Ada juga kategori pemancing yang mahu menangkap ikan dengan banyak. Saiz bukanlah ukuran, yang penting ikan yang didaratkan adalah dalam jumlah yang banyak. Mereka tidak pentingkan spesies, asalkan yang boleh dimakan atau dibawa pulang. Sementara itu, ada juga dikalangan mereka yang mahukan ikan yang banyak, tetapi membawa pulang hanya beberapa ekor sahaja (mungkin bawa pulang 2 atau 3 ekor), yang selebihnya dilepaskan semula ke dalam air.
Mereka dalam kategori ini adalah pemburu ikan yang sebenar. Mereka hanya inginkan ikan bersaiz mega. Peralatan memancing yang digunakan juga merupakan yang kuat, tahan lasak dan biasanya berjenama. Mendapat ikan yang besar merupakan ganjaran paling tinggi yang ingin dicapai oleh pemancing kategori ini.
Ads
Pemancing dalam kumpulan ini adalah sangat spesifik. Mereka memancing hanya untuk mendapatkan spesies tertentu sahaja. Sebagai contoh pemburu toman atau pemburu kelah. Mereka ini sangat spesifik, bukan sahaja dari segi spesies yang dimahukan, malah peralatan dan kelengkapan juga adalah yang khusus untuk menangkap spesies tertentu sahaja.
Mereka juga arif dan mahir dengan selok belok habitat atau lubuk bagi spesies buruan. Mereka ini biasanya terdiri dari golongan ‘pemancing veteran’, iaitu mereka yang telah lama memancing, berpengalaman serta mempunyai pengetahuan luas dalam aktiviti memancing. Kadangkala, mereka melepaskan semula ikan yang ditangkap ke habitat asal.
Ads
Sudah pasti, pemancing keluar memancing bukan hanya dengan satu tujuan atau matlamat. Sebaliknya, mereka memancing dengan pelbagai tujuan dan kadangkala tujuan mereka boleh menjadi begitu kompleks.
Oleh itu, tujuan memancing bagi kebanyakan pemancing boleh dikatakan mempunyai unsur ‘kombinasi’ kepada kategori yang dibincangkan di atas. Tambahan pula, manusia ini berubah-ubah, ada waktu kita mahu bersendirian, ada waktunya kita mahu bersama keluarga.
Begitu juga, ada waktu kita mahu menangkap ikan yang banyak, ada waktunya kita tak kisah dengan hasil tangkapan. Malah, tujuan memancing juga dipercayai berubah mengikut ‘situasi’ dan ‘lokasi’. Jika memancing di waktu hujan, tujuannya mungkin berbeza dengan memancing di waktu panas.
Begitu juga jika memancing di atas bot, tujuannya mungkin berbeza dengan memancing dari tebing. Pendek kata, pemancing merupakan insan yang mahukan kelainan dan kepelbagaian dalam mencari ‘keseronokan’ dan ‘kepuasan’ semasa memancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Tasik ini merupakan tasik buatan manusia kedua terbesar di Asia Tenggara. Lokasi ini merupakan kediaman kepada pelbagai spesies ikan air tawar dan kehidupan liar eksotik sehingga membuatkannya terkenal sebagai ‘port’ untuk kaki pancing. Tasik ini dinilai sebagai antara tarikan pelancong yang terbaik buat pencinta alam semulajadi, penggemar memancing dan juga jurugambar.
Tasik Temenggor, Perak
Tasik buatan manusia terbesar di Perak ini merupakan lokasi sesuai untuk pencinta alam sekitar kerana dikelilingi keindahan flora dan fauna. Jika anda mahu memancing ikan air tawar seperti kelah, sebarau, toman, baung, tenggalan, sinilah lokasi yang patut dituju sepanjang percutian nanti. Selain itu tasik-tasik yang berkesinambungan dengan Tasik Temenggor seperti Tasik Bersia, Raban dan seterusnya turut sama wajib dikunjungi.
Tasik Bera, Pahang
Tasik semulajadi yang terbesar di Malaysia ini merupakan salah satu destinasi tasik buat kaki pancing. Tasik Bera menawarkan perkhidmatan bermain perahu, berkayak, memancing dan merentas hutan. Bulan-bulan hujan yang lembab dari April hingga Mei dan dari September hingga Januari menawarkan penggemar-penggemar memancing masa yang terbaik untuk menebarkan joran-joran pancing anda. Anda boleh dapat banyak ikan selepas hujan lebat.
Tasik Chini, Pahang
Memandangkan ada sebanyak 144 spesies ikan air tawar yang ada didapati di tasik ini, ramai pelancong yang mahu memancing sambil menikmati keindahan flora yang jarang ditemui akan memilih tasik ini sebagai percutian yang tidak boleh dilupakan. Namun, tidak semua kawasan di sini anda boleh terus datang untuk memancing. Untuk info, boleh rujuk pegawai yang bertugas di sekitar kawasan itu terlebih dahulu.
Tasik Beris, Kedah
Tasik buatan yang terletak di utara Malaysia ini terhasil dari pembinaan empangan Beris pada bulan Ogos 2010. Persekitaran yang berbukit, pemandangan yang cantik dan udara yang segar membuatkan suasana tenang. Untuk mengelilingi di sekitar tasik, bot sewa ada disediakan untuk pengunjung. Tasik ini merupakan pilihan kaki pancing kerana terdapat beberapa kehidupan air tawar seperti toman, siakap, lampam, baung dan tilapia.
Apabila memburu toman di Air Ganda, saya lebih suka berkunjung ketika air rendah. Kandungan oksigen yang kurang menyebabkan toman lebih kerap timbul mengambil udara.
Struktur seperti tunggul kayu mati, reba, rimbunan ranting serta kayu tumbang mudah ditemui, yang mana di sini kebiasaannya toman bersembunyi.
Namun kunjungan kami kali ini ketika air tinggi. Struktur di bawah air tidak kelihatan. Tekong menyasarkan kawasan ‘highway’ sebagai medan tempur.
Sekitar 45 minit perjalanan dari jeti, tekong memperlahankan enjin sambil memerhati keadaan sekeliling.
Bila sudah hampir dengan kawasan lubuk toman enjin dimatikan dan tekong berdayung secara perlahan-lahan.
Setelah gewang keramat disemat ke hujung leader pemancing perlu bersiap sedia dalam keadaan berdiri.
Dengan set pancing digenggam kemas di tangan, mata serta telinga perlu peka dengan bunyi kocakan air di mana toman meneguk udara.
Pemancing yang mampu menghantar gewang dengan tepat lagi pantas mempunyai kelebihan mendapat lebih sambaran.
Panjang joran tidak menjadi masalah kerana memancing menggunakan bot. Acap kali juga toman timbul hanya beberapa kaki sahaja dari bot.
Kekuatan joran serta kuasa tuilan yang mantap lebih perlu dititik-beratkan agar mampu mengekang larian sang toman sebelum menyusup ke bawah struktur.
Ketika air tinggi struktur di dalam air yang tidak kelihatan boleh menyebabkan bot terlanggar tunggul.
Walaupun ada penduduk kampung yang menyewakan bot dan pemancing boleh pandu sendiri tapi lebih selamat jika menggunakan khidmat tekong yang tahu selok-belok di sini.
Keadaan tasik ini juga tidak kurang berbelit-belit. Waktu pergi nampak macam OK, tapi bila menghala balik akan celaru mana satu simpang yang harus dilalui.
Saya bertanya pada tekong, Pak Usop, antara air tinggi dengan air rendah, mana yang lebih efektif untuk menoman di sini. Ini jawapan beliau…
“Kalau air tinggi… lama-lama toman kurang galak. Air rendah lama-lama pun sama. Dia lepas air naik atau air baru lepas surut, masa tu toman galak”.
GEWANG PILIHAN
Mengilat toman menggunakan gewang permukaan amat mengujakan. Pencil, popper, jump frog serta buzz bait pasti mendapat tempat di dalam kotak gewang.
Namun begitu gewang selaman perlu dibawa bersama, sama ada selaman cetek mahu pun dalam. Bila mana toman kurang berselera dengan gewang permukaan, maka gewang
selaman akan beraksi seperti Megabass Deep-X, Rapala Fat Rap, Zerek Giant Ruby, Ofmer X-Deep serta Rapala Risto Rap dan lain-lain.
Pada kunjungan ini kami mempraktikkan kedua-dua aksi sekali gus. Apabila terdengar riak air, seorang melontar gewang top water mana kala seorang lagi menghantar gewang selaman.
Dua-dua pun mencakup. Megabass X-Pod yang saya lontar diterkam sebaik sahaja mencecah permukaan tasik.
Untuk riak air berikutnya gewang selaman rakan pula disergap laju. Penggunaan sesudu juga efektif.
Bila tekong memasuki suak atau teluk saya menukar gewang kepada sesudu. Sebelum gewang kesayangan lebur dilarikan samseng tasik lebih baik stanby awal-awal.
Memang betul. Balingan entah kali yang ke berapa sesudu Gold 18 gram disergap pemangsa yang kasar.
Muncul dari bawah batang kayu, jelas kelihatan laju menerpa dan terus strike. Pecutan ala torpedo ke celah bangkar mengakibatkan putus tali utama setelah berlaku pergeseran dengan struktur dalam air.
Percubaan saya menggunakan soft frog juga memberangsangkan. Beberapa sambaran berlaku di kawasan yang banyak terdapat batang kayu timbul serta reba.
Katak getah dilontar hingga ke tebing dan menariknya ke arah bot yang berada di tengah suak.
TOMAN CULAS
Toman yang terlucut akan serik. Begitu juga apabila toman berjaya melarikan gewang.
Kesakitan akibat kecederaan di mulut atau rahang serta merasa janggal dengan ‘aksesori tambahan’ di bibir akan membuatkan toman lebih berhati-hati untuk menyergap gewang pada lain masa.
Kerap kali mengena mata kail sama ada mata tunggal atau double hook di belakang jump frog mahu pun mata tiga juga antara penyebab sang toman culas. Ikan lebih berwaspada dan semakin cerdik!
Tempoh pertarungan yang lama akan menyebabkan toman menjadi lemah dan boleh mati.
Penggunaan peralatan yang sepadan perlu diambil perhatian agar tidak terlalu lama ‘fight’ dan ikan dapat didaratkan dalam keadaan masih cergas serta selamat untuk dilepaskan kembali.
Di tasik ini, sudah cukup dengan rawai yang menghiasi di tepi-tepi tebing. Sudah memadai jaring-jaring yang pelampungnya memutih melintang di tengah tasik. Itu kerjaya mereka sebagai nelayan menyara keluarga.
Sebaiknya diabaikan niat untuk membawa balik spesies game fish air tawar yang popular ini. Cukuplah sekadar pelepas gigil dengan sergapan serta pertarungan yang dinikmati.
Bagaimana perasaan apabila gewang harapan dilontar namun tiada pemangsa yang endah. Terubatkah hati dengan terma ‘kumpau itu indah…?’.
Bagaikan tidak cukup seharian mengelilingi kolam ternakan ikan, kemudian sambung pula berembun sepanjang malam, namun apa yang diperoleh sangat tidak berbaloi. Dan untuk tidak terus berakhir dengan kekecewaan, Geng Sunway yang diterajui oleh Abang Lan segera menukar strategi.
Geng Sunway adalah nama jolokan yang diberikan kepada kumpulan pemancing haruan yang majoritinya menetap di Sunway, Petaling Jaya. Sementara kolam Kolam Halim yang dimaksudkan adalah bekas lombong yang dijadikan kolam ternak ikan secara kecil-kecilan oleh Halim.
Manakala haruan-haruan yang bersifat pemangsa kepada benih-benih ikan ternak yang gagal dihapuskan itu pula merupakan sasaran utama Geng Sunway apabila berkunjung ke Kolam Halim di Temoh, Perak ini.
Namun hasil pancingan pada kunjungan terbaharu ini ternyata agak mengecewakan. Berikutan cuaca panas dan kemarau, paras air lombong surut dengan begitu ketara. Apabila paras air berubah maka habitat haruan pun berubah. Haruan dikesan berada jauh ke tengah lombong. Justeru itu Geng Sunway sepakat untuk mencuba nasib di lokasi baru yang dicadangkan oleh Abang Lan.
Menurut Abang Lan, seorang kenalannya pernah meredah parit-parit di sebuah ladang kelapa sawit dalam kawasan Tanjung Tualang dan hasilnya begitu menggalakkan walaupun sekadar menggunakan umpan tiruan, bukannya katak hidup.
Dan dengan baki katak hidup yang masih ada, Geng Sunway ke ladang sawit sekitar 40 kilometer dari Kolam Halim. Setibanya di ladang sawit yang dimaksudkan, Geng Sunway berpecah dan bebas memilih parit-parit yang ada.
Setelah memerhati keadaan parit yang ketara tidak sesuai untuk mengamalkan pancingan umpan tiruan saya memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam sesi ujian lapangan baharu ini sebaliknya sekadar menemani Bob untuk merakam foto sekiranya beliau berhasil.
Dalam pada masa yang sama dapatlah saya timba ilmu memancing haruan menggunakan umpan katak hidup yang sememangnya saya kurang berkemahiran. Ternyata saya tidak salah memilih Bob sebagai guru. Setelah mencurahkan serba sedikit ilmu, jasa baik Bob itu terbalas dengan mendaratkan seekor bujuk dengan skala saiz yang agak lumayan juga.
Disebabkan bekalan katak hidup yang terhad dan ladang sawit itu terlalu luas untuk diredah dengan berjalan kaki, sesi ujian terpaksa dipendekkan. Selain Bob, Nayan turut sama berhasil mendaratkan seekor haruan dengan skala saiz yang juga lumayan.
Yang pasti parit besar dan parit kecil di kawasan ladang sawit tersebut ternyata berpotensi dan Geng Sunway mula merancang untuk kembali dengan kenderaan dan kelengkapan yang lebih sesuai untuk memujuk bujuk yang agak banyak populasinya di situ.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...