Perusahaan mata kail inovatif yang sekarang Eagle Claw dimulai ketika McGill menghabiskan waktu melakukan apa yang paling disukainya, pancingan layang di Sungai Colorado.
Pancingan pagi itu tidak sebagus yang seharusnya, meskipun rainbow trout frenzy, mereka sulit untuk dipancing.
Ketika beristirehat, Drew memerhati dua ekor helang besar berlegar di ruang udara. Salah satu helang perlahan-lahan berputar ke bawah dan mendarat di puncak pohon kapas yang sudah mati, cakar runcingnya yang tajam menembus dengan mudah kayu yang lapuk.
McGill kagum dengan kemampuan helang yang luar biasa menangkap ikan di atas air dan pikirannya beralih ke kekuatan penetrasi cakar mematikan itu, dibandingkan dengan kekuatan penetrasi mata pancing yang beliau gunakan.
IKLAN
McGill tertarik dengan ilham barunya dan merasa terdorong untuk menguji mata kailnya sendiri dengan menyeretnya ke atas tali beg kulit.
Goresan mata kait meninggalkan tanda pada tali beg kulitnya tetapi tidak menembusnya. McGill kemudian menggunakan playar untuk membentuk mata kail agar menyerupai bentuk khusus cakar helang dan menguji pada tali kulit.
IKLAN
Kali ini kait itu menusuk kulit tebal. McGill terus mengubah suai mata kailnya hari itu dan dengan penuh harapan untuk memancing keesokan harinya. Hasilnya McGill berjaya mendaratkan banyak ikan!
McGill tidak tertangguh mereka cipta mata kailnya yang baru dan lebih baik dengan menggabungkan hujung yang tajam dan design melengkung yang terinspirasi oleh cakar helang.
IKLAN
Ketika Wright dan McGill duduk untuk memberi nama produk baru mereka, apa lagi nama yang lebih baik selain Eagle Claw?
Mata kail itu pantas menguasai pasaran berikutan inovasi hebatnya dalam industri memancing selepas ratusan tahun. Itulah kisah luar biasa burung yang membangunkan industri memancing.
NURSYAZANA: Saya mula memancing dari zaman kanak-kanak lagi. Ini kerana ayah saya juga seorang pemancing tegar.
Boleh dikatakan tiap kali ada masa terluang kami sekeluarga akan pergi memancing. Berkahwin pula dengan seorang kaki pancing membuatkan aktiviti memancing terus berjalan sehingga sekarang.
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini berbanding hobi lain?
NURSYAZANA: Bagi saya hobi memancing ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Lebih-lebih lagi bagi wanita. Jadi, ia sangat bagus untuk emosi seorang wanita.
Hobi memancing juga boleh dijadikan riadah bersama keluarga. Ini kerana anak-anak saya juga minat memancing.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi sepanjang memancing dan apa harapan anda untuk meneruskan hobi ini?
NURSYAZANA: Apabila mengikut suami pergi memancing di laut dalam dan pada ketika itu alun di lautan yang agak kuat. Alhamdulillah saya mampu juga bertahan.
Namun ia tidak mematahkan semangat saya sebaliknya memberi keyakinan untuk terus memancing di laut dalam.
UMPAN: Ceritakan pengalaman manis & pahit ketika memancing?
NURSYAZANA: Pengalaman manis saya apabila mendapat kepuasan ketika memancing.
Walaupun terpaksa menunggu berjam-jam lamanya, hasil yang diperolehi itu terasa sangat berbaloi. Kenangan pahit pula apabila tiada rezeki langsung untuk dibawa pulang.
UMPAN: Pencapaian membanggakan dan apa sasaran anda seterusnya?
NURSYAZANA: Pencapaian yang membanggakan apabila group yang suami saya aktifkan mendapat sambutan yang sangat-sangat baik dari seluruh negeri bukan sahaja dari utara tanah air.
Sasaran saya seterusnya adalah untuk mengajak lebih ramai wanita untuk berkecimpung dalam dunia memancing lebih-lebih lagi di laut dalam.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
UMPAN: Ceritakan sedikit sejak bila memancing dan kenapa memilih hobi ini?
AWIE: Saya mula memancing sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Selain memancing, saya juga ada mempunyai hobi yang lain.
Namun memancing tetap menjadi hobi nombor satu. Banyak keistimewaan hobi memancing ini kerana ia mampu menenangkan fikiran di samping berkenalan dengan ramai sahabat pancing baik di dalam dan juga di luar negara.
AWIE: Padang pancing terdekat dengan kediaman saya ialah Laut China Selatan. Kebetulan pula pantainya luas dan banyak spot yang sesuai untuk pancingan pantai.
Justeru itulah saya selesa dengan teknik pancingan pantai atau surfcasting. Kalau tidak salah, sejak dari sekolah menengah dalam tingkatan 4 lagi saya sudah mula terlibat dengan surfcasting ini.
UMPAN: Rintangan dan harapan dalam meneruskan hobi ini?
AWIE: Bila bercakap tentang surfcasting ini ia tidak dapat lari dari pertandingan pancingan pantai. Jika sekadar hobi saja, surfcasting ini hampir tiada sebarang rintangan.
Tapi bila melibatkan pertandingan, macam-macam rintangan yang muncul. Rintangan yang paling menyakitkan apabila ada segelintir pemancing menuduh saya menggunakan ilmu-ilmu salah dalam memenangi sesuatu pertandingan.
Walau bagaimana pun saya tidak pernah patah semangat untuk meneruskan hobi ini malah menaruh harapan tinggi agar surfcasting ini semakin berkembang sehingga Malaysia
berupaya menghantar wakil untuk pertandingan surfcasting di peringkat antarabangsa. Secara tidak langsung ia mengangkat surfcasting sebagai sukan bertaraf dunia.
UMPAN: Boleh kongsikan sedikit pengalaman pahit manis sepanjang hobi ini?
AWIE: Tentu saja pengalaman paling manis ialah apabila berjaya memenangi pertandingan memancing yang menawarkan hadiah tinggi.
Setakat ini saya masih memegang rekod hadiah terbesar dalam surfcasting sebanyak RM102,000.00. Saya juga pernah memenangi pertandingan secara hattrick.
Mungkin inilah puncanya saya menerima pelbagai tohmahan. Dan saya amat gembira apabila kumpulan pemancing yang saya berjaya melakukan kutipan terbesar dalam kategori team iaitu GTB berjaya mengumpul wang berjumlah hampir 500k pada tahun 2017.
Sementara pengalaman pahit pula apabila terlibat dalam dua kemalangan ketika dalam perjalanan menuju ke destinasi pertandingan.
Alhamdulillah saya tidak mengalami kecederaan teruk dan akan terus mewarnai dunia surfcasting tanah air.
Bagi sesetengah kaki pancing baru, tidak berapa mengenalinya. Ini kerana orang yang berbadan kurus dan sederhana tinggi ini cukup merendah diri. Tetapi bagi mereka yang gemarkan pancingan teknik casting dan juga trekking ke hulu-hulu sungai, nama tekong Karim tidak perlu dikenalkan lagi, kerana dia adalah salah seorang tekong tersohor di Tasik Kenyir.
Apa yang menarik tentang dirinya, adalah dia mengenali semua ceruk tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia Tenggara ini. Dia mula bergelumang dengan hutan banat di Hulu Terengganu ini sejak berumur 16 tahun dengan bekerja sebagai buruh Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi (kini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia).
Bahkan, dia begitu arif mengenali nama puncak-puncak gunung yang pernah dia jejaki dahulu di seluruh Tasik Kenyir. Selain hutan di Hulu Terengganu, dia juga pernah bekerja dan tinggal di dalam hutan berminggu-minggu lamanya di hutan negeri Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah.
Tekong Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Satar, 53 berkata dia sedikit pun tidak menyangka bahawa suatu hari nanti kawasan tempat dia membesar dan juga tempatnya mencari rezeki semasa usia muda akan ditenggelami oleh air bagi memberi laluan pembinaan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud.
“Untuk pengetahuan, lokasi seperti Terenggan, Cacing, Mentong, Bewah, Kerbat, Petuang, Belimbing, Petang, Melor dan banyak sebenarnya berasal dari nama-nama perkampungan tradisional di Hulu Terengganu satu ketika dahulu.
“Hanya nama-nama ini sahaja kekal, sedangkan semua kampung-kampung ini berada di dasar Tasik Kenyir,” katanya ketika ditemui semasa kunjungan penulis ke Tasik Kenyir baru-baru ini.
Menurut anak jati Kampung Dura, Kuala Berang ini lagi, dia mengambil keputusan berhenti sebagai buruh lantaran sudah puas bermain dengan hutan. Sebaik sahaja tamat pekerjaan tersebut, dia bekerja sendiri sebagai seorang nelayan sungai dengan menjual hasil tangkapan ikan di pekan Kuala Berang selain mencari anak ikan kelisa dan kelah untuk dijual. Ada kalanya dia mencari kayu gaharu dan madu lebah di sekitar hutan Tasik Kenyir.
Bercakap soal ikan, Tekong Karim memberitahu, ikan di Tasik Kenyir cukup banyak, sehinggakan suatu ketika dulu ikan lain tidak begitu dihiraukan melainkan ikan kelah. “Boleh dikatakan, semua hulu sungai utama di Tasik Kenyir ikan kelah amat banyak, saiznya juga besar-besar. Saya sendiri pernah mendapat kelah hampir 20 kg seekor.
“Masa dulu bukan ada ais macam sekarang. Kalau dapat kelah pun kebanyakannya dijual secara salai kerana jarak perjalanan yang jauh,” katanya yang pernah memperolehi ikan tilan sebesar paha orang dewasa.
Selepas beberapa tahun menjadi nelayan sungai, pada tahun 2005, Tekong Karim mula beralih membawa boathouse selepas diminta oleh rakannya, seorang pesara Perhililitan, Pok Par, juga seorang tekong terkenal di Tasik Kenyir.
“Selepas dua setengah tahun bekerja membawa boathouse Pok Par, saya mengambil keputusan mengikut jejaknya dengan membina sebuah boathouse (no pendaftaran TKP 51) berkongsi modal dengan seorang saudara hasil dari wang simpanan masing-masing serta hasil jualan kayu gaharu,” katanya.
URUSKAN TRIP SENDIRI
Di saat ramai tekong yang sama usianya tidak lagi kerap turun membawa sendiri boathouse ataupun trip trekking, Tekong Karim antara segelintir ‘tekong lama’ yang masih lagi kuat mengerah kudrat membawa sendiri boathouse miliknya selain bertindak sebagai guide untuk trip trekking terutama ke Hulu Sungai Terenggan.
Untungnya, dia kini telah pun ada pewaris untuk meneruskan pekerjaannya membawa boathouse, iaitu anaknya Mohd Nazrul Hidayat (Yo) yang bertindak sebagai pembantunya setiap kali ada trip memancing.
Ujar ayah kepada enam cahaya mata ini, sukar untuknya meninggalkan pekerjaan yang diminatinya buat masa kini, lebih-lebih lagi dia akan berpeluang untuk turun casting bersama kaki pancing setiap kali khidmatnya ditempah pelanggan.
“Dahulu saya memang tak suka langsung casting, tetapi bila Baharom (Tekong Siam) ajak saya sama-sama casting, terus ia melekat hingga ke hari ini. Bila sebarau, badong atau toman besar menyambar gewang, itulah saat yang paling menyeronokkan bagi diri saya.
“Untuk trip trekking pula mencari kelah, setidak-tidaknya ia dapat mengimbau kenangan saya tinggal berminggu-minggu di dalam hutan semasa usia muda dahulu,” katanya yang bergelar datuk kepada dua orang cucu.
Ceritanya lagi, pernah satu ketika dia dan lima orang rakannya sekerjanya terputus bekalan makanan sehingga terpaksa keluar berjalan kaki 2 hari menuju ke Sungai Sephia, Hulu Tembeling, Pahang untuk mendapatkan bekalan makanan sebelum berjalan kaki 2 hari lagi menuju semula ke Hulu Terenggan.
Mengimbau kenangan pahitnya sepanjang dia bergelumang dengan Tasik Kenyir, Tekong Karim memberitahu dia pernah membawa boathouse tengah malam pulang ke Jeti Jenagor gara-gara ada seorang kaki pancing sakit asma yang teruk.
“Bukan perkara mudah membawa boathouse bergerak pada waktu malam, ia cukup berisiko tinggi kerana tidak nampak benda di hadapan, terutama tunggul atau balak hanyut. Syukurlah, segalanya selamat dan dua kali kes tersebut berlaku,” jelasnya lanjut.
Perkara yang paling tidak dapat dilupakannya sehingga ke hari ini adalah, dia pernah menyelam ke dasar Tasik Kenyir sedalam 150 kaki menggunakan tong gas bersendirian gara-gara untuk mencari dan mengambil semula enjin bot sangkutnya yang terjatuh.
Disebabkan keberaniannya itu jugalah, Tekong Karim kini orang yang akan dipanggil untuk mendapatkan khidmatnya oleh rakan-rakannya jika berlaku kes seperti itu.
“Sebagai seorang tekong, saya harus sentiasa bersedia berhadapan risiko dan mesti berani. Dalam masa yang sama, kepuasan hati pelanggan perlu dijaga. Ada masanya trip memancing dapat ikan banyak, ada masanya kurang. Itu semua rezeki datangnya dari Allah,” katanya lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...