Pada hari yang dijanjikan, kami berempat menaiki motosikal saja ke sana. Kami bertolak jam lima petang, setelah selesai solat Asar. Selain membawa alat-alat memancing, saya juga membawa bekalan makanan berupa satu termos kopi ‘O’ panas dan biskut kering. Hajat kami ingin memancing sehingga jam sepuluh malam sahaja.
Ikan ketutu ini memang aktif pada waktu malam. Bila siang, ia bagaikan tunggul mati. Memancing dengan menggunakan umpan yang power pun, ia tak akan makan. Kerana sifatnya yang begitu, kami mengambil keputusan untuk memancing dari senja hingga jam sepuluh malam.
Kawasan di dalam ladang kelapa sawit itu mempunyai sebatang anak sungai yang sudah terpecah menjadi beberapa lopak yang dalam akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku di kawasan tersebut. Lopak-lopak itu membentuk lubuk yang agak dalam. Zamir mencadangkan kami memancing di kawasan lubuk yang berdekatan dengan rimbunan pokok mengkuang kerana kebiasaannya ketutu memang suka dengan habitat begitu.
Kami melabuhkan joran tepat jam enam petang. Di dalam kawasan ladang kelapa sawit, cuaca memang cepat gelap. Tidak sampai lima belas minit menunggu, joran Masran mula melentur. Seekor ikan ketutu dengan anggaran beratnya 150gram menggelepar lemah. Walaupun saiznya kecil, namun ianya cukup untuk memberi semangat kepada kami untuk terus mencuba nasib.
Menjelang jam lapan malam, kami berempat bagaikan berpesta ketutu di situ. Betul kata Napi, lubuk di kawasan itu memang kaya dengan ikan ketutu. Kami bagaikan tidak cukup tangan menarik joran yang pantang dicampakkan ke dalam lubuk.
Dalam keadaan berpesta itu, kami berempat terlupa untuk menunaikan solat Maghrib. Kami bagaikan ‘sayang’ untuk melepaskan aksi menarik joran yang sedang rancak padahal kami sepatutnya melakukan perkara yang wajib dahulu. Saya sendiri sudah memasang niat untuk menqada sahaja solat Maghrib yang tertinggal.
Menjelang jam 8.45 malam, hujan renyai-renyai turun dengan tiba-tiba. Tiada tanda guruh atau petir di dada langit. Walaupun hujan turun dengan agak kasar, kami semua seolah-olah tidak peduli dengan situasi yang berlaku. Kami meneruskan juga pesta menarik joran yang kini bagaikan tidak menang tangan dibuatnya.
Hujan masih turun dalam keadaan renyai-renyai sewaktu jam di tangan saya menunjukkan angka sepuluh malam tepat. Kalau ikut perancangan asal, inilah masa untuk kami bergerak pulang. Namun keriuhan dan pesta menarik ketutu masih rancak. Masing-masing sibuk dengan joran yang ditarik setiap lima minit dan perkara untuk angkat kaki seolah-olah terlupa begitu sahaja.
Salakan anjing yang sayup dan mendayu-dayu tiba-tiba kedengaran dari hutan kecil berdekatan. Bulu roma saya meremang tiba-tiba. Badan menjadi seram sejuk. Sejenak itu juga saya mendongak ke atas. Bulan kelihatan mengambang penuh. Salakan anjing tadi seperti semakin hampir dengan tempat kami memancing.
“Aku rasa cukuplah. Jom kita balik,” ajak Hadi tiba-tiba sambil memberikan kami isyarat tentang sesuatu. Di kalangan kami berempat, memang Hadi yang biasa masuk hutan untuk memancing dan memburu ayam hutan. Mungkin Hadi juga sudah berasa sesuatu yang ganjil di situ.
Ketika aku sedang mengemas kelengkapan memancing, aku terasa seperti ada mata yang memerhatikan kami dari celah-celah belukar. Sepasang mata merah itu bagaikan mengikuti setiap pergerakan kami berempat. Aku cuba membaca Ayatul Qursi apabila perasaan seram sejuk semakin terasa dengan bulu roma yang semakin meremang.
Jelas di pandangan mata saya, sesusuk tubuh berkain kafan dengan bahagian atas dan bawah terikat sedang terloncat-loncat menuju ke arah kami berempat. Ketika itu, otak terasa beku, bibir terasa kelu. Saya jadi blur dan tak tahu nak buat apa.
Cuma apabila melihat Hadi dan Masran sudah berlari menuju ke motosikal, barulah kaki saya turut melangkah sama. Nasib baiklah Hadi dan Masran sudah menghidupkan enjin motosikal. Sebaik sahaja saya melompat duduk di bahagian belakang, motosikal itu terus dipandu laju meredah jalan merah yang sudah becak akibat hujan yang turun tadi.
Saya tidak berani menoleh ke belakang. Hanya mulut saya terkumat-kamit membaca Ayatul Qursi dengan susunan yang agak lintang pukang. Hanya apabila tiba di halaman rumah saya, barulah saya dapat menarik nafas lega. Kami duduk di atas pangkin kayu di bawah pokok rambutan yang rendang.
Masing-masing hanya diam dengan nafas sedikit termengah-mengah. Saya mengeluarkan sisa kopi `O` panas dan kami minum tanpa berbual.
Malam itu, saya sukar untuk memejamkan mata. Peristiwa seram itu terbayang di ruang mata. Inilah kali pertama saya mengalami kejadian seram dan aneh begini. Nasib baiklah tiada perkara buruk yang berlaku pada kami berempat.
Sehingga kini, kejadian ini kami rahsiakan daripada pengetahuan orang lain. Tempat itu juga tidak kami kunjungi lagi.
Perancangan untuk memancing di Sungai Bernam telah lama kami bincang. Cuma halangan masa membatasi kami. Maklumlah kami berempat berbeza kerjaya. Namun, cuti panjang sempena beberapa cuti umum baru-baru ini menemukan kami semula.
Hasilnya, kami membuat keputusan untuk pergi memancing pada hari pertama bercuti. Semua alatan joran memang sudah tersedia di dalam bonet kereta masing-masing. Kalau sudah digelar kaki pancing, memang itu adalah benda wajib yang perlu dibawa ke mana sahaja walaupun dalam mood bercuti.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Cek Ta di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pak cik yang duduk makan di situ tentang Sungai Bernam.
Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuklah baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Sungai Bernam ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram. Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairankan, pagi itu gewangku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
“Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melewati pintu itu kecuali orang-
orang yang berpuasa. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka.”
Lalu dikatakan kepada mereka; “Mana orang yang berpuasa?”
Maka orang yang berpuasa berdiri menghadap.
“Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut”.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...