Menurut seorang kaki pancing yang ditemui berkata, dia kerap mencari sotong menggabang di sini, jika dapat 3-4 ekor bersaiz tapak tangan sudah cukup untuk dijadikan hidangan keluarga.
Katanya lagi, di daerah Yan ini, sekiranya ingin betul-betul mencari sotong menggabang, lokasi terbaik sebenarnya adalah di Pulau Song Song kerana di sana tekanan kaki pancing tidak tinggi berbanding Pulau Bunting yang mudah diakses kerana adanya jambatan.
Pada sebelah petangnya, saya mencuba pula casting dari tebing terutama di bawah jambatan di bahagian pulau.
Cuma yang banyak hanyalah todak yang mengekori spoon yang diletakkan bulu pada mata kail.
Selain itu, hanyalah ikan kerapu kecil yang menjadi penghibur. Menurut pengamatan saya, kaedah casting mungkin kurang digemari oleh kebanyakan kaki pancing yang datang bertandang ke sini.
Kebanyakannya lebih gemarkan pancingan bottom dan juga teknik surf casting dari atas jambatan.
Majoriti umpan yang digunakan adalah udang hidup, anak belanak selain menggunakan udang kopek dan juga umpun-umpun.
POMPANO PULAU BUNTING
Secara kebetulan semasa berjalan melalui jambatan berkenaan, saya berkenalan dengan beberapa orang kaki pancing lain yang menggelarkan diri mereka Geng Tegar Pulau
Bunting di laman media sosial facebook. Mereka kerap memancing di kawasan ini terutama di bahagian tengah jambatan.
Menurut Rosdi, salah seorang ahli grup berkenaan, jambatan Pulau Bunting telah lama menarik perhatian kaki-kaki pancing dari seluruh negeri Kedah.
Malah ada juga geng kaki pancing dari Pulau Pinang, Perak dan Perlis datang ke sini.
“Di sini, kalau nak ikutkan, hari-hari ada orang datang memancing. Tidak kiralah pagi, tengah hari mahupun malam.
“Kalau ada kaki pancing yang nak balik, tak lama lepas tu mesti ada geng lain yang datang. Seolah-olah macam ada shift pula,”
Katanya yang tidak kisah duduk di atas jambatan berkenaan sepanjang hari semata-mata menunggu ikan makan umpan.
Dalam kunjungan saya ke sini juga, saya menyaksikan sendiri seorang pemancing yang juga rakan kepada Rosdi berjaya menaikkan seekor ikan bawal emas atau turut dikenali dengan nama pinang atau pompano yang beratnya sekitar hampir 5 kg.
Apa yang uniknya semasa menyaksikan pertarungan pemancing dengan bawal pinang ini, mereka telah menggunakan sejenis tangguk khas buatan sendiri untuk menaikkan ikan dari atas jambatan.
Tanpa tangguk berkenaan, agak mustahil menaikkan ikan yang bersaiz besar, pasti akan putus akibat tali akan tergesel dengan permukaan simen jambatan. Lebih-lebih lagi jika terkena ikan pari.
Rosdi sendiri tidak lama kemudian berjaya menaikkan ikan senangin sekitar 1 kg.
Menurutnya yang berasal dari Guar Chempedak ini lagi, bila musim senangin masuk ke kawasan jambatan ini, boleh dikatakan jambatan ini seperti pesta apabila dibanjiri ramai kaki pancing.
Tapi katanya perkara ini tidak akan bertahan lama kerana para nelayan pasti akan melabuhkan pukat berhampiran kawasan jambatan. Akibatnya kumpulan senangin akan berlalu pergi.
Selain ikan-ikan tersebut, Rosdi juga sempat menunjukkan gambar rakan-rakanya dari telefon bimbitnya hasil tangkapan di jambatan dan Pulau Bunting.
Boleh tahan juga, kerana ada tangkapan ikan talang dan juga alu-alu menggunakan gewang dari landbase selain tangkapan ikan yu, kuku, loban, siakap merah dan juga kerapu.
LUBUK MEMANCING & BERNIAGA
Sepanjang dua hari penulis bertandang ke Pulau Bunting ini, terbukti pancingan di jambatan dan juga Pulau Bunting ini cukup mengujakan.
Dengan kedudukan yang strategik, khususnya di kawasan pertengahan jambatan yang lebih dalam ia telah menjadi kawasan laluan ikan-ikan berkualiti.
Untuk yang gemar casting pula, cuba-cubalah untuk ke bahagian pulau. Sama ada untuk casting menggabang ataupun ikan.
Dikhabarkan jika sanggup untuk trekking di bahagian belakang pulau, GT bersaiz 5 kg ke atas mudah sahaja untuk diperolehi jika kena air cantik.
Tetapi bukan perkara mudah untuk sampai ke sana, kerana ketiadaan trek khusus selain ada sahaja perkara mistik yang didengari di sini.
Seperkara lagi, terdapat masyarakat tempatan yang bijak mengambil peluang dengan kehadiran ramai kaki pancing di sini.
Terdapat beberapa gerai menjual makanan dan minuman ringan dibina di pintu masuk jambatan dan juga di bahagian pulau, sekali gus menyenangkan kaki pancing mengisi perut sambil dapat membasahi tekak sepanjang tempoh memancing di sini.
Untuk pengetahuan, kereta tidak dibenarkan melalui jambatan ini, perlu menggunakan motosikal.
Di sini terdapat seorang anak muda, bernama Bob yang membuat perkhidmatan hantar dan ambil kaki pancing yang ingin memancing di hujung jambatan atau di pulau. Cuma telefon sahaja, Bob akan datang ambil semula.
Di sebalik potensi jambatan Pulau Bunting ini sebagai spot memancing, terdapat beberapa perkara yang saya rasakan begitu merugikan.
Saya tertanya-tanya bilakah pihak kerajaan akan membangunkan semula Pulau Bunting ini seperti mana yang mereka rancangkan dahulu.
Dengan kos berjuta-juta ringgit telah dilaburkan, pembangunan yang khabarnya bakal dinikmati oleh masyarakat setempat dan Yan amnya bagaikan terkubur, sama seperti
keadaan jambatan tersebut yang kian usang dan banyak telah rosak, longgokan sampah-sarap terutamanya plastik banyak bertaburan selain ia menjadi gelanggang segelintir mat
rempit berlumba dan juga golongan anak muda yang saya kira masih bersekolah dating di pulau berkenaan.
Apa pun, sepanjang trip singkat saya ke sini telah memberi gambaran bahawa jambatan Pulau Bunting dan pulau itu sendiri memiliki potensi yang besar buat kaki pancing.
Cuma ada baiknya biarlah keadaan di kawasan berkenaan terurus, terutama tiada sisa sampah ditinggalkan sebaik angkat kaki pulang dari memancing.
Program Asean Monsoon Casting Tournament kali ke-10 atau AMCT X Edition 2018, kali ini berjalan dengan jayanya hasil kerjasama padu dari semua pihak yang terlibat dengan
usahasama pihak Pelancongan Terengganu ,Ketengah dan Tourism Malaysia Wilayah Timur.
Hasil perbincangan bersama Pengurus Kanan (korporat) KETENGAH, Haji Asnawi Bin Mohd Amin, beliau amat berpuas hati dengan pendedahan awal program Inap Desa yang ingin
diketengahkan pada masa yang akan datang iaitu program santai minum petang bersama penduduk Kampung Basung.
Asnawi juga bersetuju memberi peluang kepada Sekretariat untuk mempromosi dan menggunakan fasiliti yang ada di Tasik Kenyir seperti Hotel Bajet, Lawit Lodge dan Pulau Petang Resort untuk digunakan pada program yang akan datang.
Wakil dari Tourism Malaysia Terengganu, En. Zulfa mencadangkan Sekretariat meneruskan siri jelajah Tasik (Lake Tour) dalam mempromosi tasik-tasik yang ada di Malaysia dan
secara langsung menarik pengemar-pengemar pancingan gewang pada program akhir Sekretariat di Tasik Kenyir.
Tourism juga bersetuju untuk cuba memasukkan program berkonsepkan `gathering’ iaitu pemancing dalam dan luar negara ini Asean Monsoon Casting Tournament di dalam Kalendar Tourism Malaysia.
Sekretariat MCT juga di maklumlakan bahwa Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju memasukkan program AMCT 2019 sebagai satu acara utama negeri sempena tahun melawat Negeri Terengganu 2019.
Pihak Sekretariat juga juga mendapat berita dari wakil Pihak Korea Sportfishing Association (KSA) dengan kerjasam Mercury Marine bersetuju untuk meneruskan program Anglers Exchange untuk tahun hadapan di Tasik Andong Korea Selatan untuk 8 orang penyertaan.
Pada AMCT 2018 X Edition ini hampir 300 orang terlibat termasuk peserta dari luar negara iaitu Korea, China, Brunei, Thailand dan Singapura.
Hasil tangkapan kali ini juga amat baik kerana tarikh yang dipilih jatuh pada gelombang monsun yang pertama dan ini memberi impak besar kepada Tasik Kenyir yang dimomokkan ketiadaan ikan.
Feedback dari peserta luar amat baik sekali dengan keunikan dan keindahan Tasik Kenyir juga keunikan program memancing yang berkampung di dalam tasik selama 3 hari 2 malam dengan suasana santai dan bersetuju untuk datang lagi ke Tasik Kenyir.
Latar Belakang AMCT
Penganjuran memasuki tahun ke-10 ini bermula pada tahun 2009 dengan penyertaan seramai 22 orang caster terdiri daripada ahli forum memancing Lubuk.Net dan Kaki Ngail
Forum yang bermatlamat mengumpul peminat-peminat gewang (casting) untuk berkongsi pengalaman dan minat. Sempena 10 tahun program ini di namakan AMCT X-EDITION.
Penganjuran acara ini lebih menumpukan kepada sukan memancing dengan berkonsepkan ‘TANGKAP DAN LEPAS’ bagi menjaga kelestarian ekosistem marin dan konservasi di Tasik Kenyir.
Mula menjadi acara tahunan bagi peminat-peminat gewang berkumpul di Tasik Kenyir setiap hujung tahun. Penyertaan program ini mula mendapat perhatian dari kelab-kelab
pemancing dan penyertaan mula berkembang sehingga mencecah ke 350 orang pada tahun 2015 dan menjadi satu program terbesar bagi mengumpul pemancing (gewang) di Malaysia.
Mendapat liputan daripada Majalah Umpan, Majalah Pancing, Majalah Sirip, akhbar Berita Harian, Sinar Harian, Program Jelajah Joran TV3, Majalah 3, Trans7 (Indonesia), Randuk (Astro Awani), RTM dan lain-lain media-media cetak, elektronik selain bloggers.
Bagi mempromosi Tasik Kenyir ,Sekretariat MCT mula mengorak langkah dengan menganjurkan Edisi Sirkit Lake Tour MCT Lake Tour Giant Snakehead Challenge 2015
di Royal Belum Tasik Temenggor di Perak dan MCT Lake Tour Peacock Bass (PB) Challenge 2016-2018 di Kg Beng di Tasik Chenderoh, Perak.
Sekretariat MCT bersama Supratechnic Mercury Marine, Korea Sportfishing Association (KSA) dan dengan sokongan Kerajaan Negeri juga terlibat dengan Anglers Exchange
Program di mana pemancing Korea dan Malaysia dapat menyertai Tournament di antara kedua-dua negara.Ini juga salah satu langkah mempromosi Tasik Kenyir di negara luar.
Semasa ASEAN Monsoon Casting Tournament 2015 hingga 2017, Secretariat MCT telah menjayakan majlis Pelepasan Benih Anak Ikan yang berjumlah kira-kira 95,500 benih
anak ikan terdiri dari spesies yang dibenarkan iaitu temoleh, lampam, kelah, jelawat, kerandang dan sebarau hasil sumbangan Jabatan Perikanan dan individu dari kalangan
pemancing sendiri. Program ini adalah menyokong usaha-usaha Pemuliharaan dan Pemeliharaan (Conservation & Preservation) populasi ikan tempatan.
Objektif
Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi eko pelancongan dan lokasi memancing terbaik di rantau ini dalam mempromosikan Beautiful Terengganu, Malaysia.
Menjadikan acara ini sebagai acara sukan rekreasi memancing (Lure Angling) terbesar dengan penyertaan paling ramai peserta dari dalam dan luar negara.
Sebagai salah satu daripada “destination based event” dalam memperkenalkan destinasi dengan kaedah penganjuran acara pancing teknik penggunaan gewang (umpan tiruan)
bagi menarik lebih ramai pemancing dalam dan luar serta membina rangkaian di kalangan kaki –kaki pengilat atau pancingan umpan tiruan di Malaysia.
Menonjolkan imej Tasik Kenyir sebagai destinasi pilihan generasi pemancing yang sukakan cabaran, meminati alam semulajadi, menjalani kehidupan aktif dan gaya hidup sihat serta
memartabatkan ikan asal Tasik Kenyir yang bernilai dalam sukan memancing seperti sebarau,toman, kelisa, kelah dan lain-lain.
Penganjuran peringkat antarabangsa ini akan membuka landasan ke arah kecenderungan dan minat golongan belia dan remaja berjinak-jinak mengenali sukan memancing dan
memperolehi ilmu dan pengalaman memancing dan etika pemancing dalam menghargai kelestarian khazanah alam semulajadi.
Menggalakan aktiviti gaya hidup sihat melalui sukan rekreasi memancing bersama rakan dan keluarga dan membina rangkaian di kalangan kaki pancing di Malaysia.
Memperkenalkan perkhidmatan, kemudahan dan lokasi memancing yang terdapat di Tasik Kenyir di samping mewujudkan peluang keusahawanan di dalam peralatan dan aksesori memancing kepada komuniti setempat.
Konvoi ke Tasik Kenyir bermula sekitar 10.30 malam dari Kuala Lumpur ke Kuala Berang dan berehat seketika di hentian Temerloh sekitar pukul 12.00 tengah malam bagi
menyegarkan dan membasahkan tekak para pemadu setelah penat menempuh kesesakan di Lebuh raya Karak akibat satu kemalangan jalan raya.
Perjalanan diteruskan dan kami tiba di bandar Kuala berang sekitar jam 7.00 pagi. Setelah segala keperluan seperti bekalan barang basah dan ais dibeli, konvoi terus bergerak ke Pengkalan Gawi di mana House Boat milik Pak Karim sudah sedia menanti kami di sana.
Kegembiraan terpancar di wajah rakan-rakan setelah melihat kebiruan air tasik, maklumlah kebanyakan daripada mereka merupakan pertama kali sampai ke sini. Setelah semua barang diangkut ke dalam boathouse dan kami bertolak sekitar jam 10.00 pagi.
Menurut Pak Karim kedatangan kami tepat pada masanya kerana hujan mula turun dan menaikkan paras air tasik yang mana pada masa inilah ikan-ikan mudik ke hulu sungai untuk bertelur dan ada juga mencari makan.
Sebarau, baung, lampam, toman, kelah, temperas, siakap dan lain-lain galak mencari makan sekiranya hujan lebat yang menurunkan air keruh ke dalam tasik.
Perjalanan dari Pengkalan Gawi ke Sungai Berua yang mengambil masa kira-kira 5 jam memberi kesempatan pada ahli-ahli untuk merehatkan badan dan ada juga yang menyiapkan peralatan memancing bagi memulakan sesi pancingan petang nanti.
Hujan lebat mengiringi perjalanan kami ke destinasi yang dituju dan akibat hujan lebat juga terdapat banyak alur sungai terbentuk sekitar tebing-tebing bukit yang menjadi tempat ikan mencari makan.
Kami tiba di Berua sekitar jam 4.30 petang, setelah bot di parkir, sesi pancingan pun bermula. Ada yang keluar casting di sekitar kawasan berdekatan bersama Pak Karim dan anaknya Yol.
Ada juga yang melayan lampan dan baung di house boat, hasil nya 8 ekor sebarau bersaiz sederhana petang itu berjaya didaratkan melalui kaedah casting.
Pada malam hari sesi pancingan baung bermula. Berbekalkan umpan cacing, banyak baung berjaya didaratkan dan banyak juga yang rabut akibat tarikan mengejut sang baung yang berjaya membawa tali pancing ke celah reba-reba kayu yang terdapat di bawah tasik.
Pada hari kedua, dua buah bot keluar casting seawal jam 6.30 pagi dan yang tinggal di boathouse melayan bottom. Banyak juga hasil yang diperolehi.
Ikan baung boleh dianggap mendominasi tangkapan bottom di boathouse. Hasil casting juga membuahkan hasil yang menggembirakan kerana beberapa ekor sebarau saiz besar berjaya diperolehi.
Pada tengah harinya, kami berpindah lokasi kedua iaitu Lata Sungai Lasir untuk melihat keindahan lata tersebut seperti yang dikatakan sangat cantik.
Kami tiba di Lata Sungai Lasir jam 3.00 petang, malangnya hasrat untuk mandi-manda di situ terbantut dek kerana airnya keruh dan deras.
Sepanjang malam di Lata Sungai Lasir kami hanya melayan bottom dan ada berkongsi pengalaman berbual-bual menceritakan pengalaman masing-masing sambil menghirup kopi ‘O’ panas.
Keesokkan harinya kami bertolak ke jeti Pengkalan Gawi seawal 7.30 pagi dan tiba sekitar jam 11.00 pagi. Kami bercadang akan datang lagi ke sini pada penghujung tahun ini.
Boleh dikatakan, trip kali pertama buat geng ini ke Tasik Kenyir amat berjaya. Selain bertuah ditimpa hujan tanpa henti, hasil tangkapan juga terbaik. Buat ketua kumpulan Erin, tahniah kerana selamat melahirkan cahaya mata yang kedua.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...