Setiap perkara yang akan berlaku lazimnya akan memperlihatkan petanda atau tanda-tandanya terlebih dahulu. Begitu jugalah dengan kejadian hujan ribut. Sebagai seorang pemancing terutamanya yang menggemari pancingan di laut lepas, kemungkinan berhadapan dengan ribut adalah lebih tinggi. Jadi, sebagai pemancing kita haruslah peka dengan petunjuk alam.
Ribut yang yang datang secara tiba-tiba biasanya membahayakan pemancing yang memancing dengan menggunakan bot-bot kecil. Oleh yang demikian adalah penting bagi kaki pancing untuk mengetahui jangka masa ribut akan tiba di mana lokasi yang sedang memancing.
Kenapa perlu tau jangka masa ribut akan sampai? Sebenarnya ia penting untuk membolehkan anda membuat keputusan sama ada untuk berlindung di pulau atau kembali ke jeti.
Berdasarkan pengalaman para nelayan, dengan melihat kedudukan awan di kaki langit, tempoh waktu kedatangan ribu boleh diandaikan. Sekiranya anda melihatkan kedudukan awan hitam separas dengan laut, ia bermakna ribut masih jauh dan memakan masa yang panjang sebelum tiba di lokasi anda memancing.
Dalam keadaan begitu, biasanya anda masih mempunyai masa yang cukup untuk bergerak kembali ke jeti. Tetapi, jika awan hitam kelihatan berada pada paras sejengkal atau lebih daripada paras laut, ribut berkenaan sudah begitu hampir dengan anda.
Oleh yang demikian, bersegeralah menamatkan sesi memancing kerana ribut bakal tiba dalam tempoh kurang dari satu jam. Kemudian segera cari tempat berlindung atau kembali ke jeti.
Sekiranya anda memancing dengan menggunakan bot kecil dengan kelajuan rendah, anda haruslah berwaspada sekiranya berlaku kejadian ribut. Oleh yang demikian, sebaiknya sentiasalah memerhati keadaan di langit selain memerhati joran anda.
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Percaya atau tidak, penggunaan tali tangsi sebagai tali utama semakin kecil peratusnya berbanding tali sulam atau braided. Namun, ia tidak berlaku dalam pancingan kolam air tawar. Kenapa agaknya tali tangsi begitu sinonim dengan kolam pancing air tawar?
Senario yang lebih teruk, terdapat segelintir kaki kolam tegar yang begitu taasub dengan penggunaan tali tangsi dan menganggap satu dosa besar jika menggunakan braided. Pengguna braided bukan saja ditegur, malah ada juga yang dimarahi.
Tidak dinafikan masih ada sesetengah pemancing berstatus otai masih beranggapan tali braided akan menghasilkan dengung di dalam dan dapat dilihat dengan jelas oleh ikan di dalam air.
Atas sebab itu ikan tidak mendekati umpan. Sekaligus ikan tidak masuk dan memakan umpan jika pemancing bersebelahan menggunakan braided.
Hakikat sebenarnya braided dicipta dengan teknologi terkini untuk membelah air sekaligus tidak menghasilkan dengung atau buih berbanding tali tangsi.
Walau bagaimana pun penggunaan tali tangsi terbukti lebih berkesan berbanding tali braided. Dengan penggunaan tali tangsi, mata kail boleh tertancap kemas pada mulut ikan. Begitu juga dengan peratusan strike.
Sifat tali braided yang tiada memori menyebabkan mata kail mudah terlucut. Dan yang paling utama apabila bersilang tali dengan pemancing lain, tali tangsi lebih mudah dileraikan berbanding tali braided. Jom kita tengok apa kata umpanian tentang isu ini.
“Bukan masalah ikan nampk tali atau tidak. Mata ikan tu dah la kecik pedih kena asid badam lagi.
Tapi bile kita memancing di kolam yang tinggi tekanan memancing (ikan susah makan umpan) permukaan tali braided kasar, memang buat ikan takut bila terlanggar badannya.
Kita akan biasa tengok pelampung meletop tapi ikan tak kena. Sebenarnyar ikan tu terkejut badan kena tali.
Bila tukar tangsi ikan kurang sensitif siap golek-golek tepi pelampung. Cuma masalahnya umpan kat mata kail dia tak makan jugak sampi ke sudah. Hahahaha…
Sesiapa nak pakai braided pakai la… hak masing-masing. Tapi jangan lupa pakai shock leader dalam sedepa dua.
Jangan nanti patin rempit shot disentapnya putus, lepas tu cerita kat orang gorila makan umpan pulak. Lagi satu, pakai braided ni berhantu.
Tali goyang-goyang macam ikan tengah makan tapi takde pun. Eee… seram! Pakai je la tali tangsi.”
– Mohd Azril Aznan
“Aku pernah kena marah. Bila ikan makan umpan.. .sekali aku tarik, yang seberang kolam pun tarik jugak. Masing-masing dengan aksi-aksi terpendam. 1 jam 35 minit bertarung.
Rupa-rupanya kami lawan tarik tali. Hahahaha… mengamuk dia pergi kat aku. Dia punya marah sampai umpan aku dia buang dalam kolam… cilakak betul. Mujur aku waras… kalau tak berbirat badan beliau.”
– Firdaus Baharom
“Tu tak teruk sangat admin… ada yang lagi teruk perangai otai-otai kolam. Kita nak memancing santai ada pulak mulut-mulut puaka memekak kat kolam. Macam dia je yang bagus.”
– Syafiq Nexave
“Tali benang ni tajam… kalau dia kirap tali tangsi boleh putus. Lagi satu tali benang lambat tengelam. Bila ditiup angin mula la kacau pemancing lain. Pasal itulah pengguna tali tangsi kurang gemar pada pengguna tali sulam ni.”
– Johnson Johnny
“Saya tak pernah dimarahi atau memarahi sesiapa pun. Sebab kolam sama-sama bayar… nak pakai apa, pakailah.
Janji tak susahkan orang lain. Kalau terbelit dan jadi macam tali jemuran… senang potong je. Pemancing kolam yang ori akan faham.”
– Firdaus Norddin
“Jarang orang pakai braided kat kolam. Lagi-lagi kolam air tawar. Tambah-tambah time game. Sebab peratus untuk bersimpul dengan tali lain tinggi bila mancing kolam ni.
Kalau bersimpul tali lain jawabnya potong je la. Saggup ke asyik nak ptong tali braided yang mahal tu. Tangsi baru RM10 je segulung tu pun dah kuat.”
– Mazwan Ros Mazalan
“Pernah sekali mancing kolam kat Kepong… orang tu marah sebab tali dia berpintal dengan tali aku. Tapi yang salah tu dia layan ikan sampai masuk line saya.
Dah terbelit dia marah pula lepas tu dia cakap jangun guna tali sulam lagi… guna tali mono!”
– Tonijaa Jaa
“Hak masing-masing. Kalau asyik nak kondem orang je pun tak boleh, takde semangat kesukanan memancing langsung.
Kalau nak ikan banyak, pergi pancing dekat pasar borong sana. Macam-macam boleh dapat. Hahaha…!”
– Firdaus Johan
“Pernah kena marah… Dia yang baling melintang, kita pulak dimarahinya. Pindah tempat pun sama. Tetap boleh bersilang dengan orang yang sama.
Pelampung dia hanyut tak jaga, dia salahkan orang. Boleh pulak dia kata ‘tak pandai mancing kolam ke?’. Last geram punya pasal… silangkan je sampai sangkut. Puas hati aku!”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...