Ikan jenahak, antara ikan gred A bernilai tinggi yang enak dinikmati. Harganya juga boleh tahan di pasaran. Tidak kiralah apa jenis masakannya, ikan ini pasti akan habis licin! Lebihlebih lagi bahagian kepalanya yang enak dibuat kari. Entri resipi Majalah Umpan kali ini adalah sup ikan jenahak. Selamat mencuba!
BAHAN-BAHAN:
Ads
1 kg ikan jenahak (bersihkan dan tos)
2 cm kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
2 cm halia
1 sudu teh biji ketumbar
1 sudu teh lada hitam
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh halba campur
10 biji bawang merah | di mayang
6 ulas bawang putih | di mayang
600 gm kentang | dibelah dua
60 gm suhun
1 keping asam gelugur
1 daun saderi
10 gm daun bawang | untuk hiasan
1 sudu besar minyak | untuk menumis
Garam secukup rasa
Ads
CARA MEMASAK:
Ads
Tumbuk kasar ketumbar, lada hitam, jintan manis, jintan putih, kulit kayu manis, bunga lawang dan juga bunga cengkih.
Bungkus bahan ini dengan kain jarang dan jadikan seperti punjut.
Rebus ikan bersama air dan juga punjut tadi. Biarkan mendidih.
Masukkan kentang, suhun, halia, asam gelugur, halba dan juga garam. Ketepikan.
Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga kekuningan dan masukkan ke dalam periuk sup dengan minyaknya sekali.
Kacau selama tiga minit dan hidangkan bersama daun bawang dan daun saderi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hari yang dijanjikan sudah tiba. Semua ahli komplot sudah bersedia dengan senjata masing-masing. Trip kali ini dirancang oleh tiga orang sahabat iaitu Syed, Sabri dan Nadz .
Lubuk yang airnya dalam sentiasa keruh ini memang diketahui dihuni oleh ikan yang bagak-bagak saiznya. Boleh dikatakan pada siang hari lubuk ini sentiasa sahaja dikunjungi kaki pancing termasuk orang luar. Cuma pada waktu malam sahaja lubuk ini kurang dikunjungi.
Dengan bot fiber 12 kaki dan enjin 15 kuda, Syed memacu bot dengan laju menuju ke lubuk. Perjalanan yang mengambil masa 30 minit. Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Syed amat arif dengan selok belok sungai ini.
Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di llubuk. Jam menunjukkan 10.00 malam dan masing-masing tidak sabar mencampak umpan. Hanya mereka sahaja yang memancing di situ.
Tidak menunggu lama untuk umpan diragut ikan. Nadz orang pertama yang beraksi. Setelah beberapa minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan. Tidak lama selepas itu, joran Syed pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Sabri dan Nadz berteriak memberi semangat.
Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka.
“Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kata Sabri geram.
“Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,” cadang Syed. Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok ara yang memayungi lubuk itu.
Namun dia hanya mendiamkan diri. Sabri dan Nadz terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan.
Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh.
“Kenapa pulak ni?” tanya Nadz dengan suara yang terketar-ketar. Dalam pada itu, Sabri terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.
Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan mata yang merah, rambutnya panjang dan mata merenung tajam ke arah mereka bertiga. Syed dan Nadz juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.
Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi. Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.
Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.
Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar tangan Sabri ketika menambat tali bot.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk kampung. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu.
Menurut orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ. Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.
Akibat kejadian itu juga Nadz demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.
Dalam industri perikanan, spesies lampam boleh dikatakan agak penting dalam beberapa cabang perikanan.
Secara tradisional, spesies lampam mempunyai kepentingan yang agak tinggi bagi komuniti pinggir bandar.
Komuniti yang menjadikan spesies lampam sebagai salah satu ikan target ialah komuniti pemancing sara diri atau subsistence anglers.
Berbeza dengan pemancing rekreasi, pemancing sara diri bermaksud komuniti ini menangkap sesuatu spesies ikan untuk keperluan harian, terutamanya sebagai sumber makanan.
Selain itu, spesies ini juga mempunyai kepentingan dalam perikanan komersial dan akuakultur.
Jasanya spesies lampam diternak dalam skala yang besar untuk tujuan sumber makanan kepada komuniti setempat.
Dalam sektor perikanan ikan hiasan juga, spesies ini merupakan antara spesies ikan popular dan mudah didapati di kalangan kedai ikan hiasan.
Disebabkan spesies ini gemar berenang berkumpulan, biasanya lampam akan ditempatkan dengan sekumpulan lampam yang lain di dalam akuarium.
Malah spesies ini antara spesies ikan yang tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi jika dibela.
Dalam pancingan sukan sekali pun, selain dipancing untuk dimakan, spesies lampam yang bersaiz kecil juga boleh dibuat umpan untuk menjerat pemangsa yang lebih besar.
Anak lampam adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat baung besar, toman, mahupun sebarau.
Kebanyakan orang, lampam nungkin sekadar spesies biasa-biasa sahaja, namun pancingan lampam yang ringkas dan santai mampu mendatangkan riuh rendah jika dilakukan secara berkumpulan.
Bahkan, di sesetengah tempat, lampam sungai terutamanya bersekolah cukup tinggi. Ibarat jinak di depan mata, pandai mencuri umpan, tetapi sukar untuk menangkapnya.
Jika kunjungan trip pancing ke tasik-tasik utama di Malaysia seperti Tasik Kenyir di Terengganu atau Royal Belum di Perak, kaki pancing semestinya meletakkan keazaman yang tinggi untuk menjerat spesies toman dan sebarau.
Bagi kaki trekking pula, spesies pujaan semestinya si raja sungai iaitu kelah dan juga peragut malam iaitu baung.
Iyalah, trip-trip sebegini apatah lagi ke tasik utama yang terkenal di kalangan kaki pancing wajib untuk menyenaraikan ikan target yang bernilai tinggi baik dari segi kekuatan pertarungan mahupun nilai ikan target yang rare untuk dipancing serta sedap dimakan.
Begitu pun, dalam kesibukan memburu ikan gred A, kunjungan ke tasik utama tidak sah jika tidak melayan keseronokan spesies lampam.
Pancingan lampam di tasik utama lebih santai malah teknik pancingan juga lebih santai, ringkas dan minimalis. Pancingan yang santai sebegini memang menghiburkan apatah lagi jika aktiviti tersebut dilakukan beramai-ramai. Riuh boathouse dibuatnya.
Macam-macam kejadian dan insiden yang berlaku dalam aktiviti memancing hari ini. Malah kejadian yang meragut nyawa pun bukan sedikit terjadi. Tak terkecuali kejadian samun. Bagi mengelak kejadian ini menimpa pada diri korang, di sini kami sediakan sedikit tip untuk mencegahnya.
Survey Port Dulu
Jangan terus memancing apabila menemui sesebuah padang pancing yang belum pernah anda pancing sebelumnya. Apatah lagi jika di lokasi tersebut tidak kelihatan pemancing lain yang memancing di tempat tersebut.
Jangan Mancing Solo
Seboleh-bolehnya jangan memancing secara bersendirian walaupun di lokasi yang biasa anda pancing dan dianggap kawasan selamat. Bila keadaan terdesak, penyamun tak mengira lokasi lagi dah.
Elak kawasan terpencil
Elakkan dari memancing di kawasan terpencil atau terlindung dari pandangan orang walaupun di lokasi tersebut ada pemancing lain yang memancing, namun pemancing lain tidak dapat melihat kedudukan anda di kawasan tersebut.
Keselamatan Kenderaan
Jika boleh, pilihlah spot memancing yang tidak jauh dari tempat anda memarkir kenderaan. Dalam pada masa yang sama anda turut dapat memantau status keselamatan kenderaan juga.
Mancing Malam
Elakkan memancing waktu-waktu sunyi seperti tengah malam atau terlalu awal pagi serta ketika tidak pemancing lain yang memancing pada waktu tersebut.
Jangan terlalu renggang
Sebaiknya juga jangan memancing terlalu jauh dengan pemancing lain walaupun hanya memancing di kolam berbayar. Ini kerana kejadian samun turut berlaku di lokasi memancing seperti ini.
Bawa senjata
Bawa senjata untuk mempertahankan diri terutamanya jika memancing di kawasan yang berisiko atau terdedah kepada sebarang aktiviti jenayah.
Jangan Leka
Jangan terlalu fokus terhadap memancing dan mengabaikan sebarang aktiviti berhampiran terutamanya kehadiran seseorang yang mencurigakan. Apatah lagi seseorang yang tidak kelihatan seperti seorang pemancing.
Biar nampak selekeh
Jangan kelihatan terlalu mewah ketika memancing kerana secara tidak langsung sebenarnya ia mengundang untuk disamun. Biarlah kelihatan selekeh kerana penampilan tersebut lebih selamat.
Pisahkan dokumen penting
Bawa dokumen dan barangan yang penting sahaja ketika memancing. Jika perlu pisah-pisahkan barangan dan dokumen tersebut. Jangan simpan kesemuanya dalam dompet.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...