Industri perikanan rekreasi tanah air melangkah setapak lagi kehadapan apabila pusat pengajian tinggi, Universiti Malaya membuka pintu kepada pelajarnya untuk mendekati aktiviti sihat dengan menganjurkan bengkel asas dan mini pertandingan memancing.
Bengkel Asas Kemahiran Asas 2018 Universiti Malaysia anjuran Unit Sukan Dan Rekreasi, HEPA UM.
Bengkel asas kemahiran memancing ini mendapat sokongan penuh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
Encik Rahimi Abdul Rahman, Pegawai Belia dan Sukan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyampaikan cenderahati kepada ketua tutor.
Program selama dua hari (bengkel pada hari pertama dan mini pertandingan memancing pada hari kedua) ini berjaya dilangsungkan hasil kerjasama erat Expert Graphite.
Bengkel ini dilangsungkan di Auditorium Perdana Siswa & Tasik Varsiti, Universiti Malaya ini
Ads
Menurut Johari Jamil, President E.G.A.C. dan Head Field Tester Expert Graphite, yang bertindak sebagai tutor utama dalam bengkel ini, maklumat utama bengkel adalah untuk
melahirkan pemancing-pemancing sukan generasi baharu yang berpengetahuan, mahir dan paling utama BERETIKA.
Johari Jamil bersemangat menyampaikan tutorial
Walaupun lebih memfokuskan sukan memancing atau sportfishing, beliau tetap tidak mengetepikan teknik pancingan konvensional.
Dalam tutorial ringkas itu beliau berjaya merangkum kesemua terma, segmen, teknik dan peralatan memancing yang diaplikasikan di Malaysia.
Ads
Sesi seterusnya, Tengku Izzudin Tengku Ismail atau lebih dikenali Guv’nor, Presiden Malaysian Coarse Fishing Association (MCFA) berkesempatan untuk memperkenalkan
terma memancing yang begitu popular di kebanyakan negara Eropah tetapi kurang pendedahannya di negara kita, iaitu coarse fishing.
Kelas coarse fishing oleh Guv’nor
Ads
Selepas rehat tengah hari, para pelajar atau peserta bengkel didedahkan pula dengan aktiviti luar yang dilangsungkan Tasik Varsiti.
Pada sesi ini para pelajar berpeluang belajar secara terus cara-cara menggunakan kekili menegak atau baitcaster dari tutor-tutor merangkap field tester hebat dari Expert Graphite
dan Eupro International. Pada masa yang para turut diberi tutorial ikatan-ikatan pancing serta demontrasi course fishing.
Selain pulang dengan ilmu-ilmu memancing yang diperturunkan, para serta bertuah turut pulang dengan peralatan memancing yang dimenangi dalam acara cabutan bertuah.
GALERI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kunjungan kami ke utara tanah air bagi trip memancing kali ini adalah hasil kerjasama Shahril dengan bantuan tekong tersohor, Mad Krie.
Hasrat mencari ikan-ikan pelagik yang sedap isinya ini telah lama kami rindukan rasa tarikannya.
Aktiviti awal pagi dimulakan dengan unjunan apollo mencari umpan. Tekong menyuruh untuk mencari borek. Borek merujuk kepada ikan termenung borek.
Ikan borek adalah salah satu umpan paling digemari pelagik utama yang kami cari iaitu tenggiri.
Sedang masing-masing sibuk mencari borek, keheningan pagi dipecahkan dengan jeritan drag Daiwa Exceler milik Shahril.
“Negro hitam!” kata tekong.
Kami segera faham apa yang dimaksudkan oleh tekong. Apa lagi kalau bukan si layaran punya angkara. Hampir habis tali dalam gelendong dihenjutnya.
Saya bergegas ke belakang bot membantu tekong mengawal ikan. Beberapa gelekan akrobatiknya gagal untuk meloloskan dirinya yang terjerat.
Mood pagi diserikan dengan sesi foto ringkas ikan ikonik ini beramai-ramai. Walaupun ikan ini dianggap pengacau terutamanya oleh pemancing tenggiri , namun keseronokan menariknya memang dinantikan. Ikan ini kami lepaskan semula.
Kami meneruskan aktiviti mencari cencaru kuda pula. Acara wajib mengunjun apollo yang memang tak boleh dilepaskan di unjam.
Jeps pula lebih selesa menggunakan micro jig. Teknik berbeza namun target yang sama.
Suasana mula riuh apabila cencaru kuda mula menyerang. Saiznya pula agak kasar. Walaupun sekali yang naik seekor dua sahaja sudah cukup memadai kerana saiznya yang agak kasar.
Jika lambat menaikkannya kadang kala bersimpul apollo dibuatnya.
Sekejap sahaja tong Coleman kami dipenuhkan dengan ikan ini. Saya juga berjaya menaikkan cencaru bersaiz hampir dua jengkal dewasa. Agak kuat tarikannya. Selain cencaru , kerisi juga banyak bermain di sekitar unjam.
Selepas beberapa jam menunggu, tenggiri mula menjengah umpan kami. Teknik hanyutan belon mula menampakkan hasil.
Jeritan drag disambut sejurus tekong mengatakan mangsa adalah tenggiri. Kawalan berhati-hati dari Zubir yang membantu tekong akhirnya menghasilkan rezeki yang bersaiz sederhana.
Ikan mula bermain disekitar bot. Kami terus menunggu sambil terus mengunjun apollo. Memang seronok melayan apollo secara berjemaah di atas bot.
Jeps pula yang gemar menggunakan teknik micro jig mendapat bonus sejurus jignya disambut ikan belitung.
Namun alun yang agak kuat menghadkan aktiviti kami. Manakan tidak, saya sendiri beberapa kali hampir terjun ke laut bahana alun kuat ini.
Dua ahli komplot juga terpaksa berehat lantaran sedikit pening dek alun yang kuat ini.
Sebelah petang sekali lagi drag menjerit menandakan seekor lagi tenggiri menghentam umpan borek. Saiz kali ini agak kasar membuatkan kami lebih gembira.
Selain ikan target, ikan gerut-gerut juga berjaya kami dapati di sini. Asalkan rajin dalam memancing, pasti akan ada hasilnya.
Seperti mana-mana trip, kami juga tak terlepas dari mengalami situasi rabut. Ini juga terjadi pada kami bila mana beberapa sambutan kasar yang didapati berjaya meloloskan diri.
Selain faktor kesilapan, faktor nasib juga sebagai penentu. Perkara ini biasa kata tekong.
Untuk trip kali ini sahaja hampir enam kali tenggiri gagal dinaikkan. Namun kami puas hati kerana masih ada spesis lain sebagai penggantinya.
Syukur… peti Coleman dapat juga dipenuhkan dengan pelbagai ikan hinggakan berlebihan. Tuas Payar memang terbaik.
Kunjungan saya di Tikam Batu, Sungai Petani disambut gembira oleh Addin, sahabat saya dan keluarganya. Bagaikan menyambut ketibaan VVIP pula rasanya. Hati pula semakin berkobar-kobar hendak memancing apabila makan tengah hari pada hari itu disajikan dengan hidangan ikan belida goreng.
Setelah berehat sehari, keesokan paginya awal-awal lagi saya mengatur misi memancing belida. Misi mencari belida disertai Addin, Hasmida dan ahli keluarganya. Sebelum menuju ke lokasi ban yang pertama, kami terlebih dahulu mencari umpan yang dikatakan amat efektif untuk belida di sini iaitu anak ikan seluang.
Rupanya begitu mudah mendapatkan anak ikan seluang di sini. Hanya perlu gunakan penyauk dan sauk sahaja di tepi-tepi rumput di tepi tali air yang ada di sini.
Sebelum keluar memancing pagi ini, saya sempatlah meminta tip memancing belida daripada Pak Hassan iaitu bapa kepada Hasmida. Menurut Pak Hassan, untuk memancing belida di sini, perlu gunakan mata kail bersaiz kecil.
Jika menggunakan mata kail yang lebih besar, langsung tidak mahu dijamahnya. Tambahnya lagi, teknik yang biasa digunakan adalah bottom ataupun menggunakan pelampung. Kedua-dua teknik ini memang berkesan dipraktikkan di sini.
“Waktu yang terbaik untuk memancing belida di sini adalah pada awal pagi, lewat petang dan pada sebelah malam,” katanya.
Lokasi pertama kami pagi ini ialah di Ban Kampung Pokok Kabu. Lokasi ini dikatakan antara spot terbaik menjerat belida. Jelas Hasmida, di sinilah kawasan yang menyambungkan air dari Sungai Muda ke ban-ban yang ada di sekitar Tikam Batu ini.
Pada awal kedatangan kami lagi kami sudah disambut meriah penghuni ban ini. Mana tidaknya, kami disajikan dengan satu persatu kocakan air yang menandakan ikan sedang aktif. Tanpa membuang masa, kami terus mempersiapkan peralatan memancing kami.
Setelah melabuhkan umpan, kami terus dengan sabar menunggu ikan menjamah umpan. Belum pun 10 minit menunggu, umpan telah disambar. Namun nasib tidak menyebelahi kerana spesies yang dipercayai belida itu bijak melarikan umpan anak seluang yang dihulur.
Tidak lama selepas itu satu persatu joran disentuh sang ikan. Namun, kejadian sama masih berulang, iaitu ikan lebih pantas melarikan umpan. Tertanya-tanya juga di mana silapnya? Namun, kami tetap tidak berputus asa.
Menjelang 10 pagi kami dikejutkan oleh jeritan Nana, anak Pak Hassan yang memancing berhampiran jambatan. Meliuk lentuk rod teleskopik yang kerap digunakan untuk mengail ikan puyu ditarik sang belida. Pak Hassan yang ada berhampiran tampil memberikan bantuan. Akhirnya tewas seekor belida berskala 600 gram.
Menjelang tengah hari, ikan semakin culas memakan umpan. Oleh sebab yang demikian kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah berehat dan kami merancang untuk menyambung semula aktiviti kami pada sebelah malam.
Setibanya di lokasi yang sama seperti pagi tadi kami dikejutkan dengan jaring yang dipasang merentasi ban tersebut. Bukannya satu sahaja jaring yang dipasang, malah di sepanjang ban ada sahaja kelibat pelampung jaring. Sakitnya hati melihat kerakusan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memasang jaring di sini.
Bukannya apa, bagi penulis, baik ban, sungai, mahupun pantai, semuanya untuk kita kongsi bersama. Janganlah kerana dek ketamakan menjadikan manusia itu hilang kewarasan untuk mengaut semua hasil yang ada.
Disebabkan jaring itulah, ikan dikhuatiri telah menjadi culas. Hingga ke jam 12 tengah malam langsung tiada getuan sang ikan, meskipun kami melabuhkan joran agak jauh dari lokasi jaring tersebut.
Keesokan pagi, awal-awal lagi kami dikhabarkan dengan berita ada penduduk kampung yang berjaya menaikkan 6 ekor belida berskala 1 – 3kg pada malam tadi!
Terpinga-pinga kami dibuatnya. Iyalah, mana sahajalah lubuk yang diteroka oleh penduduk kampung ini? Kami yang kumpau teruk semalam terus membayangkan masih ada sinar untuk kami mendapatkan belida.
Hari kedua, saya bersama rakan cuba untuk meneroka ban-ban lain yang ada di sini. Berbekalkan lubuk rahsia yang diberitahu penduduk kampung, kami terus mengatur perjalanan ke sana sambil mencari potensi lubuk yang lain. Lepas Maghrib kami sekali lagi mencuba ke lokasi yang dimaksudkan.
Di sini, setelah hampir 2 jam menunggu, hanya getuan daripada ikan kecil sahaja yang mengganggu. Namun tetap gagal dan ada kalanya langsung tiada getuan yang diterima dalam tempoh yang agak lama. Oleh sebab itu, kami mengambil keputusan untuk bertukar lokasi.
Kali ini kami memilih lokasi betul-betul di atas jambatan. Pak Hassan yang awal-awal lagi tiba di lokasi ini terus menghulurkan tali koyan yang menggunakan pelampung dan berumpankan anak seluang.
Belum sampai 5 minit di situ, kami dikejutkan dengan jeritan Pak Hassan yang menyuruh kami mengambil tangguk. Rupa-rupanya pelampung yang dihulurkan betul-betul di bawah jambatan telah dilarikan sang ikan.
Tanpa membuang masa Pak Hassan terus menyentap tali koyan itu. Apa lagi sang belida terus menarik tali itu ke tengah. Tidak lama selepas itu dapatlah kami saksikan ikan itu melakukan lompatan akrobatik di tengah ban.
Melihat kelibatnya sahaja kami sudah tahu ia belida bersaiz besar! Namun begitu, ekoran daripada lompatan itu akhirnya ikan tersebut berjaya memuntahkan kembali mata kail yang mungkin tidak tertancap kemas di mulutnya. Hampa kami dibuatnya.
Namun, menjelang tengah malam, berjaya jugak rakan saya Addin menaikkan seekor belida berskala hampir sekilogram di sini.
“Jadilah, daripada takde langsung”, kata Pak Hassan berseloroh.
Ekoran trip sebelum ini yang hampir menemui jalan buntu, kami masih tidak berputus asa untuk mencari lubuk berpotensi. Akhirnya setelah recce punya recce, kami jumpa satu lubuk yang agak berpotensi untuk pancingan belida. Pada petang itu, kami saja-saja mencuba nasib untuk memancing di lokasi itu.
Di sini kami masih lagi membawa bekalan anak seluang hidup, di samping cengkerik dan dedak untuk memancing lampam. Saya yang hanya cuba-cuba mengail lampan merasa juga menaikkan seekor lampam bersaiz juvenil.
Menjelang lewat petang kami dikejutkan lenturan kuat pada joran yang berada betul-betul di tepi empangan.
Athirah yang berada berhampiran terus menyentap dan dapat kami lihat lenturan yang agak kuat di hujung jorannya. Namun, belum sempat berbuat apa-apa ikan tersebut berjaya meloloskan diri.
Atas sebab itu, kami bercadang untuk repeat lagi pada malam ini. Pada malam ini kami amat berharap tuah menyebelahi kami. Kami sedikit kecewa apabila tiba di lokasi dan mendapati pintu empangan dibuka dengan luas. Disebabkan ini arus di ban ini akan menjadi lebih kuat. Jadi kami mengambil keputusan untuk memancing di kawasan yang jauh sedikit dengan empangan itu.
Ternyata nasib kami berubah pada malam ini apabila joran Pak Hassan disambar kuat penghuni ban. Tanpa membuang masa beliau terus menyentap joran yang ada di sisinya. Serentak dengan sentakan itu, dengan jelas kami nampak kelibat belida melompat dari air untuk meloloskan diri. Kali ini kami lebih bersedia. Pak Hassan berhati-hati melayani spesies yang terkenal dengan daya juang yang tinggi ini.
Setelah hampir 5 minit melayan, akhirnya ikan dengan skala 2 kg ini berjaya juga disauk. Terpancar kegembiraan di wajah semua. Di lubuk ini sahaja lebih banyak sambaran yang kami terima. Ternyata ikan belida ini terlalu bijak melarikan umpan terutamanya daripada sang juvenil. Menjelang jam 3 pagi akhirnya kami mengambil keputusan untuk menamatkan aktiviti memancing.
Aktiviti memancing di gugusan terumbu karang di perairan Rompin hingga ke Pekan, Pahang sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Berakhir saja monsun di pantai timur sekitar bulan Mac, maka berduyun-duyunlah bot sport fishing yang berpengkalan di Kuala Rompin, Merchong dan Pekan mendatangi gugusan karang luas di Laut China Selatan ini.
Aktiviti memancing akan kian meriah apabila spesies yang menjadi ikonik Kuala Rompin, ikan layaran mula memasuki perairan ini sekitar bulan Julai sehinggalah tutup kuala apabila monsun tiba sekitar bulan November.
Hampir setiap tahun, saya tidak pernah gagal untuk hadir di perairan Rompin ini sama ada menggunakan khidmat bot memancing yang berpengkalan di Kuala Rompin, Merchong atau pun Pekan, Pahang.
Kali ini, trip memancing ke perairan Merchong ini agak istimewa kerana buat pertama kali berpeluang mendapatkan khidmat tekong yang cekap, yang juga merupakan seorang rakan baik.
Tekong Krel Nazri sebenarnya bukanlah nama baru dalam dunia memancing. Sebelum berkecimpung sebagai tekong sepenuh masa, beliau sudah dikenali sebagai seorang pemancing handalan dan disenangi ramai.
Bot yang berpengkalan di jeti Chalet Kg. Merchong, secara tidak langsung memudahkan para pemancing yang bakal turun memancing. Khususnya melibatkan urusan logistik, penginapan dan makan minum.
Ini kerana jetinya betul-betul terletak bersebelahan dengan chalet penginapan, Chalet Merchong.
Selaku tekong yang berpengalaman, Krel Nazri terlebih dahulu memaklumkan kepada kami keadaan hasil pancingan semasa.
Berikutan hasil tangkapan yang agak kurang memberangsang, dan ramai pengusaha bot memancing tidak turun ke laut membawa pemancing, kami diberi peluang untuk menangguhkan trip ke tarikh lain.
Namun kami sepakat sekata untuk turun juga dan sedia menerima apa juga hasilnya nanti. Sebab kalau ditunda, belum tentu kami dapat turun bersama dengan jumlah ahli yang sama.
Bot yang membawa maksimum 6 pemancing ini ternyata begitu selesa dan stabil.
Berbekalkan sedikit udang hidup dan umpan ikan hidup, Krel Nazri membawa kami untuk merasai kejituan tarikan ikan yang lazimnya berada di bawah apungan sampah.
Namun di perairan Merchong, ikan ini turut mudah ditemui di beberapa kawasan unjam.
Setelah hampir 20 ekor pecah periuk atau triple tail berjaya dipungah, kami beralih ke unjam laut pula.
Meskipun sudah dinyatakan kami turun tatkala musim `ikan sakit’ namun hasil jigging, casting, apollo dan menghanyutkan umpan ternyata kan merangsangkan juga.
Hanya kemenangan lebih berpihak kepada tenggiri yang bijak memutuskan jig dan gewang yang kami gunakan.
Namun, dengan hasil pancingan apollo dan mencandat sotong mengabang sudah cukup menggembirakan kami.
Selain hampir 20 ekor pecah periuk, kami turut membawa pulang sekitar 40 ekor sotong mengabang dan sotong torak serta ikan selar yang kasar-kasar untuk dijadikan juadah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...