Sempena Hari TLDM yang ke-85, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah pun mengadakan Hari Terbuka PHN yang bertempat di Bandar Armada Putra, Pulau Indah pada 13 & 14 April lalu.
Istimewanya bagi kaki pancing, PHN dengan kerjasama Akar Teguh Agro Farm bakal mengadakan pula pertandingan memancing Cabaran Joran TLDM 2019, pada 1 Mei ini di lokasi yang sama.
Bagi kaki-kaki menebing khususnya di Selangor amat mengetahui potensi pancingan di Jeti Pangkalan TLDM Pulau Indah, PHN ini.
Banyak rekod pendaratan ikan bersaiz besar khususnya spesies kurau dicatatkan di jeti ini namun ia merupakan port larangan kepada umum.
Ads
Sebagaimana resam seorang pemancing tegar, di mana ada port larangan maka di situlah mereka teringin sangat untuk melabuhkan umpan.
Dan peluang untuk memancing di atas jeti larangan sepanjang hampir 500meter ini terbuka kepada anda semua 1 Mei ini.
Pertandingan yang terbuka untuk warganegara Malaysia ini menawarkan hampir RM20,000 tunai kepada bakal peserta.
Dengan yuran penyertaan sebanyak RM70 bagi sebatang joran, pemenang utama akan membawa pulang RM10,000. Pemenang tempat kedua RM2,000. Tempat ketiga RM1,000.
Ads
Ke-4 pula RM500 dan ke-5 membawa pulang RM300. Bagi tempat ke-5 hingga ke-40 pula RM100.
Dengan konsep hadiah sapu bersih maka seorang pemancing mampu memenangi lebih daripada satu hadiah bagi tempoh 4.5 jam pertandingan yang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 1.00 petang.
Ads
Selain itu pihak penganjur turut menawarkan 400 helai baju T bagi pendaftaran terawal dan 600 goodies bagi peserta terawal.
Beberapa spesies ikan tidak dipertandingkan termasuklah sesirat, buntal dan bebolos. Sementara semua hasil tangkapan peserta yang dipertandingkan akan menjadi hak milik penganjur.
Team Majalah Umpan juga akan hadir untuk liputan pertandingan ini… jumpa kita di sana!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Seawal jam 7.00 pagi lagi saya, Andi Max, Lee dan Rosli Su dah berada di atas bot kayu biru sepanjang 21 kaki dan lebar 5 kaki yang dipacu oleh dua buah enjin berkuasa 15 hp setiap satu.
Berbekalkan udang hidup yang dibeli dari nelayan yang berhampiran, kami berempat berharap agar dapat bermesra dengan penghuni lubuk Pulau Baru.
Saya sebagai tekong memerah habis kelajuan yang termampu. 30 minit diperlukan untuk tiba di lokasi.
Tanpa menunggu lama, kami dikejutkan dengan joran milik Lee yang dihenjut kasar membuatkan dia kelam-kabut memberikan tindak balas yang sepatutnya. Kemenangan berpihak pada sang ikan.
Selang beberapa minit kemudian, Andi Max pula diuji. Mangsa yang berada di hujung tali pancing berjaya dijinakkan. Seekor jenahak skala 1.4 kilogram tumpas.
Belum sempat Andi menanggalkan mata kail, saya pula mengambil giliran bertegang urat dengan sang jenahak.
Jenahak 1.7 kilogram terkulai juga selepas beberapa kali pecutan yang mengujakan. Henjutan seterusnya dialami oleh Rosli yang tiba-tiba ditekan oleh pecutan kuat.
Jenahak skala 1.8 kg berjaya Rosli jinakkan. Selepas jenahak tersebut didaratkan, lubuk agak sunyi dari pagutan ikan. Hanya ikan-ikan kerapu kecil yang mengganti sang jenahak yang mendiamkan diri.
Hinggalah sekitar jam 2.40 petang, Lee yang agak pendiam tiba-tiba membuat sentapan balas yang mengejut. Pecutan mangsa dilayan dengan baik.
Larian ikan kali ini agak berbeza dari jenahak. Lebih degil dan sukar. Aksi bertarik tali berterusan sehingga 4 minit. Andi yang sudah bersedia dengan tangguk resah menanti.
Minit ke-7 barulah ikan kelihatan. Tanpa menunggu lama, Andi lantas menyauk ikan yang menjadi lesen Lee pada hari itu. Seekor ikan kaci terkulai di dalam tangguk. Sesi fotografi dijalankan.
Seterusnya kami hanya ditemani oleh keramahan anak kerapu dan merah yang bersaiz tapak tangan hingga kepetang. Tepat jam 5 petang, kami sepakat untuk pulang.
Bekalan umpan hidup sudah habis dan hasil tangkapan pun sudah memadai. Tak perlu mencari lebih. Cukuplah sekadar untuk dijadikan lauk sehari dua.
Bila arus pasang surut akan sesuai lagi dan ada kelapangan masa, kami akan berkunjung lagi. Semoga penghuni lubuk Pulau Baru sentiasa menerima kehadiran kami.
Trip ini disertai oleh 6 orang pemancing yang rata-ratanya dari Lembah Klang iaitu Tuan Haji Toskhan, Rashid Hamzah, Nazri Mohd, Zam Desa, Zul Kail dan Ayub Ali.
Kami memilih tekong Azhari untuk membawa kami ke lubuk-lubuk yang berpotensi di sini.
Tepat jam 8.30 pagi kami terus memulakan perjalanan untuk memburu hasil laut Kelanang.
Laluan Kapal 2
Hentian pertama kami ialah di kawasan kapal berlabuh untuk mencari ikan-ikan pelagik seperti selar dan cencaru.
Namun tidak banyak yang berjaya kami perolehi hanya sedikit selar dan cencaru pula hilang entah ke mana.
Melihat keadaan ini, tekong terus menuju ke kawasan laluan kapal 2 dan berlabuh di lubuk pertama.
Keadaan agak sunyi pada awalnya, namun ianya berubah apabila tekong menjadi pemecah suasana dengan menaikkan seekor merah berskala 1 kilogram berumpankan sotong.
Namun selepas itu, keadaan kembali sunyi dan tekong mengambil keputusan menukar lubuk.
Lubuk Merah
Di lubuk kedua pula menyaksikan gerombolan mengkerong yang paling banyak mengitai umpan kami pada awalnya.
Mujurlah tak lama selepas itu joran berumpankan kepala sotong yang dilabuhkan saya mendapat satu rentapan yang keras.
Dengan selamba sahaja Daiwa Tanacom Bull 750 membuat kerja dan menaikkan merah berskala 2.5kg.
Selang beberapa minit, giliran Ayub Ali pula mendapat sambaran. Pertarungan hampir 5 minit akhirnya berpihak kepada spesies tidak diketahui yang berjaya meloloskan diri.
Nazri yang berada di bahagian belakang bot juga mendapat rentapan dari dasar. Dengan mudah seekor merah berskala 1.8kg dinaikkan ke dalam bot.
Ayub yang kecewa pada awal tadi akhirnya mendapat henjutan keras. Tiada masalah untuk kekili elektrik Shimano Beastmaster menaikkan merah dengan berat 2.9kg.
Selepas itu yang lain turun mendapat sentapan dari sang merah yang mungkin tengah kelaparan agaknya.
Walaupun saiz nya hanya sekitar 2-3kg, namun ini sudah cukup menggembirakan kami.
Selepas keadaan sunyi sepi, tekong mengarahkan kami untuk bertukar tempat. Belum sempat berbuat apa, rentapan yang cukup kasar berlaku pada joran Haji Toskhan.
Kawan-kawan yang lain segera memberi laluan. Hampir 15 minit bertarung, namun ternyata tuah tidak berpihak kepada penganjur trip apabila ikan tersebut berjaya memutuskan tali perambut 80lbs yang digunakannya.
Akhirnya pada jam 7 malam kami bergerak pulang ke jeti Kelanang. Hasil 9 ekor merah dan seekor pari dianggap cukup memuaskan bagi trip yang seharian yang dirancang pada waktu yang singkat ini.
Biarpun ada beberapa kejadian rabut pada trip kali ini namun kami tetap berpuas hati dan hasil yang kami dapat kami bahagi sama rata. Insyaallah, jika ada kesempatan pasti akan kami duga kembali trip di perairan Kelanang ini.
Ikan kuku? Ikan kuku ni macam mana? Sedap sangat ke? Tempat mana kalau nak pancing ikan ni? Umpan apa nak pancing ikan ni?
Itu antara persoalan yang menerjah benak penulis beberapa purnama yang lepas. Harus diakui penulis sendiri agak jarang mendengarkan spesies ini menjadi perbualan biarpun di kalangan kaki pancing tempatan.
Untuk itu penulis terpaksa buat kajian dan mencari informasi berkaitan ikan ini. Setelah 3 purnama berguru dan turun ke lapangan pancing, ternyata tidak mudah untuk mendaratkan spesies kuku, tapi kepuasannya memang lain macam.
Patutlah geng-geng kaki menguku sering menyebut, sekali terkena getah kuku ni, alamatnya asyik nak menguku je!
SPESIES BERMUSIM GRED A
Ikan kuku atau seabream merupakan spesies muara yang dikelaskan daripada genus Acanthopagrus.
Ikan kuku sebenarnya lebih terkenal di kalangan pemancing di kawasan Pantai Timur Semenanjung malah di Sabah dan Sarawak juga terdapat pemancing yang memang saban tahun menunggu putaran musim untuk menerjah kandang kuku ini.
Menurut kebanyakan kaki menguku, spesies ini merupakan antara spesies ikan muara yang paling sedap isinya.
Malah jika mereka sendiri membuat analogi, jika dihidangkan pilihan hidangan ikan kuku dan siakap putih, maka hidangan siakap putih pastinya akan ditolak mentah-mentah.
Walaupun agak keterlaluan bunyinya, namun rata-rata pemancing kuku sependapat dalam perbandingan antara kedua spesies tersebut.
Mungkin juga dek kerana faktor kesukaran mengail spesies kuku, namun ini tidak menghalang untuk spesies kuku berada di dalam kelas ikan muara gred A.
Apa yang menariknya lagi, untuk memancing spesies ini bukannya sepanjang tahun. Sebaliknya terhad kepada masa tertentu dalam kitaran satu tahun.
Bagi pemancing di Pantai Timur, ketika musim tengkujuh atau musim hujan, inilah waktu yang paling sesuai untuk mula memancing ikan kuku.
Apabila musim hujan tiba, dikatakan spesies kuku akan mulai memenuhi kawasan muara sungai utama.
Terdapat dua jenis ikan kuku yang lebih dikenali iaitu kuku putih dan kuku batu. Kuku putih mempunyai warna yang lebih cerah manakala kuku batu pula lebih gelap.
Malah, rupanya juga berbeza sama sekali. Namun biasanya, pemancing kuku lebih cenderung memburu spesies kuku putih kerana dikatakan mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding kuku batu.
BERGURU DENGAN GENG NGAIL KUKU
Setelah melihat report dari geng pemancing di Pantai Timur, penulis menghubungi grup pemancing kuku yang dikenali Geng Ngail Kuku atau GNK untuk cuba merasai sendiri rahsia teknik pancingan spesies kuku ini.
Setelah menyusun jadual, akhirnya trip mengail kuku dibuat dengan tip dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan GNK setelah beberapa hari diracun oleh mereka yang kebanyakannya berpangkalan di Kuantan dan Kemaman.
Beberapa lokasi dan spot memancing kuku telah dirancang dalam trip ini kerana tidak mahu mengambil risiko kumpau jika menumpukan pada satu spot sahaja.
Jadi penulis merancang untuk cuba menguku di beberapa spot di Kuantan hingga ke Kuala Terengganu.
Tiba di Kuantan, penulis bertemu dengan Abang Rosdi (atau lebih dikenali sebagai Kail Beracun di FB), Teuku Munawir dan beberapa orang rakan dari GNK.
Mereka yang banyak memberikan rahsia teknik dan tip memancing sang kuku ini. Bertempat di Tanjung Api, kami memulakan cubaan memancing kuku.
Bukan mudah rupanya nak memancing kuku kerana spesies ini agak cerewet ketika memakan umpan.
Biasanya tali utama perlu dipegang untuk merasai sang kuku mengetuk umpan yang dihulurkan.
Selain itu, spesies pengacau seperti gelama dan kitang turut sama akan meligan umpan anda, namun sesekali tak rugi kerana siakap merah juga gemar membaham umpan yang dihulur untuk sang kuku.
Tetapi kesabaran dalam memancing kuku memang memberikan kepuasan jika anda berjaya menggoda sang kuku hingga ke daratan.
Semalaman di Tanjung Api membuahkan hasil dengan beberapa ekor kuku juvenil dinaikkan.
Spot kedua penulis memilih untuk singgah di Sungai Paka. Cubaan lapangan di Sungai Paka lebih singkat kerana memancing pada awal pagi hinga ke tengah hari sahaja kerana perlu menuju ke Kuala Terengganu pula.
Begitu pun, seekor kuku dan siakap merah berjaya dinaikkan dengan berumpankan ketam angin.
Cubaan di spot seterusnya iaitu Kuala Ibai agak suram kerana tiada hasil. Biasalah newbies main terjah sahaja.
Melihatkan seakan tiada potensi, kami memilih bertukar spot di benteng belakang Permai Inn.
Pilihan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Rasul tidak semena-mena menaikkan kuku lebih 1kg menggunakan umpan udang hidup.
PENGHUJUNG TRIP PERGURUAN
Untuk menamatkan trip jelajah terjah kuku ini, spot Tanjung Api sekali lagi menjadi pilihan sebelum pulang ke Shah Alam.
Kali ini lebih meriah dengan ramai ahli grup GNK turut serta. Alang-alang berkumpul ramai, Along iaitu pemilik kedai pancing setempat turut berbesar hati menaja hadiah sagu hati untuk ikan kuku terberat pada malam itu.
Bukan semata-mata untuk memenangi hadiah, acara kecil malam itu lebih kepada berkumpul antara ahli grup selain berkongsi teknik dan tip memancing kuku serta berkongsi pengalaman memancing yang lain.
Penulis sendiri turut berterima kasih kepada pihak GNK terutama Abang Rosdi yang mengalu-alukan kunjungan penulis ke sini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...